skip to main |
skip to sidebar
Apakah yang mula-mula terlintas di fikiran anda apabila melihat gambar di atas? Kepulan-kepulan awan di langit? Sinaran cahaya matahari di sebalik awan? Tidak, tentu majoriti membayangkan melebihi perkara tersebut! Ya, kalimah Allah yang biasa kita lihat dan dengar semenjak dulu lagi. Kalimah yang dikatakan boleh terbentuk di langit, malah ramai juga telah terjumpa di celah-celah dahan pokok, kulit ikan, potongan timun, atas lautan malah juga di sebalik telinga bayi.Pertamanya kita di sini langsung tidak ingin mempertikaikan kekuasaanNya. Allah maha kuasa lagi berupaya mencipta, membentuk dan mengubah sebarang objek di langit mahupun bumi yang dikehendakiNya. Tetapi apabila gambar-gambar sedemikian rupa disebarkan tanpa batasan di kalangan kita umat islam yang terlampau taksub dan obses, maka itulah yang kita ingin difokuskan di sini.Kesahihan dan Imaginasi terlampau tinggiAkibat terlampau takjub dalam melihat gambar sedemikian rupa, pernahkah anda terfikir apakah benar kalimah-kalimah yang terbentuk dalam gambar tersebut? “Eh, bukankah telah terbukti di atas gambar tersebut?” Ya, benar tetapi bagaimana pula dengan di sebalik bukti bergambar tersebut? Misalnya, kalimah Allah terjumpa terukit di atas kulit pokok, siapakah yang dapat menjamin tiada siapa yang telah mencoret kalimah-kalimah tersebut sebelum ini? Okey, lupakan yang itu. Dengan zaman serba moden ini, percayakah anda bahawa setiap gambar boleh diedit menggunakan photoshop untuk menyerupai bentuk apa-apa yang disukai? Persoalan-persoalan ini patut kita fikirkan bersama.Sekiranya anda telah yakin bahawa tiada unsur tokok tambah dan gambar tersebut adalah benar tanpa sebarang editan, maka tahniah anda berjaya melepasi satu peringkat. Tetapi agak malang sekali apabila melihat kebanyakan gambar-gambar yang tersebar meluas, hanyalah mengikut imaginasi individu yang melihatnya. Kadang-kadang kita sendiri tidak mampu mengangak di mana kalimah tersebut tetapi hanya individu tersebut sahaja yang mampu membayanginya. Ini apa yang dipanggil orang sebagai mereka berimaginasi tinggi, terlampau kreatif mencorak apa-apa yang difikirnya. Apabila ternampak sedikit lengkungan sedikit bebelit, nah kalimah Allah! Percayakah anda peta dunia kita pun hendak disamakan dengan kalimah Muhammad juga. Memang cukup berimaginasi tinggi.Memakan diriSebenarnya isu pertikaian kesahihan mahupun imaginasi yang terlampau tinggi itu bukanlah suatu perkara yang ingin dibincangkan sangat. Kita sedar bahawa tujuan penyebaran gambar-gambar sedemikian bertujuan baik malah juga sedikit banyak dapat membangkitkan rasa rendah diri dengan kebesaran Allah. Namun disebalik sifat ketaksuban yang melampau tersebut mendatangkan kebimbangan dan silap-silap memakan diri kita sendiri sebagai umat Islam.Masih ramai tak sedar, sebuah gambar pokok-pokok membentuk kalimah syahadah yang seringkali kita jaja untuk membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah palsu sama sekali. Gambar asalnya hanyalah sebuah potret lukisan seorang pelukis Mesir, tetapi apabila tersebar melalui orang perseorangan, melalui medium ke medium, maka kisah asalnya bertukar menjadi kisah yang cukup masyur sekali, “Pokok-pokok di ladang Jerman membentuk kalimah syahadah”.Apabila kita terlampau asyik mencari kalimah-kalimah agung ini dimerata-rata ceruk dunia, mereka yang bukan beragama islam telah lama melakukannya. Tidak perasankah anda akan perihal satu video yang cukup tersebar meluas di Youtube, mengenai masyarakat di barat yang menemui sisa-sisa ketulan awan membentuk lambang salib? Adakah dengan penemuan mereka itu membuktikan kebenaran agama mereka? Sama-sama lah kita renungkan.Untuk orang berfikirKita sebenarnya tidak memerlukan ukiran-ukiran ‘kalimah Allah’ tersebut untuk membuktikan keimanan kita kepadaNya. Begitu luas dan banyaknya ciptaan Allah, apalah sangat yang dapat dilihat dengan perkara-perkara "kecil" ini. Apalah sangat kalimah-kalimah Allah yang ada itu berbanding dengan seluruh penciptaan Allah yang lain di sisiNya. Inilah hakikat manusia sekarang, merasakan kekuasaan Allah hanya wujud apabila fenomena-fenomena "ganjil" seperti ini berlaku.Apabila awan membentuk seperti kalimah Allah, apabila terdapat kalimah Allah pada tumbuhan-tumbuhan, apabila pokok kelihatan seperti orang yang sedang rukuk, dan banyak lagi, maka pada saat itu sahajalah mereka berasa takjub akan kekuasaan Allah. Mengapa kita tidak melihat pada ciptaan-ciptaanNya yang jauh lebih hebat? Kita lihatlah kejadian langit dan bumi, pertukaran siang dan malam, kejadian banjir, tsunami, taufan, dan gempa bumi malah pusingan orbit-orbit planet dan bintang yang cukup sempurna sekali. Tidakkah ini kebesaran Allah yang patut kita kagumi? Namun tidak semua yang mampu melihat melainkan orang-orang yang berfikir.Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda. (Al Hijr, 15:75)
Template by:
0 comments:
Post a Comment