Sunday, November 20, 2011

Aku rasa aku tak salah ... ???


Aku rasa aku tak salah jika ada bencana alam yang melanda dunia, iyalah, bukan aku yang jadikan banjir, gempa bumi dan semua bencana.

Tapi sebenarnya salah aku kerana aku membuat maksiat, lalai dari mengingati yang bahawanya tugas aku sebagai khalifah di bumi Allah. Aku tidak ingin merubah diri sendiri dan orang lain sampai Allah murka dan menurunkan bala kepada umat manusia.


Aku rasa aku tak salah jika maksiat, zina, buang bayi berlaku tiap-tiap hari dan makin meningkat setiap masa, iyalah, bukan aku yang lakukan hal terkutuk itu. Aku buat kerja aku sahaja.

Tapi sebenarnya salah aku kerana aku tak mahu peduli tentang masyarakat. Tidak mahu menjadi contoh yang baik agar masyarakat beringat menjauhi maksiat. Aku sendiri banyak mengikut budaya-budaya barat dan aku sendiri meremehkan hubungan lelaki dan perempuan sebelum nikah sampai tanpa tak sedar dengan bertambahnya orang macam aku, membuat orang yang lain berasa tidak malu untuk ke arah zina dan berzina.

Aku rasa aku tak salah jika orang lain mengata buruk tentang aku, iyalah, mulut org kan. Payah nak tutup. Aku buat hal aku sudah.

Tapi sebenarnya aku salah kerana aku membiarkan orang lain berperangai buruk dan kerana sikap endah tak endah aku dan tidak mahu memaafkan, menasihati orang dan tidak menunjukkan kebaikan pada orang itu serta lari dari mendekati orang tersebut, membuat ramai yang lainnya terpalit dan terkena dengan kejahatan orang itu. Makin ramai orang yg merasa sakit hati kerana sikap 'ego' aku itu.

Aku rasa aku tak salah jika orang-orang Kafir memusuhi masyarakat Islam. Orang-orang kafir melakukan kekejaman ke atas orang Islam. Iyalah, memang dah dasar Kafir, memang jahat!

Tapi sebenarnya aku salah kerana aku sendiri yang tidak mahu berdakwah walaupun sekecil-kecil dakwah dan tidak pernah punya rasa untuk menunjukkan Islam itu baik kepada orang-orang Kafir. Aku terus-terusan hina dan benci orang Kafir tanpa aku sendiri melakukan ikhtiar untuk merubah diri sendiri dan masyarakat agar orang Islam dapat membuktikan bahwa Islam itu baik dan tidak membebankan. Pernahkah aku berusaha?

Aku rasa aku tak salah jika kemiskinan melanda dunia. Iyalah, dah mereka miskin, siapa suruh tak belajar rajin-rajin, belajar tinggi-tinggi.

Tapi sebenarnya aku salah kerana aku sendiri sombong dan sangat berkira jika ingin menghulurkan bantuan kepada mereka. Aku sering memboroskan duit aku kepada hal-hal yang sia-sia dan tidak penting.
Padahal duit itu hanyalah untuk nafsuku, mengapa tidak untuk saudara-saudaraku yang sedang menderita? Aku makan enak-enak setiap hari, jika tidak dapat yg enak, aku marah padahal aku dah selalu makan enak-enak, si miskin tidak pernah sekali pun merasa keenakkan makanan yang aku makan. Mengapa aku merasakan mereka tidak ada kena mengena dengan aku? Bukankah kita semua berasal dari Adam yang sama?


Aku rasa aku tak salah jika aku berkata tentang keburukan orang dan mengiyakan setiap keburukan orang lain yang diceritakan kepada ku. Iyalah, dah memang jahat, nak bela buat apa? Biarlah dia. Tak ada kena mengenapun dengan aku. Aku tak jahat macam dia.

Tapi sebenarnya aku salah kerana bermula dari aku, dan pertambahan aku sebagai orang-orang yang mengatakan dan mengiyakan keburukan orang tersebut, orang lain turut sama membenci orang itu. Semakin hari berkurangnya orang yang mendekati dia dan dia berasa tertekan dan membuatkan dia tidak mahu berubah dan sikapnya menjadi semakin buruk kerana tidak ada yang mahu menasihati dan menyayangi.
Dan semakin ramai yang sakit hati serta tiada keharmonian dalam masyarakat. Orang-orang menjadi semakin liar dan tidak mustahil sikap suka mengumpat juga berkembang pada orang lain. Aku telah memupuk budaya tidak sihat itu! Sebenarnya aku juga dua kali lima jahat.

Aku rasa aku tak salah kerana tidak menutup aurat dan tidak menutup aurat dengan baik. Iyalah, aku tengok semua orang biasa sahaja buat macam itu. Tak ada apa-apa pun. Ia kan kebebasan berpakaian namanya.

Tapi aku salah kerana aku telah membuka peluang mata-mata gatal yang tidak mahu menjaga pandangan. Salah aku kerana kerana dari aku dan bertambahnya orang macam aku, telah menaikkan nafsu manusia yang selama ini teguh, lama-kelamaan meruntuh! Dari kerana aku, yang lain tertarik mengikut sikap tidak menutup aurat aku dan mereka menjadi mangsa nafsu buas manusia! Puncanya aku, kejamnya aku!

Aku rasa aku tak salah setiap masa.

Tapi sebenarnya aku salah lebih berganda-ganda setiap masa. Kerana aku tidak pernah ambil peduli. Pantaslah neraka yang sehina-hina tempat kembali jika aku masih tidak mahu berubah.

Astaghfirullah!

sumber - Artikel iluvislam.com






0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates