Wednesday, June 5, 2013

MUHASABAH ISRA’ DAN MI’RAJ



1. Memperingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang berlaku kepada nabi SAW untuk diambil pengajaran adalah sesuatu yang dituntut. Peristiwa agung ini dikatakan berlaku dalam bulan Rejab. Sejak kecil kita diperdengarkan dengan ceramah dan tazkirah tentang peristiwa besar ini terutamanya setiap bulan Rejab.
 

Masjid al-Haram

2. Isra’ maksudnya nabi SAW diperjalankan oleh Allah SWT dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin pada waktu malam. Ia adalah bukti kekuasaan Allah Azza wa Jalla yang maha berkehendak. Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1:
Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar, lagi maha mengetahui.


 

Masjid al-Aqsa

3. Allah SWT maha berkuasa dan maha berkehendak. Semua makhluk adalah sangat lemah walaupun ada jawatan dan sedikit kuasa di dunia ini. Ibn Kathir (774H) menyatakan:
Allah Azza wa Jalla berbangga dan membesarkan zatNya di atas kuasaNya, tiada seorang pun selainNya, dan tiada tuhan selainNya, yang memperjalankan hambaNya iaitu Muhammad SAW, pada satu juzu’ daripada waktu malam, daripada Masjid al-haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa iaitu Bait al-Maqdis di al-Quds, sebagai membenarkan para nabi sejak nabi Ibrahim. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim) 

4. Manakala Mi’raj pula ialah perjalanan nabi SAW dari Masjid al-Aqsa ke langit dan seterusnya bertemu Allah SWT. Firman Allah Azza wa Jalla:
Maka apakah kamu (Musyrikin Mekah) hendak membantahnya tentang apa yang dilihatnya itu? Dan sesungguhnya dia  ( Muhammad) telah melihatnya (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (Iaitu) di Sidratu al-Muntaha. Di sisiNya ada syurga tempat tinggal. (Nabi Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratu al-Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak menyimpang daripada yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Tuhannya yang paling besar.

5. Sepatutnya kita sudah menjadi manusia mukmin yang sebenarnya dalam kehidupan seharian. Kerana saban tahun kita disajikan dengan kisah ini. Jika kita gagal dalam hal ini, maknanya kita gagal mengambil pengajaran daripadanya. Penceramah dan pentazkirah tidak gagal menyampaikan mesej peristiwa ini, yang gagal adalah diri kita sendiri. Inilah yang perlu kita muhasabahkan

6. Kita dianggap gagal jika masih tidak memahami konsep senang selepas susah. Kerana peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini berlaku selepas nabi diuji dengan pelbagai ujian. Wafat isterinya, Khadijah binti Khuwailid yang banyak membantu misi dakwahnya dengan harta dan kedudukannya sedikit sebanyak dirasakan oleh nabi SAW. Wafat pula bapa saudaranya, Abu Talib yang banyak mempertahankan dakwahnya, menjadikan musyrikin mula berani menyentuh nabi SAW dan melakukan penindasan. Allah SWT mendedahkan perasaan nabi SAW ketika ini menerusi firmanNya dalam surah al-Hijr ayat 97-98 bermaksud:
Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah daripada orang-orang yang sujud.

7. Pada waktu inilah nabi SAW dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamunya. Kesukaran dan kesakitan nabi SAW diganti dengan kegembiraan dan keyakinan. Inilah konsepnya yang perlu difahami oleh setiap muslim. Kesusahan ketika bekerja diganti dengan kemanisan upah ganjaran. Keperitan ketika belajar diganti dengan kemudahan pada masa depan. Kegetiran ketika berdakwah diganti dengan nikmat pahala dan syurgaNya insyaAllah.

8. Dari sisi yang lain, kita juga dianggap gagal mengambil pengajaran peristiwa agung ini jika menjadi penghalang kepada dakwah Islam. Nabi SAW berhadapan dengan manusia yang membenci dakwahnya. Malang bagi kita jika tidak bersama dengan kumpulan yang bersama nabi SAW, sebaliknya menyokong dan mendokong kumpulan yang menyekat dan anti kepada dakwah nabi SAW. Tiada maknanya Isra’ dan Mi’raj bagi kumpulan ini. Jangan sampai kebencian kita kepada seseorang, menyebabkan kita benci juga kepada dakwah yang dibawanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 8:
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.

9. Selain itu, kita juga boleh dianggap gagal mengambil pengajaran daripada peristiwa ini, jika masih tidak berminat untuk masuk syurga serta tidak takut dengan neraka. Terlalu banyak hadith sahih yang menceritakan tentang peristiwa ini menunjukkan nabi SAW diperlihatkan dengan syurga dan neraka. Kedua-duanya adalah benar, namun ia berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha dan ikhtiar. Inilah maksudnya mereka tidak berminat dan enggan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Semua umatku akan masuk syurga kecuali mereka yang enggan. Ditanya kepada nabi SAW: Siapakah yang enggan itu ya Rasulullah? Nabi SAW menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku akan masuk syurga, dan sesiapa yang melakukan maksiat kepadaku adalah orang yang enggan. (Riwayat al-Bukhari)

10. Banyak lagi peristiwa lain gambaran mereka yang enggan masuk syurga sebagaimana yang diperlihatkan kepada nabi SAW dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini. Kita dianggap gagal mengambil pengajaran daripadanya jika masih tidak menutup aurat, mengumpat, terus menerima jawatan yang tidak mampu dipikul dan sebagainya. Nabi SAW telah menyampaikan semua yang diperlihatkan kepadanya itu kepada kita dan tiada yang disembunyikan. Tidak mungkin hati kita terlalu keras sehingga sukar mengerti.

11. Di samping itu, sesuatu yang sangat sinonim dengan peristiwa ini adalah ibadah solat. Kewajipan ibadah ini adalah hadiah istimewa daripada Allah Azza wa Jalla untuk nabi SAW dan umatnya. Ia cukup istimewa kerana nabi SAW menerimanya secara langsung daripada Allah SWT tidak seperti ibadah-ibadah lain. Istimewa kerana fadhilat yang terlalu banyak menerusi perlaksanaan ibadah ini. Juga istimewa kerana gandaan pahalanya yang sepatutnya kita tidak lepaskan peluang untuk merebutnya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa nabi SAW bersabda:
Ia (solat) adalah lima, namun ia sama dengan lima puluh. (Riwayat Muslim)

12. Oleh itu, kita perlu bermuhasabah untuk mencetuskan amal. Tidak cukup sekadar di pinggiran mendengar saban tahun tanpa ada kenginan untuk mengubah diri. Program sedia ada juga perlu diteruskan dan diperkasakan dengan kepelbagaian kaedah agar lebih berkesan.

13. Kesimpulannya, pengajaran peristiwa Isra’ dan Mi’raj memerlukan tindakan, sebagaimana ilmu memerlukan amal. Jika tiada sebarang tindakan, ertinya gagal. 


sumber: hjanhar.blogspot.com

1 comments:

shahrilhakime said...

Same2 le kite ambik pengajaran daghi perjalanan Rasulullah ni.... peristiwa ni jugak le yang sebabkan kite dapat solat 5 waktu daghi 50 waktu.... ini udah 5 waktu pun ade yang liat... alahaiiii

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates