Ada kalanya, ketika musim peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan lain-lain,
kedengaran bisik-bisik berkenaan soalan bocor. Pelbagai respon daripada
para pelajar dan ibubapa. Ada yang begitu bersungguh mendapatkannya dan
membuat persiapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Ada juga pelajar
yang mendapat soalan-soalan tersebut, tetapi tidak mempedulikannya,
bahkan ada yang langsung tidak berminat untuk mengambil tahu
soalan-soalan tersebut. Ketika di dalam dewan peperiksaan, ada yang
bergembira kerana telah bersiap sedia dengan jawapan dan ada yang
menyesal kerana mengabaikan soalan-soalan bocor tersebut. Kolum hadis
kali ini akan membicarakan berkenaan empat soalan di dalam kubur yang
telah “dibocorkan” oleh Rasulullah s.a.w melalui ungkapan baginda yang
bermaksud
“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki setiap hamba (ke syurga atau neraka) pada hari akhirat nanti sehinggalah ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan. Ditanya tentang ilmunya, apakah yang diamalkan. Ditanya tentang hartanya, bagaimana cara memperolehi dan membelanjakannya. Dan ditanya tentang kesihatan tubuh badannya, apa yang telah dilakukan dalam kehidupan.” ( Tarmizi ; no 2417)
Moga-moga kita mengambil perhatian dan mempersiapkan jawapan masing-masing dan berjaya lulus dengan cemerlang di akhirat nanti.
Soalan Bocor Yang Pertama
Kehidupan di dunia adalah tempoh ujian daripada Allah swt. Apabila
tiba waktunya, kematian menjelma tanpa diperlewatkan atau dipercepatkan
walaupun sesaat. Persoalan berkenaan usia yang dianugerahkan olehNya
akan ditanya kepada setiap insan lantas masing-masing menjawab dengan
jawapan yang berbeza, berdasarkan cara tersendiri tentang bagaimana
memenuhi tempoh tersebut. Ada yang pendek usianya, tetapi menjadi sangat
bernilai kerana diisi dengan penuh ubudiyyah ( penghambaan) kepada
Allah swt. Ada pula yang panjang umurnya, tetapi menjadi sebab
penyesalan yang tidak berkesudahan kerana ia dipenuhi dengan penghambaan
kepada hawa nafsu semata-mata. Golongan yang paling bergembira adalah
di kalangan yang panjang usianya dan dihiasi dengan ketaatan yang tidak
berbelah bagi kepada Yang Maha Esa. Moga kita mampu menjawab pada saat
itu dengan jawapan yang tidak menghampakan.
Soalan Bocor Yang Kedua
Soalan kedua amat menggetarkan hati khususnya golongan yang berilmu.
Apakah yang telah diamalkan daripada ilmu yang dimiliki ? Peringatan
yang amat menggerunkan di dalam firman Allah:
“Amat besarlah kemurkaan Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu amalkan” ( surah Soff, ayat 3 )
Buah kepada ilmu dan tanda ia bermanfaat kepada seseorang ialah
apabila diamalkan. Para orientalis mempunyai ilmu yang banyak tentang
Islam, tetapi ia tidak akan menyelamatkan mereka di akhirat kerana ia
tidak diamalkan. Begitu juga para ulama’ al-suu’ (ulama’ yang jahat)
yang sentiasa menggunakan agama untuk mengejar dunia dengan
memutarbelitkan hukum hakam agama demi mencari redha ‘tuhan-tuhan’ yang
bukan Tuhan. Demikianlah iblis yang mempunyai ilmu paling hebat
berkenaan syurga, kerana pernah menghuni dan merasai nikmat di dalamnya,
tetapi tidak membawa kepada amal yang membuktikan ketaatan kepada
Allah. Ada pula yang ingin mengambil jalan mudah dengan tidak berusaha
menambah ilmu, agar tidak dibebankan dengan soalan ini, tetapi pada
hakikatnya mendedahkan diri kepada bahaya yang lebih besar iaitu sesat
dalam kegelapan jahiliah. Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami agar
sentiasa berusaha menambahkan ilmu agama dan anugerahkan kami kemampuan
untuk mengamalkannya dengan penuh ikhlas dan istiqamah.
Soalan ketiga berkenaan harta. Ia mempunyai dua anak soalan, iaitu
bagaimana cara memperolehi dan bagaimana cara membelanjakannya. Realiti
dunia hari ini yang dikuasai kapitalis melahirkan segolongan manusia
yang tidak mempedulikan halal dan haram di dalam mengumpul harta.
Matlamatnya hanyalah wang, setiap tindak tanduk diputuskan berdasarkan
keuntungan wang, segala pengorbanan adalah demi wang, bahkan hidup
matinya seolah-olah menghambakan diri kepada wang. Golongan ini lupa
untuk merealisasikan makna doa iftitah yang dibaca pada setiap rakaat
pertama solatnya. Sepatutnya segala-segala yang dilakukan adalah demi
Allah, Tuhan sekalian alam. Lantas suburlah budaya rasuah, pecah amanah,
menipu dalam perniagaan, lari dari hutang, mencuri, merompak dan
sebagainya. Alangkah ngerinya keadaan golongan ini apabila berada di
dalam mahkamah Allah di akhirat kelak, apakah yang bakal dijawab oleh
mereka? Soalan susulan seterusnya ialah cara membelanjakan harta yang
dimiliki. Ada yang begitu cermat memastikan hartanya benar-benar dari
sumber yang bersih dan halal, tetapi lalai ketika membelanjakannya.
Tanpa disedari, ia membeli perkara-perkara yang menjadi senjata musuh
untuk merosakkan zuriatnya sendiri lalu menempatkannya di dalam rumah
yang mereka diami. Ada kalanya, menggunakan harta yang halal, tetapi
membawa ahli keluarganya ke tempat yang melalaikan mereka dari
mengingati Allah. Semua ini bakal ditanya, persiapkanlah jawapannya !
Soalan terakhir berdasarkan hadis ini adalah berkenaan tubuh badan
dan kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah. Ramai yang tidak menghargai
kesihatan ketika mereka sihat bahkan jarang memuji Allah di atas nikmat
ini. Tetapi apabila jatuh sakit, secara tiba-tiba mereka menjadi orang
yang sentiasa menyebut Allah dan berazam untuk melalukan ketaatan
setelah sembuh. Demikianlah sakit, satu anugerah yang sangat baik dari
Allah, tanda kasihNya kepada hambaNya. Justeru, hargailah nikmat tubuh
badan ini dengan menggunakannya semaksima mungkin untuk melakukan
pelaburan yang profitnya akan digunakan untuk ‘shopping’ di akhirat
nanti.
Tangan Dan Kaki Bercakap
Di dalam surah Yaasin, Allah menceritakan suasana di akhirat nanti di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Pada hari ini Kami tutup mulut-mulut mereka, dan tangan-tangan mereka akan bercakap (mengakui segala amalan yang dilakukan di dunia) serta kaki-kaki menjadi saksi di atas apa yang telah mereka lakukan” ( Surah Yaasin, ayat 65 )
Ketika itu, mulut yang sangat petah berkata-kata tidak mampu memberi
alasan dan melepaskan diri lagi sebagaimana di dunia dahulu. Mulut
terkunci rapat dan tugas menjawab dipindahkan kepada seluruh anggota
badan lain lalu mengakui satu persatu amal baik dan buruk ketika di
dunia dahulu tanpa tertinggal sedikitpun, sehingga akhirnya menempatkan
mereka ke destinasi terakhir sama ada di syurga mahupun neraka.
Sumber: ustazsyed.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment