Di sini, saya selalu berpesan kepada anak-anak saya dan sebaya dengan mereka betapa yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain ialah amalannya.
Mereka yang menadah ilmu di Madinah akan pulang menjadi pemimpin masyarakat.
Jika kita berilmu tetapi tidak mengamalkan apa yang kita pelajari maka ia menjadi kemurkaan Allah. Bagaimana kita mahu mengajak isteri dan anak-anak bersolat malam kalau kita sendiri gagal membebaskan diri dari ikatan syaitan semasa tidur.
Apatah lagi untuk mengajak masyarakat.
Bagaimana mahu kita menyuruh anak-anak dan isteri membaca al-Quran setiap hari jika kita sendiri tidak melakukannya. Atau bagaimana mahu memaksa anak yang berusia 10 tahun solat berjemaah di masjid jika kita sendiri tidak konsisten melaksananya.
Begitulah dua – tiga contoh mudah tentang amalan dan kaitannya dengan mereka yang kita sayangi. Begitulah juga pengalaman kehidupan lampau yang telah saya lalui, tidak pernah mengajak anak-anak atau isteri solat malam kerana diri sendiri alpa dengan amalan tersebut.
Namun ada sesuatu yang menarik tentang amalan dan respons masyarakat terhadap amalan itu sendiri. Bila kita mengajak khalayak untuk melakukan amalan-amalan yang dituntut (bukan amalan wajib) maka adalah yang akan menyebut,
"Amalan yang sedikit tetapi berterusan itu lebih disukai Allah".
Benar, ia satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Penonjolannya, janganlah khuatir jika kita tidak mampu melakukan amalan yang banyak kerana yang sedikit itu lebih baik daripada yang banyak tetapi tidak berterusan.
Allahu Akbar. secara psikologinya, perkataan sedikit itulah yang mahu diuar-uarkan. Mari kita melihat pertanyaan-pertanyaan berikut:
1. Amalan yang banyak dengan yang sedikit, mana yang lebih baik?
2. Amalan yang banyak berterusan dengan amalan yang sedikit berterusan, mana yang lebih baik?
3. Amalan yang banyak tidak berterusan dengan amalan yang sedikit berterusan, mana yang lebih baik?
4. Amalan yang banyak berterusan dengan yang sedikit tidak berterusan, mana yang lebih baik?
Saya bertanya diri, agaknya banyak manalah amalan kita sehingga kita mahu menyukat sedikit dan banyak itu. Alahai... dengan kadar yang kita amalkan, ia hanya secalit daripada istilah sedikit. Entah-entah hanya sebesar zarah.
Saya fikir, ia hanyalah merupa perbandingan atau penekanan agar kita melakukan amal ibadat secara berterusan.
Akhirnya, nilai berterusan itulah yang lebih perlu ditonjolkan berdasarkan 4 soalan yang telah saya kemukakan.
Bagaimana pula dengan kegemaran masyarakat menyebut,"kita lakukan amalan ibadat setakat mana yang termampu. Allah tidak memberati kita". MasyaAllah, jika kita tidak mampu bangun malam kerana membesarkan tidur maka saya fikir ia tidak termasuk dalam kategori "termampu".
Fikiran bodoh saya berfikir, jika kita biasa solat berjemaah, tiba-tiba kita ditimpa bencana badan yang menyebabkan kita tidak boleh bangun atau bergerak berjemaah ke masjid maka itulah yang dimaksudkan dengan "termampu".
Allahu Akbar. Allah tetap memberi pahala berjemaah jika itulah keadaannya.
Marilah kita berfikir dan berusaha untuk menjadi manusia yang sentiasa ingin memperbaharui dan bergerak agar menjadi manusia yang lebih baik. Ia bukan hanya dengan niat dan kata-kata tetapi dengan amalan.
Mudah-mudahan Allah memudahkan keinginan tersebut, InsyaAllah.
sumber : muhdkamil.org
2 comments:
alhamdulillah.. saya sgt suka entri ini =)
masih byk lagi perlu diperbaiki atas diri ini. bermula dri sikit2 berterusan,dan lama2 akn menjadi kebiasaan.dri situ bru kita boleh mgajak orang lain,kdg2 org lain sndri akn terbuka hati jika tgk kita sndri bersungguh2 buat ibadat.=)
Post a Comment