Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali."
(Riwayat Bukhari & Muslim)Pengajaran hadis:
i) Seorang mukmin yang sedar dan berjaga-jaga tidak akan melakukan kelalaian dan boleh ditipu dua kali dalam perkara yang sama.
ii) Oleh itu dinasihatkan apabila kita telah terlanjur melakukan dosa, hendaklah kita segera bertaubat (taubat nasuha) untuk tidak melakukan dosa itu lagi kerana seorang mukmin yang sebenar apabila melakukan dosa, dia merasakan seolah-olah berada di bawah bukit, takut bukit itu akan jatuh ke atasnya. Sedangkan orang yang selalu menderhaka (melakukan dosa) melihat bahawa dosa-dosanya hanyalah seperti lalat yang lalu di atas hidungnya.
iii) Di antara syarat-syarat yang menyebabkan taubat itu diterima adalah:
a) Meninggalkan dosa yang dilakukan serta-merta. Contohnya orang yang tidak melakukan sembahyang mestilah kembali menunaikan sembahyang atau orang yang selalu memakan rasuah hendaklah segera meninggalkan amalan keji tersebut.
b) Menyesali dosa yang telah dilakukan di mana setiap kali terkenangkan dosa yang pernah dilakukan itu dia akan menangis kerana takutkan seksaan Allah S.W.T.
c) Bertekad tidak akan mengulangi dosa.
d) Mengembalikan hak kepada yang berhak. Ini adalah kerana seorang yang benar-benar ingin bertaubat, dia begitu mengharapkan agar zaman lampaunya yang dipenuhi dengan dosa dapat dikembalikan dan digantikan dengan kebaikan. Oleh itu jika dia pernah merampas, mencuri atau mengambil hak orang lain tanpa kerelaan dan keizinan tuannya maka hendaklah dikembalikan sama ada ia berbentuk harta benda, wang ringgit dan sebagainya. Namun sekiranya hak itu bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan maka dia mestilah memohon perlepasan (kemaafan) daripada orang tersebut.
e) Dalam tempoh masa- Iaitu sebelum seseorang itu didatangi ajal di mana pada saat itu taubatnya sudah tidak berguna lagi.
يَـٰٓأَيُّہَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ تَوۡبَةً۬ نَّصُوحًا عَسَىٰ
رَبُّكُمۡ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَيُدۡخِلَڪُمۡ
جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ يَوۡمَ لَا يُخۡزِى
ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥۖ نُورُهُمۡ يَسۡعَىٰ
بَيۡنَ أَيۡدِيہِمۡ وَبِأَيۡمَـٰنِہِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتۡمِمۡ
لَنَا نُورَنَا وَٱغۡفِرۡ لَنَآۖ إِنَّكَ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
(Surah At-Tahrim 66: Ayat ke 8)
0 comments:
Post a Comment