Fenomena baharu sejak kebelakangan ini apabila ramai dari kalangan
artis, selebriti mula memakai tudung selepas ‘puas’ berada dalam bentuk
free hair. Gambar free hair mereka sebenarnya sudah terlalu banyak
terpapar di internet.
Alhamdulillah, iman yang masih ada dalam diri masih menjerit-jerit
secara halus meminta supaya mereka kembali kepada fitrah. Di antara
fitrah itu ialah menutup aurat mereka terutama dari kalangan wanita. Ia
bukan kongkongan tetapi bermaksud membimbing masyarakat nmenjadi baik.
Bagi mereka yang belum insaf, maka ambillah peluang lebih awal
sebelum gambar-gambar free hair dan ‘berpakaian tapi bertelanjang’
mereka terpampang dengan banyaknya dalam internet.
Bagi mereka yang mula sedar dan insaf, kita ucapkan tahniah dan terus
Istiqamah dengan bertudung. Cuma satu perkara yang mesti difahami oleh
semua ialah apabila seorang wanita Islam mula bertudung, maka ia
sebenarnya baharu kembali kepada fitrah dan bukanlah bermakna ia sudah
menjadi ‘malaikat’.
Menutup aurat sebenarnya mesti melihat pelbagai aspek-cara bertudung,
jenis pakaian, cara berinteraksi, perangai lama yang masih ada,
termasuk konsep tabarruj yang masih jauh dilaksanakan oleh ramai wanita
Islam. Sekali lagi ingin saya tegaskan, semua hukum ini tidak bermaksud
mengongkong wanita Islam tetapi ia adalah sebagai tanda iman, tanda
tunduk kepada perintah Allah, tanda menundukkan nafsu di bawah kehendak
Allah dan tanda wanita itu menjaga maruah dan harga dirinya.
Justeru, Kempen Setahun Menjaga Aurat Sepanjang Hayat yang
dilancarkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Persatuan
Persaudaraan Muslimah Negeri Kedah (Salimah) dan Badan Gabungan NGO
Islam Kedah (Wehdah) yang bermula sehari dua ini sangat-sangat dialukan.
Kempen bertemakan “Menjaga Aurat, Hidup Berkat, Masyarakat Selamat”
mesti disokong sepenuhnya oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta
masyarakat seluruhnya.
Harakahdaily melaporkan Kempen Jaga Aurat Sepanjang Hayat akan
menyebarkan maklumat dan kesedaran ke seluruh masyarakat Islam agar
menghayati hikmah dan manfaat menjaga aurat dalam membina watak
masyarakat Islam yang bermaruah, berakhlak dan berprinsip.
Sebagaimana laporan, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata,
walaupun memakai tudung di kalangan wanita Islam kelihatan sangat meluas
dewasa ini, namun pakaian tudung dengan segala bentuk dan corak yang
difahami oleh masyarakat telah menghilangkan makna menutup aurat seperti
yang ditekankan dalam Islam. Beliau berkata, fesyen berpakaian ketat
tetapi bertudung, menggunakan tudung hanya waktu tertentu sahaja,
wujudnya kaum lelaki yang tidak menjaga aurat dalam beriadah dan berseni
adalah antara gejala yang kini berleluasa dalam masyarakat. Tudung yang
kini dilihat suatu fesyen terbaru ditanggapi hanya sebagai trend semasa
yang akhirnya memesongkan kefahaman masyarakat terhadap pengertian
sebenar menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam.
Menurutnya, kini gaya berpakaian bertudung sedang menjalani era
komersialisasi yang amat pesat sehingga ramai artis dan wanita muda
memakai tudung bukan kerana kefahaman dan penghayatan yang mendalam,
tetapi kerana ia dilihat sebagai trend.
“Kempen ini akan melibatkan seluruh lapisan masyarakat serta pelbagai
agensi dan pertubuhan Islam supaya konsep menjaga aurat dihayati dan
mencapai kesan yang sepatutnya. Ia juga akan melibatkan agensi media,
kesatuan sekerja , badan belia, pertubuhan wanita, badan professional,
badan korporat dan persatuan mahasiswa IPT,” katanya lagi.
Kempen itu, ujarnya akan melibatkan pelbagai aktiviti seperti
menyebar risalah dan poster, forum, ceramah penerangan, dialog, khutbah,
penerangan di institusi pendidikan dan demonstrasi tatacara berpakaian
dalam Islam.
Menurutnya lagi, kempen itu akan menarik institusi masjid dan surau
untuk menyertainya yang akan melibatkan seluruh institusi masjid
sebanyak lebih 500 buah di negeri Kedah.
“Memorandum khas mengenai kempen ini juga akan diserahkan kepada
kerajaan negeri Kedah, jabatan dan agensi swasta untuk mendapatkan
perakuan persetujuan dan sokongan mereka terhadap etika menjaga aurat
sebagai kod berpakaian pekerja.
Para wanita Islam sepatutnya mengingati hadis Nabi SAW “Dua golongan
dari kalangan ahli neraka, aku tidak akan memandang mereka di hari
akhirat, iaitu lelaki yang bersama mereka cemeti sambil memukul-mukul
manusia dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, berjalan sambil
menggoyangkan kepala dan badan, di atas kepala mereka seumpama bonggol
unta”.
Oleh: ustaznik - www.niknasri.com
0 comments:
Post a Comment