Thursday, September 29, 2011

Ghibah @ Mengumpat


Apakah ghibah atau mengumpat ? Iaitu mengucapkan perkataan (atau dengan gerak badan, mata, tulisan dsbnya) sesuatu yang tidak
disukai pada diri orang lain. Tidak kira samada yang tidak disenangi itu ada pada tubuh badannya, gerak lakunya, agamanya dan sebagainya.

Menurut al-Ghazali, definasi ini adalah yang telah diijma'kan oleh kaum muslimin (tiada seorangpun membangkang) . Maksudnya, mereka bersepakat mengatakan bahawa inilah dia definasi ghibah. Ghibah, dalam bahasa Melayu kita disebut mengumpat. Iaitu menceritakan keburukkan orang lain di belakangnya.

Hukum Ghibah (Mengumpat)

Umat Islam seluruhnya juga telah ijma' mengatakan bahawa hukum ghibah adalah haram. Sebahagian dalilnya ada termaktub pada ayat al-Quran dan hadis di atas. Dan terdapat di dalam sebuah hadis di mana Rasulullah s.a.w. mengatakan bahawa orang yang mengutuk orang Islam yang lain sebagai fasik (lihat min fathil mubtadi bi syarhi muhktasar al-zabidi).

Dan siksaannya amat berat sekali, kerana ia adalah termasuk antara dosa-dosa besar. Dalam sebuah hadis ada menceritakan bagaimana dua orang ahli kubur sedang disiksa. Yang seorang gemar menyampaikan aib orang dan yang seorang lagi tidak bersuci dengan sempurna selepas kencing (lihat hadis berkenaan riwayat Bukhari).

Namimah pula ialah mengadu domba. Iaitu menyampaikan perkataan orang lain untuk membuatkan kedua-dua belah pihak berkelahi.

Jadi, apabila hukum ghibah dan namimah itu haram, maka menasihati orang yang melakukan ghibah adalah wajib. Jika tidak berdaya hendaklah beredar dari majlis berkenaan. Jika tidak berdaya juga, hendaklah engkar di dalam hati.

Ghibah(mengumpat) diperbolehkan
Hukum ghibah adalah haram. Ini adalah hukum asal. Atas alasan-alasan syarak ia diperbolehkan. Apakah alasan syarak itu. Iaitu mahu mencapai satu-satu tujuan yang benar menurut pertimbangan syarak, di mana jika tidak melalui cara itu tujuan itu tak mungkin akan tercapai. Walaubagaimanapun, jika ada cara lain seboleh-bolehnya gunakan cara berkenaan. Elakkan ghibah


Untuk membela diri. Adalah dibenarkan jika:
a) atas tujuan yang dibenarkan oleh syarak
b) Jika tiada jalan lain melainkan dengan membuka aib orang lain.
Contohnya, saudara telah dituduh mencuri, sedangkan saudara tahu siapa yang mencuri. Saudara terpaksa mempertahankan diri dengan berkata benar. Ini biasa berlaku di mahkamah. Mahkamah terpaksa membuka aib mereka yang terbabit untuk tujuan yang dibenarkan oleh syarak, iaitu membuktikan benar atau salahnya orang yang dituduh (mencari penjenayah).

Di bawah ini saya senaraikan enam tempat yang dibenarkan ghibah. Saudara boleh timbangkan dengan masalah yang saudara hadapi:

Pertama: Mahu mengadu kepada qadhi, polis, imam, ketua kampung dsbnya kerana teraniaya. Ketika mengadu tidak boleh tidak kita terpaksa membuka kezaliman yang telah dilakukan terhadap kita. Dengan membuka keburukan orang berkenaan, barulah pengadilan dapat dilaksanakan.

Kedua: Mahu mencegah kemunkaran dan kemaksiatan yang berlaku. Keburukan pelaku maksiat itu boleh diceritakan kepada seseorang yang dapat diharapkan boleh menghindarkan kemungkaran itu. Seperti saudara melihat sebahagian anak-anak muda di kawasan saudara membawa perempuan ajnabi balik ke rumahnya (berkhalwat) . Saudara hendaklah mencari seseorang yang boleh diharapkan dapat menghalang perkara berkenaan. Saudara dibenarkan menceritakan perihal anak-anak muda itu kepadanya.

