Tuesday, January 24, 2012

Indahnya Kemaafan


Setiap manusia itu tidak lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Sukarnya seseorang untuk memaafkan saudaranya lantas terus menghina saudaranya itu atas kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Apakah penghinaan atau kemaafan yang terbaik buat seseorang yang melakukan kesilapan??


Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.

(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
(Surah Al-Hujurat:11)

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut.”
(HR. Tirmizi)

“Orang yang tidak suka menghormati orang lain, adalah orang yang tidak terhormat. Orang yang dihinakan itu belum tentu dia akan hina atau tidak, tetapi perbuatan menghinakan orang itu sudah menjadi bukti atas kehinaan diri kita sendiri.”
(Hamka)

“Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat”.
(HR. Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

“Bukanlah seorang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka melaknat, suka mengeluarkan kata buruk dan kesat”.
(HR. Bukhari dan Ahmad)

Firman Allah SWT:
“Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
(Surah Ali-Imran:134)

Kemaafan adalah dendam terindah buat saudaramu yang melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang sempurna dan maksum sehingga tiada satu kesalahan pun yang dilakukannya terhadap saudaranya melainkan ‘Nabi Muhammad SAW.

Tiada manusia yang sempurna melainkan saling menasihati antara satu sama lain bagi memperbetulkan kesilapan dan memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

“Tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan pada tiga keadaan, iaitu tidak dapat diketahui orang pemaaf melainkan ketika dia marah, tidak dapat diketahui orang yang berani kecuali ketika dia berjuang dan tidak dapat dikenal seorang sahabat melainkan ketika kita dalam kesusahan.”
(Luqman Al-Hakim)

Mulailah kemaafan itu dari diri kita sendiri dengan memafkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh saudara kita.

Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu?”
(Surah an-Nur : 21)

“Maafkanlah semua orang sebelum anda tidur setiap malam bagi mencuci hati dan mencerdaskan minda”

Pesanan dari Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah







Thursday, January 19, 2012

21 Kunci Kejayaan Dunia dan Akhirat


1-Kunci solat adalah Taharah/Kebersihan.
2-Kunci Haji adalah Ihram dan menjauhi perkara yang diharamkan semasa haji.
3-Pintu segala kebaikan adalah bersikap benar dalam semua perkara.
4-Kinci Syuga adalah Bertauhid kepada Allah SWT.
5-Kunci Ilmu adalah bertanya kepada guru secara penuh beradab.
6-Kunci kejayaan adalah Kesabaran.
7-Kunci kemanjuan/Kelebihan adalah bersyukur.
8-Kunci Kekuasaan adalah Berkasih-sayang dan ingat mengingati.
9-Kunci Kejayaan adalah Bertaqwa.
10-Kunci Taufiq adalah Berkasih sayang dan mencintai Allah SWT.
11-Kunci segala kemaqbulan adalah berdoa.
12-Kuci kecintaan Akhirat adalah meninggalkan segala perkara haram di dunia.
13-Kunci Keimanan adalah berfikir kepada apa yang mendorong beribadat kepada Allah SWT dan bertadabbur kepadanya.
14-Kunci bertemu dengan Allah SWT adalah Hati sejahtera dari segala dosa, Ikhlas dalam bercinta kepada Allah SWT, Membenci dan meninggalkan segala perkara yang Allah SWT larang dan benci.
15-Kunci menghidupkan hati mencintai Allah SWT adalah Bertadabbur kepada ayat-ayat Al-Quran,menjauhi perkara berkaitan dengan sihir dan meninggalkan segala dosa.
16-Kunci mencapai rahmat adalah mengamalkan konsep Al-Ihsan dalam beribadat kepada Allah SWT dan berusaha berbakti kepada hamba-hamba Allah SWT.
17- Kunci rezeki adalah berusaha dengan penuh Istighfar dan bertaqwa kepada Allah SWT. 18-Kunci kemuliaan adalah Taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
19-Kunci kejayaan di Akhirat adalah pendek angan-angan.
20-Kunci segala kebaikkan adalah Cinta kepada Allah SWT dan Cinta Alam Akhirat.
21-Kunci segala kejahatan adalah Cinta dunia dan panjang angan-angan.





