RAMADAN kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah
berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada
mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka. (riwayat Muslim).
Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah.
Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan
berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada
kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).
Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah.
Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.
Justeru, sekolah atau madrasah Ramadan perlulah dihayati dan dipenuhi dengan pelbagai amanah kerja yang diminta oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah.
Tanpa pendaftaran atau yuran, bulan tarbiyah dan pendidikan ini
menjanjikan kelebihan dan kemenangan kepada hamba-Nya yang bertakwa.
Benarlah janji Allah: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. (al-Naba’: 31).
Takwa secara ringkas maksudnya melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Maksud ini dilaksanakan melalui arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum.
Namun lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti
menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta
riba, berjudi dan sebagainya.
Madrasah Ramadan juga mengajar kita supaya sentiasa melakukan
kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan
tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, tarawih, tazkirah,
bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim
dan sebagainya hendaklah menjadi agenda kita sehari-harian dalam bulan
berkat ini.
Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat
tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan. Sabda Rasulullah: Sesiapa
yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan dengan keimanan dan mengharap
(keampunan), maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Walaupun pelbagai ganjaran yang boleh direbut dalam Ramadan, namun
terdapat di kalangan umat Islam di negara kita yang telah
mengkurus-keringkan pahala mereka.
Ini akibat daripada salah faham dan kesilapan tradisi dalam melakukan ibadah puasa Ramadan.
Perkara berkaitan salah faham dan kesilapan yang disebutkan dalam
rencana ini hanyalah beberapa peringatan kepada kita untuk memastikan
ibadat puasa kita diterima sepenuhnya oleh Allah. Kadang-kadang, kita
lebih mementingkan perkara-perkara kecil, sedangkan perkara yang lebih
besar tidak diberi perhatian.
Pernah zaman khalifah Umar Abdul Azi telah menguatkuasakan solat Terawih sebanyak 36 rakaat dan tiga kali witir.
Apa yang penting adalah amalan tersebut disertai dengan niat yang
ikhlas. Dua rakaat yang ikhlas lebih mulia daripada 100 rakaat yang
ujub. Pertelingkahan dalam perkara-perkara kecil dan sunat hendaklah
dielakkan demi menjaga silaturahim sesama Muslim.
Justeru, sepanjang madrasah Ramadan ini kita hendaklah mengawasi
pancaindera dengan melakukan perkara-perkara berikut bagi memenuhi
tuntutan sebenar ibadat puasa;
- Menjaga lidah daripada bercakap kosong, mengumpat, memburuk-burukkan orang lain dan sebaiknya hendaklah dibasahi dengan berzikir atau bertadarus al-Quran;
- Menjaga mata daripada melihat perkara yang diharam dan melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT;
- Menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu dan perbualan yang tidak berfaedah dan sebaiknya digunakan untuk mendengar bacaan al-Quran.
- Menjaga anggota-anggota tubuh lain seperti perut, kaki, tangan dan sebagainya. Perut semasa bersahur dan berbuka puasa hendaklah diisi dengan makan halal, baik dan mengikut sunnah. Kaki dan tangan hendaklah digunakan untuk berzikir, solat, dan melangkah ke surau atau masjid.
Dengan pengawasan dan amalan baik, insya-Allah Ramadan tahun ini
adalah yang terbaik untuk kita sebelum dijemput ke alam barzakh.
Alangkah indahnya jika kita berjaya menghabiskan tempoh latihan di
madrasah Ramadan ini dengan memperoleh ijazah takwa yang dijanjikan itu.
Beruntunglah kita di dunia dan berbahagialah kita di akhirat. Ingatlah perkhabaran Rasulullah: Orang
berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya, iaitu
kegembiraan apabila berbuka, dan apabila bertemu Tuhannya dia bergembira
dengan puasanya. (riwayat al-Bukhari).
0 comments:
Post a Comment