Wednesday, October 31, 2012

Tuhan, Aku Terlalu Banyak Dosa

Pejam celik. Pejam celik. Mata tidak juga bisa ditutup. Memerhatikan segenap ruang bilik. Terpana pada jam di dinding. Sepantas jarum saat akhirnya pasti berhenti. Tatkala,manusia pasti akan toleh ke belakang. Memikirkan tiap detik yang berlalu. Muhasabah.
Dalam suka duka, mengenang dosa-dosa semalam. Hadir rasa kesal dan kesedihan mula melanda diri. Bila rasa bersalah hadir, rasa kehambaan juga turut hadir. Mencari Tuhan, mengingati Tuhan, menyebut-nyebut nama-Nya. Menghadirkan rasa bertuhan agar menyentap sanubari.
"Ya Allah,hamba-Mu ini rasa berdosa. Terlalu. Terlalu banyak dosa."
Maka berderailah air mata. Tidak tertahan-tahan lagi. Pada tangisan ia kembali kepada fitrah insani, mencari Tuhan tatkala rasa bersalah. Terlukis kerinduan hadir dari hati yang dihimpit perasaan ingin dibelai Tuhan.
Oh Tuhan.
Aku manusia biasa. Aku bukan malaikat. Manusia itu sering lupa dan leka. Gembira dengan kesenangan, sedih dengan kesusahan. Kiranya aku fikirkan aku sudah cukup bahagia. Tapi adakah aku tenang? Hari-hariku bukan lagi mentaddabur bacaan Al-Quran. Solatku kini bukan lagi khusyuk. Hatiku tidak lagi dijamu dengan roh usrah, tazkirah dan ceramah setiap hari. Aku lalai di sini.
Di sini. Di celah kesibukan.
Tapi aku bukan manusia jahat. Tidak pernah sesekali ku teguk minuman syaitan. Tidak pernah ku menjejakkan kakiku ke tempat maksiat. Aku tidak menyentuh yang bukan halal untukku. Aku hanya manusia biasa. Aku menunaikan sembahyang. Aku berpuasa di bulan Ramadan. Aku manusia biasa!
Tapi, kurasakan kini ibadahku seakan-akan tiada roh.
Tiada rasa haya' kepada-Mu! Tiada rasa takut kepada-Mu!
Di manakah semangat itu menghilang?
Di manakah air mata yang sering mengiringi bacaan doa?

Hatiku tidak dapat merasai kenikmatan doa. Aku jadi takut. Pelbagai perkara bermain di fikiranku. "Ya Allah gelapnya hati hambaMu ini!". Hati meronta-ronta, lepaskanlah aku! Lepaskan aku daripada perasaan ini. Diri seakan-akan terasa sangat jauh daripada-Mu.
Hati manusia ibarat besi. Setiap dosa yang dilakukan akan melekatlah karat padanya. Tapi karat itu boleh di cuci dengan solat dan doa. Namun lama kelamaan jika karat itu tidak dibersihkan, akan semakin besarlah ia, dan semakin sukarlah untuk dibersihkan . Maka semakin hitam dan gelaplah hati kita. Ketika ini setiap dosa yang dilakukan tiada lagi dirasakan dosa bagi dirinya.
Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. 
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang". (Surah Al-Ra'd 13:28)
Ku ulang-ulang. Ku panggil-panggil nama-Mu. Ku sebut-sebut nama-Mu. Kembalikanlah aku semula. Usah Kau palingkan aku setelah Kau beri hidayah petunjuk-Mu. Aku ini lemah Ya Allah. Kau peganglah hatiku, tautkanlah hatiku di jalan ini. Aku ingin tenang dalam mencari keredhaan-Mu di setiap perjalanan hidup ini.
Allah.
Aku tersedar. Aku tersentap. Kenapa aku mahu jadi orang biasa-biasa? Kenapa tidak ingin menjadi yang lebih baik? Tidak berbuat dosa tidak bermakna aku sempurna. Tidak minum arak tidak bermakna aku terlepas dari melakukan dosa-dosa kecil. Sembahyang 5 waktu tidak bermakna aku sempurna.
Bagaimana dengan dosa-dosa kecil? Aku lalai. Aku lalai! Aku lalai Ya Allah! Terima kasih ya Allah kerana menyedarkan aku. Terima kasih atas hidayah-Mu. Ku panjatkan segala doa kepada-Mu.
"Zikir itu, penghias hati, tasbih menghias lidah. Beruntungnya hati bila masa menguasai, bermegahlah lidah, dengan ucapan sering memuji Allah SWT"
Wahai Tuhan yang Maha Mendengar, kepada siapa hamba mahu mengadu, sekiranya bukan kepada-Mu? Kepada siapa lagi hendak hamba menagih simpati, jika tidak kepada-Mu? Kepada siapa untuk hamba pinta kekuatan,  ketika seluruh daya seperti dicabut daripada tubuhku?

