Wednesday, November 30, 2011

Mahligai Cinta Berserikan Taqwa


Teringat akan pertemuan pertama saya dengan bakal bapa mertua. Saya menjadi makmum kepada beliau semasa solat Maghrib. Beliau membaca sebahagian surah At-Tahrim, antaranya:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya adalah manusia dan batu, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim:6)

Ibn 'Abbas berkata tentang ayat ini:
Taatlah kepada Allah, jauhi keingkaran dan kedurhakaan kepadaNya, dan perintahkan keluargamu agar sentiasa ingat Allah, maka Allah akan menyelamatkan kamu daripada api neraka.

Mujahid berkata:
Bertaqwalah kepada Allah, dan perintahkan keluargamu agar bertaqwa kepadaNya.

Ingatlah kepadaNya

Firman Allah s.w.t :
Dan lelaki-lelaki yang banyak menyebut (nama) Allah serta perempuan-perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.(Al-Ahzab: 35)

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Aku (apa yang Aku berikan) adalah sebagaimana sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku (menyebut-Ku) dalam sekumpulan manusia, Aku mengingatinya (menyebutnya) dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka (kumpulan manusia itu).(Riwayat Muslim)

Bersangka baiklah kepada-Nya dalam segala perkara. Apabila berdoa, yakinlah bahawa Allah Maha Mendengar, yakinlah bahawa Allah mampu dan akan memakbulkan doa, dengan cara yang dikehendakiNya, dalam bentuk yang dikehendakiNya, pada waktu yang dikehendakiNya.

Ingatlah kepada-Nya ketika senang, Dia pasti bersama kita ketika senang dan susah. Jangan hanya mencari Allah ketika ditimpa duka dan dalam keadaan terhimpit, dan melupai-Nya sewaktu senang dan gembira.

Mulianya Kita Di Sisi Tuhan Dengan Taqwa

Takrif taqwa oleh sebahagian ulama', yang dinaqalkan oleh 'Abdullah Nasih Ulwan dalam kitab 'Menuju Ketaqwaan' :
Memelihara diri daripada azab Allah dengan mengerjakan amal soleh (dan menjauhi maksiat) dan takut kepadaNya ketika terang dan tersembunyi.

Firman Allah Ta'ala:
30. Dan ditanya kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan." Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi, dan sesungguhnya negeri akhirat ialah sebaik-baik tempat bagi orang-orang yang bertaqwa.

31. (untuk mereka) Syurga-syurga 'Adn, yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bertaqwa.

32. (Iaitu) Mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu, masuklah ke dalam syurga disebabkan amal (kebaikan) yang telah kamu kerjakan".(An-Nahl: 30-32)

Sabda Rasulullah s.a.w. , sebahagian daripada hadis yang panjang:
Maka bertaqwalah kalian kepada Allah dalam hubungan dengan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka melalui perjanjian dengan Allah (kalimah/amanah Allah). (Riwayat Muslim)

Cinta Kita

Ya Allah, jadikanlah diri kami mencintai keimanan dan hiaskanlah iman itu (jadikanlah iman itu indah) dalam hati kami. Jadikanlah diri kami membenci kekufuran, fasiq dan maksiat serta jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

- Artikel iluvislam.com







Tuesday, November 29, 2011

Kesabaran Seorang Nabi dan Rasul


Dari Abdullah r.a, katanya: “Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w menceritakan seseorang di antara nabi–nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga mengalir darahnya dan nabi itu menghapuskan darah di mukanya sambil berdoa: “Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaumku kerana sesungguhnya mereka belum tahu.”

(Bukhari)

Huraian:

Kebenaran (hak) itu datangnya daripada Allah S.W.T. Pemimpin kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan salah satu sifat wajib bagi rasul ialah menyampaikan (tabligh). Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf.

Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka.

Begitulah mulianya hati dan jiwa insan yang Allah anugerahkan sebagai pemimpin umat. Inilah hati para rasul. Lihatlah sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Thaif yang menghina baginda. Malah baginda mendoakan agar mereka nanti akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.


sumber: hadis.feryco.com






Monday, November 28, 2011

Tangisan Seorang Tua


Seorang tua sedang menangis di sebuah bangku bersama sebuah cawan untuk disimpannya duit dari simpati warga kota dan kemudiannya didatangi seorang pemuda duduk sebelahnya.

Sufi : Assalammualaikum pak cik (sapaanya diserta senyuman ikhlas )

Pak Man : Waalaikumsalam, Nak bantu pak cik nak (sambil dihulurnya cawan itu ke arah sufi)

Sufi memasukkan wang ke dalam cawan tersebut sambil tersenyum .

Sufi : Pak cik, saya ada belikan pak cik makanan, mari kita makan bersama.

Pak Man : Alhamdullilah, terima kasih nak .

Sufi : Pak cik sudah lamakah pak cik mengemis? Maaf jika soalan ini membuat pak cik terasa, saya hanya bertanya sahaja .

Pak Man : Sudah nak, sudah lama

Sufi : Bagaimana pak cik jadi macam ni??

Pak Man : Ini balasan buat pak cik nak. Pak cik menyesal, dahulu pak cik juara kota, semua orang menghormati pak cik, jalan-jalan di kota ini milik pak cik dahulu. Apabila sebut sahaja nama pak cik, pasti semua akan kecut perut, tapi itu dahulu nak, sekarang tiada siapa yang endah akan pak cik.

Dulu hidup pak cik mewah, tapi sekarang inilah pak cik, kais pagi makan pagi , kais petang makan petang.

Pak cik berdosa nak, pak cik derhaka pada ibu pak cik, pak cik suka memaki hamun dia kalau pak cik tidak dapat apa yang pak cik inginkan, pak cik telah halau ibu pak cik dari rumah kerana pak cik malu ada seorang ibu seperti dia.

Pak cik hina dia, dia merempat, tidur dikaki lima, mengemis seperti pak cik, pak cik anak derhaka nak, anak derhaka inilah balsan buat pak cik. ( si tua itu mengalir air mata kerana terlau sedih mengenangkan kisah silamnya)

Sufi : Sabar pak cik, minum air itu pak cik akan tenang, ibu pak cik masih hidup ke sekarang?

Pak Man : ibu pak cik? dia dah .... dia dah tiada,sudah meninggal, pak cik yang langgar dia.

sufi terpempan apabila mendengar luahan hati Pak Man. Nauzubillah .. tergamaknya Pak Man ini.

Pak Man : Pak cik langgar dia sebab pak cik malu ada ibu mengemis di kaki lima, pak cik rasa terhina, tapi sekarang pak cik menyesal kerana beberapa hari selepas kejadian itu, pak cik terlibat dalam kemalangan, dan menyebabkan kaki pakcik tempang dan perlu menggunakan tongkat untuk bergerak.

Sejak dari hari itu, semua kemewahan, keistimewaan pak cik hilang, orang-orang sisih pak cik, pak cik hilang tempat tinggal, terpaksalah pakcik mengemis dan duduk di kaki lima ini untuk menuruskan hidup.

Pak cik sentiasa berdoa agar nyawa pakcik dicabut kerana pak cik sudah tidak sanggup untuk hidup di muka bumi ini. Tapi pak cik risau, adakah TUHAN akan menerima pak cik yang hina ini?

Sufi : Usah bimbang pak cik, masih ada masa untuk kita kembali kelandasan kita , pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita selagi kita masih hidup , ALLAH itu maha pengampun, sentiasalah kita berdoa kepadanya untuk dihapuskan segala dosa-dosa yang telah kita lakukan dahulu .

Kesimpulannya,

Jasa Seorang Ibu Tidak Terkira, Sayangilah Ibu Sementara Mereka Masih Bernafas Di Dunia Ini. Ingatlah selagi Ibu masih hidup, kasihi dan sayangilah Ibu. Dan jika Ibu sudah meninggal dunia, ingatlah jasa ibu, doakan kesejahteraan ibu. Siapalah kita tanpa jasa dan pengorbanannya.

Sekiranya kita masih punyai ibu dalam menjalani hidup ini, hargailah ibu, jaga hati ibu dan hadiahkanlah keperibadian yang baik untuk ibu, agar ibu puas dengan apa yang ibu korbankan, agar ibu bangga kerana punyai anak soleh/solehah yang akan mendoakan ibu di akhirat kelak.

sumber: Artikel iluvislam.com





Thursday, November 24, 2011

Muhasabah Maal Hijrah


Di awal tahun baru hijrah,
Ku sujud menghambakan diri pada-Mu,
Hati terus merintih mengenangkan dosa lalu,
Kotornya diri dengan maksiat dan noda,

Lemahnya jiwa berdepan dengan dunia,
Lalainya diri dari mengingati-Nya,
Astaghfirullahal 'adzim....
Banyaknya kekurangan diri,
Ampuni hamba-Mu ini Ya Allah.

Aku sedar,
Jiwa yang tandus taqwa,
Terdorong lakukan apa sahaja,
Sanggup menentang arus kehendak Ilahi,
Yang difikir hanyalah untuk kepuasan diri,
Maka, pabila dosa telah larut,
Gelaplah hati, kotorlah jiwa, murunglah diri,
Itulah fitrah sang pendosa,
Yang leka dari pencipta-Nya.

Namun, bila iman hadir di jiwa,
Mata hati mula bekerja,
Baru kusedar, betapa diri jauh dari-Mu Tuhan,
Asyik sibuk untuk dunia,
Hinggakan solat sering kutunda,
Al-Quran pun malas dibaca,
Lidahku kotor dengan kata-kata dusta,
Mata ini tak kujaga dari perkara dosa,
Telinga ini mendengar apa yang tak sepatutnya,
Kaki ini sering melangkah ke tempat lagha.

Ya Allah,
Jauh sekali diriku dengan peribadi kekasih-Mu,
Kau teladan terbaik bagi seluruh umat,
Ingin sekali aku mencontohi peribadimu, Rasulullah
Meskipun dirimu suci tanpa dosa,
Solat malam tidak pernah kau lupa,
Munajatmu di tengah malam jadi rutin harian,
Pengharapanmu pada Tuhan terlalu tinggi,
Sedang aku???
Seorang hamba yang penuh dosa....
Solat fardhu pun kurang dijaga,
Apatah lagi solat malam sepertimu, Ya Nabiyullah.

Sungguh,

Aku ingin berubah,
Menjadi seorang hamba-Mu yang taat,
Aku takut akan azab kubur,
Aku gerun dengan dahsyatnya neraka-Mu,
Dan kurindukan nikmat syurga.

Jadi,
Kupohon padaMu wahai Tuhan,
Campakkan ke dalam hati ini niat yang tulus,
Ingin sekali aku berdiri di hadapan-Mu dengan jiwa yang tunduk,
Ingin sekali aku rukuk pada-Mu dengan hati yang pasrah,
Dan ingin sekali ku sujud ke hadhrat-Mu dengan punuh kehambaan,

Ya Rahim,
Sucikan hatiku dari sifat munafik,
Sucikan amalku daripada riyak,
Sucikan lidahku daripada dusta dan mataku dari khianat,
Jadikanlah diriku seorang anak yang solehah,
Yang bisa mendamaikan hati Ummi dan Abiku,
Jadikanlah diriku seorang mukminat solehah,
Kerna mukminat solehah itu lebih cantik dari bidadari syurga.

Dan...
Kurniakan aku kesabaran untuk menunaikan ketaatan pada-Mu,
Anugerahkan aku kesabaran dalam meninggalkan maksiat pada-Mu,
Jadikanlah hati ini hati yang sentiasa mengingati-Mu,
Agar dapat ku miliki sekeping hati yang tenang,
Jauh dari hasad dengki dan kepalsuan dunia,
Hadirkanlah cintaku kepada-Mu mengatasi segalanya,
Agar Kau temukan hati yang terbaik buat diriku.

Moga dapat kukecapi, kebahagiaan yang hakiki,
Suatu hari nanti...
Amin....

- Artikel iluvislam.com






Tuesday, November 22, 2011

Doa Amalan sempena Maal hijrah

Doa Akhir Tahun Hijrah

Doa Akhir Tahun Maal Hijrah 1432H : Peristiwa Penting Dalam Muharram

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:

“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”

Doa Awal Tahun Hijrah

Doa Awal Tahun Maal Hijrah 1432H : Peristiwa Penting Dalam Muharram

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini,Syaitan berkata :

“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.

Sumber : Cikmin.com





Peristiwa Maal Hijrah


Peristiwa Maal Hijrah yang disambut sebagai permulaan takwim Islam pada 1 Muharam, adalah peristiwa penuh bersejarah kepada umat Islam khususnya dan umat manusia amnya.

Peristiwa penghijrahan umat Islam dari Kota Makkah ke Madinah adalah satu strategi yang mengambil kira perancangan jangka panjang untuk menterjemahkan gagasan dan wawasan Islam dalam bentuk penyusunan masyarakat bernegara.

Islam diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW bermula di Makkah sejak 13 tahun sebelum hijrah. Dalam usia pengikut Nabi yang masih mentah dengan Islam ketika di Makkah, banyak rintangan terpaksa mereka hadapi. Pendekatan hidup Islam yang dihayati masyarakat awal Islam ini dianggap pembesar Quraisy pada masa itu sebagai satu ancaman merbahaya kepada sistem hidup jahiliah di Makkah. Sistem bermasyarakat jahiliah masa itu akan dapat mengekal kedudukan keistimewaan mereka.


Mereka akan terus berkuasa dan meneruskan penindasan terhadap masyarakat massa Makkah tanpa penentangan. Masyarakat yang khayal dengan kehidupan berlandaskan nafsu, struktur masyarakat berpuak-puak dengan sistem perhambaan membolehkan pimpinan jahiliah Quraisy meneruskan penindasan.

Penyembahan kepada patung berhala adalah sesuatu untuk masyarakat massa terus berkhayal kepada keadaan realiti.

Selain itu, sebagai pusat perniagaan dan ibadat yang dikunjungi ramai masyarakat Arab, penguasaan golongan berkuasa terhadap kota Makkah membolehkan mereka mengaut keuntungan besar. Oleh itu, masyarakat awal Islam ditindas, dizalimi dan dipencilkan masyarakat jahiliah di Makkah. Namun, keimanan yang mantap disertai kepemimpinan, keilmuan dan teladan perilaku Rasulullah pebagai model ikutan, mereka mampu menghadapi cabaran penuh keyakinan dan mencapai kemenangan.

Mereka dididik dengan keimanan yang mantap disertai keilmuan Islam. Ayat al-Quran yang diturun di Makkah bukan saja membina keimanan manusia kepada keesaan hanya kepada Allah tetapi sekali gus mendidik pentingnya hidup bermuafakat dalam masyarakat untuk menegak kebenaran.

Islam membawa suatu misi untuk membangun masyarakat Makkah ke arah suatu sistem yang mendukung kebenaran melalui pengabdian kepada perintah Pencipta manusia. Allah menganjur penyusunan umat manusia hendaklah berasaskan semangat keadilan dalam bermasyarakat. Dasar ini sudah pasti memberi peluang yang sama untuk masyarakat massa Makkah pada masa itu.

Gagasan Islam ini memerlukan kepada kepemimpinan yang adil dan berusaha membina personaliti atau sahsiah manusia yang murni dan merdeka. Semangat keadilan dan peningkatan akhlak manusia mendukung kebenaran tidak boleh di terima pembesar Makkah pada masa itu.

Walaupun kian hari Islam makin bertambah kuat, namun permusuhan Quraisy terhadap pengikut Islam kian meningkat dengan lebih terancang. Mereka memutuskan untuk membunuh Nabi dengan menggembleng semua suku kaum Quraisy di Makkah.

Quraisy jahiliah merancang, Rasulullah dan pengikutnya turut merancang. Dalam suasana sedemikian, Allah membuat penentuan Rasulullah berhijrah ke Madinah. Penghijrahan Rasulullah dan Muhajirin Makkah di terima baik oleh golongan Ansar Madinah.

Penghayatan prinsip bermasyarakat secara Islam di Madinah adalah kemuncak kepada kejayaan Islam. Masyarakat majmuk Madinah mampu dan bersedia tunduk kepada nilai Ilahi.

Umat Islam pada awal penghijrahan adalah masyarakat minoriti. Namun dengan kewibawaan kepemimpinan Rasulullah SAW dalam melaksanakan prinsip Islam, umat bukan Islam merasai mereka turut maju dengan Islam.

Peristiwa hijrah yang menjadi asas kepada takwim Islam perlu dikaji dan direnungi umat manusia dewasa ini kerana dalam membina dan menyusun umat manusia dengan berpaksikan nilai Ilahi yang berteraskan kebenaran melalui roh keadilan, halangan yang besar sudah pasti menjadi lumrah.

Peristiwa hijrah mengajar kita erti pengorbanan. Kejayaan umat Islam Makkah (muhajirin) yang terpaksa berhijrah demi untuk menegak keadilan Ilahi dan seterusnya usaha muafakat membangun Islam dengan kaum Ansar di Madinah menjadi satu pengajaran yang penuh erti.

Peristiwa hijrah adalah tindakan strategik untuk membangun Islam secara komprehensif. Bagi Islam, setiap masa berlalu perlu untuk menilai kepada usaha silam dan mengatur langkah menempuh masa depan.

Wassalam.

sumber: www.resepirahsiaku.com




Monday, November 21, 2011

Ketenangan..


Apa yang dimaksudkan dengan ketenangan?

Ketenangan ialah dimana suatu situasi yang merehatkan minda dari sebarang bebanan dan ianya membuatkan hati kita gembira dan bebas dari belenggu kerisauan.

Sudah pasti semua insan ingin berada di dalam kondisi yang tenang.

Ketenangan mudah untuk dicapai sekiranya kita pandai menggunakan peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Salah satu kuncinya ialah "Apabila kita mengingati tuhan, hati kita akan pasti menjadi tenang".

Ketenangan yang diimpikan mampu kita perolehi. Kekuatan diri kita melawan nafsu dan mengawal emosi menjadikan kita seorang yang mampu untuk merasai ketenangan.

Pujuklah minda untuk memperolehi ketenangan

Apabila minda bertindakbalas akibat di dorong oleh hati maka hancurlah jadinya. Sebaliknya jika hati di dorong oleh syari'at menghala kepada akal untuk berfikir dengan cara yang terbaik sudah pasti ketenangan akan kita perolehi.

Secara peribadinya, saya sendiri pernah merasai situasi seperti ini iaitu apabila berasa sedih, saya terikut pujuk rayu hati hinggakan ketenangan yang dicari hilang pergi.

Sebaliknya apabila akal yang dipandu ke arah yang betul, ianya akan menjadi penenang hati dan sekaligus membuatkan hidup kita aman dan harmoni.

Didalam Surah Ar-Rad ayat-28 Allah berfirman:

"Ingatlah, dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang"

Ketenangan yang dicari berada di sebelah kita, samada mahu atau tidak itu semua terpulang pada diri kita.

- Artikel iluvislam.com






Sunday, November 20, 2011

Aku rasa aku tak salah ... ???


Aku rasa aku tak salah jika ada bencana alam yang melanda dunia, iyalah, bukan aku yang jadikan banjir, gempa bumi dan semua bencana.

Tapi sebenarnya salah aku kerana aku membuat maksiat, lalai dari mengingati yang bahawanya tugas aku sebagai khalifah di bumi Allah. Aku tidak ingin merubah diri sendiri dan orang lain sampai Allah murka dan menurunkan bala kepada umat manusia.


Aku rasa aku tak salah jika maksiat, zina, buang bayi berlaku tiap-tiap hari dan makin meningkat setiap masa, iyalah, bukan aku yang lakukan hal terkutuk itu. Aku buat kerja aku sahaja.

Tapi sebenarnya salah aku kerana aku tak mahu peduli tentang masyarakat. Tidak mahu menjadi contoh yang baik agar masyarakat beringat menjauhi maksiat. Aku sendiri banyak mengikut budaya-budaya barat dan aku sendiri meremehkan hubungan lelaki dan perempuan sebelum nikah sampai tanpa tak sedar dengan bertambahnya orang macam aku, membuat orang yang lain berasa tidak malu untuk ke arah zina dan berzina.

Aku rasa aku tak salah jika orang lain mengata buruk tentang aku, iyalah, mulut org kan. Payah nak tutup. Aku buat hal aku sudah.

Tapi sebenarnya aku salah kerana aku membiarkan orang lain berperangai buruk dan kerana sikap endah tak endah aku dan tidak mahu memaafkan, menasihati orang dan tidak menunjukkan kebaikan pada orang itu serta lari dari mendekati orang tersebut, membuat ramai yang lainnya terpalit dan terkena dengan kejahatan orang itu. Makin ramai orang yg merasa sakit hati kerana sikap 'ego' aku itu.

Aku rasa aku tak salah jika orang-orang Kafir memusuhi masyarakat Islam. Orang-orang kafir melakukan kekejaman ke atas orang Islam. Iyalah, memang dah dasar Kafir, memang jahat!

Tapi sebenarnya aku salah kerana aku sendiri yang tidak mahu berdakwah walaupun sekecil-kecil dakwah dan tidak pernah punya rasa untuk menunjukkan Islam itu baik kepada orang-orang Kafir. Aku terus-terusan hina dan benci orang Kafir tanpa aku sendiri melakukan ikhtiar untuk merubah diri sendiri dan masyarakat agar orang Islam dapat membuktikan bahwa Islam itu baik dan tidak membebankan. Pernahkah aku berusaha?

Aku rasa aku tak salah jika kemiskinan melanda dunia. Iyalah, dah mereka miskin, siapa suruh tak belajar rajin-rajin, belajar tinggi-tinggi.

Tapi sebenarnya aku salah kerana aku sendiri sombong dan sangat berkira jika ingin menghulurkan bantuan kepada mereka. Aku sering memboroskan duit aku kepada hal-hal yang sia-sia dan tidak penting.
Padahal duit itu hanyalah untuk nafsuku, mengapa tidak untuk saudara-saudaraku yang sedang menderita? Aku makan enak-enak setiap hari, jika tidak dapat yg enak, aku marah padahal aku dah selalu makan enak-enak, si miskin tidak pernah sekali pun merasa keenakkan makanan yang aku makan. Mengapa aku merasakan mereka tidak ada kena mengena dengan aku? Bukankah kita semua berasal dari Adam yang sama?


Aku rasa aku tak salah jika aku berkata tentang keburukan orang dan mengiyakan setiap keburukan orang lain yang diceritakan kepada ku. Iyalah, dah memang jahat, nak bela buat apa? Biarlah dia. Tak ada kena mengenapun dengan aku. Aku tak jahat macam dia.

Tapi sebenarnya aku salah kerana bermula dari aku, dan pertambahan aku sebagai orang-orang yang mengatakan dan mengiyakan keburukan orang tersebut, orang lain turut sama membenci orang itu. Semakin hari berkurangnya orang yang mendekati dia dan dia berasa tertekan dan membuatkan dia tidak mahu berubah dan sikapnya menjadi semakin buruk kerana tidak ada yang mahu menasihati dan menyayangi.
Dan semakin ramai yang sakit hati serta tiada keharmonian dalam masyarakat. Orang-orang menjadi semakin liar dan tidak mustahil sikap suka mengumpat juga berkembang pada orang lain. Aku telah memupuk budaya tidak sihat itu! Sebenarnya aku juga dua kali lima jahat.

Aku rasa aku tak salah kerana tidak menutup aurat dan tidak menutup aurat dengan baik. Iyalah, aku tengok semua orang biasa sahaja buat macam itu. Tak ada apa-apa pun. Ia kan kebebasan berpakaian namanya.

Tapi aku salah kerana aku telah membuka peluang mata-mata gatal yang tidak mahu menjaga pandangan. Salah aku kerana kerana dari aku dan bertambahnya orang macam aku, telah menaikkan nafsu manusia yang selama ini teguh, lama-kelamaan meruntuh! Dari kerana aku, yang lain tertarik mengikut sikap tidak menutup aurat aku dan mereka menjadi mangsa nafsu buas manusia! Puncanya aku, kejamnya aku!

Aku rasa aku tak salah setiap masa.

Tapi sebenarnya aku salah lebih berganda-ganda setiap masa. Kerana aku tidak pernah ambil peduli. Pantaslah neraka yang sehina-hina tempat kembali jika aku masih tidak mahu berubah.

Astaghfirullah!

sumber - Artikel iluvislam.com






Thursday, November 17, 2011

2 ancaman suka lengah bertaubat


MANUSIA dilahirkan dalam keadaan fitrah tetapi kerana perbuatannya sendiri yang berlawanan dengan acuan ajaran Islam atau perintah Allah, maka terpalit dosa.

Kita sebagai manusia biasa harus menerima hakikat kita tidak pernah terlepas daripada kesalahan serta kekhilafan yang dipengaruhi oleh suasana lingkungan, bisikan syaitan dan kehendak nafsu. Disebabkan itu, apabila melakukan kesalahan, kita perlu segera bertaubat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap Bani Adam itu bersalah dan berdosa, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang bertaubat.”

Bagi hati yang dipenuhi keinsafan, sudah tentu tidak mahu berterusan berada dalam dosa, sepanjang waktu berusaha mencari jalan membersihkan diri dengan bertaubat supaya dapat beralih daripada kegelapan kepada cahaya hidayah.

Bertaubat adalah suruhan Allah dan amalan rutin Rasulullah SAW yang wajib dilaksanakan segera tanpa berlengah. Malangnya suruhan ini dipandang sepi dengan alasan ‘masa masih panjang lagi.’

Alasan itu sangat dangkal dan jahil kerana taubat bukan khusus untuk golongan tua kerana kematian tidak mengira usia. Persoalannya apakah kita boleh hidup sampai tua? Kita sedia maklum orang yang sengaja melambat-lambatkan memohon ampun dan bertaubat akan berdepan dua bahaya besar.

Pertama, hatinya penuh dengan karat akibat perbuatan maksiat atau keingkaran dilakukan tanpa henti kepada Allah sehingga menjadi sangat susah untuk mengikis dan menghapuskannya.

Kedua, maut atau penyakit datang sebelum sempat ia membersihkan karat di hati, ia menemui Allah SWT dalam keadaan hatinya penuh kekotoran dosa dan pasti menyeretnya kepada suasana hidup tidak selamat di akhirat nanti.

Oleh itu, apabila menyedari telah melakukan dosa, maka segeralah minta ampun daripada Allah SWT dengan bertaubat. Orang yang bertaubat atas dasar kerelaan, keinsafan, ikhlas hati dan bersungguh-sungguh hendaklah yakin Allah SWT pasti menerima taubatnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, memilih jalan lurus, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” (Surah AI-Maidah, ayat 39)

Ni’mat Shidqi dalam bukunya Pembalasan: Syurga atau Neraka berkata, ayat 82 surah Toha meletakkan syarat mengenai taubat iaitu memilih jalan yang benar, mengerjakan amalan soleh untuk menebus kesalahan lalu, meninggalkan kejahatan dan menukar sikap dari buruk kepada baik.

Sebelum penyesalan menjadi tidak berguna dan tangisan menjadi sia-sia, kita hendaklah bersikap positif iaitu segera bertaubat dan terus giat melakukan kebaikan secara berterusan.

sumber: http://www.islamituindah.my






Wednesday, November 16, 2011

Tahukah anda:



1) Jika anda membaca Al-Quran empat mukasurat sahaja (dua helai) setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan 30 juz dalam masa sebulan.


2) Jika anda membaca Sahih Bukhari 11 mukasurat sahaja pada waktu pagi dan 11 mukasurat sebelum tidur, anda dapat menamatkan bacaan keseluruhan Sahih Bukhari dalam masa 2 bulan sahaja. (Cetakan Dar Al-Salam: 1300 halaman)

3) Jika anda membaca Mukhtasar Sahih Muslim 11 mukasurat sahaja pada waktu pagi, dan 11 mukasurat sebelum tidur, anda dapat menamatkannya dalam masa sebulan sahaja. (CetakanDar Al-Fikr: 670 halaman).

4) Jika anda membaca 45 hadis sahaja setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan bacaan Bulugul Maram dalam masa seminggu.

5) Jika anda membaca 16 hadis sahaja setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan bacaan Musnad Ahmad dalam masa setahun sahaja. (50 jilid)

6) Jika anda membaca kitab Syamail Al-Nabi S.A.W oleh Imam Tirmzi, sebanyak 27 mukasurat sehari, anda dapat menamatkannya dalam masa seminggu.

7) Jika anda membaca kitab Al-Adab Al-Mufrad oleh Imam Bukhari, sebanyak 15 hadis sehari, anda dapat menamatkannya dalam masa 3 bulan. Dan jika anda membacanya sebanyak 45 hadis sehari anda dapat menamatkannya dalam masa sebulan sahaja.

8) Jika anda membaca kitab Ahkam Al-Quran oleh Imam Syafie sebanyak 37 mukasurat setiap hari, anda dapat menamatkannya dalam masa 2 minggu.

9) Jika anda menghafal satu rangkap syair sahaja setiap hari daripada kitab Alfiyah Ibn Malik, anda dapat menghafal keseluruhan 1000 rangkap syair Alfiyah dalam masa tidak sampai 3 tahun.

10) Jika anda menghafal dua hadis sehari, anda dapat menamatkan hafalan keseluruhan hadis-hadis Umdatul Ahkam dalam masa 8 bulan.

11) Jika anda membaca dan menghafal satu persoalan feqah sehari, berserta dengan khilaf dan dalilnya, maka dalam tempoh 3 tahun anda sudah menguasai lebih 1000 masalah feqah.

12) Jika anda menghafal 2 rangkap syair sahaja sehari, anda dapat menghafal keseluruhan syair matan Al-Baiquniyyah (Mustalah Hadis) dalam masa tidak sampai 3 minggu.

13) Jika anda menghafal 2 hadis sahaja setiap hari secara konsisten bermula hari ini, percayalah 30 tahun akan datang anda boleh berbangga di hadapan cucu-cucu anda dengan berkata, “Atuk sudah menghafal lebih 20,000 hadis”.

Sumber: http://abuumair1.wordpress.com/





Tuesday, November 15, 2011

Hidup Lama Atau Hidup Berjasa?


"Adakah engkau ingin hidup selama-lamanya dalam dunia yang akan musnah bila-bila masa?"

Hidup kita di atas dunia ni, selama manapun, pasti ada akhirnya. Selama manapun, sebenarnya singkat. Firman Allah:

"(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja." - An-Naazi'aat: 46

Allah menerangkan dalam satu ayat lain yang panjang tentang hakikat dunia:

"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang) juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." - Al-Hadiid: 20

Penyakit wahan (cinta dunia, takut mati) telah menjerumuskan kebanyakan daripada kita ke dalam angan-angan yang panjang.

Daripada Tsauban RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'." Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati." - Riwayat Abu Daud

Kalau boleh, kita mahu dunia ni kekal. Kita mahu hidup selama mungkin di atasnya, mahu mengumpul segala harta dan kekayaan, mengecap segala nikmat dan kesenangan. Hakikatnya, kita tidak mungkin tahu berapa lama kita hidup. Namun, kita boleh memilih sama ada ingin melalui kehidupan dengan penuh berjasa atau pergi tanpa membawa atau meninggalkan bekal.

Ada orang yang masih hidup namun mematikan orang lain dengan kehidupannya.

Ada orang yang telah mati namun masih menghidupkan orang lain.

Bukan soal fizikal, tapi soal hati.

Apabila seorang manusia berbuat sewenang-wenangnya seperti yang dia kehendaki, maka pasti akan ada orang yang dizalimi.

Dia hidup, namun mematikan semangat orang lain. Lebih parah kalau dia hidup lebih lama.

Di sisi lain, ada ramai orang yang telah mati, namun membaca sejarah hidupnya dan mengkaji perjuangannya membuatkan jiwa sentiasa hidup, segar dan bertenaga.

Mereka itulah jika hidup walau sekejap, memberi impak maksima. Apatah lagi jika hidupnya lama.

Rasulullah SAW hidupnya 63 tahun sahaja, namun risalah yang dibawanya terus tersebar selama beratus tahun.

Akhlak dan cara hidup baginda tak pernah lapuk ditelan zaman.

Sejarah hidup baginda sentiasa evergreen untuk dikaji, diteliti dan diambil pelajaran. Hanya 23 tahun yang diberikan kepada baginda untuk menyebarkan Islam, namun beratus tahun Islam hidup dan berkembang.

Imam Syafi'i hidup selama 50 tahun lebih sahaja, namun keluasan ilmunya masih begitu bermakna kepada dunia hari ini dan akan datang.

Mus'ab Umair telah membuktikan kesungguhannya berdakwah di Madinah hanya beberapa tahun, bahkan beliau syahid dalam usia yang begitu muda.

Namun asas yang telah dipancangnya menjadi nukleus kepada perkembangan tamadun Islam.

Hassan Al-Banna cuma hidup 40 tahun lebih untuk mengasaskan sebuah gagasan yang membawa gelombang kebangkitan Islam, sebelum beliau syahid dibunuh musuh.

Namun kata-kata beliau masih menjadi rujukan para Da'i hari ini dan pemikiran beliau menjadi bahan kajian di seluruh dunia.

Salahuddin Al-Ayyubi cuma hidup lebih kurang 55 tahun, namun kejayaannya membebaskan bumi Palestin tercatat sehingga kini dan menjadi inspirasi para pejuang Islam.

Begitu juga dengan Sultan Muhammad Al-Fateh, hidup beliau tidak sampai 50 tahun, namun kegemilangan yang telah diukir dalam pembebasan Konstantinopel akan terus menjadi sebutan.

Mereka adalah wira-wira dan pahlawan yang telah menumpahkan bakti yang begitu besar kepada seluruh dunia.

Mereka hidup berjasa, biarpun hidup mereka tidak lama.

Golongan seperti mereka, jika hidupnya lebih lama tentu lebih besar manfaatnya.

Banyak lagi nama-nama yang boleh kita sebutkan, ada yang singkat umurnya, ada yang panjang.

Intinya, jasa mereka begitu besar jika direlatifkan dengan umur yang diberikan kepada mereka.

Bagi kita, apakah sebenarnya yang kita kejar?

Memanjangkan tempoh hayat atau memaksimumkan amal dan jasa?

Tak salah kita berdoa agar dipanjangkan umur, bahkan ia akan lebih bererti jika umur yang dianugerahkan itu kita gunakan sebaik mungkin untuk menumpahkan bakti kepada Umat.

Selama manapun kita hidup, berjasalah! Supaya kita 'hidup' untuk beratus-ratus tahun lagi. Semoga kita hidup dengan petunjuk Allah.

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." - Al-An'am: 125

- Artikel iluvislam.com






Sunday, November 13, 2011

Hargailah isteri anda....


Mulianya seorang isteri disisi Allah...
Dan betapa berharganya wanita yang bergelar isteri ini pada keluarga, suami dan anak-anak. Rugi dan binasalah para suami yang tidak
tahu menghargai isteri mereka kerana isteri inilah yang akan membantu mereka di akhirat kelak. Biarlah seburuk mana isteri anda,
sayangilah mereka, didiklah mereka..

Alangkah beruntungnya seorang wanita yang ada rahim kerana dia bekerja untuk Allah swt .. jadi 'kilang' manusia. Tiap-tiap bulan dia diberi
cuti bergaji penuh...7 sehingga 15 hari sebulan dia tak wajib sembahyang tetapi Allah anggap diwaktu itu sembahyang terbaik darinya.
Cuti bersalin juga sehingga 60 hari , Bila dah bersalin tu, susukanlah anak...jgn takut "kendur" atau menggelebeh pulak..Dan bagi Si suami
janganlah berebut dengan anak untuk menyusu pulak… Cuti ini bukan cuti suka hati tapi cuti yang Allah beri sebab dia bekerja dengan Allah ,
Tapi bila dah habis cuti tu... layanlah suami..."offer" lah pada suami , Nabi bersabda: berjimak dgn isteri itu pahala ...jangan buat dee kkk jeee,
Jangan buat alasan itu dan ini pulak….ingat tu si isteri yee!!! Kata nak pahala lebih…

Orang lelaki tak ada cuti dari sembahyang....sembahyang wajib baginya dari baligh sehingga habis nyawanya...

Satu lagi berita gembira untuk wanita, sepanjang dia mengandung Allah sentiasa mengampunkan dosanya, lahir saja bayi seluruh dosanya habis.
Inilah nikmat Tuhan beri kepada wanita, jadi kenapa perlu takut nak beranak?

Marilah kita pegang kepada tali Allah. Seandainya wanita itu mati sewaktu bersalin, itu dianggap mati syahid, Allah izinkan terus masuk Syurga.
Untuk orang bukan Islam, dia tak dapat masuk Syurga tapi Allah beri kelonggaran seksa kubur. Untuk peringatan semua wanita yang bersuami
seluruh kebaikan suaminya, semuanya isteri dapat pahala tetapi dosa-dosa suami dia tak tanggung.

Di akhirat nanti seorang wanita solehah akan terperanjat dengan pahala extra yang banyak dia terima di atas segala kebaikan
suaminya yang tak disedari. Contohnya bila dia redha suaminya pergi berjemaah di masjid atau ke majlis ilmu, bersedekah...
ganjaran Alah ke atasnya jua...

Bila dia lihat suaminya tengah terhegeh-hegeh di titian sirat dia tak nak masuk syurga tanpa suaminya, jadi dia pun memberi
pahalanya kepada suami untuk lepas masuk syurga.. Di dunia lagi, kalau suami dalam kesusahan isteri boleh bantu tambah lagi
di akhirat. Kalau seorang isteri asyik merungut, mulut selalu muncung terhadap suami dia tak akan dapat pahala extra ini.

Manakala suami pula mempunyai tugas-tugas berat di dalam dan di luar rumah, segala dosa-dosa anak isteri yang tak dididik dia akan tanggung
ditambah lagi dengan dosa-dosa yang lain .. Dinasihatkan kepada semua wanita supaya faham akan syariat Allah agar tidak derhaka denganNya.

Sesungguhnya wanita dijadikan daripada rusuk kiri lelaki. Dia bukan dicipta dari kepala ke kaki,juga bukan dari tapak kaki. Dia dicipta dari sebelah
rusuk kiri lelaki supaya dia hampir kepada kamu (lelaki), lengan lelaki dicipta untuk mempertahankan wanita,dekat dengan hati lelaki untuk disayangi.





Wednesday, November 9, 2011

Betapa kita...


Betapa kemiskinan dunia kita takuti...
Betapa kesakitan dunia kita dukai...
Betapa kehinaan dunia kita jauhi...
namun...
Betapa kemiskinan akhirat tidak dirisaukan...
Betapa kesakitan akhirat sentiasa kita lupai...
Betapa kehinaan akhirat tidak kita peduli...

Jika sudah merisaukan akhirat alhamdulillah, jika belum...mulalah sekarang. Syaitan suka kita tangguh-tangguh bertaubat, sedangkan Allah Swt amat suka hambaNya yang bertaubat




Tuesday, November 8, 2011

Kerana Pulut Santan Binasa


Pepatah Melayu ada menyatakan:

"Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa"

Saya tidak mampu mentafsirkan bahagian pertama pepatah ini akan kenapa pulut boleh binasakan santan, tetapi saya amat pasti bahawa frasa seterusnya tidak memerlukan sebarang pentafsiran yang mengatakan bahawa kerana mulut badan boleh binasa.

Ia merupakan sebuah peringatan untuk kita semua bahawa mengatakan atau mengucapkan perkataan yang tidak baik boleh mendatangkan bencana kepada diri sendiri mahupun terhadap orang lain.

Lidah dan pena adalah anugerah Allah kepada kita untuk berkomunikasi tetapi sering disalahgunakan untuk mengeluarkan perkataan dan penulisan yang mendatangkan keburukan seperti berdusta, menyebar fitnah dan bermaksud jahat yang membawa menjatuhkan maruah orang lain, apatah lagi kalau sesama Muslim.

Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua biji mata, lidah dan dua bibir. Dan Kami menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebajikan dan jalan kejahatan)." Surah al-Balad: ayat 8-10

Apakah di antara kesan tidak menjaga tutur-kata ?

1-Fakta yang tidak betul dan menanggung dosa
2-Perkataan tersebut menebabkan saudara Muslim berkecil hati
3-Ukhuwah di kalangan umat Islam tercalar
4-Menyukarkan usaha-sama di kalangan umat Islam
5-Fitnah boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara
6-Nilai peradaban di kalangan umat Islam terkikis dan akan menyebar-luaskan dosa di kalangan umat
7-Kejayaan dan gembiraan di pihak musuh

Elok kita berhati-hati dalam percakapan atau penulisan sehari-harian. Jika dikhuatiri tidak elok dan mungkin memudaratkan, lebih baik kita berdiam diri. Ini akan mengelakkan diri daripada menanggung dosa dan bagi mengelakkan orang lain terasa hati. Lebih buruk lagi jika ada orang tengah silap mendengar dan kemudian menyebarkannya. Bak kata pepatah ´terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya´.

Lidah dan pena juga boleh menjadi alat penyebaran fitnah dan mengadu domba yang boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara.

