Kadangkala
 kita mengidamkan sesuatu  berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi. 
Sebaliknya, ada yang kita  tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula 
yang berlaku. Apabila berlaku demikian hati kita pasti  terusik. Sesal, 
kesal, marah dan kekadang sangat kecewa.  Jadi bagaimana  kita harus 
menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya?
Pertama, kita perlu faham bahawa hidup  ini ada peraturannya. Salah 
satu peraturannya ialah apa yang kita hendak  tidak semuanya akan dapat 
dicapai. Inilah 'rules of life" –  sunnahtullah. Siapa yang tidak mahu 
menerima hakikat ini... maka tidak  layaklah dia hidup. Misalnya, kalau 
kita main bola, kena gunakan kaki.  Tidak boleh gunakan tangan. Siapa 
yang hendak gunakan tangan juga, maka  dia tidak layak bermain bola.
Begitulah juga dengan hidup ini. Hidup  ini satu ujian. Tidak semua 
yang kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya,  kadangkala tidak sihat. 
Yang ternama, dimusuhi orang. Yang sihat,  terputus pula kasih-sayang. 
Inilah buktinya kita masih dan terus kekal  sebagai hamba Allah. Hamba 
dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita  tidak boleh memberontak, 
kenapa jadi begini? Kenapa gagal?
Jika itulah yang selalu bermain-main di  dalam fikiran, itu petanda 
tidak puas hati. Suara berontak jiwa terhadap  ketentuan Allah. Sedarlah
 bahawa kita hamba maka buatlah kerja kita  sebagai hamba. Tuhan dengan 
ketentuan-Nya. Jadi, apabila diuji... katalah aku  ini hamba Allah. 
Layaklah aku diperlakukan seperti hamba... Terusik hati  itu biasalah, 
kita lemah. Merintih juga hati di dalam. Tetapi jangan  sampai 
marah-marah, putus asa dan kecewa.
Apa yang Allah tentukan kadangkala  kelihatan negatif pada kita, 
tetapi lama kelamaan kelihatan positif  pula... Itulah yang dikatakan 
tadi, apa yang kita sangka buruk kadangkala  baik untuk kita. Begitu 
juga sebaliknya. Katalah, kita ingin berjaya,  tiba-tiba gagal. Bukan 
tidak berusaha... Kita sudahpun berusaha, tapi  gagal juga. Apa perlu 
dibuat lagi?
Sebaiknya kita terima kegagalan itu, kita  kaji sebabnya, kemudian 
kita berusaha lagi. Rupanya dengan sebab itu,  Allah beri kita kejayaan 
yang lebih besar lagi. Contohnya, dalam  perniagaan. Kita ingin 
keuntungan besar, tetapi yang kita dapat hanya  sedikit....
Namun, kerana kegagalan itu kita berusaha  lebih gigih... akhirnya 
beberapa tahun kemudian keuntungan kita  meningkat. Sedangkan ada orang 
lain yang pada mulanya mendapat  keuntungan yang besar... tetapi 
keuntungan tidak bertambah. Mengapa?  Kerana dia mula relaks, over confident - sedangkan kita terpaksa  bertungkus-lumus akibat kegagalan yang pertama.
Bijak dan baik sungguh aturan Allah.  Benarlah kata bijak pandai, 
kegagalan itu anak tangga kejayaan. Contoh  lain, ubat. Ubat itu 
pahit... kalau kita tidak faham, kita luahkan semula.  Pahit, tidak 
tertelan oleh kita. Tetapi kerana kita faham dan yakin itu  ubat, maka 
kita telan juga walaupun pahit. Hasilnya, kita sihat.  Begitulah kita 
dengan sesuatu yang negatif, akan bertukar jadi positif  akhirnya jika 
kita pandai dan bijak menanganinya. Jadi, dalam hidup kita  harus 
belajar, yang pahit jangan cepat diluahkan, yang pedih jangan  segera 
dirungutkan... Sering ada kejayaan, kemanisan yang lebih indah  menanti 
selepasnya.
Dalam dunia hari ini ada kelompok yang  kuat berusaha tetapi longgar 
ingatannya kepada takdir Allah. Dan ada  pula golongan yang seolah-olah 
kuat kepercayaannya kepada takdir Tuhan  hingga melupakan usaha ikhtiar.