Wednesday, January 18, 2012

10 Ciri Suami Mithali

Jarang kita fikirkan dan ungkitkan ciri – ciri seorang suami mithali, selalu pula kita bincang pasal apa seorang isteri yang patut lakukan kepada suami dan keluarganya. Bukan sedikit tetapi banyak perkara yang menjadi tanggungjawab isteri di rumah seperti mengurus rumah, mengajar dan menjaga anak – anak, memasak,mengemas, mencuci baju juga apa yang kita suruh, si isteri akan lakukannya. Berbalik kepada suami, apa yang kita lakukan ?

1. Berpakaian kemas, bersih dan wangi untuk isteri anda.
Bilakah kali terakhir anda beli baju tidur yang mahal ? Seperti juga kita mahukan isteri kita berpakaian cantik untuk kita, mereka juga mahukan suami mereka lakukan perkara yang sama juga. Ingat bahawa Rasullullah S.A.W. akan sentiasa menggunakan miswak (kayu sugi) apabila balik rumah dan sentiasa gemarkan bau – bauan yang wangi.


2. Menggunakan nama yang baik untuk isteri anda.
Gunalah nama yang terbaik untuk panggil isteri anda dan elakkan guna nama yang boleh buatkan hati dia terguris. Panggilan yang manja akan membuat hubungan anda sentiasa mesra.

3. Jangan layan dia seperti ‘lalat’.
Kita tidak pernah fikirkan pasal lalat setiap hari kita kecuali bila dia datang mengganggu kita. Sama juga seperti isteri, dia telah lakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri setiap hari tetapi kita tidak pernah menghargainya sehingga dia terbuat silap dan menyusahkan kita. Janganlah kita layan isteri seperti ini, selalulah kita ingat apa kebaikan yang isteri kita lakukan dan fokuskan tentang itu.

4. Elakkan terlampau banyak komplain.
Jika anda terlihat kesalahan yang isteri anda lakukan, cubalah berdiam sahaja dan tidak memberi komen. Iniadalah salah satu cara Rasulullah S.A.W. gunakan apabila baginda melihat sesuatu yang tidak elok dari isterinya. Ini merupakan salah satu ciri yang amat jarang si suami amalkan.

5. Sentiasa senyum dan peluk isteri anda.
Senyum merupakan satu sedekah dan sentiasalah senyum dengan isteri anda. Bayangkan hidup dengan isteri anda sentiasa melihat anda tersenyum. Ingat bahawa terdapat hadith dimana Rasulullah S.A.W. akan mencium isterinya sebelum pergi sembahyang, juga semasa baginda sedang berpuasa.

6. Berterima kasih dengan apa yang telah isteri lakukan kepada anda.
Dan sentiasalah mengucapkan terima kasih. Ambil contoh dimana isteri anda masakkan makanan yang sedap, mengemas rumah dan pelbagai lagi. Kadang – kadang apa yang dia dapat adalah komen dari si suami bahawa sup yang dia masak itu kekurangan garam. Janganlah bersikap begini, berterima kasihlah dengan apa yang dia telah usahakan itu.

7. Mintalah dia tuliskan 10 perkara yang anda telah lakukan membuat dia gembira.
Kemudian lakukan lah perkara itu lagi. Mungkin sukar untuk tahu apa yang dapat membuat isteri anda gembira dan anda tidak perlu untuk teka, tanyalah dia dan ulangkan perkara tersebut sepanjang hidup anda dengan dia.

8. Jangan merendahkan keinginan dia.
Pujuklah dia. Kadang – kala si suami akan mengambil ringan perkara yang diinginkan oleh si isteri. Rasulullah S.A.W. telah memberi contoh apabila insiden dimana Safiyyah binti Hujaj R.A. menangis kerana baginda telah meletakkan dia diatas unta yang perlahan. Baginda membersihkan air mata dan menenangkan dia, kemudian baginda menukarkan dengan unta yang lain.

9. Yang sentiasa berjenaka dan bergurau.
Jadilah seorang suami yang berjenaka dan sentiasa bergurau senda dengan isteri anda.
Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W. berlumba dengan isteri baginda Aisyah R.A. di padang pasir. Bilakah kali terakhir kita lakukan perkara demikian ?

10. Pesanan Rasulullah S.A.W.
Sentiasa ingat apa yang Rasulullah S.A.W. pesan, “orang yang terbaik dikalangan kamu adalah mereka yang melayan keluarga dia dengan terbaik. Dan akulah orang yang terbaik dikalangan kamu bagi keluarga aku”. Maka dengan hadith ini, anda lakukan lah yang terbaik, insyaAllah akan bahagia dunia dan akhirat.

kesimpulannya, jangan anda lupa untuk sentiasa berdoa dengan Allah memina supaya perkahwinan anda bahagia dunia dan akhirat, sesungguhnya Allah maha mengetahui.



Sumber: mindatahwil.blogspot.com







Sunday, January 15, 2012

Ketika di AWAL & AKHIR usia kita




1- Ketika kamu dilahirkan, kamu diazan tanpa Solat,
Ketika kamu meninggal, kamu disolatkan tanpa azan.

2- Ketika kamu dilahirkan kamu tidak mengetahui siapa yang mengeluarkan kamu,
Ketika kamu mati kamu tidak tahu siapa yang akan mengusung kamu.

3- Ketika kamu dilahirkan, kamu dibersih dan dimandikan,
Ketika kamu mati, kamu dimandikan dan dibersihkan serta disolatkan.

4- Ketika kamu dilahirkan, kedua ibu bapa dan keluarga kamu bergembira,
Ketika kamu mati, kedua ibu bapa dan keluarga kamu menangis ke atas kamu.

5- Adam dan keturunannya dijadikann daripada tanah,
Maha Suci Allah yang menjadikan kamu telah memasukkan kamu kedalam setelah mati

6-Ketika dalam perut ibu, kamu berada dalam kegelapan dan kesempitan,
Ketika kamu mati , kamu juga berada dalam kegelapan dan kesempitan.

7-Ketika kamu dilahirkan, kamu dibaluti kain supaya melindungi tubuhmu,
Ketika kamu mati, kamu juga dibaluti dengan kain untuk melindungi tubuhmu.

8-Ketika kamu dilahirkan dan setelah dewasa, kamu diperhati dan melakukan kemahiran,
Ketika kamu mati, Kamu tidak akan ditanya melainkan amalan soleh… Apakah bekalan kamu yang telah kamu sediakan…..?






"Demi MASA! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali
(1) orang-orang yang beriman, (2) dan yang beramal soleh
(3) dan yang berpesan2 pada kebenaran (4) dan yang berpesan2 pada kesabaran".
~Surah Al-'Asr.






Thursday, January 12, 2012

Rebut keistimewaan Jumaat


SETIAP minggu kita bertemu hari Jumaat. Hari yang sepatutnya dinanti-nantikan setiap umat Islam agar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Hari Jumaat melambangkan keutuhan dan kesepaduan umat Islam. Seluruh umat berhimpun di rumah Allah bagi meraih keredaan dan kerahmatan-Nya.

Sesungguhnya kemuliaan hari Jumaat yang juga digelar ‘Saiyyidul ayyam’ terpahat dalam banyak hadis Rasulullah. Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu, dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat”. (Hadis riwayat Muslim) Pada hari Jumaat juga perlu melakukan banyak kebajikan dan berdoa. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Pada hari itu (hari Jumaat) tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dimakbulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah menyatakan bahawa antara waktu yang mustajab doa adalah ketika imam duduk di antara dua khutbah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu di antara duduk imam antara dua khutbah hingga selesai sembahyang Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud) Setiap individu Muslim dianjurkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.

Amalan membaca surah al-Kahfi menyelamatkan daripada fitnah Dajal. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal.” (Hadis riwayat Ahmad) Kita dikehendaki bersegera menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu’ah ayat 9) Namun, selepas selesai solat Jumaat, umat Islam digalakkan untuk meneruskan aktiviti dan urusan mereka kembali. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Jumu’ah ayat 10) Begitulah keindahan Islam yang diatur dengan sebaik-baiknya mengikut aturan Allah.

Perkara itu dapat difahami menerusi maksud sabda Rasulullah: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan al-Hakim) Walaupun besar ganjaran yang dihamparkan Allah kepada kita pada hari Jumaat, ramai masih alpa beberapa perkara. Terdapat individu Muslim yang sanggup meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan. Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Barang siapa mendengar panggilan azan pada hari Jumaat dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, maka Allah akan menutup hatinya dan menjadikan hatinya seperti hati orang munafik.” (Hadis riwayat Baihaqi) Namun, bagi mereka yang hadir solat Jumaat, pastikan anda menjaga tertib, antaranya berbual ketika khatib membaca khutbah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Jika kamu berkata-kata kepada teman kamu (dengan perkataan) ‘diam’ sementara imam sedang berkhutbah, maka kamu melakukan laghw (perkara sia-sia).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Mendengar khutbah Jumaat dengan teliti serta mengambil peringatan daripadanya ialah sesuatu yang dituntut. Firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf, ayat 204) Hal berkenaan bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu. Dan Aku (Allah) adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku (Allah).” (Surah al-Mu’minun ayat 52)

Source: Harian Metro






Wednesday, January 11, 2012

RENUNGAN SINGKAT



Yang singkat adalah WAKTU
Yang menipu adalah DUNIA
Yang dekat adalah KEMATIAN
Yang besar adalah NAFSU
Yang berat adalah AMANAH
Yang sulit adalah IKHLAS
Yang mudah adalah BERBUAT DOSA
Yang susah itu SABAR
Yang sering lupa adalah BERSYUKUR
Yang membakar amal adalah GHIBAH
Yang mendorong ke neraka adalah SOMBONG
Yang berharga adalah IMAN
Yang indah ialah CINTA
Yang suci ialah CINTA KEPADA ALLAH

sumber: ILoveAllaah.com






Tuesday, January 10, 2012

Hakikat Sembahyang


SABDA Rasulullah s.a.w yang maksudnya: Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwuduk dengan wuduk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan rukuknya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar.”

Riwayat Muslim

Huraian:

  • Agak menghairankan apabila didapati ada orang yang mengerjakan sembahyang, tetapi masih tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat. Mengapa? Jawapannya adalah kemungkinan besar kerana sembahyang yang dikerjakan itu sebenarnya tidak ikhlas kepada Allah melainkan untuk menunjuk-nunjuk, riyak dan takbur. Sembahyang yang sedemikian ini sama sekali tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap jiwa dan pembentukan peribadi serta tidak dapat menjamin serta mendinding diri daripada melakukan perkara-perkara negatif dan maksiat.
  • Sesungguhnya sembahyang dalam erti kata yang sebenar ialah sembahyang yang dikerjakan dengan hati yang khusyuk dan menghayati setiap apa yang dibaca. Hasilnya ia berupaya mendidik seseorang kepada pembangunan sahsiah muslim yang sejati. Hal ini bermula dengan berwuduk yang menganjurkan kebersihan tubuh badan serta pakaian, sehinggalah kepada geraklaku dan tatatertib khusus yang perlu diiltizamkan oleh orang yang sembahyang.
  • Sembahyang berjamaah contohnya, mendidik seseorang itu mematuhi seorang ketua yang tidak harus bagi seorang makmum mendahului imam dalam apa jua geraklakunya. Manakala dari hal menjaga saf-saf ketika bersembahyang pula memberikan satu pengajaran tentang kepentingan perpaduan dalam suatu masyarakat yang dipimpin.
  • Selain kebersihan zahir, sembahyang juga mampu melupuskan kotoran dosa yang pernah dilakukan kerana sembahyang merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk setiap hamba mencari pengampunan dari tuhan-Nya. Usaha ini diseiringkan dengan amalan zikir dan doa-doa yang dibaca sewaktu sembahyang di mana ia akan menguatkan lagi hubungan dengan Allah S.W.T.

sumber: http://hadis.feryco.com







Monday, January 9, 2012

Sedikit amalan...


Di sini, saya selalu berpesan kepada anak-anak saya dan sebaya dengan mereka betapa yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain ialah amalannya.

Mereka yang menadah ilmu di Madinah akan pulang menjadi pemimpin masyarakat.

Jika kita berilmu tetapi tidak mengamalkan apa yang kita pelajari maka ia menjadi kemurkaan Allah. Bagaimana kita mahu mengajak isteri dan anak-anak bersolat malam kalau kita sendiri gagal membebaskan diri dari ikatan syaitan semasa tidur.

Apatah lagi untuk mengajak masyarakat.

Bagaimana mahu kita menyuruh anak-anak dan isteri membaca al-Quran setiap hari jika kita sendiri tidak melakukannya. Atau bagaimana mahu memaksa anak yang berusia 10 tahun solat berjemaah di masjid jika kita sendiri tidak konsisten melaksananya.

Begitulah dua – tiga contoh mudah tentang amalan dan kaitannya dengan mereka yang kita sayangi. Begitulah juga pengalaman kehidupan lampau yang telah saya lalui, tidak pernah mengajak anak-anak atau isteri solat malam kerana diri sendiri alpa dengan amalan tersebut.

Namun ada sesuatu yang menarik tentang amalan dan respons masyarakat terhadap amalan itu sendiri. Bila kita mengajak khalayak untuk melakukan amalan-amalan yang dituntut (bukan amalan wajib) maka adalah yang akan menyebut,

"Amalan yang sedikit tetapi berterusan itu lebih disukai Allah".

Benar, ia satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Penonjolannya, janganlah khuatir jika kita tidak mampu melakukan amalan yang banyak kerana yang sedikit itu lebih baik daripada yang banyak tetapi tidak berterusan.

Allahu Akbar. secara psikologinya, perkataan sedikit itulah yang mahu diuar-uarkan. Mari kita melihat pertanyaan-pertanyaan berikut:

1. Amalan yang banyak dengan yang sedikit, mana yang lebih baik?

2. Amalan yang banyak berterusan dengan amalan yang sedikit berterusan, mana yang lebih baik?

3. Amalan yang banyak tidak berterusan dengan amalan yang sedikit berterusan, mana yang lebih baik?

4. Amalan yang banyak berterusan dengan yang sedikit tidak berterusan, mana yang lebih baik?

Saya bertanya diri, agaknya banyak manalah amalan kita sehingga kita mahu menyukat sedikit dan banyak itu. Alahai... dengan kadar yang kita amalkan, ia hanya secalit daripada istilah sedikit. Entah-entah hanya sebesar zarah.

Saya fikir, ia hanyalah merupa perbandingan atau penekanan agar kita melakukan amal ibadat secara berterusan.

Akhirnya, nilai berterusan itulah yang lebih perlu ditonjolkan berdasarkan 4 soalan yang telah saya kemukakan.

Bagaimana pula dengan kegemaran masyarakat menyebut,"kita lakukan amalan ibadat setakat mana yang termampu. Allah tidak memberati kita". MasyaAllah, jika kita tidak mampu bangun malam kerana membesarkan tidur maka saya fikir ia tidak termasuk dalam kategori "termampu".

Fikiran bodoh saya berfikir, jika kita biasa solat berjemaah, tiba-tiba kita ditimpa bencana badan yang menyebabkan kita tidak boleh bangun atau bergerak berjemaah ke masjid maka itulah yang dimaksudkan dengan "termampu".

Allahu Akbar. Allah tetap memberi pahala berjemaah jika itulah keadaannya.

Marilah kita berfikir dan berusaha untuk menjadi manusia yang sentiasa ingin memperbaharui dan bergerak agar menjadi manusia yang lebih baik. Ia bukan hanya dengan niat dan kata-kata tetapi dengan amalan.

Mudah-mudahan Allah memudahkan keinginan tersebut, InsyaAllah.

sumber : muhdkamil.org







Sunday, January 8, 2012

MAKANAN KEGEMARAN RASULULAH S.A.W


1. Barli – Bagus untuk demam jika dibuat sup.
2. Kurma – Nabi berkata rumah yang tidak mempunyai kurma adalah sepert rumah yang tidak ada makanan.
3. Buah Tin – Buah dari syurga. Boleh mengubati buasir.
4. Anggur – Nabi suka buah anggur. Ia membersihkan darah, menguatkan buah pinggang
, membersihkan perut
5. Madu – Ia adalah makanan segala makanan, minuman segala minuman, ubat segala ubat. Mengubati cirit birit jika dibancuh dengan air panas, membuka selera, menguatkan perut, membuang kahak. Elok diminun waktu pagi dengan air suam.
6. Tembikai (Segala Jenis) – Nabi berkata wanita mengandung tidak akan gagal melahirkan anak yang baik dari segi karater dan wajahnya.
7. Susu – Nabi berkata susu baik untuk membuang panas badan seperti tangan membuang peluh dari dahi. Menguatkan belakang, memperbaiki otak memperbaharui pandangan mata, membuang kelupaan.
8. Cendawan – Baik untuk mata, perancang keluarga.
9. Minyak Zaitun – Rawatan kulit dan rambut. Melambatkan penuaan, merawat radang perut.
10. Delima – Membersihkan tubuh dari syaitan & bisikan syaitan selama 40 hari.
11. Cuka – Nabi selalu meminum dengan minyak zaitun (Trend yang popular di restoran Itali)
12. Air – Minuman terbaik. Jika dahaga hendaklah disedut perlahan-lahan. Jangan diteguk. Mudah mendapat sakit pada hati

moga kita dapat amalkan sama2 amalan2 Baginda Rasullullah...InsyaALLAH






Wednesday, January 4, 2012

Iman semut &iman manusia...???

IMAN SEMUT...

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah
Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah
Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu
yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman
pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan
cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di
tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada
rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai
semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan
banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji
gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan
dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh
dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas
dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya
dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak
semut:"Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan
sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di
atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji
gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu
datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila
kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu
dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja
supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa". Itulah Iman Semut!!



IMAN MANUSIA??

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek
kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila
ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu.
Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur
untuk tanam mayat.

Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik
kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur
untuk korek balik.

Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar
Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai
100 kubur.

Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya
kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100kubur orang Islam yang aku
gali,dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah
beralih ke belakang?". Jawab Imam Suffian:" Diakhir zaman hanya 2 dari
100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya
bahawa rezeki di tangan Tuhan". Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan
dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih. Nyatalah iman
semut lebih kuat dari iman manusia.



Tuesday, January 3, 2012

10 Sikap Buruk Manusia yang Dicela Allah


SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:

1. Gelojoh ketika makan
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

2. Banyak bercakap
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka marah-marah
Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad dengki

Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: ‘Dengki itu memakan segala kebaikan’ (riwayat Muslim).

5. Kedekut & bakhil

Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

6. Bermegah-megah
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan dunia

Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego atau sombong
Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan suka bangga diri

Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan pujian atau riak

Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.

Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasukdalam kategori melakukan dosa besar.

Sumber: www.ustazazhar.net







Monday, January 2, 2012

Bahagia Itu Apabila Membahagiakan


Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiaakanlah mereka.

Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia. Sesungguhnya bahagia itu bukan "benda" yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin "diberikan" akan bertambah terangnya. Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam... tetapi kita akan mendapat lebih banyak cahaya.



Siapakah orang yang paling hampir? Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa (bagi seorang lelaki), maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu. Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Dan paling penting, jika isteri sudah menderita itu juga petanda yang kita juga menderita – ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.

Apakah langkah pertama untuk membahagiakan isteri? Ya, pertama, hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa sidia adalah anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya buat teman hidup kita sepanjang kembara di dunia. Isteri kita ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.

Ingatlah bahawa yang paling berharga di dalam rumah kita bukannya perabot, bukan peralatan eletronik, komputer ataupun barang-barang antik yang lain. Yang paling berharga ialah manusianya – isteri atau suami kita itu. Itulah" modal insan" yang sewajarnya lebih kita hargai daripada segala-galanya. Tetapi benarkah kita telah menghargai isteri atau suami lebih daripada barang-barang berharga di rumah kita?

Sayang sekali, lain yang difikirkan lain pula yang dirasa. Cuba renanungkan, berapa ramai para suami yang lebih prihatin tentang perasaan isteri berbanding 'keadaan' keretanya. Batuk isteri yang berpanjangan semacam tidak kedengaran. "Batuk" kereta yang sedikit cepat-cepat dihantar ke "workshop" untuk diselenggarakan.

Itu belum dikira lagi kaki pancing yang setiap hujung minggu berkepit dengan joran dan umpan tetapi membiarkan anak-anak dan isteri kesepian di rumah. Atau para isteri yang leka dengan aorkid dan barang antik, dibelek dan dikelek siang malam, sedangkan suami terbiar tanpa ditanya perasaan dan didengar luahan hatinya.

Bila kereta 'aneh' sedikit bunyinya, cepat-cepat diusung ke workshop, dibetulkan enjin, ditunekan semula bunyinya. Tetapi isteri yang batuk-batuk, lenguh dan sembab dibiarkan... alasannya, itu memang adat, badan dah tua. Itu belum dikira yang 'workoholic' – bekerja siang, malam, tak kenal cuti dan rehat... Bila ditanya mengapa begitu sibok? Dia menjawab, demi isteri. Padahal, dia bekerja sampai ke tahap mengabaikan isteri. Aneh juga, ada yang mencari duit sampai tidak sempat menikmati duit. Bila duit sudah terkumpul, kesihatan sudah tergadai, rumah tangga sudah berkecai, isteri telah terabai.

Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh mengharagai pasangan kita. Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih... mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh "kedutan" itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu "mercu tanda" pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita.

Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni. Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi sudah dari hati "turun" ke mata. Yang kita lihat bukan "body" tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi... tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!

Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan. Love is verb – cinta itu tindakan. Kata penyair bila sudah cinta, ingin dipintal awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nestanya... Ah, kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.

Mungkin sikaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang "permaisuri". Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang "orang gaji". Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!

Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata. Begitu selalu pesan cerdikiawan dan pujangga. Malangnya, kita selalu lepas pandang. Sesuatu yang 'terlalu' dekat, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai. Kajian menunjukkan bahawa para suami di Amerika lebih banyak meluangkan masa menonton TV daripada bercakap dengan isteri. Di sini apa kurangnya, tiga jam menonton TV bersama tanpa sepatahpun berbual. Suami dan isteri sibok melayani fikiran sendiri walaupun duduk hanya berselang beberapa inci.

Malah, bila berjauhan pun kekadang terlalu lokek bertanyakan berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih banyak berbanding dengan isteri. No news is a good news. Begitu selalunya, rasa di hati. Tetapi bila isteri atau suami diserang "sakit" – katalah hilang keupayaan bercakap dan bergerak, maka ketika itu puaslah kita menangis kerana tidak dapat mendengar suaranya lagi. Waktu itu barulah duduk di tepi katil hospital, merenung mata isteri atau suami kita yang berkelip-kelip, tanpa kata, tanpa suara...

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi... Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang 'hilang' akan berganti? Apakah anak, isteri, suami yang 'pergi'... akan pulang semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada. Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak 'pulang' atau tidak ada lagi sidia yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda 'pergi' atau dia yang 'pergi'. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!


sumber: www.genta-rasa.com





Template by:
Free Blog Templates