DI SEBALIK Ramadan yang bertandang saban tahun dengan seribu janji
pengampunan buat insan yang mengambil manfaat, ada lagi yang istimewa
dan bersejarah iaitu kitab suci Al-Quran. Turunnya kalam Allah ini
mengubah hidup manusia dari kufur kepada cahaya, dan menjadi pegangan
umat Islam hingga hari ini.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada
kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah kitab
al-Quran yang jelas nyata keterangannya, dengan al-Quran itu Allah
menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang
mengikut keredaan-Nya, dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari gelap
gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan
izin-Nya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang
lurus.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 15-16).Kisah mengenai azab dan nikmat juga tidak ketinggalan memberi peringatan buat kita yang ingin berfikir, bahawa dunia adalah fana dan tidak menguntungkan apa-apa melainkan nikmat yang sementara.
Namun, dunia jugalah yang menjayakan kehidupan di akhirat kelak jika kita mampu melaluinya dengan perintah dan suruhan al-Quran. Sebab itulah membaca al-Quran menjadi rutin bibir yang melazimi sunnah Rasulullah SAW, supaya mendapat syafaat di akhirat kelak.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
“Dari
Abu Amamah Al-Bahali berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bacalah oleh kamu al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu akan datang
pada hari kiamat memberi syafaat (perto-longan) kepada pembacanya.”
Sebab itulah Rasulullah bersungguh-sungguh mengerjakan amal ibadat
pada 10 terakhir Ramadan, apa yang Baginda tidak kerjakan pada 10 hari
terakhir bulan lain. Ini juga kerana lailatul qadar, iaitu malam
turunnya al-Quran yang akan muncul antara hari-hari itu.Setiap mukmin perlu mengambil kesempatan Ramadan mengakrabkan diri dengan al-Quran. Tidak cukup dengan membaca, al-Quran perlu difahami dan dihayati supaya pengamalan dilakukan selaras pesanan Allah SWT kerana al-Quran jugalah yang akan memberi syafaat kepada kita di akhirat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Dari Abdullah bin Amru,
sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Bahawa puasa dan al-Quran itu
meminta syafaat kepada Allah SWT untuk seseorang hambanya pada hari
kiamat. Berkata puasa: Ya Allah, aku telah menahan daripada makan dan
minum pada siang hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya. Dan
berkata al-Quran: Ya Allah, aku telah menahannya daripada tidur (kerana
membaca al-Quran) pada malam hari, maka jadikanlah aku syafaat
kepadanya, maka Allah memberi syafaat kepadanya dengan sebab permohonan
keduanya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Ramai kalangan kita yang tidak cuba mengambil kesempatan di sebalik
keistimewaan ini kerana tidak tahu betapa besarnya pertolongan al-Quran
kepada setiap manusia yang beriman.Inilah segelintir manusia yang malang di dunia dan akhirat, kerana mengejar keuntungan akhirat yang tidak mampu dilabur di mana-mana melainkan dalam Ramadan singkat ini.
Sedangkan Allah SWT telah meyakinkan kita bahawa hanya al-Quran satu-satunya kitab yang mengutuskan nasihat dari-Nya, yang memberi panduan supaya kita tidak tersesat seperti sebelum datangnya nur di sebalik Ramadan.
Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya
telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari
Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam
dada kamu dan juga menjadi hadiah petunjuk untuk keselamatan serta
membawa rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57).
sumber :www.harian-metro-online.com
0 comments:
Post a Comment