Tuesday, May 21, 2013

Nak Jadi Baik Memang Lambat

"Ustaz, saya dulu hafiz al-Quran. Dulu, solat ini memang saya tidak tinggal. Saya semakin hanyut dengan dunia. Sekarang, saya sudah tidak solat. Saya ingin berubah. Masih adakah sinar untuk saya?"
Ustaz N memandang telefon bimbit Masjid Kuning Kota Damansara. Bagus masjid ni. Ada segmen Tanyalah Ustaz. Sesiapa jemaah yang ingin bertanya, boleh menghantarkan SMS.
"Masih ada sinar" Ustaz N menjawab pendek.
Jemaah mengangguk. Kebanyakannya faham sifat al-Ghafur Allah. Jemaah di situ memang boleh letak belakang nama mereka dengan Ahmad atau Abu al-Damansari. Berlumba-lumba duduk di dalam taman-taman Syurga ilmu. Marvellous!
Ustaz N menyambung, "Kembalilah kepada Allah, nak. Allah menciptakan rahmat sebelum menciptakan murka. Pintu taubat terbuka luas. Sibukkan diri dengan kebaikan. Jika anda jatuh, maknanya, masa anda masih banyak yang belum diisi dengan kebaikan."
"SMS masuk, Pak" Telefon Bimbit Tanyalah Ustaz berbunyi lagi.
"Terima kasih, Ustaz. Macam mana nak jadi baik? Apa langkah pertama untuk saya berubah selepas bertaubat?"
Ustaz N tersenyum. "Pernah tidak dengar kisah Abu Hurairah r.a. bertanya kepada baginda Rasulullah s.a.w. tentang seorang yang solat tetapi masih mencuri?"
Jemaah terlopong. Sah, tak dapat nak recall. Ini yang pentingnya hadir di ceramah-ceramah dan kuliah. Dapat peringatan, dapat refresh ilmu, dapat kesedaran. Dapat macam-macam. Best!
Ustaz N menarik nafas dan berkata, "Abu Hurairah r.a. bertanya bagaimanakah orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat orang itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri."
Jemaah mengiyakan. Mereka teringat firman Allah s.w.t bahawa solat akan mencegah perkara keji dan mungkar.
"Maksud baginda Rasulullah s.a.w. dengan memperbaiki dan meningkatkan mutu solat, dari segi rukun qauli (percakapan), rukun fi'li (perbuatan) dan rukun qalbi (rasa hati), lambat laun solat akan berjaya menjadi benteng kepada amalan keji dan mungkar."
Jemaah berpandangan sesama sendiri. Mereka tersenyum dan mengangguk.
"Kesimpulannya, nak jadi baik memang lambat. Nak membina memerlukan masa. Nak meruntuh sekelip mata. Teruskan bermujahadah untuk istiqamah. Tutup ruang-ruang untuk melakukan kemaksiatan. Isi kehidupan dengan kebaikan. Berkawan dengan kawan-kawan yang baik. Usaha dan terus usaha. Insya-Allah, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita."
Dalam jemaah itu, seorang anak muda tunduk. Matanya berkaca. Dia berbisik:
Ya Allah, dosaku menggunung tinggi, tapi rahmat-Mu melangit luas. Ampunkanlah dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat.

Sumber: solaharith.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates