Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada
undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak
berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta
sepencarian diterima sebagai sebahagaian daripda Undang-Undang Islam di
Malaysia.
Dalam Al-Quran ada menyebut:
"Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang
perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan". (Surah
An-Nisaa' : 32)
Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung dari apa yang diusahakan.
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:
"Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak'.
"Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak'.
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada
masa itu) ketika memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang
(1983, Jld. 2 J.H.) harta sepencarian ditakrifkan:
"Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama
dan berusaha, sama ada keuda-dua pasangan itu sama-sama bekerja dalam
bidang yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara
rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak".
Satu contoh kes di mana sepasang suami isteri memperolehi harta
semasa berkahwin kemudian mereka bercerai. Persoalan yang timbul ialah
bagaimana prinsip harta itu dibahagikan. Menurut Yang Arif Datok Wan
Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan
Wilayah Persekutuan kes Anita binti Abdullah lwn Zainuddin bin Hj.
Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan:
1. Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya;
2. Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing,
mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta
itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah
dibahagikan sama banyak juga. Jika salah seorang enggan bersumpah, maka
harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang
atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan
ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.
3. Jika berlaku adat kebiasaaan bahawa salah seorang daripada suami
isteri itu berusaha lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian
hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati
maka pembahagiannya adalah seperti (a) dan (b) di atas.
Menurut Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah
Persekutuan bagi kes Mansur lwn Kamariah (1988, Jld. VI, 2 J.J.)
tentang harta sepencarian menyatakan:
"Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta
sepencarian, jika tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan
kepada hakim yang menggunakan budibicaranya". Ini bermakna hakim akan
membuat keputusan sendiri berdasarkan budi bicaranya".
Persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang
hanya bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, adakah ia
berpeluang menuntut harta sepencarian? Dalam kes Boto' binti Taha lwn
Jaafar bin Muhammad (1984, 1 J.H.) telah diputuskan bahawa seorang
isteri yang hanya bertugas menolong suami berhak mendapat harta
sepencarian.
Fakta kesnya adalah seperti berikut:
Pihak menuntut (isteri) telah menuntut harta sepencarian dari bekas
suaminya separuh dari harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan.
Harta-harta itu termasuk tanah, rumah, perahu, jala ikan dan warung ikan
(gerai tempat menjual ikan). Apabila ia (isteri) berkahwin dengan
pihak yang kena tuntut (suami) pihak yang menuntut telah meninggalkan
kerjayanya sebagai pembantu kedai di sebuah restoren dan bertugas
sebagai suri rumah di samping membantu tugas-tugas suami.
Yang Arif Hakim Saleh Abas (ketika itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan:
"Pihak menuntut (isteri) menemani pihak kena tuntut boleh dikira
sebagai usahanya bersama atau sumbangannya memperolehi pendapatan yang
mana telah menghasilkan harta itu. Memang betul bahawa pihak menuntut
(isteri) tidak mengambil bahagian langsung dalam perniagaan ikan dengan
pihak kena tuntut (suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan
pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang
membolehkannya berniaga dengan berkesan. Oleh tu adalah kenyataan
perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa perkahwinan yang
menjadikan harta itu sebagai harta sepencarian".
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Hj. Harussani bin Hj.
Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi
(1978, Jld. 1, 2 J.H.) mengenai harta sepencarian:
"Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan
perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumahtangga ketika suami
keluar mencari nafkah. Isteri menurut Syarak berhak mendapat orang
gaji dalam menguruskan rumahtangga. Jika tiada orang gaji maka kerja
memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai
sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami".
Ini bermakna seseorang suri rumahtangga berhak menuntut harta sepencarian dari suaminya.
Harta sepencarian adalah satu prinsip yang berasaskan adat temenggung
dan diterima pakai di dalam undang-undang kekeluargaan Islam di
negeri-negeri dalam Malaysia. Ia bermaksud harta yang diperolehi oleh
suami atau isteri sepanjang tempoh perkahwinan yang perlu dibahagikan di
antara mereka selepas berlaku perceraian.
Menurut konsep harta sepencarian mana-mana pasangan tetap berhak
kepada harta sepencarian walaupun dia tidak berkerja. Ini bermaksa
seseorang isteri yang menjadi surirumah tetap berhak mendapat
sebahagian dari harta suaminya jika mereka bercerai dengan syarat harta
tersebut diperolehi dalam tempoh perkahwinan.
Dalam kes Robert alias Kamarulzaman lwn Umi Kalsom (1966) 1 MLJ 163,
sepasang suami isteri membeli sebuah rumah di Setapak dengan harga
$50,000 dengan sumbangan dari suami sebanyak $40,000 dan baki $10,000
dibayar oleh isteri. Rumah itu didaftarkan di atas nama isteri. Apabila
bercerai, Robert menuntut bahagiannya berasaskan nisbah sumbangan yang
diberikan. Mahkamah membuat keputusan berasaskan prinsip harta
sepencarian dengan mengarahkan harga rumah tersebut dibahagi dua di
antara plaintiff dan defendan.
Dalam kes Tengku Anun Zaharah lwn Dato' Dr. Hussein, Jernal Hukum
Jilid III Bah. 1, Sept. 1983, 125, defendan (bekas suami) adalah seorang
hartawan yang memiliki antara lain 6 bidang tanah, 6 lot rumah kedai
di Wisma Central, beberapa buah rumah dan kenderaan. Plaintiff menuntut
sebuah rumah, sebuah kereta dan beberapa harta lain di bawah harta
sepencarian. Defendan mendakwa bahawa plaintiff tidak memberikan apa-apa
sumbangan dalam usaha mendapatkan harta benda tersebut kerana
plaintiff adalah seorang suri rumah.
Mahkamah memutuskan bahawa walaupun plaintiff tidak menyumbang secara
langsung dalam pemerolehan harta, namun plaintiff tetap berperanan
penting sebagai isteri yang memberikan ketenangan jiwa, kedamaian dan
sokongan moral kepada suami sehingga membolehkan defendan memperolehi
harta tersebut. Harta sepencarian tidak dilihat dari sudut usaha
memperolehi secara sempit sebaliknya melihat kepada peranan kedua-dua
suami dan isteri yang berkongsi hidup selama mereka dalam ikatan
perkahwinan. Oleh yang demikian, Mahkamah membenarkan tuntutan harta
sepencarian plaintiff termasuk 3 ekar tanah yang didaftarkan di atas
nama defendan.
sumber: Artikel iluvislam.com
0 comments:
Post a Comment