Wednesday, June 12, 2013

MENANGKIS TAMAK DENGAN QANAAH


Qanaah daripada segi bahasa bermaksud berasa cukup serta puas dengan setiap sesuatu yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T dan tunduk serta akur dengan kurniaan-Nya. Manakala, daripada segi istilah pula, qanaah boleh didefinisikan mengikut pendapat seperti berikut :
  1. Muhammad Ali Al-Tirmizi : Qanaah ialah jiwa yang rela terhadap pemberian rezeki yang telah ditentukan-Nya
  2. Bishr Al-Hafi : Qanaah ibarat raja yang tidak akan bertakhta kecuali di hati orang Mukmin
  3. Abu Abdillah Bin Khafif : Qanaah adalah perbuatan meninggalkan angan-angan terhadap sesuatu yang tidak ada dan berasa cukup dengan sesuatu yang ada
  4. Abu Sulaiman Al-Darani : Qanaah kerana rela dengan kedudukannya adalah sama dengan warak kerana zuhud.  Qanaah ialah permulaan rela, sedangkan warak itu sendiri ialah zuhud
  5. Muhammad Al-Kattani : Sesiapa yang menjual ketamakan dirinya dengan difat qanaah, maka dia akan memperoleh kemuliaan dan harga diri
  6. Abu Bakar Al-Maraghi : Orang yang sihat akalnya ialah orang yang mengatur urusan dunia dengan sikap qanaah serta mempercepatkan tugas dalam mengatur urusan agama dengan ilmu dan ijtihad
Sebahagian ahli tasawuf berkata "qanaah ialah perasaan sentiasa tenang dalam semua keadaan." Sebahagian ulama ditanya 'siapa orang yang paling qanaah?". Mereka menjawab "orang yang selalu memberikan pertolongan meskipun kekayaannya sedikit". Inilah beberapa definisi qanaah daripada pelbagai pendapat yang telah dinyatakan oleh sebahagian ulama dan ahli sufi. Secara kesimpulannya, dapat difahami bahawa qanaah ialah sifat berasa cukup dan puas dengan kurniaan Ilahi walaupun manusia mengatakan sedikit secara zahirnya.

Qanaah ialah maqam yang tinggi meliputi hati, lisan dan anggota badan. Padanya terdapat sifat sabar, reda dan dibuktikan dengan amalan. Oleh sebab itu, Allah mengangkat kemuliaan para hamba-Nya dengan mengurniakan rasa qanaah dalam kalangan hamba-Nya yang terpilih. Menurut Imam Al-Qushairi dalam Al-Risalah Al-Qushairiyyah, "Dalam Kitab Zabur, diungkapkan bahawa orang yang qanaah ialah orang yang kaya meskipun serba kelaparan. Bahkan menurut satu pendapat, Allah S.W.T meletakkan lima anugerah dalam lima tempat iaitu pertama kemuliaan dalam taat, kedua kehinaan dalam maksiat, ketiga kehebatan dalam melaksanakan solat malam, keempat kebijaksanaan dalam hati yang kosong (daripada keduniaan) dan kelima kekayaan dalam sifat qanaah".

Secara kesimpulannya, sifat qanaah mesti disemai dalam diri dalam apa jua keadaan. Sifat ini secara tidak langsung akan menzahirkan bukti rasa syukur kita sebagai hamba Allah S.W.T yang lemah. Tiada guna terus mempertahankan sikap tamak andai tiada langsung faedah yang diperolehi di kemudian hari. Justeru, saya mengajak rakan pembaca sekelian untuk munasabah diri masing-masing di tahap manakah kita, qanaah atau tamak?


sumber: mohdfarid87.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates