MEMANG sudah fitrah anak yang masih kecil terutama yang nakal dan
hiperaktif ada kala amat menggusarkan ibu bapa. Maka timbul rasa kurang
senang sehingga bertindak secara keterlaluan dalam menghukum.
Islam melalui panduan yang diperturunkan Rasulullah SAW banyak
memberi gambaran jelas bagaimana kita boleh bertindak secara tepat dalam
permasalahan menghukum anak.
Diceritakan oleh Muawiyah bin Salih, ada lelaki datang menemui
Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, ahli keluargaku tidak
taat kepadaku. Apakah yang patut aku gunakan untuk menghukum mereka?
Lalu kata Baginda: Maafkanlah saja. Kemudian Rasulullah SAW menyebut hal
yang sama pada kali kedua bahkan juga pada kali ketiganya. Seterusnya
Baginda mengatakan: Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar
kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian
muka.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang
dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka. – Hadis
riwayat at-Tabrani
Seboleh-bolehnya gunakan pendekatan memaafkan kesalahan dilakukan
ahli keluarga khususnya anak. Namun, Rasulullah SAW tidak melarang
menggunakan kaedah hukuman. Bagaimanapun hukuman seharusnya sepadan
dengan bentuk atau tahap kesalahan serta dilarang memukul bahagian muka.
Sebenarnya panduan Rasulullah SAW itu tersirat dua makna iaitu dari
perspektif psikologi dan fisiologi. Ditinjau dari aspek psikologi,
pendekatan memberikan kemaafan adalah kaedah berlemah lembut dalam
memberi teguran.
Dengan cara demikian, perasaan anak yang masih kecil tidak akan
terguris. Ini penting supaya jiwa anak tidak terkongkong yang
kemungkinan akan menyebabkan terbantutnya perkembangan minda positif.
Zaman sekarang ini, banyak sudah terjadi anak yang bertindak lari
dari rumah. Seharusnya ibu bapa mengambil berat isu ini. Salah satu
penyebabnya, tindakan membabi buta dalam menghukum dan seterusnya jiwa
anak berasa tertekan.
Selain itu, dari sudut ilmu psikologi juga pernah dinyatakan bahawa
anak yang kerap dihukum akan menjadikan hatinya keras dan berkelakuan
kasar semasa bergaul dengan rakan sebaya.
Untuk membimbing anak beristiqamah pada jalan benar dan menepati
kehendak agama, tidak hanya terletak pada kaedah merotan dan memukul
saja. Sebaliknya ibu bapa seharusnya mampu mempelbagai teknik khususnya
teknik dorongan dalaman.
Mendidik anak perlu menggunakan kepelbagaian teknik yang berterusan
contohnya dengan memberikan pemahaman jelas, tepat, pengajaran dan
peringatan supaya akidah anak bertapak kukuh dalam jiwa mereka.
Kaedah secara kekerasan akan hanya mengundang rasa dendam kesumat
dalam hati anak dan jika perasaan itu dibiarkan bersarang di jiwa
mereka, akan menjadi sebati dengan diri. Keadaan itu sangat berisiko
tinggi untuk menjerumuskan anak ke kancah yang negatif.
Rafi’ bin Amru al-Ghifari pernah menceritakan: “Saya seorang
kanak-kanak yang sering membaling pokok tamar kepunyaan orang Ansar.
Saya kemudian ditangkap lalu dibawa menemui Rasulullah SAW. Baginda SAW
bertanya kepadaku: Kenapa kamu selalu membaling pokok tamar kepunyaan
orang lain? Lalu saya jawab: Untuk memakan buahnya. Baginda SAW memberi
nasihat kepadaku: Jangan baling pokok tamar kepunyaan orang lain. Kamu
boleh makan setiap buah yang jatuh di bawahnya. Seterusnya Baginda
Rasulullah SAW mengusap kepada saya sambil berkata: Ya Allah, Ya
Tuhanku. Kenyangkanlah perutnya (dengan tamar yang gugur itu).” (Hadis
riwayat Ibnu Majah)
Lihatlah betapa halus dan lembutnya teknik pendidikan Rasulullah SAW.
Kanak-kanak yang bersalah ditegur dengan pola psikologi sangat
menyentuh jiwanya kerana disamping memberi nasihat Baginda juga
menggunakan teknik sentuhan.
Sebenarnya, teknik sentuhan terhadap badan anak akan memautkan
keakraban utuh seterusnya berkeupayaan menjana penyerapan fahaman
terhadap apa yang diajar.
Bagaimanapun, Islam tidak pernah menghalang teknik menghukum tetapi
dengan bersyarat hendaklah dilakukan pada masa bersesuaian. Ingatlah,
kaedah pukulan tidak sesuai untuk semua anak, semua situasi atau semua
kesalahan.
Kaedah menghukum dengan rotan misalnya digunakan selepas kaedah
penjelasan pemahaman dan nasihat dilakukan terlebih dulu.
Pesan Nabi
SAW: “Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan
pukullah jika berumur 10 tahun (jika tidak menunaikan solat juga) dan
pisahkanlah tempat tidur anak (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim)
2 comments:
kalo tak kena rotan tak jadi orang nanti..
betul tu :D
Post a Comment