Pepatah Melayu ada menyatakan:
"Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa"
Saya tidak mampu mentafsirkan bahagian pertama pepatah ini akan kenapa pulut boleh binasakan santan, tetapi saya amat pasti bahawa frasa seterusnya tidak memerlukan sebarang pentafsiran yang mengatakan bahawa kerana mulut badan boleh binasa.
Ia merupakan sebuah peringatan untuk kita semua bahawa mengatakan atau mengucapkan perkataan yang tidak baik boleh mendatangkan bencana kepada diri sendiri mahupun terhadap orang lain.
Lidah dan pena adalah anugerah Allah kepada kita untuk berkomunikasi tetapi sering disalahgunakan untuk mengeluarkan perkataan dan penulisan yang mendatangkan keburukan seperti berdusta, menyebar fitnah dan bermaksud jahat yang membawa menjatuhkan maruah orang lain, apatah lagi kalau sesama Muslim.
Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua biji mata, lidah dan dua bibir. Dan Kami menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebajikan dan jalan kejahatan)." Surah al-Balad: ayat 8-10
Apakah di antara kesan tidak menjaga tutur-kata ?
1-Fakta yang tidak betul dan menanggung dosa
2-Perkataan tersebut menebabkan saudara Muslim berkecil hati
3-Ukhuwah di kalangan umat Islam tercalar
4-Menyukarkan usaha-sama di kalangan umat Islam
5-Fitnah boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara
6-Nilai peradaban di kalangan umat Islam terkikis dan akan menyebar-luaskan dosa di kalangan umat
7-Kejayaan dan gembiraan di pihak musuh
Elok kita berhati-hati dalam percakapan atau penulisan sehari-harian. Jika dikhuatiri tidak elok dan mungkin memudaratkan, lebih baik kita berdiam diri. Ini akan mengelakkan diri daripada menanggung dosa dan bagi mengelakkan orang lain terasa hati. Lebih buruk lagi jika ada orang tengah silap mendengar dan kemudian menyebarkannya. Bak kata pepatah ´terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya´.
Lidah dan pena juga boleh menjadi alat penyebaran fitnah dan mengadu domba yang boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara.
Allah mengingatkan kita dengan firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan."
Kita tidak mahu termasuk di kalangan mereka yang dicelakakan oleh Allah swt sebagaimana maksud firmanNya: "Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat dan pencela." (Surah al-Humazah: 1)
Hanya orang yang berpekerti buruk akan melahirkan perkataan buruk walaupun berwajahkan seorang yang soleh. Orang yang cerdik tidak akan sekali-kali mengeluarkan perkataan buruk (secara sengaja atau telah menjadi tabiatnya) yang secara langsung melambangkan keburukan dirinya sendiri.
Jadi saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri (terutamanya), anak-anak dan isteri saya, teman-teman rapat serta semua kenalan agar membudayakan sikap menjaga lidah dan pena.
Ya Allah, bantulah kami dan umat Islam sekeliannya dalam mendepani ujian kehidupan ini.... Amin Ya Rabb.
0 comments:
Post a Comment