 Kita mesti bebaskan diri daripada dua  ektrem itu. Ekstrim pertama, 
bergantung kepada takdir kurang berusaha.  Ini tidak betul kerana Allah 
ada peraturan-Nya... yang dipanggil  sunnahtullah.
Dalam sunnahtullah, sesuatu perkara itu  ada sebab dan akibatnya (cause and effect).
 Untuk lulus kita perlu  belajar. Kalau kita tidak belajar, kita tidak 
akan lulus... kerana  sunnahtullah sudah menetapkan begitu. Jadi tidak 
bolehlah kita hendak  berjaya hanya dengan berdoa, solat hajat dan minum
 air penawar sahaja.  Ini  tawakkal tidak berbekal namanya.
Manakala golongan kedua pula kuat  berusaha tanpa bergantung kepada 
takdir. Dia percaya pada usaha  ikthiarnya sahaja, lansung tak 
bergantung kepada kudrat dan iradat   Allah. Ini salah. Kerana, usaha 
kita itu walau bagaimana hebat  sekalipun tidak akan memberi kesan jika 
Allah tidak mengizinkan-Nya.
Justeru jika dia berjaya, ia akan jadi  orang yang sombong, lupa diri
 kerana disangkanya kejayaan itu dari  kepandainya. Manakala kalau dia 
gagal pula, dia akan kecewa, dia putus  asa. Jadi, berjaya pun rosak. 
Gagal pun rosak. Jadi, buat golongan ini  apapun hasil usahanya, 
kedua-duanya merosakkan!
Sebaik-baiknya kita berusaha  sungguh-sungguh dan kemudian 
bertawakkal – berserah kepada Allah. Kata  orang, hujung akal, baru 
tawakkal. Kalau beginilah sikap kita, bila  berjaya kita syukur. Kita 
tawadduk. Kita tidak sombong.  Sebab kita  yakin walaupun kita telah 
berusaha, tetapi Allahlah yang memberi  kejayaan kita.
Sebaliknya, kalau kita gagal pula... kita  tidak sakit jiwa. Sebab 
kita yakin Allah-lah yang menggagalkan kita.  Allah tahu kita telah 
berusaha, jadi bila digagalkan juga... tentu ada  hikmah yang 
tersembunyi. Kembalilah kita kepada ujian hidup seperti yang  
diperkatakan pada awal tadi... ya kita hamba!
Ada kalangan manusia yang apabila berjaya  dia mengatakan, "ini semua
 hasil usaha saya..." Wah sombongnya.  Sebaliknya jika gagal dia 
mengatakan, "semua ini sudah takdir..." Tidak  sayugianya kita berkata 
demikian. Sebenarnya, apabila kita berjaya, itu  takdir Allah. Kalau 
kita gagal pun itu juga takdir dari Tuhan.
Jika kita katakan, kalau berjaya kerana  kita, tetapi bila gagal 
kerana Tuhan... Itu tidak beradab dengan Allah.  Seolah-olah kita lebih 
bijak daripada Allah.  Dengan kata-kata yang  demikian, kita 
merobek-robekkan sifat kehambaan kita. Bukankah Islam  mengajar kita, 
mengucapkan Alhamdulillah – puji bagi Allah apabila  berjaya. Dan 
mengatakan Innalillah – kita ini milik Allah apabila kita  gagal?
Ya, syukur dan sabar inilah pakaian kita.  Dengannya, dapat atau 
tidak dapat, jadi atau tidak jadi, hati tetap  sama... kita tetap 
memiliki dan dimiliki Allah!
Sumber:  iluvislam.com









2 comments:
السلم عليكم ورحمة الله
secara fitrahnya, bukan namanya manusia jika tiada rasa kecewa tetapi tidak wajar terus-terusan sandarkan kekecewasan kerena kegagalan. hendaklah kita sebagai hamba kembali mengharap belas ehsan dariNya dan teruskan usaha kerana Allah itu pasti tepati janji.
jika bukan sekarang, pasti akan datang segala hajat akan Dia penuhi. آمِـــــــــينْ
Alhamdulillah... Allah memberi dugaan pada insan yang dirindui-Nya... janganlah sesekali kita lalai dan leka..
Post a Comment