Monday, September 3, 2012

Beristiqamah Setelah Meninggalkan Bulan Ramadan

RAMADAN baru saja berlalu namun semangat atau rohnya masih bersama kita.
Seharusnya kita melihat kembali apa yang telah kita perolehi sepanjang Ramadan lepas.
Adakah kita menjadi insan yang lebih baik atau tiada apa-apa perubahan selepas madrasah Ramadan yang dilalui?
Tujuan ibadah puasa diwajibkan adalah untuk melahirkan taqwa. Dalam surah al-Baqarah ayat 183:
Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa kepada Allah SWT.

Erti taqwa adalah seperti yang digambarkan oleh Ubai bin Kaab, apabila ditanya oleh Sayidina Umar tentang taqwa. Kata Ubai, " seperti seorang yang sedang melalui jalan yang penuh duri".
Maksudnya sangat berhati-hati agar tercegah daripada memijak duri.
Orang yang bertaqwa sangat berhati-hati menjaga hukum Allah serta akan mencegah dirinya daripada berbuat sesuatu yang diharamkan.
Justeru hendaklah kita tetap bertaqwa setelah meninggalkan bulan Ramadan dan bersyukur kepadaNya atas nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita.

Beri'tikaf di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan merupakan di antara ibadah yang sangat dititikberatkan dan dianjurkan untuk dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Rasullulah SAW sendiri sentiasa beri'tikaf pada bulan Ramadan selama sepuluh hari dan tidak pernah meninggalkannya semenjak berhijrah ke Madinah hingga ke akhir hayatnya.
Ini adalah bagi merebut malam al_Qadar, malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam.
Firman Allah SWT, 
"Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr: 2). 

Maka beruntunglah mereka yang berjaya merebut peluang yang diberikan Allah SWT.
1Syawal yang menjelma memberi makna yang cukup besar bagi setiap orang Islam.
Ia merupakan tanda kemenangan yang hakiki di sisi Allah khas bagi mereka yang telah berjaya melaluinya dengan penuh keimanan, ketaqwaan dan ketekunan.
Hari raya adalah hari kembali kepada fitrah yakni kembali kepada mengabdikan diri kepada Allah dalam seluruh kegiatan hidup.
Kembali kepada menjaga suruhanNya dan menjauhi laranganNya.
Kembali kepada sifat-sifat manusia yang bersih sesuai dengan fitrah asal bagi dirinya.
Sambutan Hari Raya akan lebih bermakna seandainya kita mampu mengekalkan kualiti diri seperti mana yang diamalkan di Ramadan yang lalu.
Ramadan merupakan titik tolak kepada perubahan diri seseorang ke arah yang lebih baik.
Selain bergembira dengan kehadiran Syawal, ia juga bererti ruang untuk kita mengekalkan amalan mengawal nafsu yang rakus dan menundukkannya kearah ketaqwaan kepada Allah.
Janganlah kesucian Syawal dicemari dengan dosa-dosa baru setelah dijanjikan Allah SWT kembali kepada fitrah kepada mereka yang bertaqwa di sepanjang Ramadan yang lalu.
Setiap dari kita harus bermuhasabah dan melihat diri sendiri adakah kita layak bergelar graduan Ramadan.
Apabila bercakap contohnya, adakah kita suka bercakap perkara-perkara yang melalaikan atau gemar menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya.
Adakah kita masih lagi mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun apabila marah?
Juga adakah kita berniat untuk menunjuk-nunjuk apabila pulang berhari raya di kampung?

Bagi kaum wanita inilah masanya untuk mengeluarkan koleksi rantai tangan emas yang tebal-tebal agar dapat dilihat ‘berduit' dan mampu untuk membelinya.
Bagi kaum lelaki pula inilah masa untuk memesan kereta baru untuk pulang ke kampung agar dapat dilihat ‘gah' oleh sanak saudara.
Perhatikan juga sikap kita, adakah kita sombong dan berlagak dengan orang di sekeliling?
Ada orang yang suka memandang hina dan rendah orang lain yang tidak setaraf dengannya.
Justeru mereka yang mempunyai pangkat yang lebih rendah tidak akan dipandang ataupun dilayan acuh tak acuh sahaja.
Jelas sikap sedemikian adalah dilarang dalam agama Islam.
Ia didorong oleh perasaan merasa diri cukup hebat berbanding orang lain serta lupa kepada kebesaran Tuhan.
Walhal apa yang membezakan di antara satu sama lain hanyalah taqwa.
Perhatikan juga samada bibit-bibit dengki masih wujud dalam diri?
Ada orang yang tidak boleh melihat orang lain lebih dari dirinya contohnya, mempunyai kereta yang lebih besar mahupun rumah yang lebih besar.
Dia akan sentiasa merasa tidak tenang dan tidak puas hati dalam kehidupannya.
Perhatikan juga sikap apabila kita memandu terutamanya apabila pulang berhari raya ini.
Adakah kita memandu dengan sabar dan berhemah dalam menghadapi kesesakan jalanraya?
Atau adakah kita memandu dengan cara yang membahayakan diri sendiri mahupun orang lain.
Menyumpah dan memotong sana sini kononnya hendak cepat sampai ke destinasi.
Jika kita masih mempunyai perangai atau sikap yang disebutkan di atas tadi, ini petanda bahawa ada yang tidak kena dengan ibadah puasa kita.

Sememangnya adalah tidak mudah untuk mengikis sikap-sikap lama.
Namun Ramadan yang baru berlalu seharusnya menjadi titik permulaan untuk kita mengatur kehidupan menjadi insan yang bertaqwa.
Sesungguhnya kita harus beristiqamah ke arah itu, tidak kira berapa kali kita jatuh, kita harus bangkit kembali.
Teruskan mendidik hati-hati kita serta berdoa agar diperkuatkan menghadapi kehidupan ini dengan jalan yang diredhaiNya.
Marilah kita kekal kembali kepada fitrah.

sumber : ikim.gov.my

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates