Tuesday, October 2, 2012

Perasaan Malu Mampu Halang Perbuatan Tidak Senonoh


ZAMAN mutakhir ini memperlihatkan kepada kita pelbagai kepincangan berlaku antaranya merosotnya akhlak dan tersebarnya kemaksiatan.

Sebahagian manusia hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh ditonjolkan.

Malu adalah sebahagian daripada iman. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki setiap Muslim. Malah Nabi sendiri adalah insan yang sangat pemalu.

Diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah lebih malu sifatnya dari seorang gadis. Itulah pentingnya memiliki sifat malu kerana jika ada perasaan malu, seseorang Muslim dapat mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.

    Mereka akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh, maksiat dan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ia menunjukkan malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama. “Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan kepada manusia untuk melakukan sesuka hati mereka.

Ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Maksud ayat itu juga adalah untuk memberitahu malu adalah perisai kepada diri seseorang.

Pernah diriwayatkan, terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya mengenai sifat malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.

Kebetulan ketika itu Rasulullah sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda berpesan, “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.

 Hadis riwayat Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud:

 “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Sahih Muslim No.50)

 Hadis riwayat Imran bin Husaini, beliau berkata: Nabi pernah bersabda: 

“Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Sahih Muslim No.53)

Dalam masyarakat kita, ada anak yang berani meninggikan suara dan bersifat kurang ajar terhadap ibu bapa mereka. Ia berlaku kerana kepincangan nilai serta hilangnya rasa malu dari dalam diri.

Begitu juga, pelajar mula tidak menghormati gurunya, lelaki melangkah ke tempat maksiat, perempuan yang tidak sopan di khalayak ramai, pasangan bercinta berjumpa dan bercanda serta ada di kalangan masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis.

Pemimpin pula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan dan melakukan kezaliman akibat hilangnya perasaan malu.

Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela.

Sebab itu, sifat malu penting untuk dipelihara dan dijaga. Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak mereka supaya tidak malu.

“Just do it” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat. Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat namun ia perlu diperhalusi.

Namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang hak kita seharusnya tidak boleh malu. Malah, wanita pada zaman Rasulullah tidak menghalang diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.

Sifat itu wajar kita contohi malah pepatah Melayu ada mengatakan “Malu bertanya sesat jalan”. Ia menunjukkan, bagi mengeluarkan seseorang dari kejahilan dan kekaburan, jangan malu untuk bertanya dan menimba ilmu.

Rasa malu untuk melakukan kebaikan tidak patut ada di dalam diri manusia kerana Allah menyuruh hamba-Nya berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Antara dimensi malu yang perlu diberi perhatian ialah:

 -  Rasa malu kerana meninggalkan kewajipan (hal yang berhukum fardu dan wajib meliputi iman dan semua kewajipan agama).
 -  Rasa malu untuk kerana meninggalkan sunnah (hal yang berhukum sunnah yang dianjurkan berdasarkan contoh dari Rasulullah).
 -  Rasa malu kerana meninggalkan kemuliaan (hal termasuk kategori sifat dan sikap mulia selain yang jelas berhukum wajib dan sunnah).
 -  Rasa malu kerana melakukan pelanggaran, kemaksiatan dan hal yang diharamkan dalam syariah Islam.
 -  Rasa malu kerana melakukan hal yang melanggar adab dan etika di tengah-tengah masyarakat 

-  Rasa malu kerana melakukan hal berhukum syubhat dan makruh.


Sumber: epondok.wordpress.com

Monday, October 1, 2012

Maksiat undang bala daripada Allah

Bismillah

SEJARAH membuktikan umat terdahulu dibinasakan Allah SWT akibat maksiat yang dilakukan. Iblis diusir oleh Allah daripada syurga kerana maksiat yang dilakukan. Begitu juga kisah umat Nabi Nuh yang tenggelam dilanda banjir juga kerana maksiat.
Firman Allah yang bermaksud: 
Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah
ditetapkan. (al-Qamar: 11 dan 12)
Allah menenggelamkan Firaun dan tentera-tenteranya juga kerana maksiat dan dosa-dosa yang dilakukan (rujuk ayat 40 surah al-Qasas).
Begitu juga yang berlaku terhadap kaum Lut yang mengingkari hukum dan ketetapan Allah. Orang lelaki dari kaum Lut mengamalkan seks songsang sesama lelaki iaitu liwat atau homoseksual. Perbuatan ini amat dilaknat oleh Allah.

Allah menghantar malaikat Jibrail kepada kaum Lut dan malaikat Jibrail menggunakan hujung sayapnya mengangkat perkampungan mereka dan menghempaskan kembali ke bumi (rujuk ayat 74 surah al-Hijr).
Selain itu, Allah juga telah melenyapkan Kaum Ad dan kota mereka yang hebat itu (rujuk ayat sembilan surah al-Ahzaab).
Selanjutnya adakah kita tidak mengambil iktibar terhadap musibah akibat maksiat yang dilakukan oleh kaum Bani Israel. Allah memberikan gambaran tentang hukuman yang dikenakan terhadap Bani Israel.
Allah berfirman yang bermaksud: 
Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di Segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (Sebenarnya peristiwa itu) adalah
satu janji yang tetap berlaku. (al-Israk: 5).
 
Berdasarkan kisah-kisah umat yang telah dihukum oleh Allah, tentu sekali kita dapat menganalisis atau muhasabah diri tentang dosa-dosa atau maksiat yang telah dilakukan sama semalam, kelmarin atau dosa-dosa 100 tahun yang lalu.
Semuanya menjadi sebab musabab malapetaka yang perlu kita hadapi selagi kita keseluruhannya tidak memohon taubat kepada Allah.
Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
 “Bila terjadi maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberikan azabnya untuk semua (riwayat Ahmad).”
Oleh yang demikian, sewajarnya kita merenung pengertian yang tersurat dan yang tersirat daripada hadis tersebut. Ini kerana secara realitinya memang berlaku terhadap umat yang terdahulu, kerana akibat dosa yang telah mereka lakukan mengakibatkan umat telah binasa dan dihukum oleh Allah.
Dalam satu kisah peperangan, setelah tentera Muslim menewaskan pasukan musuh dan menawan Qubrus dengan mengalahkan tentera Rumawi, keseluruhan tentera Islam bergembira merayakan kemenangan. Tetapi Abu Dardak seorang sahabat besar menangis.
Apabila ditanya mengapa beliau dalam kesedihan, Abu Dardak menjawab: “Aku menangisi umat yang telah melakukan kemaksiatan dan Allah telah meminggirkan mereka.”

Ujian Itu Keuntungan


Mengharapkan keredhaan Allah bukanlah suatu yang mudah buat mana-mana manusia yang benar-benar menuntut kasih dan sayang dari sang pencipta. Keredhaan Allah itu adalah hak untuk setiap manusia mendapatkannya,  namun ia hanya benar-benar layak untuk hamba-hamba yang runtun hati dan jiwanya hanya untuk diserahkan kepada Allah.
Setiap manusia mahu mendapatkan yang terbaik untuk hidup mereka. Ramai yang sedar bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara sebelum manusia dihidupkan semula di akhirat kelak. Namun buat insan yang benar-benar menuntut keredhaan Allah jalan perjuangannya tidak akan dihiasai dengan perkara yang indah, sebaliknya Allah akan mengujinya dengan pelbagai ujian dan dugaan yang bakal menguji keikhlasannya dalam perjuangan.

Apakah perjuangan yang dimaksudkan?
Perjuangan itu begitu luas konsep dan maknanya, apatah lagi perjuangan adalah matlamat yang tersemat di hati para syuhada yang inginkan syahid dalam setiap pekara yang dilakukan. Meskipun begitu, menuntut ilmu juga ialah perjuangan yang perlu dipikul oleh setiap manusia yang  bergelar pelajar. Tidak kiralah seseorang itu adalah pelajar sekolah rendah ,menengah atau sudah begelar mahasiswa sekalipun. Semua itu adalah termasuk dalam golongan orang yang sedang berjuang mencari martabat ilmu dan pastinya ia mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah.

Tewas sebelum berjuang?
Di alam mahasiswa khususnya , tidak ramai yang benar-benar mencapai kejayaan yang sebenar. Setiap pejuang yang begelar mahasiswa akan diuji sepenuhnya dalam liku-liku perjalanannya sepanjang menuntut ilmu. Ujian yang datang dari Allah itu akan hadir dalam belbagai-bagai bentuk ujian antaranya ialah diuji dengan kesempitan wang di universiti, diuji dengan bebanan tugasan yang banyak, diuji dengan hati yang lalai kepada cinta ,ada juga yang diuji dengan kesakitan, kematian insan tersayang dan pelbagai lagi bentuk ujian yang diturunkan Allah kepada  hamba-hambaNya.
Setiap insan yang diuji  oleh Allah dengan ujian-ujian tadi selalunya akan merungut, berputus asa malah ada yang mengambil jalan mudah dan singkat bagi menghadapi setiap ujian tadi dengan perkara yang dilarang syarak. Kekurangan wang misalnnya membuatkan seorang mahasiswa yang tidak berfikir panjang medapatkan wang dengan cara yang mudah dan singkat seperti menipu , melabur wang ke dalam pelaburan yang haram dan ada juga yang mengambil jalan pintas dengan sanggup mengorbankan diri menjadi pemuas nafsu kepada manusia-manusia yang kering kontang iman dan ketaqwaannya. Contoh manusia seperti inilah yang dikatakan tewas sebelum berjuang biarpun di atas pentas konvokesyen nanti gred yang diperolehi mendapat anugerah dari pihak universiti. Semua itu bukan lagi bermakna dan dianggap kejayaan kerana manusia seperti ini sudah pun tewas di pertengahan jalan perjuangannya.
Mengapa aku diuji?
" arghh, kenapalah tuhan tidak adil kepada aku"....kenapa aku diuji sebegini sedangkan manusia lain tidak..tension betul.."
Sememangnya buat jiwa dan hati yang tidak cekal dengan ujian yang diberikan akan terus menyalahkan fitrah dan norma kehidupan. Lebih parah ada yang menyalahkan Allah sebagai pembeban  kepada hidup mereka. Manusia diuji kerana dirinya sudah mendapat perhatian di pandangan Allah, tetapi pandangan yang bagaimana? Pandangan itu ialah pandangan kasih dan sayang pencipta kepada hambanya. Beruntunglah manusia yang sering diuji kerana hidupnya mendapat perhatian dari Allah yang maha mengatahui mengapa ujian itu diberikan.

Bayangkan anda dihimpunkan bersama-sama seluruh penduduk dunia di padang masyar, dalam keramaian manusia tadi tiba-tiba nama anda dipanggil Allah untuk menjadi tetamu syurga. Beruntunglah si pemilik nama tadi yang untungnya tiada tandingan walaupun seberat bulan , matahari dan bumi. Begitulah juga dengan konsep ujian tadi, manusia yang diuji adalah manusia yang mendapat perhatian dari Allah. Dalam berbilion penduduk bumi tetapi hanya satu nama yang mendapat perhatian untuk diuji dengan ujian yang tertentu. Bukankah itu adalah satu keuntungan buat manusia yang diuji tadi? Dengan ujian tadi Allah akan mengangkat martabat hambanya jika dia ikhlas dalam menempuh bebanan yang diamanahkan kepadanya.Sebagai seorang hamba juga kita perlu ingat, ujian yang diterima oleh kita tidak akan sama dengan insan yang lain. Jika kita merasa diri sudah dipikul dengan ujian yang berat sebenarnya masih ramai yang diuji dengan ujian yang hebat dan berat.
Pimpinlah Daku
"Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka,dan merekalah orang-orang yang beruntung" Surah Al-Baqarah 2:5
Hayatilah ayat diatas tadi, sesungguhnya janji Allah adalah benar-benar belaka dan tiada dusta. Allah menjanjikan buat hamba-hambanya yang beramal soleh dengan keuntungan yang tiada nilainya di bumi ini.
Buatmu teman seperjuangan,andai sebelum ini hatimu sering mengeluh dengan ujian yang diturunkan kepadamu maka muhasabahlah segera niatmu dalam menuntut ilmu.
Apa yang kita cari sebenarnya semasa menutut ilmu? wanita, kedudukan,kekayaan atau sebaliknya? Apakah kita tidak merasa untung bila mendapat perhatian dari Allah? Apakah kita akan mudah menyerahkan segalanya sebelum kita benar-benar menamatkan perjuangan yang sebenar di dunia ini. Bukan kita sahaja diuji, sebaliknya setiap manusia akan diuji dengan bemacam-macam jenis ujian yang berbeza.  Hanya masa dan takdir yang akan menentukan samada kita ini benar-benar seorang pejuang atau sebaliknya. Renungkan...
Sumber:  iluvislam.com

Thursday, September 27, 2012

Tuhan, Aku Terlalu Banyak Dosa


Pejam celik. Pejam celik. Mata tidak juga bisa ditutup. Memerhatikan segenap ruang bilik. Terpana pada jam di dinding. Sepantas jarum saat akhirnya pasti berhenti. Tatkala,manusia pasti akan toleh ke belakang. Memikirkan tiap detik yang berlalu. Muhasabah.
Dalam suka duka, mengenang dosa-dosa semalam. Hadir rasa kesal dan kesedihan mula melanda diri. Bila rasa bersalah hadir, rasa kehambaan juga turut hadir. Mencari Tuhan, mengingati Tuhan, menyebut-nyebut nama-Nya. Menghadirkan rasa bertuhan agar menyentap sanubari.
"Ya Allah,hamba-Mu ini rasa berdosa. Terlalu. Terlalu banyak dosa."
Maka berderailah air mata. Tidak tertahan-tahan lagi. Pada tangisan ia kembali kepada fitrah insani, mencari Tuhan tatkala rasa bersalah. Terlukis kerinduan hadir dari hati yang dihimpit perasaan ingin dibelai Tuhan.
Oh Tuhan.
Aku manusia biasa. Aku bukan malaikat. Manusia itu sering lupa dan leka. Gembira dengan kesenangan, sedih dengan kesusahan. Kiranya aku fikirkan aku sudah cukup bahagia. Tapi adakah aku tenang? Hari-hariku bukan lagi mentaddabur bacaan Al-Quran. Solatku kini bukan lagi khusyuk. Hatiku tidak lagi dijamu dengan roh usrah, tazkirah dan ceramah setiap hari. Aku lalai di sini.
Di sini. Di celah kesibukan.
Tapi aku bukan manusia jahat. Tidak pernah sesekali ku teguk minuman syaitan. Tidak pernah ku menjejakkan kakiku ke tempat maksiat. Aku tidak menyentuh yang bukan halal untukku. Aku hanya manusia biasa. Aku menunaikan sembahyang. Aku berpuasa di bulan Ramadan. Aku manusia biasa!
Tapi, kurasakan kini ibadahku seakan-akan tiada roh.
Tiada rasa haya' kepada-Mu! Tiada rasa takut kepada-Mu!
Di manakah semangat itu menghilang?
Di manakah air mata yang sering mengiringi bacaan doa?

Hatiku tidak dapat merasai kenikmatan doa. Aku jadi takut. Pelbagai perkara bermain di fikiranku. "Ya Allah gelapnya hati hambaMu ini!". Hati meronta-ronta, lepaskanlah aku! Lepaskan aku daripada perasaan ini. Diri seakan-akan terasa sangat jauh daripada-Mu.
Hati manusia ibarat besi. Setiap dosa yang dilakukan akan melekatlah karat padanya. Tapi karat itu boleh di cuci dengan solat dan doa. Namun lama kelamaan jika karat itu tidak dibersihkan, akan semakin besarlah ia, dan semakin sukarlah untuk dibersihkan . Maka semakin hitam dan gelaplah hati kita. Ketika ini setiap dosa yang dilakukan tiada lagi dirasakan dosa bagi dirinya.
Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. 
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang". (Surah Al-Ra'd 13:28)
Ku ulang-ulang. Ku panggil-panggil nama-Mu. Ku sebut-sebut nama-Mu. Kembalikanlah aku semula. Usah Kau palingkan aku setelah Kau beri hidayah petunjuk-Mu. Aku ini lemah Ya Allah. Kau peganglah hatiku, tautkanlah hatiku di jalan ini. Aku ingin tenang dalam mencari keredhaan-Mu di setiap perjalanan hidup ini.
Allah.
Aku tersedar. Aku tersentap. Kenapa aku mahu jadi orang biasa-biasa? Kenapa tidak ingin menjadi yang lebih baik? Tidak berbuat dosa tidak bermakna aku sempurna. Tidak minum arak tidak bermakna aku terlepas dari melakukan dosa-dosa kecil. Sembahyang 5 waktu tidak bermakna aku sempurna.
Bagaimana dengan dosa-dosa kecil? Aku lalai. Aku lalai! Aku lalai Ya Allah! Terima kasih ya Allah kerana menyedarkan aku. Terima kasih atas hidayah-Mu. Ku panjatkan segala doa kepada-Mu.
"Zikir itu, penghias hati, tasbih menghias lidah. Beruntungnya hati bila masa menguasai, bermegahlah lidah, dengan ucapan sering memuji Allah SWT"
Wahai Tuhan yang Maha Mendengar, kepada siapa hamba mahu mengadu, sekiranya bukan kepada-Mu? Kepada siapa lagi hendak hamba menagih simpati, jika tidak kepada-Mu? Kepada siapa untuk hamba pinta kekuatan,  ketika seluruh daya seperti dicabut daripada tubuhku?

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Tegarkanlah, pasakkan jiwa ini untuk berada pada jalan-Mu untuk selamanya. Jangan sekali-kali Kau biar diri ini tandus dimamah kefuturan. Menjauh dari-Mu, meminggir dari-Mu dan melupakan-Mu. Kuatkan hati ini wahai Tuhan. Kerana tiada siapa tahu kehidupan hamba-Mu ini nanti akhirnya melainkan hanya Engkau. Amin ya Rabb.

Sumber: Nur Na'imah Amarudin
                 muslimdoktor.blogspot.com

Template by:
Free Blog Templates