Thursday, March 28, 2013

Tips Khusyuk Solat


 
Solat tiang agama. Apa maksudnya? Islam itu menjadi kukuh selagimana umatnya patuh menunaikan ibadah solat. Ditambah pula dengan solat sunat ditengah malam pekat, tika ramai yang sedang lena dibuai mimpi. Sudah pasti Islam tampak lebih ‘gah’ dan ‘garang’ di mata musuhnya. Tapi cakap memang mudah. Sekarang ini masih ramai yang mengaku Islam tapi tidak solat. Kalau solat pun, masih ada yang tak betul. Macam main-main saja. Sambil lewa. Solat itu besar peranannya. Selain wajib ditunaikan, ia mencegah kita dari perbuatan mungkar dengan syarat, solat itu haruslah dilaksanakan dengan cara dan tertib yang sempurna. Firman Allah, maksudnya:
 “ Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (al-Ankabut: 45). 
Bagi orang yang menjaga solatnya, alhamdulillah. Tahniah buat anda. Tapi kadang-kadang, solat kita jadi tak begitu ‘molek’ dek fikiran yang selalu merayau-rayau. Itu namanya tak khusyuk. Saya bukannya pakar, tapi anda boleh jadikan tips dibawah sebagai panduan untuk khusyuk dalam solat:

1) Solat dalam keadaan selesa – Kalau rasa nak terkencing dan sakit perut tu, janganlah ditahan-tahan. Buang dulu. Kalau rasa rimas dan badan melekit, sejukkanlah badan tu dulu. Mungkin anda perlu mandi agaknya. Kalau lapar, sila makan dulu. Sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Apabila datang makanan malam dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, mulailah dengan mengambil makanan malam terlebih dahulu.”

2) Fahamkan Makna Bacaan Anda – Kalau anda tak faham apa yang anda bacakan dalam solat, anda masih boleh khusyuk, tapi SUSAH! Lagipun ini akan memberi peluang pada minda anda untuk merayau-rayau memikirkan perkara lain. Malah, bila anda tak faham apa yang anda katakan, anda akan mudah bosan. Saya tak suruh anda tahu satu-satu makna perkataan dalam solat walaupun itu lebih bagus. Tapi cukuplah sekadar anda faham maksud bacaan. Sekurang-kurangnya ini membantu anda untuk lebih menghayati solat anda. Mulai sekarang, cari makna dan fahamkan maksud bacaan solat anda tu. Bukannya banyak pun. Sikit je kan.

3) Solat Ditempat Sunyi dan Tenang – Hindarkan gangguan ketika solat. Gangguan bunyi bising dari radio dan tv, bau-bauan yang kurang menyenangkan, pandangan mata yang menyakitkan, jauhkan semua tu! Seelok-eloknya, sediakan ruang khusus di rumah anda untuk menunaikan solat. Persekitaran yang berkualiti membantu menjadikan solat anda solat yang berkualiti.

4) Sebut Betul-Betul – Ramai orang yang bacaan solatnya lintang pukang. Baca macam nak belumba. Bayangkan saja, ada yang sujud, tak sampai 2 saat dah bangun. Agak-agak, betul tak sebutannya tu? Takut-takut, solat kita tak diterima dek kerana bacaan yang tak betul. Mulai sekarang saya mahu anda perhatikan dan fikirkan sama ada anda menyebut bacaan solat anda dengan SEBUTAN YANG BETUL. Sebut betul-betul dan dengarkan apa yang anda baca. Jangan kelam kabut. Jangan sampai solat anda jadi sia-sia. Ingat, orang yang lalai dalam solatnya, adalah orang yang celaka disisi Allah (al-Ma`un :4-5)

5) Tenangkan Diri Sebelum Solat – Ambil masa anda untuk menenangkan diri sebelum anda mengangkat takbir untuk mendirikan solat. Ambil masa untuk mengatur kembali nafas anda. Bernafaslah dengan tenang. Mulalah untuk melupakan permasalahan anda. Jangan dah solat baru nak lupakan. Peringatkan diri anda bahawa sebentar lagi anda ingin berhadapan dengan Allah, tuhan yang mencipta anda, yang memberi anda nikmat harta dan mencukupkan keperluan anda. Apabila diri anda sudah cukup tenang, berdirilah. Tunaikanlah solat dengan tenang dan khusyuk.

Itulah serba sedikit yang dapat saya kongsikan buat anda, yang juga sebenarnya adalah peringatan buat diri sendiri yang kadang-kadang tidak terlepas dari membuat kesilapan. Sama-samalah kita memperbaiki solat kita dan amalan kita yang lain. InsyaAllah, Allah akan mempermudahkan jalan kita dan memberi kita balasan pahala yang setimpal dengan usaha kita. Semoga tips khusyuk solat yang saya berikan ini dapat memberi manfaat kepada semua. Renung-renungkan dan selamat beramal! :D
 
Sumber : Ceciter Ilmu

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates