Wednesday, December 7, 2011

11 jenis manusia didoa malaikat


PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan. Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

- Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”
- Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

- Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

- Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”
Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”
- Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

- Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.”Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”

- Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”

- Orang yang membelanjakan harta (infak).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’”

- Orang yang sedang makan sahur.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

- Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.
sumber : www.harian-metro-online.com




Tuesday, December 6, 2011

kalau rasa...


Kalau rasa diri cantik, ada lagi yang lebih cantik.
Kalau rasa diri kacak, ada lagi yang lebih kacak.

Kalau rasa diri kaya, ramai lagi yang lebih kaya.

kalau rasa diri miskin, ramai lagi yang lebih teruk miskin dari kita.

kalau rasa diri kuat, ramai lagi yang lebih kuat dari kita.

kalau rasa diri hebat, ada lagi orang yang lebih hebat dari kita.


Nota: Fikiran ini hanya sesama manusia sezaman dengan kita, andai tak mampu memikirkan kelebihan-kelebihan pada Nabi-Nabi. Nabi Sulaiman lagi kaya. Nabi Yusuf lagi kacak, Nabi Ayub lagi menderita dari kita, Nabi daud hebat dengan besi yang kuat, dan ramai kisah-kisah nabi yang hebat. Mungkin zaman ni orang kurang baca sejarah nabi-nabi lalu mengangkat diri dengan rasa hebat.
Andai terlupa tentang kisah nabi-nabi, ingatlah...Allah Swt Maha Hebat, tiada tandingan. Semuanya pinjaman sementara, apa yang ada pada diri kita.

sumber: iluvislam.com






Monday, December 5, 2011

Sedikit...



Di sini, saya selalu berpesan kepada anak-anak saya dan sebaya dengan mereka betapa yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain ialah amalannya.

Mereka yang menadah ilmu di Madinah akan pulang menjadi pemimpin masyarakat.

Jika kita berilmu tetapi tidak mengamalkan apa yang kita pelajari maka ia menjadi kemurkaan Allah. Bagaimana kita mahu mengajak isteri dan anak-anak bersolat malam kalau kita sendiri gagal membebaskan diri dari ikatan syaitan semasa tidur.

Apatah lagi untuk mengajak masyarakat.

Bagaimana mahu kita menyuruh anak-anak dan isteri membaca al-Quran setiap hari jika kita sendiri tidak melakukannya. Atau bagaimana mahu memaksa anak yang berusia 10 tahun solat berjemaah di masjid jika kita sendiri tidak konsisten melaksananya.

Begitulah dua – tiga contoh mudah tentang amalan dan kaitannya dengan mereka yang kita sayangi. Begitulah juga pengalaman kehidupan lampau yang telah saya lalui, tidak pernah mengajak anak-anak atau isteri solat malam kerana diri sendiri alpa dengan amalan tersebut.

Namun ada sesuatu yang menarik tentang amalan dan respons masyarakat terhadap amalan itu sendiri. Bila kita mengajak khalayak untuk melakukan amalan-amalan yang dituntut (bukan amalan wajib) maka adalah yang akan menyebut,

"Amalan yang sedikit tetapi berterusan itu lebih disukai Allah".

Benar, ia satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Penonjolannya, janganlah khuatir jika kita tidak mampu melakukan amalan yang banyak kerana yang sedikit itu lebih baik daripada yang banyak tetapi tidak berterusan.

Allahu Akbar. secara psikologinya, perkataan sedikit itulah yang mahu diuar-uarkan. Mari kita melihat pertanyaan-pertanyaan berikut:

1. Amalan yang banyak dengan yang sedikit, mana yang lebih baik?

2. Amalan yang banyak berterusan dengan amalan yang sedikit berterusan, mana yang lebih baik?

3. Amalan yang banyak tidak berterusan dengan amalan yang sedikit berterusan, mana yang lebih baik?

4. Amalan yang banyak berterusan dengan yang sedikit tidak berterusan, mana yang lebih baik?

Saya bertanya diri, agaknya banyak manalah amalan kita sehingga kita mahu menyukat sedikit dan banyak itu. Alahai... dengan kadar yang kita amalkan, ia hanya secalit daripada istilah sedikit. Entah-entah hanya sebesar zarah.

Saya fikir, ia hanyalah merupa perbandingan atau penekanan agar kita melakukan amal ibadat secara berterusan.

Akhirnya, nilai berterusan itulah yang lebih perlu ditonjolkan berdasarkan 4 soalan yang telah saya kemukakan.

Bagaimana pula dengan kegemaran masyarakat menyebut,"kita lakukan amalan ibadat setakat mana yang termampu. Allah tidak memberati kita". MasyaAllah, jika kita tidak mampu bangun malam kerana membesarkan tidur maka saya fikir ia tidak termasuk dalam kategori "termampu".

Fikiran bodoh saya berfikir, jika kita biasa solat berjemaah, tiba-tiba kita ditimpa bencana badan yang menyebabkan kita tidak boleh bangun atau bergerak berjemaah ke masjid maka itulah yang dimaksudkan dengan "termampu".

Allahu Akbar. Allah tetap memberi pahala berjemaah jika itulah keadaannya.

Marilah kita berfikir dan berusaha untuk menjadi manusia yang sentiasa ingin memperbaharui dan bergerak agar menjadi manusia yang lebih baik. Ia bukan hanya dengan niat dan kata-kata tetapi dengan amalan.

Mudah-mudahan Allah memudahkan keinginan tersebut, InsyaAllah.

Sumber: muhdkamil.org











Thursday, December 1, 2011

Simpang Taqwa


"Apa itu taqwa?" tanya Umar al-Khattab kepada Ubai bin Ka'ab Radhiyallahu 'anhuma.

"Pernah kamu susuri jalan yang penuh duri?" balas Ubai dengan suatu pertanyaan yang menduga.

"Pernah saja," jawab Umar.

"Apa yang kamu lakukan?" pintas Ubai.

"Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati," jawab Umar lagi.

"Itulah taqwa!" simpul Ubai bin Ka'ab terhadap soalan Umar al-Khattab tentang taqwa.

Halus perbincangan taqwa ianya seolah-olah satu jisim yang menyerupai bakteria ikhlas. Diibaratkan sebagai seekor semut hitam di lorong yang gelap, tiada siapa yang menyedari kehadirannya melainkan Allah s.w.t, kerana itu ikhlas dijadikan rahsia simpanan kepada asas pertimbangan neraca mizan kelak.

Ikhlas bukan sahaja boleh rosak atau batal di awal perbuatan iaitu pada niatnya namun kata- kata, tindak-balas pada reaksi atau komen orang lain juga sedikit sebanyak menggugat ikhlas kepada amalan tersebut.

Ikhlas bererti suci dan murni tanpa noda melainkan disandarkan hanya pada Yang Esa. Namun, perkongsian kali ini bukanlah berkisar mengenai ikhlas sebaliknya pemahaman tentang konsep taqwa dalam iman.

Seorang muslim itu beriman jika dia bertaqwa dan bukan hanya kerana memegang pangkat yang tinggi atau memiliki bakat yang hebat atau kerana keturunannya yang disanjung.

Sebaliknya Allahs.w.t telah firman ;

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)" (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Definisi taqwa bermula dari kalimah waqa- yaqi- wiqoyah yang membawa maksud memelihara, melindungi, takut dan berjaga- jaga. Sesuai dengan pemahaman mendalam terhadap definisi tersebut bahawa taqwa berperanan sebagai penjaga diri dan pelindung tetapi bukan penakut kepada diri seorang muslim.

Sebaliknya di dorong rasa 'takut' kepada Allah s.w.t dengan sentiasa berusaha untuk mentaati segala suruhan dan menjauhi larangan-Nya malah yang paling utama berkorban untuk menjunjung syariat yang diturunkan dan bukan bersifat mempersendakannya atau mengabaikannya atau meringankan sesuatu hukum biarpun sudah mengetahui mengenainya secara teliti dan jelas.

Di situlah taqwa berfungsi iaitu dalam merasakan kemanisan iman dan tidak berasa susah untuk menurutinya walaupun jika menurut pandangan akal manusia ia adalah perbuatan yang sukar seperti bertudung, solat dan puasa serta lainnya.

Seruan taqwa setiap minggu dilaungkan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaat malah ia adalah rukun khutbah. Saya yakin setiap muslim menyedari kedudukan 'rukun' dalam pelaksanaan ibadah. Oleh yang demikian, secara tidak langsung membuktikan bahawa peringatan taqwa adalah amat penting untuk sekalian muslim supaya diterapkan dalam kehidupan dan bukan hanya disimpan dalam telinga setiap minggu namun kefahaman mengenainya terus dipekakkan.

Allah telah berfirman dalam surah ali-Imran ayat 102 yang bermaksud ;

" Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. "

Bagaimana?

Jawapan mudah yang boleh diringkaskan iaitu berilmu, beramal soleh dan beriman. Renung- renungkan perkara ini di mana tahapnya pada diri kita. Melalui perkara ini seorang muslim mungkin dapat melihat penilaian koreksi taqwanya samada pada tahap ;

  • Taqwa awwam - masih terpengaruh dgn nafsu amarah walaupun mujahadah masih ada.
  • Taqwa khawas - terdedah kepada nafsu lawwamah, menerima virus maksiat batin dan menyemai mazmumah walaupun ia mengetahui ketuanan sifat- sifat tersebut menyumbang kepada kerugian amal dan kerapuhan titian menuju redha-Nya.
  • Taqwa khawasul khawas - nafsu mutmainnah iaitu jiwa yang tenang daripada maksiat zahir dan batin

Setiap tahap ini meletakkan batu perbezaan pada satu sempadan iaitu nafsu, semakin tinggi dan kukuh sempadan nafsu semakin rendah kedudukan taqwanya kerana sempadan nafsu telah menutupi penglihatan iman untuk melihat simpang taqwa dan membiarkan ilmu tergadai di 'kedai kejahilan' sekaligus menurunkan 'had kelajuan' amal soleh untuk ke simpang itu.

Sememangnya sukar untuk membawa diri ke simpang itu namun sedarilah bahawa kesusahan itu hanya sebentar iaitu tatkala nyawa dikandung badan, tapi apabila nyawa meninggalkan jasad segala kesusahan itu juga yang menjadi kebahagiaan yang abadi.

Jika kita takut atau terlalu memanjakan perasaan dan jiwa duniawi pada usia yang berbaki ini, cepatlah ingatkan semula atau muhasabah kembali bahawa tiada hidup kedua atau nyawa kedua setelah ia berakhir.

Awalnya mungkin terasa berat namun apabila ia dihidayahkan Allah s.w.t akan kemanisan iman, saat itu senyuman taqwa dan tawa iman akan terus menemani hari- harimu.

Sesungguhnya janji Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud ;

"Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan. " (Surah ali-Imran ayat 120)

Allah pelindung,

Allah jua pemelihara,

Biar susah tidak terbendung,

kerana cinta-Nya ku gagahi jua.

Tuntutlah ilmu walau ke Negeri China,

Teruskan ia hingga ke hujung,

SIMPANG TAQWA simpang redha-Nya,

Iman, ilmu dan amal menjadi penghubung.

- Artikel iluvislam.com






Template by:
Free Blog Templates