Thursday, August 11, 2011

JADUAL HARIAN SEORANG MUSLIM DI BULAN RAMADHAN

4.00 pagi - Bangun

Berdoa kepada ALLAH dengan doa :

Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan aku dan kepadaNYAlah aku akan dikembalikan. Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu. Mandi dan membersihkan diri. Mengambil wudhu dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.

4.20 pagi - Solat Sunat Taubat

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat taubat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa.

Solat Sunat Tahajjud

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.

Solat Sunat Hajat

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat hajat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas Al-Fatihah rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali. Selepas Al-Fatihah rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali. Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.

Solat Sunat Witir

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat. Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.

5.00 pagi - Makan Sahur

Menggosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.

5.30 pagi - Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat.

Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.

7.00 pagi - Membuat persiapan ke tempat kerja.

Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan doa kepada ALLAH agar semua aktiviti kita diberkatiNYA. Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW sama ada menyebutnya atau di hati. Banyakkan istigfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggungjawab. Datangkan rasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang di lakukan dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat.

10.00 pagi - Sembahyang Sunat Dhuha

Ia adalah sumber rezeki yg berkat kalau istiqamah diamalkan.

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat dhuha 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yang sia-sia.

Contoh dosa-dosa : mengumpat mengutuk, menyindir yang menyakitkan orang, bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan bukan muhrim mengenai perkara yang tiada sangkut paut dgn kerja.

1.10 tgh - Bersiap untuk solat Zohor.

Menunggu waktu bersembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Rawatib Bersujud syukur setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.

4.40 ptg - Bersedia untuk solat Asar.

Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah. Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.

5.30 ptg - Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur.

Tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dlm diri kita !!!

6.30 ptg - Memperbanyakkan doa sebelum berbuka.

Kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.

Apabila masuk watu Maghrib, Bacalah doa dan berbuka :

Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezki engkaulah aku berbuka. Berbuka puasa dengan makanan manis seperti buah kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan berat.

8.50 mlm - Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Terawih.

Cuba pertahankan solat terawih walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus (berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya), cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan).

11.00 mlm - Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur.

Berniatlah utk puasa esok hari dgn berniat : Sahaja aku berpuasa hari esok untuk menunaikan puasa ramadhan yg wajib ke atasku , tahun ini kerana ALLAH Taala. ( JANGAN LUPA!!!)

Tidur awal agar dapat bangun utk beribadah. Bacalah doa sebelum tidur :

Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati yg sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur.






Monday, August 8, 2011

Ringkasan solat sunat tarawih


SABDA Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadan, sedang dia beriman serta mengharapkan rahmat Allah, akan diampunkan dosanya yang lalu." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut ulama, solat malam atau dipanggil qiamullail membawa maksud menghayati setiap malam Ramadan dengan solat sunat, terutama solat Tarawih.

Perkataan 'Tarawih' ialah kata jamak dari perkataan tunggalnya 'tarwihah' yang bermakna berhenti rehat, kerana orang yang mengerjakan solat Tarawih berhenti sebentar setiap kali selesai mengerjakan empat rakaat dengan dua salam.

Solat Tarawih sunat hukumnya dikerjakan oleh lelaki dan perempuan. Ia boleh dilakukan di rumah seorang diri atau secara berjemaah, tetapi lebih baik dikerjakan berjemaah di masjid atau surau.

Dari Aisyah r.a ., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. pada suatu malam (dalam bulan Ramadan) ketika jauh malam keluar lalu solat di masjid dengan diikuti oleh beberapa orang lelaki sebagai makmum.

Pada keesokan harinya hebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu mereka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua) serta mereka bersolat bersama-sama Baginda.

Keesokan harinya hebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu bertambah ramai orang hadir ke masjid pada malam ketiga. Rasulullah s.a.w. keluar ke masjid lalu solat dengan diikuti oleh sidang jemaah.

Sampai malam keempat, penuh sesaklah masjid dengan jemaah (tetapi Baginda tidak datang) sehinggalah Baginda keluar ke masjid untuk mengerjakan solat Subuh.

Selesai solat, Baginda menghadap orang ramai lalu (memulakan ucapannya dengan memuji Allah dan) mengucap syahadah, kemudian Baginda (menerangkan sebab Baginda tidak datang ke masjid mengerjakan solat Tarawih bersama), sabdanya:

"Amma Ba'du, sebenarnya tidak terlindung kepada aku mengenai kedudukan kamu (sebagai orang yang taat dan suka berbuat kebajikan), tetapi aku bimbang (solat Tarawih) itu akan difardukan atas kamu, maka dengan itu kamu tidak terdaya mengerjakannya."

Sejak itu solat Tarawih tidak dikerjakan berjemaah tetapi masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian, baik di rumah atau di masjid.

Keadaan ini berterusan sehingga pada zaman Saidina Umar al-Khattab r.a. barulah solat Tarawih dilakukan berjemaah di masjid menurut seorang imam yang dilantik oleh beliau sendiri.

Dari Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: "Pada suatu malam dalam bulan Ramadan, saya mengiringi Umar bin al-Khattab ke masjid, tiba-tiba (kami) dapati orang ramai (di situ) berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan berasingan, ada orang yang solat seorang diri, ada pula yang solat lalu diikuti oleh beberapa orang.

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata: "Aku fikir, kalau aku kumpulkan mereka ini semuanya berimamkan seorang imam, tentulah amalan itu amatlah baiknya."

Kemudian beliau mengambil keputusan lalu mengumpulkan mereka semuanya berimamkan Ubai bin Kaab.

Selepas itu, saya mengiringi Saiyidina Umar pada suatu malam yang lain (pergi ke masjid), (pada ketika itu) orang ramai sedang solat berimamkan imam mereka (yang terbabit).

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata: "Amalan ini satu perbuatan bid'ah yang baik..." (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut huraian ulamak, perkataan 'bidaah yang baik' disebutkan oleh Saidina Umar r.a., ialah arahannya mengenai "solat Tarawih dengan berjemaah" selepas beliau menjadi khalifah Islam.

Saidina Umar mengaku arahannya itu 'bidaah' tetapi ia 'bid'ah yang baik' (bidaah hasanah) kerana dapat menyatupadukan umat Islam dan kerana itulah ia diterima dengan ijmak oleh sahabat Nabi yang ada pada zamannya serta diwarisi umat Islam.

Begitu pun dari segi bilangan rakaat ada banyak keterangan mengenainya. Tetapi menurut yang dipilih dan diamalkan kebanyakan ulama dari kalangan mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali ialah 20 rakaat berdasarkan amalan sahabat Nabi dalam zaman Saidina Umar.

Dari Al-Sa'ib bin Yazid r.a, katanya: "Mereka (sahabat-sahabat Nabi) biasanya mengerjakan solat Tarawih dalam bulan Ramadan - pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab, sebanyak 20 rakaat .." ( Riwayat Baihaqi)

Imam Baihaqi menyebutkan satu hadis lagi yang diriwayatkan Imam Malik dan Yazid bin Ruman, katanya: "Biasanya orang ramai mengerjakan solat Tarawih dalam bulan Ramadan - pada zaman Saidina Umar r.a. sebanyak 23 rakaat ..."

Dalam ulasannya, Imam Baihaqi berkata: Kedua-dua hadis terbabit (tidak bercanggah) malah boleh disatukan kerana mereka mengerjakan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat (seperti yang tersebut dalam hadis pertama), kemudian mereka mengerjakan solat Witir tiga rakaat (seperti yang tersebut dalam hadis kedua).

Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat ialah pilihan mazbab Syafie, Hanafi dan Hanbali berdasarkan hadis terbabit.

Menurut mazhab Maliki pula, pada mulanya solat Tarawih dikerjakan sebanyak 20 rakaat juga, kemudian ditambah 16 rakaat disertakan dengan tiga rakaat solat Witir menjadikan jumlahnya 39 rakaat.

Tetapi menurut sesetengah ulama rahimahullah, solat Tarawih boleh dikerjakan sebanyak lapan rakaat dan boleh dikerjakan sebanyak 20 rakaat.

Mengenai lapan rakaat, mereka menerangkan: Menurut beberapa hadis sahih, Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat Tarawih sebanyak lapan rakaat disertakan dengan tiga rakaat solat Witir.

Kata mereka lagi: Menurut hadis sahih, sahabat Nabi mengerjakannya sebanyak 20 rakaat dalam zaman Saidina Umar r.a.

Ada pula segolongan kecil yang terdorong membidaahkan amalan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat, kerana dakwa mereka hadis yang menjadi dalilnya bukan hadis sahih.

Ahli fiqah dan ahli hadis yang masyhur, menegaskan bahawa hadis terbabit sahih dan mereka menyajikannya dalam kitab mereka sebagai dalil bagi solat Tarawih sebanyak 20 rakaat yang mereka amalkan.

Di antaranya ialah Imam Syafie (lebih suka mengerjakan 20 rakaat solat Tarawih), Imam Nawawi (menerangkan dalam kitabnya bahawa menurut mazhab Syafie, bilangan rakaat solat Tarawih ialah 20 rakaat dengan 10 salam selain daripada (tiga rakaat) solat Witir).

Kesimpulannya, solat Tarawih 20 rakaat ialah 'sunnah sahabat Nabi' kerana ia dilakukan oleh Saidina Umar dan sahabat Nabi yang ada pada zamannya, termasuk Saidina Uthman dan Saidina Ali r.a.

Satu hadis riwayat Tirmidzi, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan (maksudnya): "Hendaklah kamu menurut sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah al-Rasyidin. (yang datang kemudian daripada aku)."

Apa pun, solat yang sempurna dan mendapat ganjaran ialah yang dikerjakan dengan tenang dan khusyuk, sempurna bacaannya dan sempurna segala-galanya, malah hati ikhlas beribadat kerana-Nya.





Sunday, August 7, 2011

Kewajipan Membayar Zakat

Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: " Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain."
(Abu Daud)

Huraian
1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam.
2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadhan.
3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram)
4. Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: "Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah." (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah)
5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadhan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.

Kadar Zakat Fitrah 2011






Thursday, August 4, 2011

Kesilapan Kerap Muslim di Bulan Ramadhan


1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain .
Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih
.
Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa . Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih . Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah .
Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan
alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur .
Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat .
Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid,
malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka .
Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih ) Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

sumber:
Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman




Template by:
Free Blog Templates