Menunaikan haji adalah rukun Islam yang kelima. Pergi ke sana
bermaksud kita menyahut panggilan Allah SWT, yang telah dilaungkan oleh
nabi-nabi terdahulu seperti Adam dan Ibrahim. Firman Allah SWT di dalam
Surah al-Haj ayat 27:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya
mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan
menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai
jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."
Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya, ayat ini merujuk kepada arahan
Allah kepada nabi Ibrahim supaya menyeru manusia datang ke tanah suci
itu untuk menunaikan haji bagi menyahut seruan Allah. Nabi Ibrahim
terpinga-pinga, dan tertanya-tanya bagaimanakah mampu baginda memanggil
manusia datang sedangkan bumi tersebut pada waktu itu adalah bumi yang
kering-kontang tanpa berpenghuni.
Allah menjawab, "Engkau serulah, dan biarkan Kami yang menyampaikan seruan tersebut."
Lantas nabi Ibrahim pun berdiri di tempat yang tinggi, dan menyeru
sekuat-kuatnya, "Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menyediakan
rumah ibadah untuk kamu, maka tunaikanlah haji ke sini."
Menurut riwayat, bukit-bukau dan gunung-ganang tunduk ketika seruan
itu dibuat, sehingga ianya didengar ke seluruh alam. Akhirnya manusia
sehinggalah ke hari ini, berduyun-duyun datang ke Makkah setiap musim
haji, menyahut seruan Allah melalui nabi Ibrahim, dengan berkata
Labbaikallahumma Labbaik.... kami datang wahai Tuhan, kami datang
menyahut seruanmu.
Sewajarnya zikir talbiah itu perlu dilaungkan dengan rasa kerdil,
insaf dan bersyukur, kerana Allah memilih kita untuk menjadi mereka yang
menyahut seruannya itu. Subhanallah.... mustahil manusia yang jernih
hatinya tidak rasa tersentuh ketika membaca talbiah ini.
Menunaikan haji juga membawa maksud kita menziarahi rumah ibadat
pertama yang telah dibina oleh nabi Adam mengikut beberapa riwayat yang
telah dilaporkan oleh Imam al-Tabari di dalam tafsirnya. Ahli sejarah
menyatakan yang Ka'bah telah roboh antara 5 hingga 12 kali akibat banjir
dan faktor lain. Nabi Muhammad merupakan nabi terakhir yang turut
terlibat di dalam pembangunan semula Ka'bah.
Rukun dan wajib haji adalah simbolik siaran ulangan terhadap nilai
sebuah pengorbanan nabi Ibrahim dan Ismail terhadap arahan Allah.
Melaksanakannya memerlukan pengorbanan serta ketabahan mental dan
fizikal. Pengorbanan itu falsafahnya ialah sebagai neraca keIslaman
kita. Lagi tinggi pengorbanan, lagi tinggi nilai Islam kita di sisi Allah.
Dengan sebab itulah apabila Allah menceritakan kesanggupan nabi
Ibrahim dan anaknya nabi Ismail melakukan pengorbanan besar di dalam
hidup anak-beranak, maka Allah menggunakan perkataan Aslama di dalamnya,
yang daripadanya lahirlah perkataan Islam. Firman Allah SWT dalam
surah Al-Soffat ayat 103:
فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah
itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan
mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan
kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami).
Menunaikan Haji Di Waktu Muda
Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menunaikan haji
di waktu muda kerana kemurahan hati arwah ayah saya menanggung
perbelanjaan haji semasa saya menuntut di Mesir dahulu. Tetapi dalam
masa yang sama masih rasa terkilan kerana kesibukan duniawi masih
menghambat tanggungjawab saya membawa isteri pergi ke sana. Bilalah
agaknya saya boleh berasa kepuasan pergi ke sana dengan pendapatan
tangan sendiri serta membawa isteri yang merupakan amanah Allah kepada
diri saya.
Saya masih ingat, semasa menunaikan haji dulu, ada perbezaan yang
ketara antara jemaah haji Malaysia dengan jemaah haji Indonesia, Turki,
Iran dan Pakistan, sekadar memberikan beberapa contoh negara. Majoriti
jemaah haji Malaysia agak ketara terdiri daripada pakcik makcik yang
sudah berusia tua, melebihi usia pencen, bahkan ada yang sudah
berbongkok tiga. Banyak ritual haji yang terpaksa diwakilkan kepada
orang lain seperti melontar, sa'ie dan tawaf, lalu tidaklah merasa akan
kepuasan atau tepatnya kelazatan membuat haji.
Ringkasnya, jemaah haji Malaysia adalah jemaah yang paling beruntung
di dunia kerana mempunyai sistem pengurusan ibadah agung tersebut
melalui Lembaga Tabung Haji. Dengan tidak sampai RM10,000, anda boleh
berada selama 40 hari di tanah haram, lengkap dengan hidangan makanan
yang banyak, penginapan yang terletak beratus-ratus meter sahaja
daripada Masjidil Haram dan Masjid Nabi, serta pemandu (mutawwif) haji
yang berpengalaman. Anda hanya perlu bayar dengan harga yang murah
untuk 'pelancongan' 40 hari, pergi dan mengikut orang sahaja. Itu pun,
majoriti yang pergi adalah warga emas.
Berbanding dengan jemaah haji dari Indonesia, dengan pendapatan
mereka yang kurang berbanding Malaysia, mereka lebih melihat faktor
kemampuan fizikal itu sebagai keutamaan untuk pergi menunaikan haji.
Lalu ramai rakyat mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, muda gagah
perkasa mengharungi cabaran menunaikan rukun Islam kelima itu. Pakej
paling murah untuk mereka menunaikan haji ialah RM15,000. Harga itu
tidak termasuk makanan, dan penginapan yang disediakan letaknya lebih
kurang 7 kilometer dari Masjidil Haram! Banyak urusan perlu dibuat
sendiri.
Bila ditanya bagaimana mereka mampu menyediakan wang sebanyak
RM15,000 itu; jumlah yang amat besar di Indonesia, mereka menjawab
bahawa ada antara insitusi kewangan di negara itu yang menyediakan pakej
bayaran ansuran, atau pinjaman tanpa faedah untuk pakej haji. Ulamak
berselisih pandangan terhadap bayaran haji secara ansuran, kebanyakan
yang saya baca menyatakan tiada nas larangan. Akan tetapi jumhur ulamak
menyatakan orang yang tidak berduit (termasuklah pada pandangan saya
mereka yang tidak layak untuk pakej ansuran seperti di Indonesia)
sehingga terpaksa berhutang, tidak termasuk daripada golongan yang wajib
membuat haji. Akan tetapi sekiranya mereka berhutang juga dengan lunas
syara', kewajiban membuat haji ketika mampu akan dianggap sudah
terlunas.
Dibenarkan Berlengah Membuat Haji Ketika Mampu, Tetapi Perlu Bersegera Mencari Mampu
Di dalam kitab fiqh, ada perbahasan ulamak mengenai kewajiban membuat
haji, adakah ianya perlu disegerakan atau boleh dilambat-lambatkan.
Saya ringkaskan pandangan ulamak seperti berikut:
1. Ibn Qudamah daripada Mazhab Hanbali, Imam Malik,
Mazhab Zaidiyyah dan satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah menyatakan
yang haji wajib ditunaikan segera bagi yang mampu. Sekiranya
dilewat-lewatkan, maka luputlah pahalanya walaupun terlepas
kewajibannya. Hujjah pandangan ini adalah berdasarkan sepotong hadith
Abu Daud yang disahihkan oleh Al-Hakim dan al-Zahabi:ل
"Barangsiapa yang ingin membuat haji, maka bersegeralah."
Hadith di atas menggunakan kata perintah, dan kata perintah membawa
maksud perlu bersegera ketika sudah mampu untuk menunaikan haji.
2. Imam al-Shafi'e pula berpandangan yang apabila
seseorang itu sudah mampu, dibenarkan dia untuk berlengah atau tidak
bersegera melakukannya pada tahun dia mencapai kemampuan tersebut.
Pandangan ini adalah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah yang hanya
menunaikan haji pada tahun ke-10 hijrah, walaupun baginda dan
sahabat-sahabat lain sudah mampu berbuat demikian mulai tahun kelapan
hijrah lagi.
3. Adapun pandangan jumhur mazhab Hanafi menyatakan
yang semua hujjah berkaitan isu ini, mempunyai hukum galakan bersegera
dan dalam masa yang sama turut membenarkan berlengah-berlengah ketika
mampu membuat haji, akan tetapi mereka cenderung menyatakan adalah
lebih baik dan selamat untuk melaksanakannya dalam kadar yang segera.
Khilaf ini walau bagaimanapun, selalu dimanipulasi sebahagian
Muslim. Perlu diperjelaskan yang memang ulamak berbeza pandangan
terhadap hukum wajibkah bersegera atau boleh berlengah membuat haji
ketika mampu. Akan tetapi semua mereka bersepakat yang mencari
kemampuan untuk menunaikan haji adalah sesuatu yang dituntut, kerana
Allah mewajibkan kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan, dan haji
adalah antara kebaikan yang besar dalam kehidupan manusia. Kemampuan
membuat haji perlu dicari, bukan ditunggu.
Salah faham ini menyebabkan sebahagian Muslim melengah-lengahkan
usaha mencari kemampuan untuk melaksanakan haji, atau menggunakan
kemampuan harta dan sihat yang sedia ada ke tempat lain. Maka
tidak hairanlah segelintir umat Islam lebih dahulu sampai ke
tempat-tempat suci agama lain berbanding ke tempat suci agama sendiri
kerana tidak nampak kepentingan perlu bersegera membuat haji ini.
Golongan ini sebenarnya terlalai dengan dunia, tidak sedar yang dunia
yang Allah pinjamkan kepada mereka perlu diperuntukkan sebahagiannya
untuk tambang haji.
Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana urusan ibadah kita sering
dipermudahkan. Dalam konteks ibadah haji, kita mempunyai Lembaga Tabung
Haji yang menguruskan ibadah haji kita dengan harga yang amat-amat
murah. Cuti membuat haji pun biasanya diberikan dengan gaji penuh.
Sekiranya kita mempunyai simpanan sebanyak RM1,300 di dalam akaun
Tabung Haji, maka kita boleh mendaftar untuk membuat haji.
Ada rakan yang memaklumkan giliran terhampir sekiranya mendaftar pada
tahun ini (2009), ialah pada tahun 2027; kebiasaannya akan diawalkan.
Renungilah, berapa agaknya usia kita semasa itu. Atau, adakah Allah
masih mengizinkan kita menghirup nafas lagi pada waktu tersebut.
Mendaftar itu tanda niat kita. Sekiranya ditarik nyawa kita sebelum kita
naik haji, dalam keadaan tiada siapa boleh mengganti haji kita,
sekurang-kurangnya ada jawapan yang boleh diberikan di hadapan mahkamah
akhirat kelak.
Saya benar-benar mencadangkan kepada ibu bapa supaya menggalakkan
anak-anak menyimpan di dalam Tabung Haji sejak kecil lagi. Bagi
mahasiswa, terutamanya yang ditaja di luar negara, merancanglah
simpanan untuk menunaikan haji. Bagi graduan yang baru masuk alam
pekerjaan, jangan terlalu ghairah membelanjakan wang besar untuk
membeli simbol kekayaan dan kestabilan, sehingga terlupa menyediakan
kemampuan untuk membuat haji.
Adalah cantik sekiranya pasangan yang baru berkahwin, terus
menunaikan haji ketika mereka belum mendapat anak lagi. Dan bagi mereka
yang masih lalai untuk menyediakan kemampuan membuat haji, jangan
lengah-lengah lagi. Marilah menukar budaya membuat haji semasa di usia
senja, kepada membuat haji di usia muda. Kesan daripada budaya pergi
haji di usia tua itu ialah, ramai yang bersedih apabila
menghantar saudaranya menunaikan haji, antaranya kerana merasakan
itulah perjalanan terakhir mereka di muka bumi dan bimbang tidak akan
berjumpa lagi. Sedangkan kita membuat haji, adalah untuk memenuhi
tuntutan Ilahi, bukannya nak pergi mati.
Merancanglah sekarang sementara hayat dikandung badan.
Sumber: Artikel iluvislam.com