RASULULLAH dalam satu hadis diriwayatkan Abu Hurairah: “Bahawa
seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad lalu berkata: ‘Berwasiatlah
kepadaku ya Rasulullah’. Lalu baginda bersabda: ‘Jangan engkau marah’.
Baginda mengulanginya tiga kali.”
Setiap manusia mempunyai sifat marah dan sabar sebenarnya adalah
penghalang sifat itu. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya,
apabila hilang sabar maka timbullah kemarahan.
Menurut Imam al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api yang bersumber
daripada api Allah SWT yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke
hati.
Ada lima kategori marah iaitu
cepat marah atau marah tidak bertempat,
marah pertengahan (mampu mengawal marahnya atau marah bertempat),
marah
sederhana,
tidak tahu marah
marah keterlaluan.
Imam al-Ghazali mengatakan, ada 10 punca menjadi penyebab sifat marah
iaitu rasa
bangga diri,
takjub kepada peribadi sendiri,
berlebihan
dalam gurau senda dan melampaui batas,
bercakap perkara sia-sia
gemar membuat fitnah.
Lima lagi puncanya ialah
gemar berbantah dalam sesuatu perkara,
khianat,
tamak kepada harta juga pangkat,
gagal mengendalikan nafsu
emosi serta hasad dengki selain iri hati.
Apabila seseorang itu marah, pergerakan fizikalnya turut berubah. Api
kemarahan yang semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat,
kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina
juga merendah-rendahkan orang yang dimarah dan pelbagai lagi.
Marah bukan berlaku pada orang yang kebanyakan saja, malah individu
yang punya kedudukan atau status seperti ustaz, ustazah, guru, ulama,
doktor dan sebagainya.
Persoalan akhlak, maruah diri dan undang-undang tidak lagi menjadi
penilaian kerana yang penting ‘sikap aku betul, orang lain salah’.
Kadangkala orang ramai boleh menilai bahawa individu berkaitan itu
ada sifat mazmumah seperti ego, tidak menerima kebenaran, berbangga
dengan kedudukan, jawatan, sijil, ijazah, ilmu yang dimiliki, sedangkan
semua ilmu itu menjadi amanah Allah SWT. Inilah marah yang dikeji.
Marah yang dipuji adalah marah pertengahan iaitu marah bertempat.
Contoh, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau
menutup aurat. Rasulullah SAW mengajar kita dalam hadisnya: “Suruhlah
anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang
tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari
tempat tidur.” Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita
boleh mengisytiharkan berperang. begitu juga dalam mencegah kemungkaran.
Kita perlu ada marah dalam hal itu.
Contoh marah pertengahan berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina
Ali terbabit dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak
memenggal leher musuhnya dan tiba-tiba musuhnya meludah mukanya.
Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya. Maka musuhnya berasa
pelik lalu bertanya Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya.
Maka Saidina Ali menjawab: “Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah SWT tetapi kerana marah kepada kamu kerana kamu meludahku.”
Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan
syariat walaupun ketika marah. Sama-sama kita renungkan di mana kategori
marah kita selama ini untuk kebaikan masa akan datang.
Sumber : islamituindah.my
0 comments:
Post a Comment