Thursday, February 28, 2013

Jalan-Jalan Ke Syurga


Pada setiap pagi Jumaat, sebelum menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di sebuah kota dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu pagi Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun dengan lebatnya.
Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya sudah bersedia”
Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa wahai anakku?”.
“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah”
“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”
“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”
Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”
Dengan merintih anaknya merayu “Benarkan saya pergi dulu wahai ayah?”
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya. “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”
“Terima kasih Ayah”sambil memeluk dan mencium pipi ayahnya.
Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan waktu itu. Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya itu.
Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun dia gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah tersebut. Apabila sampai sahaja di rumah itu, lantas memberi salam dan ditekannya loceng rumah tersebut. Dia tunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.
Diketuk pula pintu lalu memberi salam, namun sekali lagi tiada jawapan. Bagai ada sesuatu yang memegang tubuhnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi.
Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang lelaki dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih.
“Nak, apa yang pakcik boleh bantu?”
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
“Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan pakcik adalah orang yang paling bertuah”.
Dia senyum dan tunduk wajahnya sebagai tanda hormat sebelum melangkah pergi.
“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu wahai anak” dalam nada yang lembut.
Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya “Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu.”
Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah lelaki separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ilmu ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan semua, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Isteri saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini.”
Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila sampai masa saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi terdengar panggilan salam yang amat merdu dari suara anak kecil. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi beserta dengan salam. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”.
“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada sesiapa pun yang menekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”
“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak kecil yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”.
“Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik” itulah kata-kata yang paling indah yang pernah saya dengar”.
“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan yang amat lebat. Saya kemudian menutup pintu dan terus membaca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asalnya. Saya tak perlukan itu lagi”.
“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang muslim yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang taat pada yang satu DIA adalah ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan tersesat berada selama-lamanya di dalam neraka”
Tiada satu pun anak mata di masjid waktu itu dalam keadaan kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini adalah Jumaat yang paling indah dalam hidupnya.
Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang.

Wednesday, February 27, 2013

Adab & kaedah sambut kelahiran bayi dalam Islam


Azan, akikah antara amalan tanda syukuri kehadiran orang baru
Allah SWT berfirman dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50: “Bagi Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.”
Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana dikurniakan anak. Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar dinilai sebagai suatu ibadat. Sebagai contoh, adab menyambut kelahiran, antaranya;
Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya yang baru menerima cahaya mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anak dengan ucapan tahniah.
Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut oleh Ulama’ iaitu: “Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha rushdahu waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan hendaklah engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).”
Apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.” Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.

Hendaklah ditahnikkan bayi itu.
Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma pada jari telunjuk lalu dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi. Seterusnya manisan itu akan masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan supaya memudahkan bayi ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi adalah orang yang salih supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa RA: “Saya dikurniakan seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan kurma.” (Imam al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat dan dipulangkan bayi itu kepadaku).

Mencukur rambut bayi.
Ibnu Ishaq menyebutkan sebuah hadis riwayat al-Baihaqi daripada Abi Rafi’ Maula Rasulullah SAW bahawa ketika Hasan bin Ali lahir, ibunya Fatimah ingin mengakikahkannya dengan dua ekor kambing. Lalu Rasululullah SAW bersabda: “Jangan kamu mengakikahkannya tetapi cukurlah rambutnya kemudian sedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya di jalan Allah atau berikan kepada orang musafir.” Kemudian (tahun berikutnya) apabila lahirnya Husain selepas itu, Fatimah melakukan seperti itu juga. Imam al-Baihaqi berkata: “Jika hadis ini sahih, agaknya Rasulullah SAW mahu mengakikah sendiri cucu Baginda seperti yang kami riwayatkan.”

Melakukan akikah iaitu anak lelaki dua ekor kambing dan anak perempuan seekor kambing.
Seperti disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Aisyah RHA, beliau berkata: “Rasulullah menyuruh kami supaya mengakikahkan anak perempuan dengan seekor kambing dan anak lelaki, dua ekor kambing.” Demikianlah, wallahua’lam.

sumber : www.islamituindah.my

Monday, February 25, 2013

Isu solat jenazah dikubur

Nas & Hukum Solat Jenazah Di Tanah Perkuburan

Hadis riwayat Abdullah bin Abbas ra.: Bahwa Rasulullah saw. solat jenazah di atas kubur, sesudah mayat dikuburkan. Beliau bertakbir empat kali. (Shahih Muslim No.1586)

Hadis riwayat Abu Hurairah ra : Bahwa seorang berkulit hitam yang biasa membersih masjid, suatu hari Rasulullah saw. merasa kehilangannya (sbb tidak melihatnya). Lalu beliau bertanya kabarnya, para sahabat menjawab: Dia sudah meninggal dunia. Rasulullah saw. menegur: Kenapa kalian tidak memberitahukan kepadaku? Seakan-akan para sahabat menganggap kecil urusannya atau urusan kematian. Kemudian Rasulullah saw. bersabda: Tunjukkan aku kuburnya. Setelah ditunjukkan, beliau solatkan jenazahnya kemudian bersabda: Sungguh pekuburan ini penuh dengan kegelapan bagi para penghuninya dan sesungguhnya Allah meneranginya sebab salatku atas mereka. (Shahih Muslim No.1588)

Kata Prof. Dr. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy di dalam Pedoman Shalat ms 496 :

Para ulama menyukai kita shalat jenazah di perkuburan dengan berdiri di antara kubur-kubur. Begitulah pendapat Imam Atha’ , Asy Syafi’y, Ahmad, Ishaq dan Ibnul Mundzir.

Beliau juga mengatakan:

Pernah hal ini dilakukan oleh Abu Hurairah dan Umar Ibn Abdul Aziz r.a.

Hadis yang di rujuk :

Ibnu Abbas r.a berkata: “ Pada suatu hari Rasullah s.a.w sampai kekubur yang masih basah, maka beliau bersalat baginya dan bersaf-saflah para sahabat di belakang beliau. Rasullah s.a.w. bertakbir 4 kali. ( H.R. Bukhary, Muslim, An-Nail 4:89)
Sa’ied ibn Al-Musayyab berkata: “Bahawasanya Ummu Sa’din meninggal sedang Nabi s.a.w tidak ada di kampung. Manakala kembali, beliau bersalat bagi jenazahnya, padahal telah berlalu sebulan lamanya (H.R At-Turmudzy, An-Nail 4:90)

Syed Sabiq menambah, menurut satu pendapat dari Ahmad, hal ini tidak ada salahnya, kerana Nabi s.a.w. melakukan solat di suatu kubur yang berada di tengah perkuburan.
Dan Abu Hurairah sembahyangkan Aisyah di tanah perkuburan Al Baqi dengan disaksikan oleh Ibnu Umar.
Dan Umar Abdul Aziz juga ada melakukannya..

Kesimpulannya solat jenazah ditanah perkuburan adalah amalan Rasulullah saw dan para sahabat ketika tdk sempat solat sebelum jenazah dikebumikan..

Sumber: Ustaz Azhar Idrus ( Original )

Sunday, February 24, 2013

Kisah wajah mayat bertukar menjadi keldai

Dalam terik panas mentari yang memancar menyinari tanah Baitul Haram, seorang ulama zuhud yang bernama Muhammad Abdullah al-Mubarak keluar dari rumahnya untuk menunaikan ibadah haji. Di sana dia leka melihat seorang pemuda yang asyik membaca selawat dalam keadaan ihram. Malah di Padang Arafah dan di Mina pemuda tersebut hanya membasahkan lidahnya dengan selawat ke atas Nabi.
“Hai saudara,” tegur Abdullah kepada pemuda tersebut. “Setiap tempat ada bacaannya tersendiri. Kenapa saudara tidak membanyakkan doa dan solat sedangkan itu yang lebih dituntut? Saya lihat saudara asyik membaca selawat saja.”
Wajah mayat bertukar jadi himar
“Saya ada alasan tersendiri,” jawab pemuda itu. “Saya meninggalkan Khurasan, tanahair saya untuk menunaikan haji bersama ayah saya. Apabila kami sampai di Kufah, tiba-tiba ayah saya sakit kuat. Dia telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya sendiri. Dengan kain sarung yang ada, saya tutup mukanya. Malangnya, apabila saya membuka semula kain tersebut, rupa ayah saya telah bertukar menjadi himar. Saya malu. Bagaimana saya mahu memberitahu orang ramai tentang kematian ayah saya sedangkan wajahnya begitu hodoh sekali?
“Saya terduduk di sisi mayat ayah saya dalam keadaan kebingungan. Akhirnya saya tertidur dan bermimpi. Dalam mimpi itu saya melihat seorang pemuda yang tampan dan baik akhlaknya. Pemuda itu memakai tutup muka. Dia lantas membuka penutup mukanya apabila melihat saya dan berkata, “Mengapa kamu susah hati dengan apa yang telah berlaku?”
“Maka saya menjawab, “Bagaimana saya tidak susah hati sedangkan dialah orang yang paling saya sayangi?”
“Pemuda itu pun mendekati ayah saya dan mengusap wajahnya sehingga ayah saya berubah wajahnya menjadi seperti sediakala. Saya segera mendekati ayah dan melihat ada cahaya dari wajahnya seperti bulan yang baru terbit pada malam bulan purnama.
“Engkau siapa?” tanya saya kepada pemuda yang baik hati itu.
“Saya yang terpilih (Muhammad).”
“Saya lantas memegang jarinya dan berkata, “Wahai tuan, beritahulah saya, mengapa peristiwa ini boleh berlaku?”
Rahsia selawat 100 kali
“Sebenarnya ayahmu seorang pemakan harta riba. Allah telah menetapkan agar orang yang memakan harta riba akan ditukar wajahnya menjadi himar di dunia dan di akhirat. Allah telah menjatuhkan hukuman itu di dunia dan tidak di akhirat.
“Semasa hayatnya juga ayahmu seorang yang istiqamah mengamalkan selawat sebanyak seratus kali sebelum tidur. Maka ketika semua amalan umatku ditontonkan, malaikat telah memberi tahu keadaan ayahmu kepadaku. Aku telah memohon kepada Allah agar Dia mengizinkan aku memberi syafaat kepada ayahmu. Dan inilah aku datang untuk memulihkan semula keadaan ayahmu.”
(Dipetik Dari Buku 60 Kisah Bertemu Rasulullah s.a.w)

Gambaran Himar (Keldai) Dalam Al-Quran
Himar atau keldai adalah binatang yang sering menjadi gambaran sebuah kedunguan. Di dunia Arab, binatang ini adalah binatang yang paling rendah di mata mereka. Untuk itulah al-Qur’an pun ketika menyebut himar untuk perumpamaan sesuatu, itu berarti sesuatu tersebut adalah merupakan hal yang sangat rendah dan hina.
Seperti ketika al-Qur’an mengabadikan nasihat Luqman. Di akhir dari nasihat tersebut, Luqman menyampaikan kepada anaknya agar bersuara yang baik,
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”. (Luqman 31:19)
Begitu pula ayat yang akan kita renungi berikut ini
“(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Al-Jumu’ah 62:5)
Ayat ini menyindir,memerli,menghina dan mencerca orang-orang Yahudi yang diberikan Allah Kitab Taurat tetapi tidak mengamalkannya. Mereka seperti keldai yang membawa kitab-kitab tebal di punggungnya tetapi tidak mengerti sama sekali isi kitab-kitab tersebut dan tidak mengambil manfaat sama sekali. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu.
Imam Ibnu Katsir menjelaskan, “Allah ta’ala berfirman menyebutkan keburukan Yahudi yang diberikan kepada mereka Taurat untuk diamalkan tetapi mereka tidak mengamalkannya. Perumpamaan mereka seperti himar (keldai) yang membawa kitab-kitab tebal….mereka lebih buruk keadaannya daripada himar. Kerana himar tidak mempunyai pemahaman sementara mereka boleh memahami tetapi tidak mengamalkannya.” (Tafsir Ibnu Katsir 8/117, MS)
Ayat ini disampaikan kepada umat Muhammad SAW agar menjadi pelajaran bahwa generasi umat ini tidak boleh seperti generasi himar Yahudi. Generasi yang mempunyai ilmu, wawasan, pengetahuan tentang baik dan buruk bahkan mereka memahami ilmu itu dengan baik, tetapi ilmu tersebut tidak bermanfaat bagi mereka. Mereka faham bahawa kebaikan harus dilakukan, tetapi tidak mereka lakukan. Mereka pun faham bahwa keburukan dan kejahatan harus dijauhi, tetapi tetap keburukan merupakan sebahagian yang tidak terpisahkan dari kehidupannya.
Allah telah memberikan petunjuk-Nya kepada kita agar generasi ini tidak menjadi generasi keldai. Penjelasan itu ada dalam rangkaian ayat-ayat dalam Surat al-Jumu’ah tersebut. Berikut ayat yang menjelaskan langkah generasi ini agar keluar dari rimba kesesatan.
“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumu’ah 62:2)
Dalam ayat tersebut dijelaskan tugas Rasulullah Muhammad SAW dalam melahirkan generasi sahabat yang luar biasa itu. Ada tiga tugas:
(1) Membacakan ayat-ayat Allah
(2) Tazkiyatun Nafs (Penyucian Jiwa)
(3) mengajarkan Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak)
Ternyata pengajaran ilmu Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) diakhirkan setelah Tazkiyatun Nafs. Mengapa?
Kerana jiwa ini ibarat sebuah wadah/tempat. Jika wadahnya masih kotor, sejernih apapun ilmu yang dituangkan tetap akan terlihat keruh dan tidak bermanfaat. Akhirnya lahirlah keldai seperti yang disebutkan ayat diatas. Ilmu banyak tetapi tidak teraplikasikan dalam amal.
Maka, Nabi ditugaskan untuk menyucikan jiwa barulah mengajarkan Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Agar jiwa wadahnya bersih saat ilmu dituangkan dan diserap didalam diri. Sehingga menjadi ilmu yang bermanfaat dalam beramal.
Wallahu’alam….

sumber: HasnulHadiAhmad.Com

Wednesday, February 20, 2013

Berkatilah Umur Dengan 4 Perkara

Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun apakah yang akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur tersebut? Andaikan umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat singkat, tidak terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu setahun itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).

Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.
Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu.
Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanyakan: “Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia? lalu Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan yang masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah.
Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada da’ie atau pendakwah saja malah semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah.
Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.”

Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan mengamalkan satu gaya hidup yang saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslim untuk saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.
Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.
Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.
Allah mengingatkan kita yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). 

Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya.Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Namun, senario hari ini jelas menunjukkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat.
Justeru itu marilah kita sama-sama memanfaatkan nikmat umur, kerana kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini. Sementara Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup, maka manfaatkanlah ia dengan sebaik-baiknya dan bersegeralah untuk melakukan kebaikan, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk kita? Jika di dunia kita manfaatkan maka bahagia menunggu kita di akhirat kelak.

sumber:

Tuan Zairah Tuan Mat
www.islamituindah.my

Tuesday, February 19, 2013

ADAB MENDENGAR AZAN

Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui “Bahawa Allah Sahaja Yang Patut Disembah, dan Nabi Muhammad Adalah Rasul Allah”.

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa Dan waktunya Yang tidak Kita ketahui. Cuba Kita amati.
Mengapa Kebanyakan orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa..?? Lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan ' sakaratul maut' .

Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud :
“Hendaklah Kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak ALLAH akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya”.

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang . Sebagai orang yang beragama Islam, kita wajib menghormati azan.

Jika mendengar Lagu Kebangsaan, kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan berkumandang kita tidak boleh mendiamkan diri??? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, ALLAH akan kelukan lidahnya ketika nazak.

Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah “Lailahaillallah” yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika
nyawanya akan dicabut Allah dengan izinNYA menjanjikan Syurga untuk mereka.

Dari itu, marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada ALLAH supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

Sunday, February 17, 2013

Solatlah Wahai Anakku


Lembutku kenang, kasihmu ibu, di dalam hatiku kini menanggung rindu, kau tabur kasih, seumur masa, bergema syahdu oh di dalam nadiku.

Begitu syahdu bait lirik lagu yang dipetik daripada sebuah filem yang diadaptasikan dari sebuah novel karya penulis Tere Liye yang telah mencapai tahap "best seller" di negara jiran kita. Bukanlah tujuan saya untuk membuat promosi atau iklan untuk hasil seni orang lain. Apa yang ingin dikongsikan dalam ruangan kali ini ialah mesej yang dapat dirungkai daripada filem berkenaan iaitu kepentingan solat. Solat adalah tanggungjawab penting bagi setiap insan dan merupakan perkara pertama yang akan dihisab. Soalan yang berlegar-legar, apakah betul solat kita, apakah diterima oleh Allah? Semoga Allah menerima solat kita semua, Insya Allah, Amiin.

Berbalik kepada topik asal, melatih anak- anak untuk memulakan solat seawal 5 tahun bukanlah sesuatu yang mudah. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam  menyarankan kita melakukan tarbiah solat kepada anak dengan cara yang berhikmah. Anak yang telah sampai umur 7 tahun jika mumayyiz (tahu membezakan antara perkara baik dan buruk), disuruh atas dasar sunnah mendirikan solat.Jika mereka telah berumur 10 tahun, wajiblah diperintahkan mereka mendirikan solat. Dibolehkan untuk  memukul (dengan niat mendidik)  jika mereka enggan mendirikannya.

