Thursday, September 29, 2011

Ghibah @ Mengumpat


Apakah ghibah atau mengumpat ? Iaitu mengucapkan perkataan (atau dengan gerak badan, mata, tulisan dsbnya) sesuatu yang tidak
disukai pada diri orang lain. Tidak kira samada yang tidak disenangi itu ada pada tubuh badannya, gerak lakunya, agamanya dan sebagainya.

Menurut al-Ghazali, definasi ini adalah yang telah diijma'kan oleh kaum muslimin (tiada seorangpun membangkang) . Maksudnya, mereka bersepakat mengatakan bahawa inilah dia definasi ghibah. Ghibah, dalam bahasa Melayu kita disebut mengumpat. Iaitu menceritakan keburukkan orang lain di belakangnya.

Hukum Ghibah (Mengumpat)

Umat Islam seluruhnya juga telah ijma' mengatakan bahawa hukum ghibah adalah haram. Sebahagian dalilnya ada termaktub pada ayat al-Quran dan hadis di atas. Dan terdapat di dalam sebuah hadis di mana Rasulullah s.a.w. mengatakan bahawa orang yang mengutuk orang Islam yang lain sebagai fasik (lihat min fathil mubtadi bi syarhi muhktasar al-zabidi).

Dan siksaannya amat berat sekali, kerana ia adalah termasuk antara dosa-dosa besar. Dalam sebuah hadis ada menceritakan bagaimana dua orang ahli kubur sedang disiksa. Yang seorang gemar menyampaikan aib orang dan yang seorang lagi tidak bersuci dengan sempurna selepas kencing (lihat hadis berkenaan riwayat Bukhari).

Namimah pula ialah mengadu domba. Iaitu menyampaikan perkataan orang lain untuk membuatkan kedua-dua belah pihak berkelahi.

Jadi, apabila hukum ghibah dan namimah itu haram, maka menasihati orang yang melakukan ghibah adalah wajib. Jika tidak berdaya hendaklah beredar dari majlis berkenaan. Jika tidak berdaya juga, hendaklah engkar di dalam hati.

Ghibah(mengumpat) diperbolehkan
Hukum ghibah adalah haram. Ini adalah hukum asal. Atas alasan-alasan syarak ia diperbolehkan. Apakah alasan syarak itu. Iaitu mahu mencapai satu-satu tujuan yang benar menurut pertimbangan syarak, di mana jika tidak melalui cara itu tujuan itu tak mungkin akan tercapai. Walaubagaimanapun, jika ada cara lain seboleh-bolehnya gunakan cara berkenaan. Elakkan ghibah


Untuk membela diri. Adalah dibenarkan jika:
a) atas tujuan yang dibenarkan oleh syarak
b) Jika tiada jalan lain melainkan dengan membuka aib orang lain.
Contohnya, saudara telah dituduh mencuri, sedangkan saudara tahu siapa yang mencuri. Saudara terpaksa mempertahankan diri dengan berkata benar. Ini biasa berlaku di mahkamah. Mahkamah terpaksa membuka aib mereka yang terbabit untuk tujuan yang dibenarkan oleh syarak, iaitu membuktikan benar atau salahnya orang yang dituduh (mencari penjenayah).

Di bawah ini saya senaraikan enam tempat yang dibenarkan ghibah. Saudara boleh timbangkan dengan masalah yang saudara hadapi:

Pertama: Mahu mengadu kepada qadhi, polis, imam, ketua kampung dsbnya kerana teraniaya. Ketika mengadu tidak boleh tidak kita terpaksa membuka kezaliman yang telah dilakukan terhadap kita. Dengan membuka keburukan orang berkenaan, barulah pengadilan dapat dilaksanakan.

Kedua: Mahu mencegah kemunkaran dan kemaksiatan yang berlaku. Keburukan pelaku maksiat itu boleh diceritakan kepada seseorang yang dapat diharapkan boleh menghindarkan kemungkaran itu. Seperti saudara melihat sebahagian anak-anak muda di kawasan saudara membawa perempuan ajnabi balik ke rumahnya (berkhalwat) . Saudara hendaklah mencari seseorang yang boleh diharapkan dapat menghalang perkara berkenaan. Saudara dibenarkan menceritakan perihal anak-anak muda itu kepadanya.

