BUKU Sirah Nabawiyyah juga ada menceritakan sikap Yahudi yang tidak
mungkin akan menerima perubahan sekalipun ada kalangan daripada mereka
yang berpengaruh besar akhirnya memeluk Islam.
Ini apabila kita
mengikuti kisah Abdullah bin Salam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al
Bukhari. Abdullah adalah seorang pendeta Yahudi yang paling alim dan
berpengaruh besar di kalangan penduduk Yahudi di Yathrib.
Apa yang beliau lakukan dan apa sahaja yang keluar daripada mulutnya
akan diikuti dan didengar oleh para pengikut Yahudi yang lain.
Apabila
Abdullah sendiri mendengar mengenai kehadiran Nabi Muhammad SAW ke
Yathrib di kampung Bani An Najjar di Madinah, beliau tergesa-gesa hendak
menemui baginda.
Apabila Abdullah dapat bertemu dengan Nabi Muhammad, beliau pun
mengajukan pelbagai persoalan mengenai soal kenabian sebagaimana yang
Abdullah ketahui sebagai pendita Yahudi.
Ini kerana tidak semua orang mengetahui perkara tersebut kecuali golongan yang tertentu sahaja.
Lalu dijawab oleh baginda akan segala persoalan yang dikemukakan
oleh Abdullah sehingga si Yahudi ini begitu berpuas hati kerana ia
menepati sebagaimana yang beliau ketahui selama ini dan dapat
menyaksikan sendiri tanda yang terdapat pada tubuh baginda yang disebut
sebagai khatamun nubuwwah, pengakhir zaman kenabian.
Tanpa banyak bicara, Abdullah pun memeluk Islam tanpa sebarang
ragu-ragu lagi di hadapan baginda kerana beliau meyakini bahawa
bagindalah nabi akhir zaman yang disebut-sebutkan dalam kitab Taurat.
Selepas
mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan baginda, Abdullah pun
berkata: "Sesungguhnya kaum Yahudi adalah kaum yang suka mengada-adakan
cerita. Kalaulah mereka tahu keislamanku sebelum kamu tanyakan mereka
sudah tentu mereka kan menuduh yang bukan-bukan mengenai diriku kepada
kamu."
Lalu baginda pun mengutuskan wakil untuk menjemput kalangan para pemimpin dan pengikut kaum Yahudi supaya hadir menemui baginda.
Apabila
mereka hadir dan berkumpul di hadapan baginda Rasulullah, pemimpin
mereka Abdullah Salam pun masuk ke belakang, menyembunyikan diri.
Baginda pun menyampai seruan dakwah terhadap kaum Yahudi di hadapan
baginda itu dengan meminta mereka mengakui keesaan Allah dan diri
baginda sebagai pesuruh-NYA.
Namun usaha baginda itu, tidak
mendapat sambutan sehinggalah baginda kemudiannya bertanya kepada
mereka; "Baiklah kamu tidak dapat menerima seruan dakwah saya, tetapi
siapakah lelaki di kalangan kamu yang bernama Abdullah bin Salam?"
Mereka pun menjawab; "Dia adalah pemimpin kami yang paling kami
hormati, kerana dialah yang paling alim dan paling kuat beramal di
kalangan kami. Dia juga yang terbaik."
Dengan lain perkataan
Abdullah Salam sering dipandang tinggi dan mulia di kalangan para
pengikutnya dan pastinya apa pun perubahan yang berlaku pada Abdullah
pasti akan diterima dengan baik.
Lalu baginda berkata lagi; "Apa pandangan kamu jika aku katakan
bahawa pemimpin kamu itu, Abdullah bin Salam telah memeluk Islam?"
Lalu
mereka menjawab berulang kali sambil bersorak: "Kami berlindung kepada
Allah dari yang demikian!" Kami berlindung kepada Allah dari yang
demikian! Kami berlindung kepada Allah dari yang demikian!"
Mendengarkan itu, lalu Abdullah pun keluar daripada persembunyiannya
lalu berkata di hadapan para pengikutnya itu: "Aku bersaksikan bahawa
tiada tuhan selain Allah dan aku juga bersaksikan bahawa Muhammad ini
adalah pesuruh Allah!"
Lantas mereka pun menjawab dengan nada yang sungguh marah dan tidak
puas hati: "Oh tidak! Abdullah adalah orang yang paling jahat di
kalangan kami dan dia juga sebenarnya adalah anak orang yang paling
jahat!"
Mereka pun terus menuduh yang bukan-bukan terhadap Abdullah namun
Abdullah berkata: "Hai sekalian kaum Yahudi, bertakwalah kamu terhadap
Allah. Demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya dan kamu benar-benar tahu
bahawa Muhammad ini adalah Rasulullah yang datangnya untuk membawa
kebenaran kepada kita semua,"
Lalu mereka pun menjawab: "Kamu pembohong besar!"
Terbukti
tidak sampai beberapa minit mereka terus berubah apabila berhadapan
dengan perkara yang mengancam kepentingan mereka. Pemimpin yang mereka
sanjung selama ini pun terus tidak lagi mendapat tempat di hati mereka
apabila sudah tidak sealiran lagi, apatah lagi terus memeluk Islam.
sumber: utusan.com
Pandangan Ulama Mengenai "Jilbab"
-
Pandangan Taqiyuddin an-Nabhani mengenai pakaian wanita Muslimah di tempat
awam, yang mewajibkan jilbab sebagai pakaian satu helai dari bahu hingga ke ...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment