Allah SWT berfirman dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai
orang-orang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan
kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa”.
Puasa adalah satu ibadah yang penting dalam Islam. Melaksanakan
ibadah ini boleh menyuburkan kerohanian seseorang serta dapat mendidik
hawa nafsu. Puasa mempunyai hikmah yang besar dan matlamatnya adalah
menjadikan seseorang itu bertakwa.
Takwa adalah satu kalimah yang merangkumi semua sifat yang terpuji,
dilakukan oleh setiap Muslim, sama ada zahir dan batin. Sifat takwa juga
berfungsi sebagai penjaga dalam setiap tindak-tanduk seorang Muslim
agar tidak melanggar perintah Allah SWT.
Melaksanakan ibadah puasa, dapat mengawal seseorang terjerumus
maksiat dan kemungkaran kerana orang yang berpuasa sanggup mengawal
tuntutan naluri yang berkehendakkan kepada makanan, minuman dan menahan
diri dari melakukan perkara-perkara tidak berfaedah seperti membuang
masa, berdusta, mengumpat, berbual kosong dan lain-lain lagi.
Oleh itu jiwa manusia akan meningkat ketinggian dari alam kehidupan
keduniaan kepada alam kehidupan kerohanian. Bagi mencapai matlamat
tersebut, Rasulullah SAW menasihati umatnya dalam sebuah hadis
bermaksud: “Puasa itu perisai, apabila salah seorang daripada kamu
sedang berpuasa, maka janganlah mengeluarkan kata-kata keji (kotor),
jangan menimbulkan suasana tegang. Jika ada seseorang memakinya atau
mahu membunuhnya maka katakanlah: sesungguhnya aku sedang berpuasa”.
Selain itu puasa juga boleh memupuk dan menyuburkan lagi sifat amanah
dalam diri seseorang kerana dengan berpuasa dapat mendekatkan diri
dengan Allah SWT dalam setiap pekerjaan dilaksanakan.
Amanah adalah salah satu sifat daripada sifat-sifat mulia. Ia sangat
penting diamalkan setiap anggota masyarakat tidak kira pemimpin mahupun
rakyat, pemimpin organisasi mahupun orang yang dipimpin. Ada antara kita
yang tidak begitu jelas dalam memahami pengertian amanah. Mereka
beranggapan ia hanya terbatas kepada usaha menjaga harta orang lain yang
diletakkan di bawah jagaannya.
Menurut pandangan Islam amanah ialah mengerjakan semua yang disuruh
Allah dengan penuh keikhlasan dan ketaatan serta menjauhi setiap perkara
ditegah, sama ada ketika beribadah kepada Allah mahupun bermuamalah
dengan masyarakat.
Amanah paling utama diwajibkan ke atas setiap Muslim ialah untuk
menunaikan ibadah yang ditaklifkan kepada manusia oleh syarak seperti
solat fardu, berpuasa Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji.
Sekiranya seseorang itu cuai dalam melaksanakan ibadah yang difardukan
ke atasnya, maka individu berkenaan telah mengkhianati amanah dan
tanggungjawab diperintahkan oleh Allah SWT.
Begitu juga dengan mata kita, ia adalah amanah Allah kepada hambanya
yang dipinjamkan untuk kita manfaatkan kegunaannya dengan sebaik
mungkin. Orang yang betul-betul amanah menjaga matanya pasti orang itu
tidak akan salah gunakan mata untuk memandang perkara diharamkan.
Kesihatan adalah amanah, akal adalah amanah, kehormatan juga adalah
amanah. Begitu jugalah dengan semua anggota badan kita yang lain, kita
perlu menjaga dan memeliharanya dengan cara menggunakannya untuk sesuatu
yang berfaedah dan bermanfaat bukannya untuk perkara yang sia-sia dan
dilarang syarak.
Sebenarnya kehidupan manusia ini semuanya adalah amanah Allah yang
sepatutnya dijaga dengan sebaiknya terhindar dari kebinasaan. Firman
Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 36 bermaksud: “sesungguhnya
pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap
akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.
Oleh itu, dalam bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita
sama-sama membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang keji (mazmumah) dan
hiasilah jiwa kita dengan sifat yang terpuji (mahmudah). Seterusnya kita
berusaha untuk mengerjakan segala perintahnya dan meninggalkan segala
larangannya.
0 comments:
Post a Comment