Sunday, November 18, 2012

Berkatilah Umur Dengan 4 Perkara


Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun apakah yang akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur tersebut? Andaikan umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat singkat, tidak terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu setahun itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda:
 “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).

Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu.
Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanyakan:  
“Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia? lalu Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan yang masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah.
Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada da’ie atau pendakwah saja malah semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah.
Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau:  
“Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.”

Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan mengamalkan satu gaya hidup yang saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslim untuk saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.
Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.
Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.
Allah mengingatkan kita yang bermaksud: 
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36).

Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya.
Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: 
“Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Namun, senario hari ini jelas menunjukkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat.
Justeru itu marilah kita sama-sama memanfaatkan nikmat umur, kerana kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini. Sementara Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup, maka manfaatkanlah ia dengan sebaik-baiknya dan bersegeralah untuk melakukan kebaikan, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk kita? Jika di dunia kita manfaatkan maka bahagia menunggu kita di akhirat kelak.
sumber:  
Tuan Zairah Tuan Mat
islamituindah.my

Thursday, November 15, 2012

Halangan terbesar kpd HIJRAH DIRI


Halangan terbesar kpd HIJRAH DIRI ialah: KITA MASIH BERBOHONG KPD DIRI SENDIRI. Contoh bohong yg nyata:
1.Kata yakin Allah Maha Pemberi, tapi kita kurang berdoa utk minta bantuan,
2.Kata nak hijrah diri tapi tak mengaku kelemahan/kesilapan diri,
3.kata Allah cipta kita dgn sempurna tapi tak yakin utk berjaya,
4. kata nak cuba sungguh2 tapi tak,
5. Kata nak istiqamah tapi hgt2 tahi ayam,
6.kata yakin kpd qada' & qadar, tapi kecewa bila gagal,
7.kata org Islam bersaudara, tapi masih benci, dengki, dendam & tak bantupun,
8. kata syg kpd pasangan, tapi tak pamer,
9.kata nak jadi pemimpin, tapi tak pimpin keluarga utk masuk syurga,
10. kata bertawakkal kpd Allah, tapi masih berhrp kpd manusia. Moga Allah bantu kita.
Wassalam

sumber: FB Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah

Thursday, November 8, 2012

CHECKLIST AMALAN-AMALAN SUNAT HARI JUMAAT

✔ Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah saw
✔ Membaca Surah Al-Kahfi
✔ Mandi sunat hari jumaat bagi mereka yang akan memunaikan solat jumaat

✔ Memperbanyakkan berdoa di sepanjang hari jumaat.
✔ Memperbanyakkan membaca Al-Quran
✔ Memperbanyakkan amalan bersedeqah
✔ Memperbanyakkan amalan sunat
✔ Memotong kuku kaki dan tangan
✔ Memperbanyakkan zikrullah
✔ Memakai pakaian sunnah
✔ Memakai wangi-wangian
✔ Hadir awal ke masjid

Rasulullah bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jumaat juga akan terjadinya hari Kiamat”.
(Hadis riwayat Ibnu Majah)


sumber: 
Ustaz Don Daniyal

Wednesday, November 7, 2012

Ikhlas Di Sepanjang Perjalanan


Apa juga amal, baik yang kecil mahupun besar, niat yang ikhlas tak pernah terpisah daripada syarat diterima amal tersebut oleh Allah. Demikian Rasulullah SAW menekankan persoalan ini dalam hadis,
 "Sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada niatnya, dan bagi setiap amal apa yang ia niatkan...", 
supaya umat Islam sentiasa segar dalam niat Ubudiyyah kepada Allah.Hanya kerana Allah dan untuk Allah semata-mata.
 Banyak dalil yang boleh kita cari untuk bercerita tentang niat. Kita bukan berhadapan dengan kekurangan dalil, namun kurang penghayatan.
Amal yang kelihatan seperti ibadah boleh bertukar menjadi tidak bernilai dengan niat yang tersasar. Sedangkan amal yang kelihatan kecil dan kurang signifikan di mata manusia, boleh menjadi sesuatu yang amat besar nilainya di sisi Allah dengan niat yang tulus. Solat yang didasari riyak adalah dicela, sedangkan salam dan senyum yang ikhlas untuk menghubungkan silaturrahim kerana Allah itu besar nilainya.
Kita harus sentiasa meluruskan niat. Selagi ada hayat, selagi itu niat akan sentias teruji. Niat asal yang baik dan suci boleh bertukar menjadi keji jika kita tidak sentiasa muhasabah dalam perjalanan. Jangan mengatakan jemu jika pesan tentang meluruskan niat sentiasa diulang-ulang. Selagi kita masih hidup, selagi itu kita harus sentiasa menghayatinya kerana hati manusia lebih cepat berbolak balik daripada air yang menggelegak. Ikhlaskan niat di awal amal, dan sentiasalah meluruskannya sepanjang beramal dan setelah amal tersebut selesai dilaksanakan.
Demikianlah yang berlaku dalam perjalanan sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat. Hadis tentang niat disampaikan Rasulullah SAWn setelah peristiwa hijrah, 13 tahun setelah berjalannya dakwah dan tarbiyah. Tiba di perang Badar, para sahabat diingatkan lagi untuk berperang hanya kerana Allah, bukan kerana marah. Selesai perang Uhud yang menyakitkan, para sahabat belajar bahawa niat untuk mendapatkan harta rampasan perang dan tidak mengikut perintah Rasulullah SAW adalah salah. Ketika ada yang ingin masuk Islam untuk mendapatkan kedudukan-kedudukan yang tertentu, Rasulullah SAW terus memperbetulkan niat mereka dengan menjanjikan Syurga, bukannya dunia.
Bahkan setelah kewafatan Nabi SAW, Abu Bakar RA terus menjalankan peranan meluruskan niat para sahabat bahawa perjuangan ini adalah untuk Allah dan mesti diteruskan sekalipun Muhammad SAW sudah dipanggil Ilahi. Begitu juga Umar RA, beliau menukarkan jawatan pemimpin tentera yang dipegang oleh Khalid Al-Walid RA kepada Abu Ubaidah Al-Jarrah RA ketika peperangan sedang berlangsung, demi meluruskan niat para tentera Islam bahawa perjuangan ini ikhlas untuk Allah, sekalipun bukan dipimpin Khalid RA.
 Keikhlasan kita tak dapat dibandingkan dengan keikhlasan para Sahabat RA. Tidak terbanding dengan keikhlasan Ka'ab Bin Malik ketika mengakui bahawa beliau tidak turut serta perang Tabuk kerana kelalaiannya, tidak terbanding dengan keikhlasan Abu Dzar Al-Ghifari RA ketika beliau meletakkan kepala di tanah untuk diinjak Bilal RA, saat beliau memanggil Bilal RA dengan panggilan "anak budak hitam" dan ditegur Rasulullah SAW bahawa dalam dirinya masih punya sisa-sisa jahiliyyah. Apatah lagi nak dibandingkan keikhlasan Abu Ubaidah Al-Jarrah mencabut besi di wajah Nabi SAW dalam perang Uhud sehingga giginya tercabut, atau keikhlasan Mush'ab Ibnu Umair mempertahankan panji Islam sehingga tangannya terpotong dan nyawanya melayang.
Ah, dengan keikhlasan kita yang belum benar-benar dibuktikan, bukankah kita yang lebih patut untuk menggandakan usaha meluruskan kembali niat sepanjang masa? Jangan kita merasa selamat dan takkan terpaling daripada kebenaran dengan melihat kepada keimanan yang kita 'rasa'kan kuat sekarang, kerana kisah berpaling juga pernah berlaku pada zaman Sahabat RA. Dalam sebuah majlis Rasulullah SAW yang dihadiri beberapa sahabat, baginda berpesan bahawa akan ada salah seorang daripada mereka yang gigi gerahamnya di dalam neraka lebih besar daripada bukit Uhud (ertinya akan menjadi ahli neraka). Setelah kewafatan Nabi SAW, Raj'al Bin 'Unfuwwah (salah seorang yang berada dalam majlis tersebut) dihantar Abu Bakar RA untuk mengembalikan Musailamah Al-Kazzaab (pemimpin golongan murtad) kepada kebenaran. Tatkala dia melihat ramainya pengikut Musailamah dan termakan kata-kata manis si penipu itu, Raj'al akhirnya murtad. Riwayat hidupnya akhirnya ditamatkan oleh Zaid Bin Khattab dalam perang Yamamah. Demikianlah kisah salah seorang yang pernah bersama dalam majlis Rasulullah SAW, beriman dengan risalah baginda, akhirnya mati dalam keadaan kafir.
Kita tidak pernah bertemu dan bersama dengan baginda SAW. Kita tidak pernah berada dalam majlis baginda SAW yang begitu menghidupkan hati. Kita amat rindu untuk bertemu dengan baginda SAW di syurga. Bagaimana mungkin syurga itu layak bagi kita, jika kita tidak sentiasa meluruskan niat 'Ubudiyyah kepada Allah? Tiada jaminan bahawa kita akan sentiasa berada atas jalan yang lurus. Barangsiapa yang disesatkan Allah, nescaya tiadalah yang dapat memberi petunjuk. Maka bersungguh-sungguhlah kita memohon agar Allah menetapkan hati kita dalam agama-Nya, dalam ketaatan kepada-Nya.
Rasulullah SAW dan para sahabat telah meninggalkan teladan yang terbaik tentang menjaga keaslian niat. Jangan sampai keaslian itu kita cemari, sehingga generasi yang kita lahirkan nanti adalah generasi yang lebih jauh daripada niat asal perjuangan yang suci, iaitu untuk Allah. Jangan sampai amal-amal yang besar yang boleh membawa ke Syurga, memasukkan kita ke neraka kerana niat yang tercemar. Biarpun kita sakit dalam mempertahankan niat, kesakitan kita tidak sampai seperti Khabbab Bin 'Arat yang dipanggang atas bara yang beliau gunakan untuk membuat pedang, sehinggakan lemak daripada belakang badannya memadamkan bara api tersebut. Kesakitan kita tidak seperti Bilal RA, yang menahan batu besar dalam teriknya matahari kerana menjaga keikhlasan 'Ubudiyyahnya, "ahad...ahad...".
Tulisan ini adalah tentang meluruskan niat sepanjang hayat, sepanjang zaman. Di fasa manapun kehidupan kita, jangan pernah leka membiarkan niat tersasar walaupun sedikit. Kerana asal penyimpangan yang besar adalah kelengahan terhadap perkara-perkara kecil di peringkat awal. Jangan biarkan niat Ubudiyyah kita berubah ketika sampai kepada titik pernikahan, atau dikurniakan cahaya mata, diberikan harta yang begitu mempesonakan, diberikan jawatan dengan begitu banyak keistimewaan. Jika sebelum sampai kepada fasa-fasa tersebutpun kita begitu lengah dengan persoalan niat, maka jangan terlalu yakin bahawa niat kita akan sentiasa tulus ketika kita sampai kepada fasanya.
Hargailah, ketika di awal setiap majlis pertemuan, ada yang berpesan "mari kita sama-sama luruskan niat". Kata Ibnu Atho'Illah, "di antara tanda-tanda kejayaan di akhir perjalanan itu adalah kembali kepada Allah di awal perjalanan".
Semoga Allah membersihkan niatku dan niatmu.
Wallahua'lam.

Sumber : zulyunus.blogspot.com

Template by:
Free Blog Templates