MANUSIA dilahirkan dalam keadaan fitrah tetapi kerana perbuatannya
sendiri yang berlawanan dengan acuan ajaran Islam atau perintah Allah,
maka terpalit dosa.
Kita sebagai manusia biasa harus menerima hakikat kita tidak pernah
terlepas daripada kesalahan serta kekhilafan yang dipengaruhi oleh
suasana lingkungan, bisikan syaitan dan kehendak nafsu. Disebabkan itu,
apabila melakukan kesalahan, kita perlu segera bertaubat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap Bani Adam itu bersalah dan berdosa, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang bertaubat.”
Bagi hati yang dipenuhi keinsafan, sudah tentu tidak mahu berterusan
berada dalam dosa, sepanjang waktu berusaha mencari jalan membersihkan
diri dengan bertaubat supaya dapat beralih daripada kegelapan kepada
cahaya hidayah.
Bertaubat adalah suruhan Allah dan amalan rutin Rasulullah SAW yang
wajib dilaksanakan segera tanpa berlengah. Malangnya suruhan ini
dipandang sepi dengan alasan ‘masa masih panjang lagi.’
Alasan itu sangat dangkal dan jahil kerana taubat bukan khusus untuk
golongan tua kerana kematian tidak mengira usia. Persoalannya apakah
kita boleh hidup sampai tua? Kita sedia maklum orang yang sengaja
melambat-lambatkan memohon ampun dan bertaubat akan berdepan dua bahaya
besar.
Pertama, hatinya penuh dengan karat akibat perbuatan maksiat atau
keingkaran dilakukan tanpa henti kepada Allah sehingga menjadi sangat
susah untuk mengikis dan menghapuskannya.
Kedua, maut atau penyakit datang sebelum sempat ia membersihkan karat
di hati, ia menemui Allah SWT dalam keadaan hatinya penuh kekotoran
dosa dan pasti menyeretnya kepada suasana hidup tidak selamat di akhirat
nanti.
Oleh itu, apabila menyedari telah melakukan dosa, maka segeralah
minta ampun daripada Allah SWT dengan bertaubat. Orang yang bertaubat
atas dasar kerelaan, keinsafan, ikhlas hati dan bersungguh-sungguh
hendaklah yakin Allah SWT pasti menerima taubatnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang bertaubat
sesudah melakukan kejahatan, memilih jalan lurus, maka sesungguhnya
Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang.” (Surah AI-Maidah, ayat 39)
Ni’mat Shidqi dalam bukunya Pembalasan: Syurga atau Neraka berkata,
ayat 82 surah Toha meletakkan syarat mengenai taubat iaitu memilih jalan
yang benar, mengerjakan amalan soleh untuk menebus kesalahan lalu,
meninggalkan kejahatan dan menukar sikap dari buruk kepada baik.
Sebelum penyesalan menjadi tidak berguna dan tangisan menjadi
sia-sia, kita hendaklah bersikap positif iaitu segera bertaubat dan
terus giat melakukan kebaikan secara berterusan.
sumber : www.islamituindah.my
0 comments:
Post a Comment