Tuesday, September 11, 2012

6 Cara Mudah Membuat Anak Rasa Disayangi

 

Anak yang enggan solat, keras kepala, tidak mendengar kata dan gemar bergaul bebas – ini hanya sekadar beberapa masalah yang dihadapi ibu bapa. Tahukah anda, salah satu cara paling efektif untuk membuatkan anak lembut hati dan mudah mendengar kata ialah dengan membuatkan dia merasa disayangi?
Sebenarnya membuatkan anak merasa disayangi tidak memerlukan wang ringgit atau perbelanjaan yang banyak. Tidak perlulah anda membelikan hadiah yang mahal atau percutian yang menelan perbelanjaan yang besar. Malah, sekiranya kita membuat anak kita berasa tidak istimewa sepanjang tahun, barang mainan yang mahal atau jamuan hari jadi yang dibuat di hotel lima bintang tidak akan dapat mengubah perasaan yang dirasai anak kita itu. Apa yang penting dalam jangka masa panjang adalah perkara-perkara kecil yang anda lakukan setiap hari.
Ada enam cara mudah yang boleh anda lakukan untuk membuatkan anak merasa disayangi:

1. Ucapkan kata-kata sayang terutama di kala dia sedih
Anak-anak perlu mendengar ucapan kasih sayang ini lebih-lebih lagi sekiranya mereka sedang mengalami masalah atau kemurungan. Contohnya, apabila berlaku sesuatu kejadian di sekolah yang menyusahkan hatinya. Pada saat-saat duka seperti ini, dia perlu tahu yang anda sentiasa di sisinya untuk memberi sokongan kepadanya.

2. Tunjukkan yang anda gembira apabila berjumpa dengannya
Serlahkan wajah riang ketika menyambut anak anda pulang dari sekolah, umpamanya. Tunjukkan keceriaan bila anda pulang dari bercuti ataupun dari pejabat. Katakan yang anda merinduinya.

3. Perhati dan akui perkara-perkara baik yang dilakukannya
Ibubapa selalunya bertujuan baik apabila menegur kesilapan atau kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak mereka, kerana berharap anak-anak tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. Tetapi teguran-teguran ini mengecewakan anak-anak apabila ibubapa tidak nampak dan tidak memuji perkara-perkara baik yang mereka lakukan.
Anak-anak akan berasa kurang bersemangat dan mungkin akan cenderung melakukan perkara-perkara yang buruk hanya untuk menarik perhatian ibubapa. Apabila memuji anak anda, berikanlah kata-kata pujian yang khusus dan jelas serta ikhlas kepada mereka. Sebagai contoh, "Mama gembira sebab Lan mahu berkongsi biskut coklat cip ini dengan nenek" atau "Rajin anak Papa menyimpan semula buku-buku itu setelah dibaca" atau "Papa seronok tengok Liza melukis dan bermain dengan adik."

4. Dengarkan kata-katanya
Apabila anak bersuara dan ingin memberitahu anda sesuatu perkara, tumpukanlah perhatian dan dengarlah apa yang ingin dikatakannya itu. Lihat wajahnya dan hindari diri daripada menyampuk sehingga dia selesai bercakap. Mendengar bukanlah sekadar mendengar dan mengangguk sahaja.
Satu cara untuk menunjukkan kepada anak yang anda betul-betul mendengar apa yang dikatakannya adalah dengan bertanya soalan seperti "Jadi Faris ambil pen kamu tanpa kebenaran kamu?" Mendengar tidak bermakna anda mesti bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh anak anda. Tetapi dengan mendengar, anda boleh membantu anak anda meluahkan isi hatinya serta membuatkannya berasa lega dan tenteram kerana anda mengambil berat di atas kesejahteraannya.
Anak anda akan berfikir, "Mama/Papa mengambil berat terhadap diri saya, jadi saya tak perlu bimbang." Anak anda perlukan keselesaan emosi seperti ini. Kadangkala anak anda perlukan anda mendengar pengakuannya. Ini berlaku kerana mungkin dia merasakan yang dia telah melakukan satu kesalahan dan kesalahan ini membuatkan dia berasa resah gelisah. Sekiranya ini terjadi, kawal diri daripada memarahinya. Sebaliknya, pujilah dia kerana bersikap jujur dan berani berbincang dengan anda. Dia perlu tahu yang anda tidak memandang rendah kepadanya hanya kerana dia telah melakukan kesalahan. Ini bermakna, walaupun dia telah melakukan kesilapan, anda masih menganggapnya istimewa.

5. Luangkan masa untuk melakukan apa yang diingininya
Kanak-kanak mengaitkan kasih sayang dengan perbuatan. Lebih-lebih lagi kanak-kanak kecil, mereka tidak begitu tahu untuk menjelaskan ungkapan ini, tetapi mereka tahu apa itu kasih sayang. Bagi kanak-kanak, kasih sayang adalah apa yang dialami dan dirasainya atau apa yang dilihatnya dilakukan oleh orang lain.
 Apa yang anak anda mahu lakukan bersama anda? Menanam pokok bawang untuk projek Sainsnya ataupun membaca sebuah buku cerita bersama-sama atau membaca satu kisah lucu dan ketawa bersama-sama? Mungkin juga membuat dinosaur kertas mengikut model yang terdapat dalam buku origami yang anda baru belikan untuknya atau membuat kentang putar untuk makan malam nanti.
Apa pun yang anda lakukan bersamanya, biarlah dia yang memilih aktivitinya dan jika anda tidak boleh melakukannya serta-merta, tetapkanlah tarikh dan masa yang sesuai untuk anda dan juga untuk dirinya. Aktiviti-aktiviti ini boleh dirancang terlebih dahulu tetapi boleh juga dilakukan secara spontan. Perkara-perkara kecil yang anda lakukan bersama akan meninggalkan kesan mendalam di hati dan perasaan anda berdua.


6. Tunjukkan minat terhadap apa yang diusahakannya
Kanak-kanak gemar menunjukkan kepada kita apa yang sedang mereka lakukan.   Sebagai contoh, jika anak anda yang berusia sembilan tahun sedang menyiapkan dua keping lukisan yang berlainan dan bertanya kepada anda lukisan mana satu yang anda lebih suka, dekati anak anda dan amatilah kedua-dua lukisan dengan penuh minat. Katakan sesuatu yang khusus seperti, "Yang ini lagi cantik sebab Ana melukis pokok dan daunnya dengan jelas. Warnanya pun lebih terang."
Elakkan daripada menjawab secara acuh tak acuh, "Papa tengok sama saja kedua-dua lukisan tu." Ataupun sekiranya anda sedang melihat anak belasan tahun anda bermain badminton, anda boleh memujinya dengan berkata, "Pukulan Ina sekarang semakin baik dan lebih bertenaga."
Ataupun sekiranya dia meminta pendapat anda mengenai karangan yang sedang ditulisnya, anda boleh berkata, "Bahagian pengenalan karangan yang Zul tulis tu memang bagus." Anda mungkin berfikir yang kata-kata pujian akan membuatkan diri anak terlampau berpuas hati dengan dirinya sendiri dan tidak lagi mahu berusaha. Tetapi tiada apa yang lebih memotivasikan seorang anak selain daripada kata-kata perangsang daripada ibubapanya.     Tidak kira dalam keadaan apa pun atau apa pun yang sedang dilakukan oleh anak anda, carilah perkara yang elok dan betul dan berikanlah puji-pujian. Anak anda akan menghargai kata-kata pujian itu dan akan berasa gembira.

Sumber: iluvislam.com
artikel : Jamilah Samian

Monday, September 10, 2012

Hukum tertidur semasa solat


  

Biasanya kita hanya mengantuk sahaja di tengah solat (yakni terlelap, bukan tertidur). Mengantuk tidaklah membatalkan solat (sebagaimana tidak membatalkan wudhuk) tanpa ada khilaf di kalangan ulamak sama ada mengantuk/terlelap itu berlaku ketika kita sedang berdiri, rukuk, sujud atau duduk. Adapun jika kita benar-benar tertidur ketika sedang solat, maka hukumnya menurut mazhab Syafiie adalah seperti berikut;

1. Jika tidur itu berlaku semasa sedang duduk iaitu punggung kita berada tetap di atas lantai, tidaklah batal solat.
2. Jika tidur itu berlaku semasa sedang berdiri atau sedang rukuk atau sujud, batallah solat mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafiie.

Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya “al-Majmuk”; “Jika seseorang tidur di dalam solatnya pada ketika sedang duduk iaitu punggungnya tetap di atas lantai, tibak batal solatnya tanpa khilaf (di kalangan ulamak mazhab Syafiie). Jika ia tidur bukan ketika duduk (yakni ketika berdiri, rukuk atau sujud), terdapat khilaf. Mengikut pandangan yang lemah; tidak batal solat dan wudhuknya. Namun mengikut pandangan yang menjadi pegangan mazhab (Syafiie); batal solat dan juga wudhuknya” (al-Majmu’, 2/16. Dinaqalkan secara mafhum).
Jika seorang tertidur hingga ia bercakap di dalam solatnya (dengan percakapan yang bukan solat), batallah solatnya. Berkata Imam al-Walwaliji dalam fatwanya; “Orang yang menunaikan solat jika ia tertidur dan bercakap ketika sedang tidur itu, batallah solatnya” (Dinaqal oleh Imam Ibnu Nujaim dalam kitabnya al-Asybah wa an-Nazair, 1/276).
Mengenai perbezaan antara mengantuk (terlelap) dengan tidur, dijelaskan oleh ulamak seperti berikut;
  • Tidur menguasai akal dan deria (yakni akal dan deria tidak berfungsi lagi kerana dikuasai oleh tidur), sedang mengantuk hanya melemahkan akal dan deria sahaja (yakni akal dan deria masih berfungsi, cuma ia lemah sahaja kerana dipengaruhi persaan mengantuk).
  • Berkata al-Qadhi Husain dan Imam al-Mutawallai; tanda tidur ialah hati tidak merasai apa-apa lagi dan sendi-sendi badan akan jatuh/longlai.
  • Menurut ulamak juga; di antara tanda mengantuk ialah kita masih mendengar ucapan orang yang hampir dengan kita sekalipun kita tidak memahami apa yang dikatakanya. Adapun mimpi ia adalah dari tanda tidur (maknanya, jika terlelap hingga sampai bermimpi, itu tandanya kita telah tertidur).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/13 (bab al-Ahdas allati Tanqudhu al-Wudhu’).
2. Al-Mausi’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (perkataan; Naum).
3. Al-Asybah wa an-Nazhair, Imam Ibnu Nujaim, 1/276.

 sumber: ilmudanulamak.blogspot.com
Oleh USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Sunday, September 9, 2012

Akhlak Sesama Muslim

     Firman ALLAH s.w.t di dalam surah SURAH AL-HUJURAT AYAT 11- 12

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
[12]
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

menceritakan tentang akhlak kita sesama mukmin.Dan di dalam ayat ini ALLAH menyeru kita agar tidak mengolok-olokkan sesama kita dan perkara-perkara yang dilarang oleh ALLAH s.w.t.

        Dari intipati yang kita dapat dari kedua ayat tersebut bolehlah kita bahagikan kepada beberapa bahagian:-
    • ALLAH menegah kita dari mengolok-olokkan sesama kita dan memandang ringan kepada sesama mukmin.Olok di sini bermaksud keji atau hina atau memandang rendah terhadap seseorang individu,sama ada lelaki ataupun perempuan,semata-mata kerana ianya berperangai buruk atau fakir miskin atau mempunyai penyakit seperti penyakit sopak atau perkara-perkara yang sama dengannya.Kerana boleh jadi orang yang dihina itu lebih baik di sisi ALLAH dari orang yang menghina.
    • ALLAH menegah kita dari mengaibkan sesama kita samada dengan perkataan atau perbuatan ataupun dengan isyarat.Kerana sesungguhnya sesama mukmin itu umpama satu jiwa.Maka apabila kita mengaibkan seseorang itu samalah seperti kita mengaibkan diri kita sendiri.Dan inilah adab yang ALLAH ajarkan kepada kita dan menjadi punca utama pada penyatuan dan kekuatan silaturrahim.
    • ALLAH menegah kita dari memanggil saudara kita dengan LAQAB( gelaran ) yang ditegah seperti memanggil nama yang boleh memalukan seseorang individu.Kerana yang demikian boleh menyebabkan seseorang itu menyimpan dendam atau mengundang kemarahan seseorang.
    • ALLAH menegah kita daripada berburuk sangka.Dan yang dimaksudkan di sini ialah seperti melemparkan tohmahan tanpa mengetahui asal punca atau sebab-sebab.
    • ALLAH menegah kita dari bercerita dan menyelidik tentang keaiban seseorang.Ini adalah suatu perbuatan yang dikeji kerana boleh mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya orang tahu dan tidak memberi apa-apa faedah.
    • ALLAH melarang kita dari mengingatkan orang lain pada perkara buruk yang sudah lama atau sudah dilupakan.Seperti umpat-mengumpat atau yang sama dengannya.

      Dan demikianlah antara perkara-perkara yang dilarang oleh ALLAH yang boleh kita ambil pengajaran dari kedua-dua ayat di dalam surah al-Hujrat itu.Sesungguhnya itulah perkara yang dikeji olehNYA sehinggakan ALLAH menyamakan orang yang berbuat demikian seperti memakan bangkai saudaranya sendiri.

      Dan sama-samalah kita menghindar diri kita dari melakukan perkara yang di atas mudah-mudahan kita dan keluarga kita sama-sama mendapat keredhaan ALLAH dan mendapat keampunan dariNYA.WALLAHU A’LAM…….

Thursday, September 6, 2012

Akhlak untuk kita contohi


Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda dalam hadits oleh Abu Darda Radhyiallahu’anhu :

“Tidak ada yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin melainkan akhlak yang baik. Sesungguhnya Allah Ta’ala membenci kekejian dan keburukan.” (HR. At-Tirmidzi no. 2002)

Selain itu seseorang yang berakhlak baik akan dikaruniai tiga istana dalam tiga tingkat yang berbeda dalam surga.


Abu Umamah Al-Bahili Radhiyallahu’anhu meriwayatkan bahwa Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda :

“Aku pemimpin sebuah rumah di dasar surga bagi orang yang meninggalkan adu debat meskipun ia benar.Aku pemimpin sebuah rumah di tengah surga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun sendau gurau. Dan aku pemimpin pada sebuah rumah di ketinggian surga bagi orang yang baik akhlaknya.” (HR. Abu Dawud no.4800)

Tidak diragukan lagi jika orang yang berakhlak baik, tidak suka terhadap perdebatan dan tidak pula terbiasa untuk berdusta. Karena itu Rabb-nya tidak akan menghalanginya untuk mendapatkan istana di surga.

Akhlak yang baik mencakup kesabaran dalam menghadapi gangguan orang lain, senantiasa berprasangka baik dan memuliakan orang lain serta masih banyak bentuk akhlaqul karimah yang lainnya. Karena itu marilah kita hiasi kepribadian dan pergaulan kita bersama manusia dengan kemuliaan akhlak.

Semoga Allah subhanahu wata'ala memperbaiki akhlak kita, dan kita selalu dalam keridha'an-Nya...

sumber: FB Belajar Adab Adab Sunnah Rasulullah saw

Template by:
Free Blog Templates