Berdasarkan pengalaman sendiri, cara pemaksaan dilihat tidak efektif kerana tiadanya nilai ikhlas menerusi modus operandi ini. Mereka mungkin akan melakukannya, tetapi dengan rasa marah dan tidak sabar. Kekangan masa kadang-kadang melalaikan kita untuk memantau amali solat yang dilakukan oleh anak-anak. Apa yang menarik, ada di kalangan anak-anak yang terbiasa melihat ibu bapanya solat, secara tiba-tiba akan menuruti gerak solat seperti mengangkat takbiratul ihram, rukuk atau sujud.

Adakalanya penulis tersenyum sendiri taktala mengingatkan bagaimana almarhumah bonda mengajar dan seterusnya menjelaskan bahawa solat itu kewajipan yang teramat penting. Penting untuk menjaga diri semasa dunia dan membantu diri di akhirat kelak. Analogi bahawa diri ini terdiri daripada elemen rohani (amalan) dan jasmani (fizikal/jasad) memerlukan makanannya setiap hari. Sekiranya tidak solat mahupun melakukan kebaikan, ternyata rohani dalam keadaan lemah. Berbanding jasmani yang beroleh makanan setiap hari melalui rutin makan minum, rohani memerlukan ketaatan dalam beribadah secara konsisten. Alhamdulillah, cara ini amat efektif buat diri penulis dan cuba diturunkan kepada anak-anak sendiri.

Berbalik kepada novel dan filem yang disebutkan di atas, secara peribadi, saya merumuskan mesej yang diketengahkan ialah solat adalah kewajipan yang mesti didahulukan, merentasi segala perkara. Justeru, pemahaman tentang semua elemen di dalam solat seperti rukunnya, bacaan, praktikal serta perkara berkaitan sah dan batalnya perlu diambil perhatian khusus. Kita biasa mendengar, solat tiang agama. Ya, ianya berdasarkan Hadith Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang berbunyi:

"Solat itu ialah tiang agama, maka barang siapa yang mendirikannya maka sungguh dia telah menegakkan agama, dan barang siapa yang meninggalkannya sungguh mereka telah meruntuhkan agama."
(Hadith Riwayat Bukhari daripada Umar Radiallahu 'Anhu).


Kepentingan Solat
Solat merupakan ibadat yang disyariatkan dalam Islam.

Allah berfirman dalam ayat 72, Surah Al-An'aam yang bermaksud: Dan (diperintahkan):
Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak). Ibadat solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab di Akhirat nanti.


Analoginya, setelah menjalani peperiksaan penting, debaran menunggu keputusan pencapaian adalah satu saat yang mendebarkan. Begitu juga solat, apakah memenuhi skema yang diredhai Allah?Jadi, tidaklah pelik jikalau solat wajib dipupuk sejak kecil lagi, bukan ketika sudah mencapai usia akil baligh. Amat menyedihkan juga, jika kita lebih menitikberatkan pendidikan yang lebih bersifat duniawi. Sebagai ibubapa yang bijak, kita seharusnya tahu memastikan keseimbangan dunia dan akhirat buat anak-anak kita seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah Al-Qasas, ayat 77  yang bermaksud:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".


Seterusnya, solat adalah penangkis terhadap segala anasir-anasir negatif yang boleh membawa kepada keburukan.

Allah berfirman dalam Surah Al-Ankabuut, ayat 45 yang bermaksud:
"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".


Kesan solat yang sempurna dapat dilihat daripada ketenangan jiwa, sifat zuhud dan sabar dalam kehidupan harian. Mungkin kadangkala kita dapati ada orang yang masih melakukan maksiat dan perkara buruk walaupun taat dalam ibadat solatnya. Dalam konteks ini, memahami konsep solat secara mendalam yang membawa kepada kekusyukan dan tawaduk merupakan elemen penting yang perlu diutamakan. Solat bukan sekadar rukuk dan sujud tetapi lebih dari itu.

Solat yang berkesan menjadikan sesorang itu fokus dalam pengibadatannya dan segala apa yang berlaku di sekelilingnya tidak didengari. Ini kerana seluruh jiwanya dibulatkan untuk solat dan kesannya terlihat pada keluhuran peribadi seseorang itu.

Menerusi solat, pelbagai jati diri positif diterap seperti taat, sabar, ikhlas, muhasabah dan banyak lagi. Sifat taat seorang hamba terhadap perintah Penciptanya. Solat fardhu merupakan ibadah yang ditentukan waktunya bagi setiap seseorang yang mukallaf. Justeru, kita dapat melihat sesetengah orang mengingkari kewajipan solat tanpa alasan yang dibenarkan oleh Syar'ie.

Leka melakukan kerja-kerja rumah, menonton televisyen, berbual-bual kosong merupakan sebab-sebab biasa yang boleh kita perhati apabila seseorang itu sewenang-wenangnya mengingkari solat. Melewat-lewat atau meremehkan solat juga tidak digalakkan dalam Islam kerana sifat taat setiap hamba diuji di sini. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 238 yang bermaksud:
"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk".


Solatlah Wahai Anakku
Bekalan terbaik buat seorang Muslim setelah meninggalkan alam fana ini ialah amalnya. Dari Abu Hurairah Radiallah 'Anhu, bahawa sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda :
"Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya."
(Hadith Riwayat Bukhari).


Doa pastinya datang dari segala ibadah terutamanya solat. Ayuh kita perbaiki diri sendiri, keluarga dan seterusnya menyebarkannya kepada masyarakat. Saya melihat kepentingan solat yang wajib kita terapkan kepada anak-anak kita. Semoga kita dijauhkan dari golongan yang rugi di sisi Allah, di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat kelak. ~Wallahu A'lam~

Sumber:
Hafiza Harun (Artikel iluvislam.com)

Thursday, February 14, 2013

Abdul Rahman Auf Jutawan Yang Menangisi Kemewahan



Abdul Rahman Bin Auf bin Abdul Harith bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luayyi Al Quraisyi Az Zuhri lahir 10 tahun selepas tahun gajah dan membesar sebagai seorang pemuda yang teguh peribadi dan memiliki karismatik yang berkualiti.
Beliau mendapat pendidikan awal dengan sifat berani, tegas, toleransi, zuhud dan dermawan. Selain menjadi ahli ekonomi yang berwibawa dan amanah, beliau merupakan antara sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga dan salah seorang dari 6 anggota mesyuarat untuk memilih khalifah selepas wafatnya Al Farouk rha.
Beliau wafat pada tahun 31 hijriyyah dalam usia 73 tahun dan di maqamkan di Baqi'
Sebelum Islam
  • Menjauhi penyembahan berhala, maksiat dan mungkar.
  • Persekitaran hidup dalam keluarga mulia dan bermaruah.
Selepas Islam
  • Orang yang kelapan memeluk agama Islam.
  • Menyertai program perkaderan di Darul Arqam.
  • Melakukan hijrah ke Habsyah sebanyak dua kali dan akhirnya ke Madinah Al Munawwarah.
  • Menyertai semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah
Jati Diri Yang Kental
Abdul Rahman bin Auf telah dipersaudarakan oleh Rasulullah saw dengan Saad Ibnu Rabi'e seorang bangsawan dan jutawan Madinah (Al Ansar). Namun beliau tidak mengambil kesempatan dan peluang untuk memboloti harta kekayaan saudaranya sekalipun beliau mendapat tawaran yang lumayan termasuklah memilih salah seorang daripada isteri saudaranya.
Sebaliknya beliau meminta Saad menunjukkan kepadanya dimanakah pasar dan beliau memulakan perniagaan dipasar tersebut dengan keringat dan semangat berdikari yang gigih.

Berdikari
Prinsip berdikari yang dimiliki oleh Abdur Rahman bin Auf menjadi formula asas kejayaan dan kecemerlangan beliau. Berdikari adalah tanda harga diri individu yang bermaruah dan bebas dari hidup bergantung dengan orang lain. Prinsip inilah juga yang diajar oleh Rasulullah saw. buat semua ummat bagi membina tamadun yang cemerlang.
Sabda Rasulullah saw.:
"Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan dari hasil usahanya sendiri." - Riwayat Bukhari

Amanah
Kecemerlangan yang diperolehi dalam perniagaannya juga banyak bergantung kepada sifatnya yang amanah, sifat inilah meletakkan beliau sebagai usahawan yang berjaya dan beliau juga antara sahabat yang paling kaya di Madinah.
Rasulullah saw. pernah menyebut:
"Engkau adalah yang dipercaya(amanah) dikalangan penghuni langit dan engkau jugalah yang dipercaya (amanah) dikalangan penghuni bumi."

Taat
Peribadinya yang soleh dan taat kepada Allah swt pula menjadi modal utama yang menjana kemajuan gemilang dalam kerjayanya sebagai seorang ahli ekonomi dan usahawan. Peribadi ini diiktiraf oleh baginda Rasul saw dengan sabdanya:
"Tidak dicabut roh seseorang Nabi sehingga ia sembahyang di belakang seorang lelaki yang soleh dari ummatnya."

Pengurusan Ekonomi Berorientasikan Kebajikan
Kejayaan gemilang yang dicapai oleh Abdul Rahman bin Auf Rha. tidak menjadikan beliau lupa daratan dan menyeleweng dari manhaj Rabbani. Sebaliknya beliau menangani kekayaannya dengan menabur bakti kepada agama, perjuangan dan ummah.
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitab Al Hilyah daripada Az Zuhri katanya:
"Abdul Rahman bin Auf telah bersedeqah di zaman Rasulullah saw. setengah dari hartanya yang berjumlah Empat Ribu Dirham kemudian beliau mengorbankan 40 Ribu Dirham, 500 kuda di jalan Allah swt. diikuti pula 1500 ekor unta di jalan Allah swt. Kesemua harta itu adalah hasil perniagaannya."

Dermawan
Sikap inilah (dermawan) yang dicerminkan oleh Al-Quranul Karim sebagai sikap orang–orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt.
"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Surah Ali Imraan, 92)
Kikir dan bakhil adalah merupakan sifat tercela yang merosakkan hubungan damai dan harmoni sesama muslim.
"(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian-kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (Surah Muhammad 38)
Sementara tamak haloba pula memusnahkan asas kebajikan malah mendorong permusuhan dan hasad dengki yang membantutkan perkembangan ekonomi ummah.

Membelanjakan Harta Demi Keredhoan Allah
Dikeluarkan oleh Ahmad daripada Anas rha. katanya: "Tatkala Aisyah rha. berada di dalam rumahnya, beliau telah mendengar satu suara di Madinah. Beliau bertanya "Apakah yang telah terjadi? Kaum muslimin menjawab: "Kafilah Abdul Rahman bin Auf terdiri dari 7 ratus unta."
Maka bergemalah Madinah dengan teriakan suara tersebut. Aisyah rha. berkata aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Aku melihat Abdul Rahman masuk kedalam syurga dengan merangkak. Apabila kata–kata nabi tersebut sampai ke pengetahuan Abdul Rahman bin Auf lalu beliau berkata: Jika aku mampu, aku akan masuk syurga itu dalam keadaan berdiri.
Lalu beliau menyerahkan kesemua unta tersebut di jalan Allah swt.
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitabnya Al Hilyah.
Peristiwa ini jelas mengisyaratkan bahawa Abdul Rahman bin Auf sekalipun dilimpahi harta kekayaan dalam hidupnya tetapi tidak sampai ia menjadi hamba kepada harta, malah juga tidak mampu untuk melalaikan beliau daripada mengingati Allah swt.
Situasi ini menunjukkan beliau menguasai harta bukan harta menguasai beliau. Kedudukkan seperti inilah yang menjadikan seorang usahawan benar – benar merdeka dan bebas dari belenggu fikrah maadiyyah.

Bahaya Fikrah Maadiyaah (Kebendaan)
Pengidap faham maadiyyah ini sangat merbahaya dan membawa virus yang sangat sukar untuk dirawat. Mereka yang terpengaruh dengan faham maadiyyah hanya memikirkan soal dunia, duit dan hidup semata – mata.
Mereka tidak memikirkan bagaimana dosa, pahala, syurga, neraka dan akhirat. Ini menjadikan mereka petualang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan dan kemewahan dengan tidak memperduli bagaimana cara memperolehinya, samaada cara yang halal atau haram, baik atau buruk, hak atau bathil, adil atau zalim, benar atau bohong, amanah atau khianat.
Apa yang lebih parah, golongan ini akan menjadi cinta dunia dan benci kepada mati. Jika seorang usahawan bersikap seperti ini bukan sahaja tidak mendapat berkat dan rahmat dalam projek atau perniagaan mereka, malah mereka dimurkai oleh Allah swt.
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, -Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan." (Surah Yunus 7–8)
Renungi ungkapan ulama' sufi terkenal Abu Sulaiman Ad Darani:
Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap datang mendampinginya, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka akhirat akan menyisih, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang mulia sedang dunia adalah suatu yang keji.

Material (Kebendaan) Menurut Perspektif Islam
Islam tidak melarang ummatnya mencari harta dan memiliki kekayaan, malah mengajar ummatnya mencari harta dengan kaedah yang betul. Lihat lah bagaimana sahabat karib Baginda Rasul saw. seperti Abdul Rahman bin Auf mencari harta dan memiliki kekayaan.
"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya / untung (di dunia dan di akhirat)." (Surah Al Jumua'h: 10)
Kebendaan merupakan sebahagian daripada alat kelengkapan dan berfungsi sebagai alat bantu kekuatan. Justeru itu Islam memberi ruang selesa kepada ummatnya berdikari dan mengusahakan hasil bumi.
Namun begitu, kebendaan yang diusahakan dan kekayaan yang dicita, bukan menjadi prinsip hidup yang mencetus faham kebendaan, segalanya sebagai sarana untuk menjulang syiar Agama Allah swt. bukan sebaliknya, iaitu menjadi hamba kepada benda dan kekayaan.
Kebendaan dan kekayaan diperlukan agar ummat Islam tidak bangsat dan hina di mata dunia, pula dalam masa yang sama, ia tidak sampai membawa ummat Islam keperingkat ego dan bongkak.

Usahawan Yang Takut Kepada Allah Dan Manangisi Kemewahan Dunia
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim didalam kitab Al-Hilyah daripada Naufal bin Ilyas Al–Hazili katanya: Abdul Rahman bin Auf rha. sering duduk bersama–sama dengan kami. Beliau adalah sebaik–baik orang apabila duduk bersama–sama dengan kami, suatu hari beliau telah meninggalkan kami dan tidak bersua dengan kami lalu kami pun masuk menemuinya di rumahnya.
Beliau telah kembali ke rumahnya dan mandi, lalu kami menghidangkannya satu dulang roti dan daging. Apabila makanan tersebut dihidangkan dihadapannya, beliau pun menangis.
Kami bertanya kepadanya, "Wahai bapa Muhammad, apakah yang menyebabkan kamu menangis?"
Beliau menjawab: "Rasulullah saw. telah meninggal dunia dalam keadaan beliau dan ahli keluarga beliau tidak pernah kenyang dengan makanan yang terdiri dari roti gandum."
Aku berpendapat, kita ketinggalan kebelakang dari apa yang lebih baik bagi kita.
(Dikeluarkan oleh Tarmizi dan As Siraj daripada Naufal dan seumpama dengannya sebagaimana dalam Isobah.)
Kezuhudan Abdul Rahman bin Auf rha. ini sangat menyerlah, bukan sahaja melalui peribadi dan aksinya bahkan sikap dan prinsip beliau. Inilah yang menjadikan beliau sebagai seorang usahawan yang amat disenangi oleh penghuni dibumi dan juga penghuni dilangit. Beliau dijamin syurga oleh Baginda Rasul saw.

sumber: episodeperjuangan.blogspot.com

Wednesday, February 13, 2013

Leka keseronokan dunia punca manusia lalai mengingati mati



INILAH saat dinanti-nantikan setiap manusia, tidak kira agama apa yang dianuti, pastinya mati akan datang menjemput kita. Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati wajib dilalui semua manusia.
Bagaimana sihat seseorang, kuasa dan kekayaan, manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah, nabi dan rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan, bahkan yang menjadi kekasih Allah pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.
Firman Allah yang bermaksud: 
 “Di mana saja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 78)

Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur dan roh keluar dari badan manusia.
Kubur atau alam barzakh adalah tempat permulaan alam akhirat. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh.
Sebaik saja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan berjalan pulang, maka suasana gelap, dua malaikat Munkar dan Nakir datang menghampiri serta mendudukkan jenazah.
Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal salih serta ketakwaan unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah, alam barzakh adalah episod ngeri hingga datangnya hari kiamat.
Mereka berkeadaan seperti orang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan. Ingatlah wahai sekalian umat Islam bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang yang bercakap mengenai kematian, alam barzakh dan Mahsyar kerana sibuk dengan kelazatan kehidupan dunia.
Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrail datang mencabut nyawa. Saidina Ali pernah berkata:
 “Manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”

Kesibukan mencari keseronokan dunia adalah penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Contohnya, penagih dadah sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan terlarang bagi menambah lagi nikmat keseronokan.
Perbuatan ini seolah-olah menggali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung seksaan hidup dengan penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian.
Berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ada ajaran sesat tidak menerima hakikat kematian pemimpinnya. Mereka sering mendakwa keajaiban pemimpin yang kadangkala lebih hebat daripada Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin.
Firman Allah bermaksud:
 “Tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Menghadapi kematian pemimpin yang disayangi sememangnya perit dan sukar diterima. Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar ketika berdepan kewafatan Nabi SAW. Beliau memujuk Umar al-Khattab yang masih terkejut seraya berkata:
 “Ketahuilah, sesiapa yang menyembah Muhammad SAW, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.”

sumber: harian-metro-online.com

Tuesday, February 12, 2013

Hari Valentine Haram disambut Umat Islam


Amalan merayakan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih yang tiba setiap 14 Feb tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
“Roh perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam,” inilah kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-71, hampir enam tahun yang lalu berkaitan Valentine Day.
“Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang,” kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
“Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan kasih sayang kepada ibu dan bapa kita,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day pada Jumaat.
Namun katanya Islam juga pada masa yang sama akan menolak sesuatu yang datang waima dari Timur sekalipun jika ia bertentangan dengan prinsip dan amalan agama Islam.
“Ia bukan persoalan atau isu asal tempat kedatangan sesuatu sambutan sesuatu perayaan dan keraian itu, tetapi amalan atau ritual yang dilakukan untuk merayakan hari-hari tertentu itu,” katanya.
Wan Mohamad berkata Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.
“Jika kita kasih pada orang, itu bukan maksiat tetapi kalau kita adakan hubungan diluar pernikahan, itu maksiat. Itu bezanya,” ujarnya.
Katanya beliau yakin bukan sahaja Islam, agama lain juga meletakkan batasan dan etika yang perlu penganutnya patuhi.
Beliau berkata bagi Hari Valentine, meraikannya sangat jelas ia terarah kepada amalan maksiat.
“Itulah sebabnya fatwa dikeluarkan untuk menyekat dan menasihati orang Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine dengan melihat dari segi sejarah dan realiti sekarang ini, di mana-mana pun ia sinonim dengan amalan maksiat,” katanya.
Sebagai perbandingan, Wan Mohamad berkata fatwa juga memutuskan sekiranya rakan bukan beragama Islam mengadakan majlis menyambut hari perayaan mereka, orang Islam boleh menghadirinya.
Namun jika majlis sosial itu menyajikan minuman beralkohol, “majlis itu sudah rosak dan kita tidak boleh hadir,” katanya.
“Kita juga boleh meraikan kawan kita yang meraikan hari perayaan agama mereka tetapi kita ditegah daripada terlibat dengan ritual agama itu sebab itu sudah masuk ke dalam isu akidah,” jelasnya.
Beliau berkata penjelasan juga perlu dibuat agar Islam tidak difitnah dengan mengatakan agama itu tidak boleh meraikan rakan bukan Islam yang meraikan Hari Natal, Hari Diwali, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan sebagainya.
“Kita hanya tidak boleh terlibat dengan ritual ibadat agama lain. Acara sosial, kita berhimpun dengan mereka yang bukan Islam, itu tidak ada masalah.
“Pemimpin kita juga hadir majlis sebegitu. Malah Mufti-mufti kita hadir ke majlis jamuan teh yang dianjurkan oleh jiran yang menyambut Hari Natal,” katanya.
Pelancaran Kempen Awasi Jerat Hari Valentine tersebut adalah untuk mengajak umat Islam terutamanya golongan remaja supaya tidak meraikan sambutan Hari Kekasih Isnin ini.
“Islam menganjurkan umatnya supaya menjadikan jalinan kasih sayang sesuatu yang abadi. Ungkapan kasih sayang bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Ia adalah sepanjang hayat,” kata Wan Mohamad

sumber : www.islamituindah.my

Thursday, February 7, 2013

Tujuh Nama Lain Mekah Dalam Al Quran


Mekah al-Mukarammah merupakan kota tertua dunia dan tempat permulaan Islam. Allah SWT menyebut dalam Al Quran tentang Mekah. Terdapat tujuh nama lain Mekah dalam Al Quran.
1. Makkah, sebagaimana firman Allah SWT, “Dan Dia­lah yang mencegah tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan mencegah tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah kota Makkah. Setelah Allah memenangkan kamu atas mereka.” (Al-Fath [48]: 24).

2. Bakkah, Allah SWT berfirman, “Sesung­guhnya rumah ibadah pertama yang dibangunkan untuk manusia ialah Baitullah di Bakkah, yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam.” (Ali Imran [3]: 96).

3. Umm Al-Qura, firman Allah SWT, “Dan ini (Al Quran) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang diberkahi; membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah) dan orang-orang yang di luar lingkungannya. Orang-orang yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat tentu beriman kepadanya (Al Quran) dan mereka selalu memelihara sembahyangnya.” (Al-An‘am [6]: 92).

4. Al-Balad, seperti firman Allah SWT, “Aku bersumpah dengan negeri ini (al-balad. Makkah) dan engkau (Muhammad) bertempat di negeri ini (al-balad. Makkah).” (Al-Balad [90]: 1-2).

5. Al-Baldah, sebagaimana tersurat dalam firman Allah SWT, “Aku (Mu­hammad) hanya diperintahkan menyembah Tuhan negeri ini (al-baldah, Makkah) yang telah Dia sucikan.” (Al-Naml [27]: 91).

6. Al-Balad Al-Amin, Allah SWT berfirman, “Demi buah Tin dan buah Zaitun, demi gunung Sinai, dan demi negeri yang aman ini (al-Balad al-Amin, Makkah).” (Al-Tin [95]: 1-3).

7. Al-Balad Al Aminin, sebagaimana tersurat dalam firman Allah Swt, “Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa, “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri (Makkah) ini negeri yang aman (al-Balad al-Aminin).” (Al-Baqarah [2]: 126).

Sumber :www.republika.co.id

Wednesday, February 6, 2013

Peristiwa Akhir Zaman Mengikut Urutan

Sebagai umat Nabi Muhammad (SAW) kita harus bersedia untuk mengkaji memahami dan menghadapinya. Bangsa lain sudah terkehadapan dan bersedia terutamanya pengikut Dajjal. Tetapi kita masih berselisih faham. Walhal pada hakikatnya kita hanya mahu menjadi insan yang bertaqwa tanpa sifat takbur, riak, sombong, kedekut, kikir, hasad dan lain lain sifat yang merosakkan amal kita untuk mencapai taraf taqwa. Peristiwa Akhir Zaman yang berlaku adalah untuk peringatan kepada umat Islam bahawa kiamat itu hampir dan akan tiba.

Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan
1.1 – Islam ditegakkan semula
1.2 – Hijrah Rasulullah ke Madinah
1.3 – Dakwah Rasullulah
1.4 – Peperangan Rasullulah menentang kafir


Kebangkitan Khalifah
2.1 – Wafatnya Rasullullah
2.2 – Khalifah Islam menjadi pemerintah di mukabumi (Othmaniah, Nusantara, Andalusia, Benua Arab, India, Cina)

Kejatuhan Khalifah
3.1 – Kebangkitan Revolusi di seluruh dunia
3.2 – Perang Dunia 1 dan 2
3.2 – Kebangkitan pengaruh dan agenda Dajjal
3.3 – Umat Islam berpecah-belah.
3.4 – Agama Islam dan agama yang lain dirosakkan secara halus melalui pelbagai fahaman.
3.5 – Kekerapan Gempa Bumi meningkat.
3.6 – Umat Islam mengikut telunjuk Yahudi Nasrani hingga ke lubang biawak
3.6 – Penzinaan berleluasa
3.7 – Ramai anak Derhaka kepada Ibu Bapa
3.8 – Agama bergerak secara individual dan bukannya kesatuan

Perang Dunia Ketiga
4.1 – Semua agama bergabung menentang Islam secara peperangan
4.2 – Agama Islam dirosakkan – memisahkan syariat dan hakikat(roh Islam)
4.3 – Kemarau panjang
4.4 – Umat Islam ditindas dengan kejam kecuali mereka yang kafir/munafik
4.5 – Pergilah menemui panji-panji hitam di kawasan bersalji dan bergunung ganang
Disaat ini Dajjal dan pengikutnya masih menyembunyi kerja tangan mereka didalam semua peperangan.Manusia berperang kerana nafsu dan saling tuduh menuduh. Manusia berperang dengan sebab musabab yang tak munasabah dan motifnya.

Bala Bencana
5.1 – Bumi bertukar wajahnya akibat bencana
5.2 – Puak mukmin membawa diri ke gunung-gunung.
5.3 – Umat Islam mukmin yang hidup hanya 12000 lelaki, 7000 wanita..wallahualam
5.4 – Makanan berkurangan. Makanan muslim hanyalah zikrullah
5.5 – Berdoa supaya mati dari hidup yang teramat sengsara.
5.6 – Bencana melalui 4 unsur. Tanah / Air / Api / Angin. 2/3 penduduk dunia mati.

Khalifah Islam Dilantik
6.1 – Dilantik oleh ulama-ulama muktabar di Mekah ketika musim haji
6.2 – Umat Islam huru hara tanpa ketua – perasaan keluh kesah
6.3 – Puak Bani Hashim, Bani Tamim, Haris Al Harasth, Al Kalb(Golongan yang membantu Khalifah Islam memerangi kafir)Al Sufyani adalah golongan Islam Munafik

Peperangan Armegeddon (Al Mujjidun – sebuah padang rumput yg luas)
7.1 – (Islam + Kristian) vs Yahudi. Pakatan Islam + Kristian menang

Peperangan Islam Dan Kristian
8.1 – Berlaku apabila tentera salib mengatakan kemenangan kristian didalam peperangan armegeddon dan mereka berhak memerintah bumi
8.2 – Islam menang dibawah Khalifah Islam
Disaat ini Dajjal dan pengikutnya masih menyembunyikan dirinya

Pemerintahan Khalifah Islam (7-9 tahun)
9.1 – Rezeki melimpah ruah
9.2 – Haiwan Liar menjadi sahabat
9.3 – Tiada orang yg sudi menerima zakat
9.4 – Bumi mempamirkan kecantikkannya

Bangkitnya Dajjal (tenteranya/70000 org dari Isfahan/Iran)
10.1 – Turunnya Nabi Isa
10.2 – Nabi Isa bersolat berimamkan Khalifah Islam di Al Aqsa
10.3 – Cairnya wajah Dajjal tatkala melihat Nabi Isa
10.4 – Matinya Dajjal di tangan Nabi Isa
10.5 – Peperangan Khalifah dan Nabi Isa menetang Yahudi
10.6 – Pokok/batu bercakap jika yahudi berselindung
10.7 – Kemenangan untuk Islam

Wafatnya Khalifah Islam (Nabi Isa menjadi Khalifah di muka bumi selama 40 tahun)
11.1 Semua manusia wajib menerima Islam.
11.2 Pembunuhan babi di muka bumi
11.3 Turunnya Yaajud Maajud dari ‘atas’- sukar difahami maksudnya
11.4 Nabi Isa membawa Umat Islam ke Bukit Tursina dan berdoa untuk selamatkan Ummah dari Yaajud Maajud
11.5 Kematian Yaajud dan Maajud melalui wabak penyakit. Bumi menjadi busuk
11.6 Hujan Lebat membawa mayat Yaajud Maajud ke laut membersihkan bumi.

Wafatnya Nabi Isa
12.1 – Makamnya di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w


Kiamat Bermula
* Al Quran diangkat
* Nama Allah tidak disebutkan lagi
* Gempa Bumi Tiga penjuru
* Keluarnya Binatang yang berbulu berkata-kata
* Penzinaan di tepi tepi jalan/pasarraya
* Asap dari bumi
* Musnahnya Makkah dan Baitullah
* Semua Umat Islam dimatikan
* Matahari Naik di sebelah Barat
* Api dari barat. Manusia berbondong-bondong kearahnya
Kiamat Kubra : Pengakhiran masa / Pengakhiran kehidupan makhluk
* Berkecainya alam semesta – bumi dan planet planet
* Mati sekalian manusia, jin, iblis, syaitan
* Mati sekalian Malaikat dan yang terakhir adalah Izrail
* Mahsyar
  
 Dimanakah kita?

Sumber: tranungkite.net

Template by:
Free Blog Templates