Sunday, April 8, 2012

2 ancaman suka lengah bertaubat

MANUSIA dilahirkan dalam keadaan fitrah tetapi kerana perbuatannya sendiri yang berlawanan dengan acuan ajaran Islam atau perintah Allah, maka terpalit dosa.
Kita sebagai manusia biasa harus menerima hakikat kita tidak pernah terlepas daripada kesalahan serta kekhilafan yang dipengaruhi oleh suasana lingkungan, bisikan syaitan dan kehendak nafsu. Disebabkan itu, apabila melakukan kesalahan, kita perlu segera bertaubat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap Bani Adam itu bersalah dan berdosa, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang bertaubat.”
Bagi hati yang dipenuhi keinsafan, sudah tentu tidak mahu berterusan berada dalam dosa, sepanjang waktu berusaha mencari jalan membersihkan diri dengan bertaubat supaya dapat beralih daripada kegelapan kepada cahaya hidayah.
Bertaubat adalah suruhan Allah dan amalan rutin Rasulullah SAW yang wajib dilaksanakan segera tanpa berlengah. Malangnya suruhan ini dipandang sepi dengan alasan ‘masa masih panjang lagi.’
Alasan itu sangat dangkal dan jahil kerana taubat bukan khusus untuk golongan tua kerana kematian tidak mengira usia. Persoalannya apakah kita boleh hidup sampai tua? Kita sedia maklum orang yang sengaja melambat-lambatkan memohon ampun dan bertaubat akan berdepan dua bahaya besar.
Pertama, hatinya penuh dengan karat akibat perbuatan maksiat atau keingkaran dilakukan tanpa henti kepada Allah sehingga menjadi sangat susah untuk mengikis dan menghapuskannya.
Kedua, maut atau penyakit datang sebelum sempat ia membersihkan karat di hati, ia menemui Allah SWT dalam keadaan hatinya penuh kekotoran dosa dan pasti menyeretnya kepada suasana hidup tidak selamat di akhirat nanti.
Oleh itu, apabila menyedari telah melakukan dosa, maka segeralah minta ampun daripada Allah SWT dengan bertaubat. Orang yang bertaubat atas dasar kerelaan, keinsafan, ikhlas hati dan bersungguh-sungguh hendaklah yakin Allah SWT pasti menerima taubatnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, memilih jalan lurus, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” (Surah AI-Maidah, ayat 39)
Ni’mat Shidqi dalam bukunya Pembalasan: Syurga atau Neraka berkata, ayat 82 surah Toha meletakkan syarat mengenai taubat iaitu memilih jalan yang benar, mengerjakan amalan soleh untuk menebus kesalahan lalu, meninggalkan kejahatan dan menukar sikap dari buruk kepada baik.
Sebelum penyesalan menjadi tidak berguna dan tangisan menjadi sia-sia, kita hendaklah bersikap positif iaitu segera bertaubat dan terus giat melakukan kebaikan secara berterusan.

sumber : www.islamituindah.my

Thursday, April 5, 2012

Kesilapan Umat Islam Pada Hari Jumaat

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam disarankan supaya memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping memenuhi kewajiban menunaikan solat fardhu Jumaat. Pada hari Jumaat juga Umat Muhammad diharuskan untuk melakukan segala aktiviti termasuklah mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Kebebasan ini tidak dikecapi oleh kaum Bani Israil terdahulu di mana syariat Nabi Musa melarang sama sekali kaumnya daripada mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya mereka diperintahkan supaya memperuntukkan masa tersebut melaksanakan ibadah. Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad, Allah S.W.T memberi kebebasan dan ruang yang cukup luas kepada hambanya untuk mencari rezeki dengan apa cara sekalipun termasuklah berniaga dan berjual beli. . Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan waktu khusus yang dilarang oleh Allah S.W.T menjalankan sebarang bentuk perniagaan dan jual beli pada penghulu segala segala hari ini. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Jum’ah ayat 9:

    Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah S.W.T dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu) ; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu , jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah S.W.T, serta ingatlah akan Allah S.W.T banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat).


Ayat tadi jelas menunjukkan larangan Allah S.W.T terhadap Umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Larangan ini ditujukan kepada mereka yang ditaklifkan kefarduan Solat Jumaat sama ada peniaga lelaki dan pembeli lelaki yang kedua-duanya memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat seperti sihat, baligh, berakal dan tidak bermusafir. Larangan ini membawa maksud haram urusan jual beli dijalankan ketika azan Jumaat telah dilaungkan. Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut:

    Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan yang kedua. ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

Jika disoroti sejarah, berniaga dan berjual beli pada hari Jumaat juga dilakukan pada zaman baginda Rasulullah saw tetapi bezanya aktiviti jual beli itu itu ditangguhkan setelah berkumandangnya azan, atau dengan lebih tepat lagi ketika khatib sedang berkhutbah di mimbar. Hal ini tidak berlaku sama sekali di masjid-masjid di negara kita. Lihatlah bagaimana keghairahan si peniaga melariskan jualannya, si pembeli sibuk membeli belah sedangkan pada waktu tersebut khatib sedang berkhutbah. Perlu diingat walaupun hukum jual beli tetap sah tetapi ia dilakukan dalam waktu yang diharamkan. Perkara inilah yang menjadi punca ayat al-Quran di atas tadi diturunkan.

Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi mengemukakan riwayat sebuah hadith daripada Jabir r.a katanya: Sewaktu Nabi Muhammad SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan. Lalu kebanyakan sahabat pergi kepada mereka sehingga yang tinggal bersama Nabi Muhammad SAW ketika itu hanya 12 orang sahaja. Lau Allah S.W.T menurunkan ayat yang bermaksud “ Malangnya apabila mereka Nampak perniagaan atau hiburan, mereka lantas menggapainya. Mereka meninggalkan engkau ( wahai Muhammad) bersendirian tegak berkhutbah.

Istimewanya Solat Jumaat berbanding dengan solat lain ialah kerana terdapatnya khutbah. Justeru tidak sempurna solat Jumaat seseorang itu tanpa mendengar khutbah. Malahan menurut jumhur ulamak, khutbah merupakan antara syarat sah solat Jumaat. Sa’id bin Jubair berpendapat bahawa khutbah menyamai 2 rakaat solat zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan Solat Jumaat sahaja bererti kita telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.

Realiti yang berlaku, ramai di kalangan jemaah tidak berminat untuk masuk ke dalam masjid mendengar apa yang ingin disampaikan oleh khatib, sebaliknya mereka rasa lebih selesa berada di luar masjid. Lebih menyedihkan lagi ada yang sempat berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah. Sikap ini jelas mencerminkan sifat sombong kita kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang sering berusaha datang awal ke Masjid pada hari Jumaat terutama sebelum khatib berkhutbah. Dalam sepotong hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

    “Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu masjid terdapat malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutan. Apabila imam / khatib telah duduk di atas mimbar, maka malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengar khutbah.”

Kesimpulannya, seluruh Umat Islam sama ada penjual, pembeli dan para jemaah lelaki hendaklah berlapang dada dan mengambil berat isu yang telah menjadi wabak yang perlu ditangani kerana ia melibatkan hukum haram dan tidak sahnya solat Jumaat seseorang. Justeru beberapa pendekatan dicadangkan :

Pertama: Aktiviti jual beli hendaklah ditagguhkan sementara waktu ketika mana azan kedua berkumandang.

Kedua: Perniagaan boleh diteruskan dengan syarat urus niaga tersebut dijalankan antara penjual wanita dan pembeli wanita sahaja.

Ketiga: Para jemaah lelaki disarankan agar menangguhkan urusniaga di samping mengambil peluang masuk awal ke dalam masjid mendengar khutbah .



Sumber: www.masjidnegara.gov.my

Monday, April 2, 2012

Azab Wanita & Lelaki yang Meninggalkan Solat Fardhu

Mari muhasabah diri,mari jadikan diri kita takut pada azab Allah. Apa akan terjadi bila kita meninggalkan solat fardhu yang wajib ke atas kita?
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang memudahkan dan mensia-sia akan sembahyang lima waktu, nescaya akan diseksa oleh Allah SWT dengan lima belas siksa. Enam didalam dunia, tiga ketika hendak mati, tiga didalam kubur, dan tiga lagi semasa waktu bangun dari kubur menuju akhirat”




1. Enam siksaan semasa di dunia
  • Umur tidak diberkati, hidup panjang tetapi kosong dari amalan kebajikan
  • Rezeki tidak diberkati
  • Tipadamkan tanda mukanya dari orang-orang yang soleh
  • Tiada mendapat bahagian dari doa orang-orang yang soleh
  • Tiap-tiap amalannya tidak diterima oleh Allah
  • Tidak diangkat doanya, doanya tidak dimakbulkan oleh Allah
2. Tiga siksaan semasa hendak mati
  • Mati dalam keadaan sangat hina, tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah
  • Dimatikan oleh Allah dalam keadaan dahaga, walaupun diberi minum dengan air laut, ia tidak dapat menghilangkan dahaganya
  • Mati dalam keadaan yang sangat lapar
3. Tiga siksaan semasa di dalam kubur
  • Allah menyempitkan kuburnya sehingga berlaga tulang rusuk kanan dengan tulang rusuk kiri
  • dibukakan salah satu pintu neraka di dalam kuburnya
  • Allah mewakilkan seorang malaikat untuk menyiksanya sehingga hari kiamat bersama seekor ular yang bernama Suju’al Akruk yang matanya dari neraka, kukunya dari besi neraka, dan panjang kukunya sehari perjalanan, dan suaranya seperti petir
4. Semasa hari kiamat
  • Turun seorang malaikat dari langit iaitu malaikat azab dengan rantai dari api neraka yang panjang tujuh puluh hasta dengan menusukkan rantai tersebut kedalam mulutnya hingga keluar rantai itu melalui duburnya dan menghela sekali dibahagian muka dan belakangnya
Sama-sama kita memperelokkan solat kita agar kita terlepas daripada siksa tersebut. Jika ada yang tinggal sebelum ini, gantilah solat tersebut selagi kita masih bernyawa. Selagi pintu taubat masih terbuka.

Sumber: atiqsalleh
http://www.islamituindah.my

Sunday, April 1, 2012

Kalau Tak Tahu, Lebih Baik Diam!

Suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata,

    “Ya Rasulullah! Sungguh si fulanah itu terkenal banyak sembahyang, puasa, dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap tetangga-tetangganya”.

    Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya,


    “Sungguh ia termasuk ahli neraka”.

    Kemudian lelaki itu berkata lagi,

    “Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit sembahyang, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah menyakiti tetangganya.”

    Maka Rasulullah SAW berkata,

    ” Sungguh ia termasuk ahli syurga . “(HR.Muslim)

Kisah dalam hadis tersebut memberi pelajaran akan bahaya lidah. Betapa jika tidak dikawal iman, lidah boleh menjerumuskan ke dalam neraka. Walaupun seseorang itu ahli ibadah, banyak solat, puasa, akan tetapi apabila tidak mampu menjaga lidahnya dari memfitnah, berbohong dan hasad – amalannya tersebut sia-sia.

Oleh sebab itu, lidah boleh menjadi media taat kepada Allah, dan boleh pula untuk memuaskan hawa nafsu. Lidah boleh digunakan untuk membaca al-Quran, hadis dan menasihati, lidah juga berubah seperti layaknya penyalaan api. Memfitnah, bersaksi palsu, ghibah, namimah, dan memecah belah umat. Jika seperti ini seberapa banyak pun ibadah kita tak ada gunanya, semuanya gugur gara-gara lidah yang lancang.

Rasulullah SAW memberi amaran, bahawa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling beliau khuatirkan. Sebabnya, semua amal akan berguguran jika lidah kita jahat. Suatu kali salah seorang sahabat Sufyan al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW:

    “Wahai Rasulullah, katakan kepadaku tentang satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!”

    Beliau menjawab:

    “Katakanlah,` Tuhanku adalah Allah `, lalu istiqomahlah”.

    Aku berkata:

    “Wahai Rasulullah, apakah yang paling anda khuatirkan atasku? “.

    Beliau memegang lidah beliau sendiri, lalu bersabda:

    ” Ini . ” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Antara kejahatan lidah adalah lidah yang banyak bicara dengan kebatilan. Jenayah lidah memang boleh setajam pedang. Jika kita tidak berhati-hati menggunakannya, maka ketajamannya boleh menumpahkan darah, sebagaimana pedang menusuk tubuh manusia. Boleh juga lidah itu menjadikan ‘api’ yang membakar semakin besar.

Imam Abu ‘Ali Ad-Daqqaq pernah mengatakan: “Orang yang berbicara dengan kebatilan adalah syaitan yang berbicara, sedangkan orang yang diam dari kebenaran adalah syaitan yang bisu.”

Gara-gara lidah, seseorang terjebak masuk ke neraka. Menjadi hamba yang rugi, sebab pahala orang yang berdosa kerana kerosakan lidah akan dihadiahkan kepada orang yang dizalimi. Gara-gara lidah yang jahat kita boleh menjadi hamba yang muflis (muflis).

Rasulullah SAW bersabda:

    “Orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain”. (HR.Muslim)

Oleh sebab itu, jika kita tidak tahu terhadap suatu persoalan sebaiknya diam terlebih dahulu sebelum mendapatkan jawapan dari ahlu dzikri (orang yang ahli/mengetahui). Jika tidak, ucapan kita yang tidak berdasarkan ilmu itu boleh menyesatkan.

Rasulullah SAW bersabda:

    “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata yang baik atau diam”. (HR. Bukhari Muslim)

Lebih baik diam jika dihadapkan terhadap persoalan yang belum kita ketahui. Firman Allah SWT :

    “Janganlah kamu bersikap terhadap sesuatu yang kamu tidak ketahui.” (QS al-Isra ‘: 36)

“Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di akhirat nanti adalah orang yang paling jelek akhlaknya, orang yang banyak bicara, orang yang bercakap dengan mulut yang dibuat-buat (mereka-reka cerita) dan orang yang sombong . “(Jami ‘al-Shaghir).

Kesimpulannya, berhati-hatilah wahai saudara-saudari seIslamku, semoga Allah selamatkan lidah dan jari jemari kita daripada segala fitnah di luar sana. Amin.

Wallahu a’lam.

 Sumber: www.al-fikrah.net

Template by:
Free Blog Templates