Wednesday, December 5, 2012

Bergerak yang Membatalkan Solat


Tidak semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan dengan ringkas.
Tamakninah adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul:
فَارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ……ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا


Maksudnya: “ ulangi solatmu dan solatlah sessunghuhnya engkau belum menyempurnakan solatmu……kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan sujud.” (Riwayat al-Bukhari)
Tamakninah adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tamakninah dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan pergerakn besar menurut mazhab Syafie.
Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan dalam mazhab seperti berikut:-
KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.
KECIL : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.
KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat. BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.
KECIL : kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR : juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau
وهو الأصح وقول الأكثرين
Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]
Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, saya cenderung kepada menyarankan agar memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana dharurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.
Sekian
Sumber : 
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Tuesday, December 4, 2012

Nikmat Agung Dari Yang Maha Agung

 Bismillah...
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. 
Allah beri nikmat yang banyak pada kita. Dengan meminta, tanpa meminta, dengan sebab, tanpa sebab, dengan sedar, tanpa sedar. Allah beri nikmat hidup, ilmu, pendengaran, penglihatan, kekuatan, kata-kata, pancaindera, makan minum, anak isteri, perasaan cinta kasih sayang, kerjaya, perniagaan, duit, rumah, pangkat, harta, kesihatan, kegembiraan, pelbagai kemudahan dan bermacam-macam nikmat yang Allah beri. Tapi, kenapa kita masih mengeluh? Apa lagi yang kita nak? Tak cukup itu, tak cukup ini. Pertama sekali, bersyukurlah dulu dengan apa yang ada sekarang. Macamana nak maju ke hadapan, sedangkan apa yang telah dikurniakan Allah sekarang ini tak disyukuri? Sifat manusia kebiasaannya asyik tak cukup. Nak lagi, nak lagi, nak lagi. Bila diberi selombong emas, difikir kenapa tak diberi 2 atau 3?
Malulah kita dengan Allah. Tanamkanlah sifat malu dalam diri kita kepada Allah. Malu dengan diri sendiri. Renung, tafakur dalam-dalam. Allah telah beri kita nikmat yang paling AGUNG! Nikmat Islam dan Iman. Kenapa kita masih tak bersyukur? Antara ramai manusia, Allah pilih kita sebagai Muslim dan dikurniakan kepada kita Iman. Setiap nafas tak perlu bayar. Setiap satu imej penglihatan tak perlu bayar. Setiap kata-kata, tak perlu bayar. Semua percuma.
Cukuplah Allah bagi kita. Walau kita tak ada apa-apa pun di dunia ni, cukuplah Allah bagi kita. Walau kita rasa serba kekurangan, cukuplah Allah bagi kita. Kepada Dia kita akan kembali. Bersyukurlah, bersyukurlah dan bersyukurlah setiap saat. Dengan memohon kekuatan, daya dan upaya dari Allah untuk taat segala perintahNYA, tinggal laranganNYA dengan cara Nabi Shallallahu ‘Alahi Wasallam.
Bersabarlah dengan ujian hidup. Hidup di dunia semuanya ujian. Susah senang, suka duka, bertemu berpisah, kaya miskin, sempurna cacat, celik buta, sihat sakit dan macam-macam. Bersabarlah kalau doa belum dimakbulkan. Bersabarlah kalau pertolongan belum sampai. Bersyukurlah, walau sehebat mana ujian datang, Allah masih pelihara Islam dan Iman dalam diri kita.
Pernahkah kita terfikir? Allah yang cipta kita. Allah yang beri kita hidup, makan minum, kesenangan, kebahagian, pertolongan dsb. Allah beri kita nikmat AGUNG iaitu nikmat Islam dan Iman. Dah tu, diberinya kita kekuatan dan taufik hidayah untuk mentaatiNYA. Kemudian disediakan kepada kita nikmat syurga kepada kita nanti bila kita mati dengan Islam dan Iman di hati (walau sebesar zarah).
Bersyukurlah… bila kita buat dosa maksiat, Allah ‘tarik’ kita kembali ke jalan yang lurus balik. Allah sedarkan kita. Bila kita buat dosa maksiat, Allah tetap beri kita nikmat rezeki, nafas, makan minum dsb. Nikmat Allah tetap sentiasa bersama kita. Jadi apa lagi yang kita rasa tak cukup di dunia ni? Baca dan fahami terjemahan dari surah Ar-Rahman. Kita pasti menangis.
Setiap saat, bersyukurlah dengan nikmat AGUNG ini. Iaitu Islam dan Iman. Peliharalah dan kembangkanlah Islam dan Iman dalam diri kita, keluarga, masyarakat dan sebarkan kepada umat seluruh alam. Mudah-mudahan kita bertemu dengan Allah dengan Islam dan Iman seperti mana yang dikehendakiNYA. Aamiin.
Sekadar berpesan-pesan dan ingat-mengingati antara kita.
Syukur Alhamdulillah

Sumber: 
By: Syed Mansor Bin Syed Mahazar
nur-reiki.blogspot.com

Monday, December 3, 2012

Sabar dan taqwa kunci hadapi dengki dan iri hati


Sungguh kita ketahui bahawa manusia hidup bermacam-macam karenah dan ragam. Kesemuanya tidak sempurna untuk melengkapi keperluan hidup masing-masing. Ada yang tidak berpuas hati terhadap kejayaan orang lain, dan ada pula yang cemburu buta terhadap kesenangan yang dilalui individu lain. Maka, wujudlah perasaan dengki dan iri hati dalam setiap diri manusia itu.
Iri hati bermaksud perasaan tidak puas hati terhadap diri sendiri kerana melihat kesenangan orang lain. Hasad dengki pula diertikan sebagai suatu sikap tidak senang diatas kesenangan, kenikmatan atau kelebihan yang terdapat dalam diri orang lain.
Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa’ ayat 54 bermaksud, “Adakah patut mereka dengki kepada manusia atas nikmat yang Allah s.w.t berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya?” Orang yang bersifat hasad dengki jiwanya sentiasa merasa serba kekurangan dengan apa yang dimilikinya. Ini kerana dia tidak pernah merasa bersyukur di atas apa yang dimilikinya, sebaliknya dia mewujudkan perasaan dengki dan iri hati terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain.
Dalam Islam, sifat hasad dengki adalah tercela dan tergolong dalam amalan-amalan orang munafik. Banyak keburukan yang diperolehi akibat daripada perbuatan dengki dan iri hati ini kerana sifat dengki dan iri hati boleh mengakibatkan perpecahan ummah. Sifat ini juga boleh mewujudkan perasaan dendam, berprasangka buruk dan permusuhan terhadap individu lain.
Allah berfirman yang bermaksud, “Yang paling aku takut dari apa yang aku takut pada umatku ialah yang banyak harta pada mereka, lalu mereka saling berdengki dan berbunuh-bunuhan.” (HR. Ibnu Abid Dunya an Amir Al-Asy’ari)
Islam mengharuskan umatnya mempunyai perasaan dengki terhadap orang lain kepada dua perkara sahaja, iaitu terhadap ilmu dan harta kekayaan yang dimiliki oleh orang lain. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar, Rasulullah saw bersabda, “Tidak ada dengki selain daripada dua perkara, iaitu orang yang diberikan harta oleh Allah swt lalu dikuasainya harta itu pada kebenaran dan orang yang diberikan ilmu oleh Allah swt lalu diamalkan ilmu itu dan diajarkan kepada manusia.”

Dengki juga hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain. Di dalam setiap diri manusia, sememangnya mempunyai keinginan bersaing untuk mendapat nikmat yang sama atau lebih. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenali sebagai ghibtah. Seseorang yang menyedari dirinya serba kekurangan, apabila melihat orang lain maju dan mendapat lebih nikmat maka ia akan berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain. Inilah sifat bukan dengki yang sebenarnya.
Menurut pakar perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr Hj Fadzilah Kamsah dalam bukunya yang bertajuk “Menerobos Sempadan Diri”, antara tips motivasi yang diajar oleh beliau ialah kunci kemenangan adalah sabar.
Benar sekali kata-kata beliau kerana untuk mecapai suatu kemenangan bukanlah mudah, malah kita harus bersabar dan terus berusaha yang terbaik demi mencapai sebuah kemenangan.
Apa yang saya ingin kupaskan di dalam ruangan ini, untuk menghadapi perasaan hasad dengki adalah perbanyakkan kesabaran dan tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Ketaqwaan kepada Allah s.w.t menuntut kita agar mempunyai sifat sabar sepanjang masa. Mustahil seseorang manusia itu mencecah kaki kegerbang ketaqwaan tanpa mempunyai kesabaran yang tinggi. Ini kerana taqwa bererti seseorang mestilah tunduk dan patuh kepada suruhan Allah serta menjauhi segala larangan-Nya. Kekuatan dalam kesabaran itu amatlah penting dalam melaksanakan perintah dan larangan-Nya.
Sabar ialah ketahanan rohani dan jasmani dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sifat ini sememangnya digalakkan oleh Islam. Sabar dalam ketabahan menghadapi kesusahan dan kecekalan untuk mengatasi masalah. Dalam setiap kehidupan, masalah dan cabaran merupakan asam garam kehidupan yang tidak dapat kita elakkan.
Sesungguhnya manusia tidak terlepas daripada malapetaka dan kesusahan dalam kehidupan seharian. Oleh itu bersabarlah dan semoga kita semua dirahmati Allah serta diberi kemenangan di dunia dan akhirat. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah r.a. bermaksud, Tiada seorang muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, keseksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenainya melainkan dihapuskan oleh Allah sebahagian daripada kesalahannya.”
Sifat sabar sungguh mulia sekali untuk dihayati oleh kita semua kerana ia dimiliki oleh para Rasul. Kesabaranlah yang membimbing seseorang untuk mencapai kehidupan yang lebih baik setelah mengalami kesedihan, kehampaan, kekecewaan dan sebagainya.

Kita selalu mendengar dan membaca kata-kata ini, “Kadang-kadang, Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat, kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya sinar itu, rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi.”
Dari kata-kata di atas jelas menunjukan bahawa Allah tidak memberi kelebihan kepada kita dalam suatu perkara, tetapi Allah memberi kita kelebihan dalam sesuatu perkara yang lain.
Musibah yang terjadi itu adalah ujian dari-Nya. Yakinlah dengan Allah, dan yakinlah dengan janji-Nya. Dalam Al-Quran ada menyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 286, “Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”
Tidak rugi kepada orang yang bersabar menghadapi cercaan dan hinaan daripada orang lain kerana Allah s.w.t telah meletakkan di tempat yang tinggi darjat orang yang bersabar, “Katakanlah (wahai Muhammad akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah Az-Zumar: Ayat 10)

Kadangkala kita mengeluh akan kehidupan yang kita jalani dan kadangkala kita tidak berada di jalan yang lurus kerana sifat-sifat syaitan yang melemahkan azam dan memesongkan kita dari jalan yang lurus seterusnya menimbulkan rasa iri hati dan hasad dengki yang telah menutup hati kita daripada memperoleh hidayah Allah s.w.t.
Semakin kotor hati, semakin kusam dan pekat pula hati kita yang dipenuhi dengan kegelapan. Tanpa cahaya, nur dan hidayah Allah s.w.t yang membimbing kita ke jalan yang lurus, maka kotorlah hati kita dengan sifat yang tercela lagi hina ini.
Justeru, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Beranilah beramal dengan sifat yang terpuji dengan bersabar di atas setiap ujian. Laluilah onak-duri kehidupan yang berliku dengan kesabaran dan ketaqwaan kepada-Nya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya hasad dengki dan iri hati yang membawa kepada kerosakan dan bala tidaklah dihalalkan. Yang dituntut oleh agama ialah iri hati supaya kita turut berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh nikmat, kesenangan dan kelebihan dari Allah s.w.t dan menggunakannya di jalan yang diredhai-Nya.

Sumber :Siti Nur Syuhadda Azami - islamituindah.my

2 tabiat perempuan bawa ke neraka



As’salamualaikum . 
Sebagai peringatan untuk para wanita dipaparkan suatu peristiwa di suatu Eid, di mana seorang wakil telah dilantik dari kaum wanita untuk bertemu dengan Rasulullah SAW untuk meminta baginda SAW memberi ucapan khusus untuk kaum wanita. Baginda bersetuju dan menyuruh mereka berkumpul di Baabun Nisaa’. Setelah kaum wanita berkumpul, Bilal pergi memanggil Rasulullah SAW. Baginda pun pergi ke sana , dan memberi salam dan memberi tazkirah seperti berikut:
“Assalamu’alaikum, wahai kumpulan/kaum wanita. Wahai kaum wanita, Aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka”.
Seorang wanita lalu bangun bertanya, “Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?’ Rasulullah SAW menjawab, “Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka:
  • Kamu banyak mengutuk/menyumpah
  • Kamu kufurkan kebaikan suami
Kemudian baginda SAW mengingatkan supaya:
  • Banyak beristighfar
  • Banyak bersedekah
Keterangan: Yang dimaksudkan dengan mengutuk/menyumpah ialah seperti contoh di bawah
Contoh 1 – Katakan kita lama menunggu bas. Tetapi bas masih tak kunjung tiba, akibat geram dan marah kita mungkin berkata, “Driver bas ni dah mampus agaknya.” Perkataan mampus itu termasuk dalam erti kata menyumpah. Lisan wanita memang terlalu cepat menyumpah. Kadang-kadang pakaian, perkakas rumah, hatta suami pun kena sumpah.
Contoh 2 – Tengah memasak gas habis. Kita mungkin berkata “Celaka punya gas. Masa ni jugak nak habis.” Yang dimaksudkan kufur di sini bukan kufur I’tiqad tetapi bererti tidak mengiktiraf Kebaikan di sini bermaksud tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh suami.
Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah pernah ditanya oleh seorang suami yang kurang faham apa yang dimaksudkan dengan ‘kufurkan kebaikan suami’.
Rasulullah SAW berkata,”Tidakkah pernah engkau jumpa, seorang isteri, jika seumur hidup engkau, engkau berbuat baik kepadanya, tetapi di suatu ketika, disebabkan dia tidak mendapat sesuatu yang dia kehendaki, maka dia akan berkata ,”Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak”(Terjemahan langsung dari Arab).

[Dalam masyarakat kita kata-kata di atas mungkin boleh dikaitkan dengan perkataan seperti berikut:"Selama hidup dengan awak, apa yang saya dapat?".][Tak guna sesen pun']
Rasulullah SAW sambung lagi ,’Mana-mana isteri yang berkata, “Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak”, maka akan gugur pahala-pahala amalannya.’ Saranan Rasulullah SAW yang seterusnya ialah menyuruh kaum wanita banyak beristighfar dan bersedekah, kerana ia dapat menyelamatkan kita dari dua perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka seperti yang disebutkan tadi.
Fadhilat beristighfar:
a. Sabda Rasulullah SAW :
“Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70 X sehari, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk).” Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah SAW menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendirimelakukannya lebih dari 100 X sehari. Adalah diingatkan untuk mencapai target ini, eloklah kita menjadualkan amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.
b .Sabda Rasulullah SAW :
Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita”
c. Istighfar juga memurahkan rezeki.
Jangan dianggap rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit atau harta benda.Tetapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak. Sedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Sedekah juga termasuk:
d. Tuturkata/percakapan yang baik.
Yang paling utama ialah terhadap keluarga sendiri. Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak menambat hati suami. Diriwayatkan, Saidatina Khadijah ra, isteri Rasulullah SAW yang pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang hayat baginda SAW, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga sering menyebut nama beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu dikalangan isteri-isteri baginda.
Diriwayatkan juga, Jibril as setiap kali selepas memberi wahyu kepada Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah. Suatu hari Rasulullah SAW telah bertanya beliau, dan jawab Jibril, “Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tutur katanya”.
2. Memberi salam.
3. Memaniskan wajah.

Juga terutamanya kepada ahli keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda,”Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah.” Terdapat juga suatu syair Arab yang berbunyi :”Nak buat baik, sangatlah mudah, Maniskan wajah, lembutkan lidah.” Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW marilah kita bertafakkur dan bermuhasabah diri-diri kita. Sekiranya terdapat sifat-sifatburuk yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka itu, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang.

Sumber: tokuban78.wordpress.com

Template by:
Free Blog Templates