Tuesday, July 26, 2011

Persiapan Menjelang Ramadhan


Rebutlah peluang keemasan di bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di dalamnya terdapatnya malam lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut Allah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia membersihkan diri mereka sebersih-bersihnya. Amal-amal ibadah dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib/fardhu dan yang fardhu menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang lain. Amat banyak kelebihan bulan Ramadhan yang kesemuanya insya Allah akan kita bentangkan satu persatu dalam risalah kecil ini.

Sekarang ini kita berada di bulan Sya’ban. Inilah masanya kita menanam azam untuk kita merebut segala kelebihan Ramadhan yang dijanjikan Allah. Jika Ramadhan tahun lalu kita lalai dan leka sehingga tanpa disedari Ramadhan telahpun berlalu dan kita ketinggalan merebut kelebihannya, maka pada tahun ini kita diberi peluang sekali lagi oleh Allah. Maka janganlah sia-siakan peluang kali ini kerana entah-entah inilah Ramadhan terakhir buat kita. Mati datang tidak menentu. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa bersedia. Rebutlah peluang semasa hayat masih ada ini supaya di akhirat kita tidak menyesal dengan sesalan yang tiada gunanya lagi.

Membuat persiapan untuk memasuki Ramadhan

Bulan yang besar dan penuh keberkatan serta banyak kelebihannya haruslah disambut dengan penuh perasaan ta’zim (membesarkan) dan mengalu-alukannya. Antara persiapan yang dapat kita lakukan –malah perlu kita lakukan- sebelum menjelang Ramadhan ialah:

  1. Dengan banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban.
  2. Mengulangkaji ilmu tentang puasa
  3. Membaca kembali hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang fadhilat (kelebihan) puasa dan bulan Ramadhan.
  4. Mengetahui amalan-amalan utama dan besar pahalanya di bulan Ramadhan.

Pertama: Banyak berpuasa di bulan Sya’ban bermula dari awal bulan lagi

Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;

كَانَ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَصُومُ حَتَّىَ نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّىَ نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، وَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلاَّ رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ فِي شَهْرٍ أَكْثَرَ مِنْهُ صِيَاماً فِي شَعْبَانَ
“Adalah Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Kedua: Mengulangkaji kembali ilmu atau pengetahuan tentang puasa

Amalan yang paling utama di bulan Ramadhan ialah puasa. Puasa difardhukan pada siang hari sepanjang bulan Ramadhan. Untuk mencapai puasa yang sempurna kita hendaklah memiliki ilmu tentang bagaimana melaksanakan puasa yang sebenarnya sebagaimana yang dituntut oleh Syara’. Oleh itu, ada baiknya sebelum menjelang Ramadhan kita mengulangkaji ilmu-ilmu tentang puasa merangkumi;
1. Rukun-rukun puasa serta sunat-sunatnya
2. Perkara-perkara yang membatalkan puasa
3. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa
4. Dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa

Ketiga: Membaca kembali kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan

Ada di kalangan kita tidak merasa apa-apa dengan kedatangan Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan sama seperti bulan-bulan yang lain; tiba masanya ia datang dan tiba masanya ia berlalu pergi. Punca sikap ini adalah kerana mereka tidak mengetahui kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan atau kerana mereka melupainya. Kerana itu amat perlulah hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang fadhilat dan kelebihan Ramadhan dibaca dan diulang-ulangkan kembali –kepada diri sendiri dan kepada masyarakat- terutamanya di hujung-hujung Sya’ban ini.

Amat banyak hadis Nabi s.a.w. yang menceritakan kelebihan dan keistimewaan Ramadhan, antaranya;

a) Ramadhan adalah penghapus dosa

b) Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan

c) Lima anugerah khusus Allah untuk umat Muhammad di bulan Ramadhan

Di permulaan Ramadhan Allah akan melihat kepada umatku. Sesiapa Allah melihat kepadanya nescaya ia tidak akan diazab selama-lamanya.
Bau mulut mereka (yang berpuasa) ketika petang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.
Malaikat akan memohon ampun untuk mereka di sepanjang hari dan malam.
Allah menyuruh syurga supaya bersiap-sedia dengan berkata kepadanya; “Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk hamba-hambaKu. Mereka hampir datang (memasukimu) untuk beristirehat dari kepayahan dunia menuju ke rumahKu dan kemuliaanKu”.
Pada akhir malam bulan Ramadhan, Allah mengampuni dosa semua mereka. Seorang lelaki dari sahabat bertanya; ‘Adakah malam itu lailatul Qadar?’. Jawab Rasulullah; ‘Tidak. Apakah engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja. Apabila mereka telah selesai dari pekerjaan mereka, akan disempurnakanlah upah-upah bagi mereka”.
(Riwayat Imam Ahmad, al-Bazzar dan al-Baihaqi dari Jabir r.a.)

d) Malam al-Qadar

Antara kelebihan besar bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr;

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ، وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ، لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ، سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”. (al-Qadr: 1-5)


Keempat: mengetahui amalan-amalan utama dan besar pahalanya di bulan Ramadhan

Supaya kita dapat memasuki bulan Ramadhan dengan penuh bersedia untuk memperbanyakkan amalan di bulan keberkatan yang banyak kelebihannya itu, kita hendaklah mengetahui apakah amal-amal ibadah atau amal-amal kebaikan yang digalakkan oleh Allah dalam bulan Ramadhan di mana pahalanya amatlah besar dan berlipat-ganda. Antara amalan-amalan utama di bulan Ramadhan dapat kita senaraikan seperti berikut;

1) Berpuasa dengan sesungguh hati

2) Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat (terawikh, tahajjud dan sebagainya)

3) Menggiatkan ibadah di sepuluh malam terakhir ramadhan

4) Beriktikaf

5) Mencari malam al-Qadar (lailatul Qadar)

6) Membanyakkan bacaan al-Quran termasuklah bertadarus

7) Membanyakkan sedekah dan melakukan kebaikan untuk orang lain

8) Menunaikan umrah sunat bagi yang berkemampuan

9) Banyak berzikir, beristighfar dan memohon diberi syurga dan dijauhi neraka

10) Banyak berdoa (terutamanya ketika sedang berpuasa, ketika berbuka puasa dan doa lailatul-Qadar)

11) Bersahur

12) Segera berbuka sebaik saja masuk waktu berbuka

13) Memberi makanan untuk orang berbuka puasa

14) Menjaga segala anggota, tingkah-laku dan tutur-kata sepanjang bulan Ramadhan

15) Meningkatkan ketakwaan dan kesabaran


sumber : Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://www.islamituindah.my)








3 comments:

puteri ain said...

selamat menyambut ramadhan :)

ilovekampungku said...

Assalamualaikum...selamat menyambut ramadhan...entry yang sgt berilmu..terima kasih

khairul said...

as salam sahabat..slmt menjalani ibadah puasa

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates