Tuesday, June 14, 2011

Cium anak pun boleh dapat pahala




Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis akutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak. Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.

Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan.
Aqrak berkata;Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium.S
abda Nabi SAW; Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi..

Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

Seorang lelaki bertanya; Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti?
Jawab baginda; Berbaktilah kepada ibu bapamu.
Kata lelaki itu lagi; Ibu bapaku sudah tiada lagi.
Sabda Nabi SAW; Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak
terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu.





Sunday, June 5, 2011

Kisah mayat & syafaat Al Quran didalam Kubur...


Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya".

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa
Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah. Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak berdiri di bahagian kepalanya.Apabila mayat itu dikafankan, orang itu datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu.Bila selesai dikebumikan, orang ramai termasuklah ahli-ahli keluarga dan kekasih kita akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan. Tetapi orang yang kacak itu akan berkata: "Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun.Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!" Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata: "Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat." "Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaanMunkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi" Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat dari syurga.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi. Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri.Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telahdatang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat.Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia.Allah telah menjanjikan Al-Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar.






Thursday, June 2, 2011

Mengapa berat menunaikan solat



Semua umat Islam rasanya sudah maklum apakah dia seksa Neraka itu. Api yang membakar sampai ke hati. Minumannya ialah leburan logam yang menggelegak yang tidak terhingga panasnya. Makanannya ialah buah yang berduri. Seksa Neraka tersangatlah pedih. Ia adalah sehina-hina tempat untuk kembali.

Rata-rata juga umat Islam tahu bahawa sembahyang itu tiang agama. Siapa yang mendirikan sembahyang, dia sebenarnya telah mendirikan agama. Siapa yang meruntuhkan sembahyang, dia telah meruntuhkan agama. Mereka juga tahu, yang membezakan di antara orang kafir dan orang Islam itu ialah sembahyang. Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, nyata dia telah kufur.

Sembahyang adalah amalan pertama yang dihisab di akhirat. Kalau sembahyang tidak selesai, segala amalan yang lain tertolak.

Namun masih ramai umat Islam yang tidak menunaikan sembahyang lima waktu. Masih ramai yang cuai menunaikan sembahyang. Yang cuai menunaikan sembahyang itu bukan sahaja orang muda tetapi juga orang tua. Bukan sahaja orang miskin tetapi juga orang kaya. Bukan sahaja di kalangan orang-orang bawahan tetapi juga orang-orang atasan. Bukan hanya dari kalangan orang-orang tidak berpelajaran tetapi juga yang berpelajaran tinggi. Bukan sahaja dari kaum pekerja atau buruh tetapi juga dari para eksekutif dan pengurusan. Bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga pemimpin. Bukan sahaja lelaki, tetapi ramai juga perempuan yang cuai bersembahyang.

Menjadi kafir kerana tidak bersembahyang tidak dirasakan sebagai suatu ancaman. Meruntuhkan agama kerana cuai sembahyang juga tidak dirasakan besar. Malahan, ancaman seksa Neraka yang begitu perit, hebat dan dahsyat pun umat Islam tidak rasa gerun dan takut. Apakah puncanya umat Islam jadi begini?

Kalau ditanya pendapat orang, maka akan timbullah berbagai-bagai sebab dan alasan. Lemah imanlah. Kurang ilmu agamalah. Tidak ada asas agamalah. Kurang didikan agamalah. Kerana pengaruh liar seperti rock, black metal, dadah dan sebagainya. Kerana ibu ayah sibuk mengejar dunia dan tidak mengambil berat serta tidak ada masa untuk anak-anak. Kerana tidak ada kasih-sayang dari ibu bapa dan keluarga. Kerana sibuk dengan urusan, kerja, tugas, perniagaan dan bermacam-macam lagi alasan.

Mungkin alasan-alasan ini boleh diterima tetapi ia lebih merupakan alasan-alasan sampingan. Ada sebab dan alasan yang lebih pokok dari itu iaitu rata-rata umat Islam sudah tidak kenal Tuhan. Umat Islam berat menunaikan sembahyang kerana mereka tidak kenal Tuhan. Apabila Tuhan tidak dikenali, maka umat Islam tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan. Apabila cinta dan takut tidak ada, maka tidak wujud hubungan hati dengan Tuhan.

Hati yang tidak terhubung dengan Tuhan tidak ada apa-apa rasa. Tidak ada keinsafan. Tidak ada kesedaran. Tidak ada rasa bahawa Tuhan itu diperlukan. Bahawa Tuhan itu Maha Hebat dan Maha Agung. Tidak ada rasa bahawa kita manusia begitu kerdil dan lemah di sisi Tuhan. Walhal hati itu adalah wakil Tuhan pada diri kita, tempat kita berzikir dan berhubung rasa dengan Tuhan. Dalam erti kata yang lain, kalau hati tidak terhubung dengan Tuhan, kita tidak akan khusyuk dengan Tuhan.

Itulah sebabnya konsep pendidikan Islam bermula dari apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: Maksudnya: " Awal-awal agama mengenal Allah. "

Setelah Allah dikenali, dicintai dan ditakuti, maka kita akan suka mengamalkan syariat. Kita akan suka bersembahyang. Kita akan suka membuat perkara yang Tuhan suka. Kita akan suka menggembirakan Tuhan. Kita akan khusyuk dengan Tuhan. Akan timbullah keinginan untuk menyembah dan membesarkan-Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Barulah datang keinginan untuk bersembahyang kerana sembahyang itu ialah upacara untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Kalau Tuhan tidak dirasakan besar dan agung maka kita tidak akan terdorong untuk bersembahyang. Sembahyang tidak akan ada apa-apa makna.

Yang menjadi masalah, umat Islam sudah tidak dididik mengikut konsep pendidikan Islam ini lagi. Mereka tidak di-kenalkan kepada Tuhan terlebih dahulu. Mereka dikenalkan kepada dunia dan apabila sudah tua atau dewasa, barulah hendak berusaha untuk mengenal Tuhan. Itu pun hanya bagi orang yang sedar dan yang mendapat hidayah.

Kalau setiap anak dididik dari kecil untuk mengenal Tuhan, maka semua akan jadi mudah. Dari kecil lagi anak-anak sudah kenal, cinta dan takut dengan Tuhan. Dari kecil lagi mereka sudah merasa khusyuk dengan Tuhan. Orang yang khusyuk dengan Tuhan akan mudah bersembahyang. Tuhan ada berfirman:


Maksudnya: "Jadikanlah sabar dan solat itu sebagai penolongmu. Sesungguhnya solat itu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. " (Al-Baqarah: Ayat 45)

Kalau sudah tua dan dewasa baru hendak mengenal Tuhan, ia seperti anak angkat yang sudah tua mahu diperkenalkan oleh ibu angkatnya kepada ibu kandungnya sendiri. Memang dia akan menerima hakikat bahawa ibu kandungnya itu memang benar ibu kandungnya. Lebih-lebih lagi kalau disahkan dan diakui pula oleh ibu angkatnya. Tetapi untuk hidup dengan ibu kandungnya atau untuk berpindah dari rumah ibu angkat untuk tinggal bersama-sama ibu kandungnya, itu amat rumit sekali. Dia tidak akan mahu. Cintanya telah tertumpah kepada ibu angkatnya kerana ibu angkatnyalah yang telah banyak mencurahkan kasih sayang padanya. Begitu jugalah orang yang telah meninggalkan Tuhannya untuk bermewah di dunia. Dunia seperti ibu angkat-nya. Memang sukar untuk kembali kepada Tuhan yang mencipta-nya.







Wednesday, June 1, 2011

Hati Yang Selalu Muda


Hadith:

DARI Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda: "Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.

Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, 'rumah kata pergi, kubur kata mari', masih juga bergelumang dengan dosa.

Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan. Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu

  • waktu kaya sebelum miskin,
  • waktu senang sebelum sibuk,
  • waktu sihat sebelum sakit,
  • waktu muda sebelum tua
  • waktu hidup sebelum mati.

Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan.

Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia





Template by:
Free Blog Templates