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Tegarkanlah, pasakkan jiwa ini untuk berada pada jalan-Mu untuk selamanya. Jangan sekali-kali Kau biar diri ini tandus dimamah kefuturan. Menjauh dari-Mu, meminggir dari-Mu dan melupakan-Mu. Kuatkan hati ini wahai Tuhan. Kerana tiada siapa tahu kehidupan hamba-Mu ini nanti akhirnya melainkan hanya Engkau. Amin ya Rabb.

Sumber: Nur Na'imah Amarudin (muslimdoktor.blogspot.com)

Tuesday, October 30, 2012

Sebahagian tanda² akhir zaman

1. Masa menjadi singkat & pendek.
Imam an-Nawawi رحمه الله berkata: "Maksud "masa menjadi singkat" ialah tiada keberkatan pada masa itu sehingga dirasakan masa yang dipergunakan 1 hari itu umpama 1 saat."
2. Berkurangnya amalan.
Hanya sedikit amalan yang dapat dilakukan kerana banyaknya halangan samada dari syaitan manusia atau syaitan jin.

3. Didatangkan sifat bakhil.
Sifat ini boleh dikatakan mengenai ramai manusia. Orang alim bakhil dengan ilmunya, tukang masak bakhil dengan resepinya, orang kaya bakhil dengan hartanya dll. Mereka menyangka bahawa jika dikongsikan dengan orang lain, maka habislah ilmu & harta mereka.

4. Fitnah di mana², tersebar dengan meluas.

5. Pembunuhan di kalangan manusia kerana benci & tamak haloba.

~ Tanda² kiamat ini dipetik dari hadis riwayat Imam al-Bukhari رحمه الله di dalam kitab Mukhtasor ibn Abi Jamrah.

Semuanya sudah wujud di zaman kita "hari ini". Masa untuk berubah ke arah yang lebih baik dari semalam.
Sumber: iluvislam.com

Monday, October 29, 2012

Ganjaran Solat Subuh

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: 
“Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)
 
Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta’arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari. Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.
Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.

Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.
Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.
Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: 
“Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)

Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.
Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: 
“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: 
“Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?
Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 
“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim)

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 
“Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.
Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, 
“Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 
“Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)

Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.

Sumber: saifunnizam.blogspot.com

Sunday, October 28, 2012

Betapa Kejinya Setitis Arak


Aku ingat lagi time dulu-dulu ketika berpicnic dekat pantai bersama dengan keluarga tercinta. Setiap kali berpicnic mesti ternampak botol-botol hijau berpasir ditepi pantai. Lagipun ia berjenama yang pelik-pelik; Kapak, Alkohol Herba dan yang selebihnya namanya aku tidak ingat. Memang benar apa yang aku sangkakan bahawa botol-botol arak ini kebanyakannya dikilangkan di negara kita, buktinya di sini.
Kenapalah manusia zaman sekarang gemar sangat minum air kencing syaitan ni. Tidak kira orang Islam atau agama lain, kebanyakan agama-agama selain Islam juga melarang penganutnya meminum arak. Sebagai contohnya agama Kristian. Tertulis dalam Bible:
"Janganlah kamu menjadi mabuk dengan wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup kamu." (Ephesians, 5:8)
Ini sebagai bukti bahawa agama lain juga melarang penganutnya meminum arak.
Ramai diantara kita yang beragama Islam tanpa segan silu meminum arak dan menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan arak sedangkan betapa besarnya kecelakaan yang dibawa oleh arak sehingga Rasulullah s.a.w. telah melaknat sepuluh golongan manusia yang terlibat dengannya.
Anas r.a. berkata:
"Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan pemesannya." (Riwayat al-Tirmizi no. 1295, Abu Daud no. 3674, Ibn Majah no. 3381 dan Ahmad no. 316)
Apabila diteliti sepuluh golongan manusia yang tersenarai dalam hadis di atas, satu kesimpulan yang boleh dibuat iaitu setiap orang yang terlibat dengan arak pasti termasuk dalam laknat Baginda S.A.W.
Setiap sen yang diperoleh daripada sumber yang berkaitan dengan arak, pasti menjadi sebab hilangnya keberkatan dalam hidup seseorang. Bahkan ia menjadi punca keruntuhan akhlak dan institusi keluarga.
Masyarakat yang dalamnya wujud peminum arak akan terdedah kepada pelbagai masalah. Musibah terbesar pasti mengundang kemurkaan Allah S.W.T sekiranya tiada pihak yang cuba memeranginya.
Peminum arak sentiasa terdorong untuk melakukan jenayah-jenayah seperti memandu secara berbahaya, merogol, membunuh dan sebagainya. Ini kerana apabila seseorang itu mabuk, pusat kawalan akalnya sudah tidak berfungsi dengan normal, lantas dia akan bertindak di luar kawalan akal.

Diceritakan bahawa pada zaman sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W, seorang pemuda yang terkenal sangat kuat beribadat telah difitnah oleh seorang perempuan pelacur yang jatuh hati kepadanya.
Si perempuan menggunakan helah menyuruh pembantunya menjemput pemuda itu datang ke rumah, kononnya atas suatu hajat yang penting. Apabila pemuda tersebut masuk kedalam rumahnya, perempuan itu segera mengunci pintu.
Di dalam rumah tersebut ada seorang bayi kecil dan satu hidangan arak. Perempuan itu berkata: "Aku memberimu tiga pilihan; berzina denganku, bunuh bayi ini atau minumlah arak ini. Sekiranya kamu enggan, aku akan menjerit dan memberitahu orang ramai bahawa kamu telah memperkosaku dan bayi ini adalah anakmu."
Melihat kesungguhan pelacur ini, pemuda tersebut terpaksa membuat keputusan untuk memilih salah satu pililhan. Dia memilih untuk meminum arak kerana baginya ialah dosa yang paling ringan. Membunuh bayi dan berzina melibatkan orang lain, tetapi meminum arak hanya melibatkan dirinya sahaja untuk bertaubat, pada pandangannya.
Akhirnya ia meminum arak itu sehingga mabuk dan ketika mabuk, ia berzina dengan pelacur yang hina itu. Selepas itu, tanpa kewarasan fikirannya, dia telah bertindak membunuh bayi itu. Kisah diriwayatkan oleh Imam Abdul Razzaq dalam kitab al-Musannaf, no. 17060 dan Ibn Hibban, no. 5348.
Kisah ini menunjukkan bahawa betapa hebatnya pengaruh negatif arak kepada manusia. Ia bukan sahaja menyebabkan masalah kesihatan, tetapi juga mendorong manusia melakukan maksiat yang lebih besar. Benarlah sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Arak adalah ibu segala maksiat." (Riwayat al-Nasa'i no. 5666)
Amatlah benar pengharaman arak dalam ajaran Islam. Walaupun arak telah sebati dan menjadi minuman kegemaran masyarakat arak, Rasulullah S.A.W tidak pernah teragak-agak untuk menguatkuasakan pengharamannya.
Baginda mungkin berdepan dengan risiko dibenci oleh masyarakat arab dan juga risiko berkurangnya pendapatan negara Madinah daripada cukai arak, tetapi keutamaan diberikan demi mencari keredhaan Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah-Nya. Wawasan Baginda bukan sekadar berjaya di dunia, tetapi kemenangan hakiki adalah dengan mendapat syurga Allah S.W.T di akhirat kelak.

Sumber: iluvislam.com

Template by:
Free Blog Templates