Dan
setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai
ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa mengkehendaki
balasan dunia, nescaya kami berikan bahagian dari balasan dunia ini
kepadanya. Dan barangsiapa mengkehendaki balasan akhirat, maka kami
berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu. ( Surah ali 'Imran ayat
145 )
Pengajaran ayat :
Tujuan asas yang didapati daripada firman Allah swt ini adalah untuk
memberi perangsang kepada orang yang beriman agar terus hidup dalam
keadaan berjuang untuk membawa perubahan di jalan Allah swt tanpa merasa
ragu atau gerun terhadap halangan-halangan daripada musuh Allah swt.
Ini adalah kerana :
Sikap penakut seseorang tidak akan menambah atau memanjangkan
nyawanya. Sikap beraninya juga tidak akan memendek atau mengurangkan
nyawanya. Sikap takut dan bimbang seseorang tidak akan dapat menolak
qadar dan takdir Allah swt. Sudah pasti seseorang itu tidak akan mati
sebelum tiba ajalnya (yang telah ditetapkan Allah).
Sesungguhnya Allah swt akan menganugerahkan setiap apa yang diminta
oleh hambaNya samada sebahagian atau sepenuhnya, sesuai dengan peraturan
Ilahi dan sejauh mana mereka menuruti peraturan kehidupannya. Manusia
wajib tahu masa dan perkembangannya :
Masa dan kehidupan yang sementara iaitu kehidupan di dunianya. Masa dan kehidupan yang kekal abadi iaitu kehidupan di akhirat.
Bagi sesiapa di kalangan manusia mencari habuan dan balasan
keuntungan di dunia, maka Allah swt akan memberikan balasan dunianya.
Namun rugi yang amat sangat buatnya kerana gagal memperolehi ganjaran
dan balasan yang lebih besar dan lebih hebat di akhirat kelak.
Sebaliknya, sesiapa yang bekerja, beramal dan berjuang untuk
mendapatkan keuntungan di dunia dan di akhirat, maka Allah swt akan
mengurniakan kepadanya di dunia dan juga habuan yang jauh lebih lumayan
di akhirat kelak.
Semoga Allah memilih kita di kalangan mereka yang gigih bekerja,
istiqamah dan ikhlas di atas jalan kebenaran dan kebaikan ini sehingga
ke penghujung kehidupan kita kelak.
Sumber :
Al Qur'an dan terjemahan – Pustaka Darul Iman, Kuala Lumpur
2007Tafsir Mubin (Jilid 1) – Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
2009Tafsir al-Maraghiy (jilid 2) – Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur 2001
zainurrashid.com
0 comments:
Post a Comment