Ketiga: Meminta fatwa dari alim-ulamak. Contohnya dalam masalah rumahtangga, jika si suami melakukan sesuatu yang tidak baik kepada isterinya (contoh: tidak beri nafkah), dia boleh mengadu hal kepada ulamak/mufti meminta fatwa. "Suami saya tidak memberi saya nafkah selama sekian lama. Apa hukumnya dia melakukan demikian. Apakah yang harus saya lakukan?"

Keempat: Memberi peringatan (agar berhati-hati) dan nasihat kepada kaum muslimin tentang kejahatan seseorang. Bahkan jika dapat memberi mudarat kepada seseorang, wajib kita jelaskan keburukkannya. Contoh, apabila seseorang datang kepada saudara meminta nasihat tentang perkahwinan anak perempuannya. Apakah wajar dikahwinkan dengan si fulan? Sedangkan saudara tahu bahawa si fulan itu adalah seorang yang buruk akhlaknya dan bejat agamanya. Jika memadai dengan kata 'JANGAN', hendaklah saudara mengatakan begitu sahaja. Jika dirasakan tidak cukup, wajiblah saudara membuka aibnya.

Kelima: Mencela orang yang secara terang-terangan melakukan kefasikkan, bid'ah dan kezaliman. Contoh, seorang yang secara terang-terangan meminum arak, atau berjudi, atau melaksanakan projek-projek batil. Yang dibenarkan hanyalah menyebutkan kemaksiatan yang dilakukan secara terang-terangan itu sahaja. Dan diharamkan menyebutkan aib-aib lain.

Keenam: Untuk mengenalkan seseorang. Jika seseorang itu memang dikenali dengan julukkan si tempang, si buta dan sebagainya, boleh saudara menyebutkan jolokkan itu dengan niat mengenalkan. Haram jika dengan niat mencemuh. Walaubagaimanapun selagi boleh mengelakkan menyebut julukkan itu, elakkan..

Dalil:
Firman Allah Taala:
"Allah tidak suka kepada perkataan yang tidak baik diperdengarkan, kecuali dari orang-orang yang teraniaya..." (al-Nisaa', ayat 148)

Hadis:
"Aisyah r.a. berkata: Seseorang datang minta izin kepada nabi s.a.w. (masuk ke rumah). Lalu nabi s.a.w. bersabda: Izinkanlah. Dia adalah sejahat-jahat orang di kalangan kaumnya." (riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis:
"Aisyah r.a. berkata: Hindun binti Uthbah (isteri Abu Sufian) berkata kepada nabi s.a.w.: Sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut dan tidak memberi cukup belanja kepada ku dan anak-anakku, kecuali kalau saya ambil di luar pengetahuannya. Nabi s.a.w. menjawab: Ambillah secukupmu dan ank-anakmu dengan sederhana." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis:
"Fatimah binti Qais berkata: Saya datang kepada Nabi s.a.w. bertanya tentang dua orang yang meminang saya, iaitu Abu Jahm dan Muawiyah. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Adapun Muawiyah, dia adalah seorang yang miskin, manakala Abu Jahm, dia adalah seorang yang suka memukul isteri." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. ada menceritakan keburukkan orang lain untuk mencapai maksud yang dibenarkan oleh syarak. Dan tiada pilihan lain melainkan memberitahu aib orang berkenaan.
Wallahu'alam..

Rujukan:
Untuk mengetahui lebih lanjut dan terprinci lagi mengenai ghibah sila rujuk al-Ihya' Ulumuddin - al-Ghazali & al-Azkar - Imam al-Nawawi. Untuk mereka yang tidak dapat membaca kitab asalnya yang berbahasa Arab, bolehlah dapatkan terjemahan kedua-duanya.






Tuesday, September 27, 2011

Doa Intipati Segala Ibadah


Hadith: RASULULLAH s.a.w bersabda yang maksudnya: "Tiadalah di atas dunia ini seorang Muslim yang berdoa melainkan akan diperkenankan Tuhan atau dipalingkan daripadanya kejahatan selama dia tidak berdoa perkara-perkara yang berdosa atau membuat perkara yang memutuskan tali persaudaraan. Lantas seorang lelaki berkata: Kalau begitu kita perbanyakkan doa? Jawab baginda: Di sisi Allah (penerimaan) lebih banyak." Riwayat at-Tirmizi

Pengajaran hadith:
i) Setiap umat Islam dituntut supaya berdoa kerana doa adalah inti pati kepada segala ibadah. Orang yang enggan berdoa dianggap sebagai orang yang sombong, takbur dan bongkak.
ii) Ketika berdoa, kita hendaklah peka kepada apa yang didoakan (dipohon), janganlah berdoa dengan mulut sahaja sedangkan hati kita lalai. Sebaliknya hadirkan hati serta hayati apa yang dipohonkan itu serta yakin bahawa Allah akan menerima doa tersebut kerana sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan memperkenankan doa orang yang hatinya lalai dan alpa.
iii) Supaya doa dimakbulkan, hendaklah kita mematuhi adab-adab berdoa serta memilih masa dan tempat yang sesuai kerana Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya selama mana apa yang diminta itu merupakan perkara-perkara yang baik. Begitu juga Allah yang sifat-Nya yang Maha Pengampun tidak akan menolak doa hambanya yang beristighfar dan berdoa memohon keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.

Sumber
: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia





Sunday, September 25, 2011

Sentiasa Memberi Yang Terbaik


  1. Menyedari akan benarnya sebuah kematian di hujung perjalanan, maka marilah kita menghargai kehidupan ini.
  2. Biar pun kehidupan di dunia ini sangat pendek, namun ia menentukan kehidupan tanpa sempadan usia kita di Sana nanti. Biar pun kata sesetengah orang hidup ini sementara, namun hakikatnya kesan perbuatan kita kekal selama-lamanya.
  3. Justeru lakukanlah yang terbaik demi menghargai peluang yang ada dalam kehidupan yang singkat ini.
  4. Sebagai contoh, seorang suami teringin memakan ayam masak merah. Si isteri memasak acuh tidak acuh sedangkan bibik masak dengan bersungguh-sungguh. Tentu sahaja ayam masak merah kedua itu yang lebih menarik perhatian untuk dijamah. Ia adalah fitrah manusia yang memilih segala yang terbaik jika diberi peluang.
  5. Fitrah manusia sukakan yang terbaik
  6. Namun bolehkah kita mengharapkan yang terbaik jika tidak memberi yang terbaik? Pepatah menyebut, “what you give you get back
  7. Melakukan yang terbaik adalah semangat Islam dalam semua pekerjaan. Acuh tidak acuh atau budaya melepaskan batok di tangga bertentangan dengan tatacara Islam dalam menilai perbuatan.
  8. Berhakkah Allah menghendaki yang terbaik daripada kita? Sudah tentu kerana Allah telah memberikan yang terbaik kepada kita.
  9. Kontraktor yang dilantik dengan bekalan alat binaan terbaik, pekerja terbaik, sudah tentu majikan menjangkakan hasil yang terbaik.
  10. لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم
__._,_.___





Wednesday, September 21, 2011

Wudhu zahir&batin

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk
solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk
dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya,
demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam
dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air".

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
1.aku sedang berhadapan dengan Allah,
2.Syurga di sebelah kananku,
3.Neraka di sebelah kiriku,
4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan
menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku,
kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian aku
rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh
pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat
selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya
yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

"Bertakwalah kepada ALLAH di mana kau berada & sambunglah perbuatan jahat itu dgn kebaikan supaya terhapus (kejahatannya), & bergaullah sesama manusia dgn budi yg baik (akhlak yg baik)."
[ Riwayat At-Tirmidzi ]






Monday, September 19, 2011

Adab berpakaian menurut Islam


Sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai kerana pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu Muslim sebenar.

ISLAM tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian untuk dipakai, baik ketika beribadah atau di luar ibadat. Islam hanya menetapkan bahawa pakaian itu mestilah bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

Di dalam Islam ada garis panduan tersendiri mengenai adab berpakaian (untuk lelaki dan wanita) iaitu:

1. Menutup aurat
AURAT lelaki menurut ahli hukum ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, tapak tangan dan tapak kakinya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Paha itu adalah aurat." (Bukhari)

2. Tidak menampakkan tubuh
PAKAIAN yang jarang sehingga menampakkan aurat tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampak warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liukkan badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk.
Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh." (Muslim)

3. Pakaian tidak ketat
TUJUANNYA adalah supaya tidak kelihatan bentuk tubuh badan

4. Tidak menimbulkan riak
RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah SWT tidak akan memandangnya pada hari kiamat." Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti." (Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'iy dan Ibnu Majah)

5. Lelaki, wanita berbeza
MAKSUDNYA pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud: "Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan." (Bukhari dan Muslim)
Baginda juga bersabda bermaksud: "Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki." ・(Abu Daud dan Al-Hakim).

