DI KEBANYAKAN rumah ibadat, sama ada masjid atau surau, Yasin dibacakan pada malam Jumaat diikuti istighfar, tahlil dan doa malah apabila menghadapi orang sakit tenat dan kematian, surah itu dibaca berulang kali.
Namun, ada sesetengah pihak mempertikaikan amalan itu, kononnya tiada dalam anjuran agama, malah mereka menganggap sebagai amalan jahiliyah yang sepatutnya ditolak.
Pendapat seumpama itu boleh menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat Islam. Jika dibuka sejarah Islam, memang amalan itu tidak dilakukan Rasulullah s.a.w.
Justeru, apakah perbuatan yang dilakukan umat Islam sejak sekian lama itu sia-sia atau perlukah amalan membaca Yasin pada malam Jumaat dan ketika seseorang sakit tenat serta meninggal dunia dihentikan?
Umum mengetahui Yasin adalah satu surah dalam al-Quran justeru, kita tidak terkecuali daripada membacanya.
Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin al-Ghari, berkata Yasin antara surah yang terpenting dalam al-Quran.
Beliau berkata, ini terbukti apabila Nabi Muhammad s.a.w menyifatkan surah itu jantung al-Quran.
"Pernyataan Rasulullah s.a.w itu menyebabkan naluri hati kita ghairah membacanya dengan sempurna, secara beramai-ramai di masjid atau di surau.
"Pembacaan ini lazimnya dipimpin seorang imam atau syeikh dan dilakukan pada malam Jumaat," katanya.
Mengenai dakwaan amalan itu perbuatan zaman jahiliyyah dan tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w , beliau berkata ia dilakukan oleh mereka yang tidak faham dan sengaja mahu menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam.
"Inilah sebahagian bentuk amalan yang sudah lama difahami, diamal dan dijadikan tradisi dalam masyarakat Melayu kita di Nusantara.
"Amalan ini banyak mendatangkan kebaikan dan mencegah seseorang itu daripada melakukan perkara yang sia-sia, maksiat dan dosa.
"Pendek kata, amalan membaca Yasin umpamanya mempunyai khasiat lapan dalam satu, manakala pihak yang mencela golongan mengamalkan bacaan Yasin secara hakikatnya berada jauh dari rahmat Allah.
"Mereka seakan buta hakikat dan buta makrifat. Hanya Allah jua yang merahmati hamba-Nya yang menyukai kebaikan dengan menyintai-Nya," katanya.
Surah Yasin satu daripada surah yang dimulakan dengan huruf abjad dan dinamakan dengan demikian kerana ia dimulakan dengan lafaz Yasin, termasuk dalam surah Makkiyyah dan diturunkan sesudah surah al-Jin dengan 83 ayat. Ada pendapat mengatakan ia mengandungi 82 ayat.
Amalan membaca surah Yasin mempunyai banyak kelebihan, sebagaimana diterangkan melalui hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Imam al-A'jiri menyebut satu riwayat dari Ummul Darda, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Mana-mana mayat yang dibacakan padanya surah Yasin, nescaya Allah akan mempermudahkan kematiannya."
Abu Hurairah meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Barangsiapa yang membacakan surah Yasin pada satu malam bertujuan mencari keredaan Allah nescaya Allah akan mengampunkannya pada malam berkenaan."
Anas bin Malik meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Setiap sesuatu mempunyai hati, hati al-Quran adalah Yasin. Sesiapa membaca surah Yasin, nescaya Allah akan menulis pahala membaca al-Quran baginya sebanyak 10 kali."
Imam al-Sya'labi menyebutkan satu riwayat dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa membaca surah Yasin pada malam Jumaat nescaya dia akan diampunkan Allah."
"Terdapat beberapa hadis menunjukkan kelebihan membaca surah tertentu di dalam al-Quran sebagaimana diisyaratkan Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyadh al-Solihin," kata Zamihan.
Dalil umum ini menggalakkan umat Islam membaca mana-mana surah di dalam al-Quran. Ia turut merangkumi surah Yasin memandangkan ia satu surah di dalam al-Quran.
"Perhatikanlah kepada sanad dan matannya secara terperinci. Sekiranya dalil terbabit muncul dengan sanad yang lemah, ia dapat dijadikan hujah kerana masih ada sanad sahih menjelaskan kelebihannya.
"Manakala sanad yang daif tadi jika dihimpun dan dihubungkan dengan kesaksian yang lain nescaya ia akan mencapai taraf hasan sebagaimana diperakui oleh ulama hadis seperti Imam al-Tirmidzi dan selainnya," katanya.
Surah ini mempunyai banyak intipati yang sepatutnya direnung dan dihayati di samping membacanya, seperti kritikan dan penjelasan sikap kaum musyrikin (ayat 7 -12, 60-68), iaitu menggesa kita mengikis hati dari sifat keji.
Turut diceritakan bukti kewujudan hari berbangkit (ayat 31-54), perbincangan mengenai ilmu, rahmat dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas (ayat 71-83) dan sifat syurga yang disediakan untuk orang beriman (ayat 55-59).
"Selepas kita memahami dan menyedari kedudukan al-Quran, kandungan surah Yasin, tuntutan, galakan dan kelebihannya, kita perlulah membina penghayatan yang mantap dalam diri kita.
"Ternyata kepada kita, amalan membaca surah Yasin bukan sesuatu yang diharamkan ataupun dihukum sesat dalam agama. Bahkan ia satu kelebihan dalam usaha mendekatkan diri kepada Tuhan," katanya.
Perang Serantau
-
Amerika mengirimkan THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) ke negara
haram Israel untuk mengukuhkan pertahanan negara itu dari serangan
ballistic miss...
5 weeks ago
1 comments:
subhanallah
Post a Comment