Perkembangan dunia teknologi sekarang memang boleh dikatakan amat
pesat, terutama dalam bidang media sosial seperti Facebook, Twitter,
blog dan sebagainya. Namun, ramai dalam kalangan kita menyalahgunakan
penggunaan laman sosial itu sendiri terutamanya Facebook yang pada
asalnya bertujuan untuk menambah kenalan baru dan menyampaikan mesej
yang baik serta melarang kemungkaran melalui Facebook.
Akibatnya, tanpa kita sedari tujuan yang pada asalnya baik telah
bertukar menjadi sesuatu perbuatan yang mengundang dosa kepada kita.
Contohnya, mendedahkan keaiban seseorang di Facebook. Terdapat beberapa
kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik
Facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap
seseorang yang dia merasa tidak puas hati. Kemudian mereka memaparkan
rasa ketidakpuasan hati itu di status mereka dan ramai kenalan yang
memberi komen.
Kebanyakan daripada penggemar Facebook suka berkongsi dan meluahkan
perasaan mereka kepada orang lain. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan
untuk menjatuhkan seseorang, bukan pula untuk tujuan membuka aib
seseorang atau untuk mencari penyelesaian. Tetapi, bagi bagi
mengurangkan beban yang ditanggung.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat
yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak
boleh sewenangnya bercerita keaiban orang lain secara terbuka sama ada
melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang
masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan
untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti
ibubapa, dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan
berpotensi mengeruhkan lagi keadaan.
Maksud firman Allah dalam ayat 12 surah al-Hujurat yang bermaksud : “Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah di kalangan kamu orang yang suka memakan daging saudaranya yang telah mati sedangkan mereka tidak menyukainya”Bertanyalah nabi s.a.w kepada mereka : Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan dengan Ghibah itu?. Lalu mereka menjawab : Allah dan rasulNya yang lebih tahu. Maka sabda nabi s.a.w : iaitu kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang dia tidak menyukainya. Kemudian nabi ditanya : bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat apa yang saya katakan tadi?. Rasulullah s.a.w menjawab : Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu telah menuduhnya ( Riwayat imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e)
Apabila kita merenungi kepada maksud ayat al-Quran dan potongan hadis
nabi maka dapatlah disimpulkan bahawa mengumpat merupakan salah suatu
dosa besar dan ia merupakan perbuatan yang tercela seolah-olah pelakunya
memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati.
Selain itu, ramai di kalangan wanita hari ini yang mempunyai akaun
Facebook. Mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan
kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai
wanita yang memuatkan gambar mereka, dengan gaya dan aksi yang pelbagai.
Kesannya, ramai lelaki yang menyamar sebagai wanita untuk menjadi
kawan dan seterusnya mendapat maklumat wanita yang ingin dikenalinya
kerana tergoda dengan gambar-gambar wanita tersebut yang seksi. Ada
dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan
menjadi ‘friend’ seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat
kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi
membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar
menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai
secara mudah tertebaran di internet, diletakkan sebagai dirinya. Melalui
cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar
wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya
telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang
orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan
‘friend’ untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut
masih terhad dan terjaga.
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah
sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam
pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up
cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal
dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi.
Alasannya? Seribu satu macam. suami pula mungkin bukan dari jenis yang
cermat untuk menegur dan menasihat.
Apa yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian
menutup aurat lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rakan lama,
tuan empunya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya
sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah
kata-kata, ‘zaman aku ekstrem’, ‘zaman solehah’, ‘waktu innocent’,
zaman-zaman suci’, ‘itu zaman kuno dulu’, ‘itu masa duduk bawah
tempurung’ dan lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila
berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi
solehah, tidak suci dan sebagainya?. Demikian juga ayat-ayat lain di
atas.? Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu.
Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan
penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti
mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang
baik.
Kesimpulannya, Facebook itu boleh menjadi sumber pahala, jika diguna
dengan cara yang betul dan ia juga boleh menjadi penambah dosa jika
digunakan tanpa ilmu.Niat untuk menguatkan ukhwah antara rakan lama,
sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan
mesra, gurauan senda antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Janganlah kita mempermainkan lagi maksud ’ukhuwah’ itu untuk berbuat
dosa. Ukhwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada
Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran.
Sumber:
RAIHANA SYAMIMI BINTI AHMAD JAMIL
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA
FAKULTI BAHASA ARAB DAN KOMUNIKASI
www.islamituindah.my
1 comments:
selamat menyambut bulan ramadhan
Post a Comment