Solat tiang agama. Apa maksudnya? Islam itu menjadi kukuh selagimana
umatnya patuh menunaikan ibadah solat. Ditambah pula dengan solat sunat
ditengah malam pekat, tika ramai yang sedang lena dibuai mimpi. Sudah
pasti Islam tampak lebih ‘gah’ dan ‘garang’ di mata musuhnya. Tapi cakap
memang mudah. Sekarang ini masih ramai yang mengaku Islam tapi tidak
solat. Kalau solat pun, masih ada yang tak betul. Macam main-main saja.
Sambil lewa. Solat itu besar peranannya. Selain wajib ditunaikan, ia
mencegah kita dari perbuatan mungkar dengan syarat, solat itu haruslah
dilaksanakan dengan cara dan tertib yang sempurna. Firman Allah,
maksudnya:
“ Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah
daripada perbuatan keji dan mungkar.” (al-Ankabut: 45).
Bagi orang yang
menjaga solatnya, alhamdulillah. Tahniah buat anda. Tapi kadang-kadang,
solat kita jadi tak begitu ‘molek’ dek fikiran yang selalu
merayau-rayau. Itu namanya tak khusyuk. Saya bukannya pakar, tapi anda
boleh jadikan tips dibawah sebagai panduan untuk khusyuk dalam solat:
1) Solat dalam keadaan selesa – Kalau rasa nak terkencing dan sakit
perut tu, janganlah ditahan-tahan. Buang dulu. Kalau rasa rimas dan
badan melekit, sejukkanlah badan tu dulu. Mungkin anda perlu mandi
agaknya. Kalau lapar, sila makan dulu. Sabda nabi yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Apabila datang makanan malam
dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, mulailah dengan mengambil
makanan malam terlebih dahulu.”
2) Fahamkan Makna Bacaan Anda –
Kalau anda tak faham apa yang anda bacakan dalam solat, anda masih
boleh khusyuk, tapi SUSAH! Lagipun ini akan memberi peluang pada minda
anda untuk merayau-rayau memikirkan perkara lain. Malah, bila anda tak
faham apa yang anda katakan, anda akan mudah bosan. Saya tak suruh anda
tahu satu-satu makna perkataan dalam solat walaupun itu lebih bagus.
Tapi cukuplah sekadar anda faham maksud bacaan. Sekurang-kurangnya ini
membantu anda untuk lebih menghayati solat anda. Mulai sekarang, cari
makna dan fahamkan maksud bacaan solat anda tu. Bukannya banyak pun.
Sikit je kan.
3) Solat Ditempat Sunyi dan Tenang – Hindarkan
gangguan ketika solat. Gangguan bunyi bising dari radio dan tv,
bau-bauan yang kurang menyenangkan, pandangan mata yang menyakitkan,
jauhkan semua tu! Seelok-eloknya, sediakan ruang khusus di rumah anda
untuk menunaikan solat. Persekitaran yang berkualiti membantu menjadikan
solat anda solat yang berkualiti.
4) Sebut Betul-Betul – Ramai
orang yang bacaan solatnya lintang pukang. Baca macam nak belumba.
Bayangkan saja, ada yang sujud, tak sampai 2 saat dah bangun. Agak-agak,
betul tak sebutannya tu? Takut-takut, solat kita tak diterima dek
kerana bacaan yang tak betul. Mulai sekarang saya mahu anda perhatikan
dan fikirkan sama ada anda menyebut bacaan solat anda dengan SEBUTAN
YANG BETUL. Sebut betul-betul dan dengarkan apa yang anda baca. Jangan
kelam kabut. Jangan sampai solat anda jadi sia-sia. Ingat, orang yang
lalai dalam solatnya, adalah orang yang celaka disisi Allah (al-Ma`un
:4-5)
5) Tenangkan Diri Sebelum Solat – Ambil masa anda untuk
menenangkan diri sebelum anda mengangkat takbir untuk mendirikan solat.
Ambil masa untuk mengatur kembali nafas anda. Bernafaslah dengan tenang.
Mulalah untuk melupakan permasalahan anda. Jangan dah solat baru nak
lupakan. Peringatkan diri anda bahawa sebentar lagi anda ingin
berhadapan dengan Allah, tuhan yang mencipta anda, yang memberi anda
nikmat harta dan mencukupkan keperluan anda. Apabila diri anda sudah
cukup tenang, berdirilah. Tunaikanlah solat dengan tenang dan khusyuk.
Itulah serba sedikit yang dapat saya kongsikan buat anda, yang juga
sebenarnya adalah peringatan buat diri sendiri yang kadang-kadang tidak
terlepas dari membuat kesilapan. Sama-samalah kita memperbaiki solat
kita dan amalan kita yang lain. InsyaAllah, Allah akan mempermudahkan
jalan kita dan memberi kita balasan pahala yang setimpal dengan usaha
kita. Semoga tips khusyuk solat yang saya berikan ini dapat memberi
manfaat kepada semua. Renung-renungkan dan selamat beramal! :D
0 comments:
Post a Comment