6. Larangan pakai sutera
ISLAM mengharamkan kaum lelaki memakai sutera. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat." (Muttafaq 'alaih)

7. Melabuhkan pakaian
CONTOHNYA seperti tudung yang seharusnya dipakai sesuai kehendak syarak iaitu bagi menutupi kepala dan rambut, tengkuk atau leher dan juga dada. Allah berfirman bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." ・(al-Ahzab:59)

8. Memilih warna sesuai
CONTOHNYA warna-warna lembut termasuk putih kerana ia nampak bersih dan warna ini sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah SAW. Baginda bersabda bermaksud: "Pakailah pakaian putih kerana ia lebih baik, dan kafankan mayat kamu dengannya (kain putih)." (an-Nasa'ie dan al-Hakim)

9. Larangan memakai emas
TERMASUK dalam etika berpakaian di dalam Islam ialah barang-barang perhiasan emas seperti rantai, cincin dan sebagainya.
Bentuk perhiasan seperti ini umumnya dikaitkan dengan wanita namun pada hari ini ramai antara para lelaki cenderung untuk berhias seperti wanita sehingga ada yang sanggup bersubang dan berantai.
Semua ini amat bertentangan dengan hukum Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Haram kaum lelaki memakai sutera dan emas, dan dihalalkan (memakainya) kepada wanita."

10. Mulakan sebelah kanan
APABILA memakai baju, seluar atau seumpamanya, mulakan sebelah kanan. Imam Muslim meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud: "Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai kasut, berjalan kaki dan bersuci."Apabila memakai kasut atau seumpamanya, mulakan dengan sebelah kanan dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila seseorang memakai kasut, mulakan dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang pertama memakai kasut dan yang terakhir menanggalkannya. " (Riwayat Muslim).

11. Selepas beli pakaian
APABILA memakai pakaian baru dibeli, ucapkanlah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi yang bermaksud:
"Ya Allah, segala puji bagi-Mu, Engkau yang memakainya kepadaku, aku memohon kebaikannya dan kebaikan apa-apa yang dibuat baginya, aku mohon perlindungan kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan apa-apa yang diperbuat untuknya. Demikian itu telah datang daripada Rasulullah".

12. Berdoa
KETIKA menanggalkan pakaian, lafaz- kanlah: "Pujian kepada Allah yang mengurniakan pakaian ini untuk menutupi auratku dan dapat mengindahkan diri dalam kehidupanku, dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia.
"Sebagai seorang Islam, sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai menurut tuntutan agamanya kerana sesungguhnya pakaian yang sopan dan menutup aurat adalah cermin seorang Muslim yang sebenar.

・Sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).





Sunday, September 18, 2011

Tok Imam Dan 20 Sen

"Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid

Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.

Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.

"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya.

"Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," kata Imam tersebut.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti.

Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.

"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.

Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"

Sahabat-sahabatku sekalian...

Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam.

Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan yang baik.

Rujukan: iluvislam



Tuesday, September 13, 2011

Puasa Sunat Enam Syawal


Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, syari‘at Islam juga membuka peluang kepada sesiapa yang ingin berpuasa di luar bulan Ramadhan. Ia disebut sebagai puasa sunat dan terbahagi kepada beberapa jenis. Puasa-puasa sunat adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Rasulullah s.a.w. bersabda, bahawa Allah s.w.t. berfirman (Hadis Qudsi):

“Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah melanjutkan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1151 (Kitab al-Siyam, Bab keutamaan berpuasa)] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Para pembaca boleh merujuk ke kitab al-Shahih al-Musnad min Fadhail al-Amal susunan Syaikh Ali bin Muhammad al-Maghribi (Dar Ibn ‘Affan, Riyadh, 2000). Di antara jenis puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Puasa sunat inilah yang akan saya kupas dalam risalah ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Dalilnya ialah hadis Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal)]

Darjat Hadis Puasa Sunat Enam Syawal.
Hadis yang menjadi dalil puasa sunat enam Syawal adalah sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Sebelum ini ada segelintir pihak yang meragui kesahihan hadis ini. Keraguan tersebut adalah sia-sia kerana hadis ini diriwayatkan dari beberapa sahabat dan memiliki banyak jalan periwayatan. Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam menjelaskan:

“Hadis ini nyata kesahihannya, ia datang dengan tiga jalan periwayatan selain jalan di atas (yang dikemukakan oleh Imam Muslim). Ia juga diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dengan tiga wajah (yang berlainan) sehingga dikatakan: Sesungguhnya ia adalah hadis mutawatir. Ini kerana al-Dimyathi telah menghimpun semua jalan periwayatan hadis ini dan sanadnya dari dua puluh orang perawi, kebanyakan mereka hafiz dan thiqat.” [Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 533]

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.
Hukumnya adalah sunat sebagaimana jelas Syaikh Abdullah al-Bassam: “Disunatkan berpuasa enam hari (dibulan Syawal), ini merupakan mazhab al-Salaf dan al-Khalaf serta jumhur ilmuan, termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi’e dan Imam Ahmad.” [Taudhih al-Ahkam, jld. 3, ms. 533]

Imam Malik menganggap hukumnya makruh. Sebabnya dijelaskan oleh Imam Ibn Rusyd (595H): “Dan ada pun (puasa) enam hari dari bulan Syawal, maka sesungguhnya telah sabit bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” Walaubagaimana pun (Imam) Malik menganggap hukumnya makruh. (Anggapan ini) mungkin kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan, atau mungkin kerana hadis tersebut tidak sampai kepadanya, atau mungkin kerana hadis itu tidak sahih disisinya. Kemungkinan yang terakhir adalah yang lebih tinggi.” [Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtashid (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 209]

Sebahagian ilmuan dari Mazhab Hanafi ada juga yang menganggap hukumnya makruh atas sebab-sebab yang sama dengan Mazhab Maliki. Akan tetapi jumhur Hanafiyah menganggapnya tidak mengapa, yakni membolehkannya. [Ibn ‘Abidin – Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar fi Syarh Tanwir al-Abshor (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn), jld. 3, ms. 435]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri berkata: “Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1991 (Kitab al-Shaum, Bab berpuasa pada hari Aidil Fitri).]

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Hanya saja terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan: Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara rambang?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.

Walaubagaimana pun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan keumuman firman Allah s.w.t.: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Ali Imran 3:133]

sumber : http://hafizfirdaus.com



Thursday, September 8, 2011

BERBAIK SANGKA


MANUSIA HARI INI SUKA BERSANGKA-SANGKA ADA YANG BERSANGKA BAIK......... ADA YANG BERSANGKAAN BURUK......
orang beribadah disangka riak
orang yang relex disangka malas
orang yang pakai baju baru disangka menunjuk
orang yang pakai baju buruk disangka zuhud ( hina)

orang makan banyak disangka perlahap

orang makan sikit di sangka kedekut
orang buat baik disangka buruk

orang buat buruk disangka baik
orang senyum disangka mengejek

orang masam disangka merajuk

orang bermuzakarah disangka mengumpat
orang diam disangka sombong

orang menawan disangka pakai susuk orang yang ceria disangka membela

Mana tau yang diam itu kerana berzikir pada ALLAH
Mana tau yang senyum itu bersedekah pada ALLAH
Mana tau yang masam itu kerana mengenangkan dosanya
Mana tau yang menawan itu kerana bersih hatinya
Mana tau yang ceria itu kerana cergas dan cerdasnya
Jauhilah sikap suka bersangka-sangka ia bakal memusnahkan ukhwah seperti musnahnya kayu dimakan api..... Satu benda yang kita lihat, macam -macam kesimpulan yang boleh kita buat. Semuanya bergantung bagaimana kita melihatnya....

" TEGAKKAN ISLAM DALAM DIRI KAMU, NESCAYA ISLAM AKAN TERTEGAK DI ATAS BUMI INI "




Tuesday, September 6, 2011

Renungan DiHari Raya





Template by:
Free Blog Templates