Ketiga: Meminta fatwa dari alim-ulamak. Contohnya dalam masalah rumahtangga, jika si suami melakukan sesuatu yang tidak baik kepada isterinya (contoh: tidak beri nafkah), dia boleh mengadu hal kepada ulamak/mufti meminta fatwa. "Suami saya tidak memberi saya nafkah selama sekian lama. Apa hukumnya dia melakukan demikian. Apakah yang harus saya lakukan?"

Keempat: Memberi peringatan (agar berhati-hati) dan nasihat kepada kaum muslimin tentang kejahatan seseorang. Bahkan jika dapat memberi mudarat kepada seseorang, wajib kita jelaskan keburukkannya. Contoh, apabila seseorang datang kepada saudara meminta nasihat tentang perkahwinan anak perempuannya. Apakah wajar dikahwinkan dengan si fulan? Sedangkan saudara tahu bahawa si fulan itu adalah seorang yang buruk akhlaknya dan bejat agamanya. Jika memadai dengan kata 'JANGAN', hendaklah saudara mengatakan begitu sahaja. Jika dirasakan tidak cukup, wajiblah saudara membuka aibnya.

Kelima: Mencela orang yang secara terang-terangan melakukan kefasikkan, bid'ah dan kezaliman. Contoh, seorang yang secara terang-terangan meminum arak, atau berjudi, atau melaksanakan projek-projek batil. Yang dibenarkan hanyalah menyebutkan kemaksiatan yang dilakukan secara terang-terangan itu sahaja. Dan diharamkan menyebutkan aib-aib lain.

Keenam: Untuk mengenalkan seseorang. Jika seseorang itu memang dikenali dengan julukkan si tempang, si buta dan sebagainya, boleh saudara menyebutkan jolokkan itu dengan niat mengenalkan. Haram jika dengan niat mencemuh. Walaubagaimanapun selagi boleh mengelakkan menyebut julukkan itu, elakkan..

Dalil:
Firman Allah Taala:
"Allah tidak suka kepada perkataan yang tidak baik diperdengarkan, kecuali dari orang-orang yang teraniaya..." (al-Nisaa', ayat 148)

Hadis:
"Aisyah r.a. berkata: Seseorang datang minta izin kepada nabi s.a.w. (masuk ke rumah). Lalu nabi s.a.w. bersabda: Izinkanlah. Dia adalah sejahat-jahat orang di kalangan kaumnya." (riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis:
"Aisyah r.a. berkata: Hindun binti Uthbah (isteri Abu Sufian) berkata kepada nabi s.a.w.: Sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut dan tidak memberi cukup belanja kepada ku dan anak-anakku, kecuali kalau saya ambil di luar pengetahuannya. Nabi s.a.w. menjawab: Ambillah secukupmu dan ank-anakmu dengan sederhana." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis:
"Fatimah binti Qais berkata: Saya datang kepada Nabi s.a.w. bertanya tentang dua orang yang meminang saya, iaitu Abu Jahm dan Muawiyah. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Adapun Muawiyah, dia adalah seorang yang miskin, manakala Abu Jahm, dia adalah seorang yang suka memukul isteri." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. ada menceritakan keburukkan orang lain untuk mencapai maksud yang dibenarkan oleh syarak. Dan tiada pilihan lain melainkan memberitahu aib orang berkenaan.
Wallahu'alam..

Rujukan:
Untuk mengetahui lebih lanjut dan terprinci lagi mengenai ghibah sila rujuk al-Ihya' Ulumuddin - al-Ghazali & al-Azkar - Imam al-Nawawi. Untuk mereka yang tidak dapat membaca kitab asalnya yang berbahasa Arab, bolehlah dapatkan terjemahan kedua-duanya.






Tuesday, September 27, 2011

Doa Intipati Segala Ibadah


Hadith: RASULULLAH s.a.w bersabda yang maksudnya: "Tiadalah di atas dunia ini seorang Muslim yang berdoa melainkan akan diperkenankan Tuhan atau dipalingkan daripadanya kejahatan selama dia tidak berdoa perkara-perkara yang berdosa atau membuat perkara yang memutuskan tali persaudaraan. Lantas seorang lelaki berkata: Kalau begitu kita perbanyakkan doa? Jawab baginda: Di sisi Allah (penerimaan) lebih banyak." Riwayat at-Tirmizi

Pengajaran hadith:
i) Setiap umat Islam dituntut supaya berdoa kerana doa adalah inti pati kepada segala ibadah. Orang yang enggan berdoa dianggap sebagai orang yang sombong, takbur dan bongkak.
ii) Ketika berdoa, kita hendaklah peka kepada apa yang didoakan (dipohon), janganlah berdoa dengan mulut sahaja sedangkan hati kita lalai. Sebaliknya hadirkan hati serta hayati apa yang dipohonkan itu serta yakin bahawa Allah akan menerima doa tersebut kerana sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan memperkenankan doa orang yang hatinya lalai dan alpa.
iii) Supaya doa dimakbulkan, hendaklah kita mematuhi adab-adab berdoa serta memilih masa dan tempat yang sesuai kerana Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya selama mana apa yang diminta itu merupakan perkara-perkara yang baik. Begitu juga Allah yang sifat-Nya yang Maha Pengampun tidak akan menolak doa hambanya yang beristighfar dan berdoa memohon keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.

Sumber
: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia





Sunday, September 25, 2011

Sentiasa Memberi Yang Terbaik


  1. Menyedari akan benarnya sebuah kematian di hujung perjalanan, maka marilah kita menghargai kehidupan ini.
  2. Biar pun kehidupan di dunia ini sangat pendek, namun ia menentukan kehidupan tanpa sempadan usia kita di Sana nanti. Biar pun kata sesetengah orang hidup ini sementara, namun hakikatnya kesan perbuatan kita kekal selama-lamanya.
  3. Justeru lakukanlah yang terbaik demi menghargai peluang yang ada dalam kehidupan yang singkat ini.
  4. Sebagai contoh, seorang suami teringin memakan ayam masak merah. Si isteri memasak acuh tidak acuh sedangkan bibik masak dengan bersungguh-sungguh. Tentu sahaja ayam masak merah kedua itu yang lebih menarik perhatian untuk dijamah. Ia adalah fitrah manusia yang memilih segala yang terbaik jika diberi peluang.
  5. Fitrah manusia sukakan yang terbaik
  6. Namun bolehkah kita mengharapkan yang terbaik jika tidak memberi yang terbaik? Pepatah menyebut, “what you give you get back
  7. Melakukan yang terbaik adalah semangat Islam dalam semua pekerjaan. Acuh tidak acuh atau budaya melepaskan batok di tangga bertentangan dengan tatacara Islam dalam menilai perbuatan.
  8. Berhakkah Allah menghendaki yang terbaik daripada kita? Sudah tentu kerana Allah telah memberikan yang terbaik kepada kita.
  9. Kontraktor yang dilantik dengan bekalan alat binaan terbaik, pekerja terbaik, sudah tentu majikan menjangkakan hasil yang terbaik.
  10. لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم
__._,_.___





Wednesday, September 21, 2011

Wudhu zahir&batin

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk
solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk
dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya,
demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam
dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air".

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
1.aku sedang berhadapan dengan Allah,
2.Syurga di sebelah kananku,
3.Neraka di sebelah kiriku,
4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan
menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku,
kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian aku
rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh
pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat
selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya
yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

"Bertakwalah kepada ALLAH di mana kau berada & sambunglah perbuatan jahat itu dgn kebaikan supaya terhapus (kejahatannya), & bergaullah sesama manusia dgn budi yg baik (akhlak yg baik)."
[ Riwayat At-Tirmidzi ]






Template by:
Free Blog Templates