Allah mengingatkan kita dengan firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan."

Kita tidak mahu termasuk di kalangan mereka yang dicelakakan oleh Allah swt sebagaimana maksud firmanNya: "Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat dan pencela." (Surah al-Humazah: 1)

Hanya orang yang berpekerti buruk akan melahirkan perkataan buruk walaupun berwajahkan seorang yang soleh. Orang yang cerdik tidak akan sekali-kali mengeluarkan perkataan buruk (secara sengaja atau telah menjadi tabiatnya) yang secara langsung melambangkan keburukan dirinya sendiri.

Jadi saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri (terutamanya), anak-anak dan isteri saya, teman-teman rapat serta semua kenalan agar membudayakan sikap menjaga lidah dan pena.

Ya Allah, bantulah kami dan umat Islam sekeliannya dalam mendepani ujian kehidupan ini.... Amin Ya Rabb.

- Artikel iluvislam.com







Monday, November 7, 2011

Perkara Yang Perlu Suami Ketahui Ketika Isteri Mengandung


Adalah menjadi impian setiap wanita untuk memiliki suami yang dapat memahami mereka semasa mengandung. Hal ini kerana pada waktu ini, keadaan mereka tidak stabil dan memerlukan bantuan daripada orang lain terutamanya daripada suami. Tetapi mungkin ramai lagi suami yang di luar sana masih tidak lagi memahami situasi ini.

Apakah perkara yang perlu dilakukan suami semasa isteri mereka mengandung?

(1) Luangkan masa bersama isteri- Mungkin suami terlalu sibuk dengan pekerjaan yang perlu dilakukan. Tetapi mereka perlu berusaha untuk meluangkan masa bersama isteri. Ia kerana pada waktu ini isteri amat-amat memerlukan anda. Dengan hanya berada disamping isteri, ia dapat membantu untuk mengurangkan tekanan yang sedang ditanggung oleh mereka.

(2) Membantu pemakanan isteri- Seperti yang anda semua tahu, pada waktu ini isteri biasanya akan mengidam. Suami sepatutnya membantu untuk memenuhi kehendak mereka. Selain daripada itu, isteri juga memerlukan makanan yang berkhasiat. Sekiranya suami membelikan mereka yogurt, madu, buah-buahan atau makanan kesihatan yang lain adalah lebih baik.

(3) Perlahan-Suami perlu tahu bahawa semasa isteri mereka mengandung, segala pergerakan mereka akan menjadi perlahan. Apabila suami membawa isteri mereka untuk bersiar-siar, berjalanlah dengan perlahan untuk menunjukkan anda memahami situasi isteri anda. Tidak perlu untuk memarahi mereka disebabkan pergerakan mereka yang lambat.

(4) Tidak perlu bertanya, terus lakukan- Semasa isteri anda mengandung, tidak perlulah suami bertanyakan mengenai apa yang perlu dilakukan. Apabila melihat kain banyak tidak dibasuh, terus pergi untuk membasuhnya. Begitu juga terhadap kerja rumah yang lain. Ia adalah ciri seorang suami yang baik.

(5) Belajar- Semasa isteri anda mengandung, mereka akan mengalami perubahan yang besar di dalam aktiviti harian mereka. Suami seharusnya belajar mengenai tanda-tanda seperti ini. Ia akan membuatkan anda lebih bersedia sekiranya isteri anda marah-marah, terlalu sensitif, kuat merajuk dan sebagainya.

(6) Membantu menyiapkan hidangan makan- Sekiranya sebelum ini segala tugasan hanya dilakukan oleh isteri semata-mata untuk memastikan suami mereka kenyang, tidak salah sekiranya semasa isteri mengandung, suami pula melakukan tugasan yang sama.

(7) Membantu menjaga anak yang lain- Ini adalah peluang keemasan untuk suami menghabiskan banyak masa untuk anak mereka. Jangan sesekali melepaskan peluang ini. Ia adalah cara terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan anda dan anak.

(8) Membawa isteri ke mana sahaja- Pada waktu ini, sebaiknya jangan biarkan isteri anda memandu seorang diri. Sekiranya anda mempunyai masa, bawalah mereka ke mana sahaja mereka ingin pergi.

(9) Pinjamkan tangan anda pada isteri- Apabila isteri ingin memakan ubat, pinjamkanlah tangan anda untuk pergi mengambil ubat. Kemudian pinjamkan tangan anda untuk pergi ambil air suam di dapur.

-Artikel iluvislam.com






Thursday, November 3, 2011

Jawaban didalam AlQuran


Sudah jangan mengeluh lagi... Bacalah Al-Quran :)

Kita selalu bertanya dan Quran sudah menjawabnya.

Kita bertanya: Kenapa aku diuji?

Quran menjawab , “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan ,” Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.” [Surah al-Ankabut , ayat 2-3.]

Kita bertanya : Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?

Quran menjawab ,” Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” [Surah al-Baqarah , ayat 216.]

Kita bertanya : Kenapa ujian seberat ini?

Quran menjawab ,” Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” [Surah al-Baqarah, ayat 286.]

Kita bertanya : Kenapa kita rasa frustasi?

Quran menjawab ,” Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman. “ [Surah Ali Imran , ayat 139.]

Kita bertanya : Bagaimana harus aku menghadapinya?

Quran menjawab ,” Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang , dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” [Surah al-Baqarah ayat 45.]

Kita bertanya : Kepada siapa aku berharap?

Quran menjawab,” Cukuplah Allah bagiku , tidak ada Tuhan selain daripadanya. Hanya kepadanya aku bertawakal .” [Surah at-Taubah, ayat 129.]

Kita bertanya : Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?

Quran menjawab ,” Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin , diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” [Surah at-Taubah , ayat 111.]

Kita berkata : Aku tak tahan!

Quran menjawab ,”....dan janganlah kamu ber putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” [Surah Yusuf , ayat 12.]

Kita berkata: Sampai bila aku akan merana begini

Quran menjawab,” Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. “ [Surah al-Insyirah, ayat 5-6.]







Template by:
Free Blog Templates