Keadaan di tanah perkuburan Wak-wak yang biasanya lengang kini
dihadiri pengunjung. Nampaknya ada penghuni baru yang menghuni tanah
perkuburan ini. Selepas selesai mengkebumikan jenazah Abdullah yang
baru meninggal semalam, di bahagian atas tanah perkuburan Wak-wak,
penduduk kampung yang terlibat pun mula mengatur langkah menuruni
anak tangga ke kaki bukit. Ini kerana, tanah perkuburan Wak-wak
terletak dikawasan bukit.
"Macam banyak pula orang meninggal sekarang ni kan Pak Man."
Tanya Amin kepada lelaki yang sedang berjalan berdekatannya. Pada
wajahnya lelaki itu jelas kelihatan jalur-jalur usia yang sudah
semakin lanjut.
"Ya, Min." Jawab Pak Man yang sedang memikul cangkul yang digunakan untuk menggali kubur tadi, di bahunya. "Sudah takdir Allah s.w.t, kita sebagai hamba-Nya kena terima ketentuan-Nya."
"Ya Pak Man." Amin dengan nada yang muram. Pengalaman
pertama kali menggali kubur, membuatkannya berfikir dan merenung
tentang nasib dirinya. Hari ini dia menggali kubur untuk orang lain,
mungkin esok, orang lain pula akan menggali kubur untuknya.
Aziz yang berjalan di belakang Pak Man dan Amin mempercepatkan
sedikit langkahnya. Ingin turut serta dalam perbualan Amin dan Pak
Man.
"Terkenal juga abang Abdullah ni ya, Pak Man." Kata Aziz. Kagum melihat orang ramai yang pergi ke pengkebumian Abdullah. "Ramai sangat orang, lain daripada biasa. Tidak pernah saya lihat depan mata ramai orang ziarah pengkebumian macam ni."
"Ya. Ramai itu memang ramai. Tapi sayangnya, tidak ramai yang dapat mengambil iktibar daripadanya." Pak Man melontarkan kata-katanya. Kata-kata yang diluahkan daripada pengalaman yang sudah lama terkumpul.
"Maksud Pak Man?" Amin mengerut dahi. Bajunya yang dibasahi peluh ketika menggali kubur tadi sudah semakin kering.
"Ramai daripada kita melihat orang meninggal dunia, menziarahi
kematian. Tapi dia seakan-akan lupa dengan kematian. Melihat orang
lain meninggal dunia, tidak membuatkannya terfikir atau merenung
untuk bersedia menghadapi kematian dirinya. Amalnya tidak bertambah,
dia tetap hanyut dengan dunia." Jawab Pak Man sambil tertunduk.
Kelihatan daripada raut wajah Pak Man kebimbangan dan kegusaran.
Bimbang memikirkan nasib dirinya yang sudah semakin tua. Tentu ajal
sudah semakin dekat dengannya.
"Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa apabila mati seorang
anak Adam, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga
perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada
orang lain, lalu diamalkan, dan doa seorang anak yang soleh." Amin menyebutkan mahfum sebuah hadis shahih yang dihafal olehnya.
"Di dunia inilah sahaja tempat kita beramal. Selepas kehidupan
ini, tidak ada lagi amalan yang kita boleh lakukan untuk bekalan
kita menuju akhirat. Kita hidup di dunia ini bukan suka-suka, tapi
ada tujuannya. Untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Hidup kita ini
umpama sebuah perjalanan jauh yang melalui beberapa persinggahan." Pak Man meluahkan kata-kata renungan dan nasihat. "Sekarang
ini, kita sedang berada di dunia. Salah satu daripada persinggahan
untuk mengumpul bekalan dalam menempuh perjalanan yang cukup jauh.
Amat jauh. Apabila kita telah pergi perhentian seterusnya, maka tiada
cara lagi untuk berundur semula."
Amin dan Aziz mendengar dengan teliti, cuba menyelami dan menghayati pengertian yang tersurat dan tersirat dalam ucapan Pak Man.
"Kalau kita tidak menggunakan peluang yang kita ada ini dengan
sebaik-baiknnya, maka akan rugilah kita. Benar-benar akan rugi." Pak Man menambah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Aziz dan Amin diam mendengar kata-kata itu. Pak Man sememangnya
seorang yang banyak berfikir dan banyak hikmah. Sesuai dengan usianya
yang sudah semakin lanjut. Aziz dan Amin masing-masing merenung
diri. Adakah mereka termasuk di kalangan orang yang lalai yang
disebutkan Pak Man. Lupa kepada kematian dan leka dengan dunia.
"Pak Man ini sudah semakin tua..." Keluh Pak Man, tetapi
dia tidak menghabiskan kata-katanya. Suaranya kedengaran sebak. Dia
terdiam, tidak sanggup untuk meneruskan ucapannya. Terasa berat.
"Ajal manusia itu tidak tentu Pak Man. Tiada siapa yang tahu
bila ajal akan menjemput. Muda atau tua bukan penentunya. Bayi dalam
kandungan pun boleh meninggal." Kata Amin sebagai peringatan bersama.
"Ya, betul juga." Pak Man mengangkat wajahnya memandang ke langit yang kebiru-biruan. "Hidup
di dunia ini, kita tidak boleh leka. Sebagaimana kita buat persiapan
untuk dunia kita pada esok hari, maka sebegitulah juga kita perlu
berusaha untuk akhirat kita seandainya kita mati esok."
"Sebagaimana kata Rasulullah s.a.w, berusahalah untuk dunia
kamu seakan-akan kamu akan hidup selamanya, dan berusahalah untuk
akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok." Aziz menyebutkan sebuah hadis.
"Eh, Aziz, itu bukan hadis Nabi s.a.w lah!" Amin berkata pantas.
"Oh, betulkah?" Aziz mengerut dahi. Ini kali pertama dia mendengar orang menafikan apa yang disebutkannya tadi adalah hadis. "Tapi kenapa banyak orang cakap macam tu?"
"Banyak orang cakap tak semestinya betul. Perkataan itu memang
terkenal dalam masyarakat, tapi ianya bukan hadis Nabi s.a.w. Syeikh
Al-Albani menyebutkan ianya tidak mempunyai asal, yakni hadis palsu
dalam kitabnya, Silsilah Ahadith Adh-Dhaifah wal Maudhu'ah!" Jelas Amin dengan yakin. "Hadis palsu tu maksudnya hadis yang direka-reka lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w secara dusta."
Syeikh Al-Albani adalah seorang ulama hadis kontemporari yang
berasal daripada Albania. Beliau lahir pada tahun 1914 dan meninggal
dunia pada tahun 1999. Pernah menjadi tenaga pengajar dalam bidang
hadis di Universiti Islam Madinah selama tiga tahun, ketua Dirasah
Islamiyah dan Fakulti Pasca Sarjana di sebuah perguruan tinggi di
Jordan.
Beliau telah mendapat anugerah penghargaan tertinggi daripada Arab
Saudi atas jasa-jasanya berupa King Faisal Foundation. Beliau
mempunyai banyak karya yang bermanfaat kepada umat Islam, seperti
Silsilah Ahadith Ash-Shahihah, Silsilah Ahadith Adh-Dhaifah wal
Maudhu'ah, Tamam Al-Minnah Fi At-Ta'liq 'Ala Fiqhus Sunnah dan banyak
lagi.
"Owh, jadi hadis palsu ni tak boleh gunakan?"
"Ya." Jawab Amin. "Nabi Muhammad s.a.w mengancam,
barang siapa yang berdusta atas nama baginda s.a.w dengan sengaja,
maka dia telah menyediakan tempat duduk bagi dirinya dalam Neraka!"
Aziz menelan air liur mendengar kata-kata Amin. Terkejut.
"Jadi, macam mana dengan aku?" Tanya Aziz dengan nada yang bimbang.
"Dulu kau tak tahu, tak apalah. Sekarang kau dah tahu,
janganlah gunakan kata-kata tu lagi. Kalau kau guna pun, jangan
katakan ianya adalah hadis daripada Rasulullah s.a.w." Amin cuba menenangkan kebimbangan jelas tergambar di wajah Aziz.
Aziz menarik nafas lega mendengar pernyataan tersebut. Pak Man
tersenyum mendengar perbualan Amin dan Aziz. Kepandaian dan
kecerdasan anak muda yang bernama Amin itu cukup mengagumkannya.
Meskipun baru berumur 20 tahun lebih, tetapi dia mempunyai
pengetahuan yang baik dalam agama. Pak Man, Amin dan Aziz sudah
semakin jauh meninggalkan perkuburan. Sepanjang perjalananm balik ke
rumah masing-masing, mata mereka disajikan dengan kehijauan yang
menyenangkan mata.
"Setiap yang hidup pasti akan merasai mati..." (Surah Al-Anbiya': 35)
Sumber: Artikel iluvislam.com
1 comments:
kuşadası
milas
çeşme
bağcılar
giresun
BTMCU
Post a Comment