Wednesday, November 30, 2011

Mahligai Cinta Berserikan Taqwa


Teringat akan pertemuan pertama saya dengan bakal bapa mertua. Saya menjadi makmum kepada beliau semasa solat Maghrib. Beliau membaca sebahagian surah At-Tahrim, antaranya:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya adalah manusia dan batu, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim:6)

Ibn 'Abbas berkata tentang ayat ini:
Taatlah kepada Allah, jauhi keingkaran dan kedurhakaan kepadaNya, dan perintahkan keluargamu agar sentiasa ingat Allah, maka Allah akan menyelamatkan kamu daripada api neraka.

Mujahid berkata:
Bertaqwalah kepada Allah, dan perintahkan keluargamu agar bertaqwa kepadaNya.

Ingatlah kepadaNya

Firman Allah s.w.t :
Dan lelaki-lelaki yang banyak menyebut (nama) Allah serta perempuan-perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.(Al-Ahzab: 35)

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Aku (apa yang Aku berikan) adalah sebagaimana sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku (menyebut-Ku) dalam sekumpulan manusia, Aku mengingatinya (menyebutnya) dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka (kumpulan manusia itu).(Riwayat Muslim)

Bersangka baiklah kepada-Nya dalam segala perkara. Apabila berdoa, yakinlah bahawa Allah Maha Mendengar, yakinlah bahawa Allah mampu dan akan memakbulkan doa, dengan cara yang dikehendakiNya, dalam bentuk yang dikehendakiNya, pada waktu yang dikehendakiNya.

Ingatlah kepada-Nya ketika senang, Dia pasti bersama kita ketika senang dan susah. Jangan hanya mencari Allah ketika ditimpa duka dan dalam keadaan terhimpit, dan melupai-Nya sewaktu senang dan gembira.

Mulianya Kita Di Sisi Tuhan Dengan Taqwa

Takrif taqwa oleh sebahagian ulama', yang dinaqalkan oleh 'Abdullah Nasih Ulwan dalam kitab 'Menuju Ketaqwaan' :
Memelihara diri daripada azab Allah dengan mengerjakan amal soleh (dan menjauhi maksiat) dan takut kepadaNya ketika terang dan tersembunyi.

Firman Allah Ta'ala:
30. Dan ditanya kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan." Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi, dan sesungguhnya negeri akhirat ialah sebaik-baik tempat bagi orang-orang yang bertaqwa.

31. (untuk mereka) Syurga-syurga 'Adn, yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bertaqwa.

32. (Iaitu) Mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu, masuklah ke dalam syurga disebabkan amal (kebaikan) yang telah kamu kerjakan".(An-Nahl: 30-32)

Sabda Rasulullah s.a.w. , sebahagian daripada hadis yang panjang:
Maka bertaqwalah kalian kepada Allah dalam hubungan dengan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka melalui perjanjian dengan Allah (kalimah/amanah Allah). (Riwayat Muslim)

Cinta Kita

Ya Allah, jadikanlah diri kami mencintai keimanan dan hiaskanlah iman itu (jadikanlah iman itu indah) dalam hati kami. Jadikanlah diri kami membenci kekufuran, fasiq dan maksiat serta jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

- Artikel iluvislam.com







Tuesday, November 29, 2011

Kesabaran Seorang Nabi dan Rasul


Dari Abdullah r.a, katanya: “Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w menceritakan seseorang di antara nabi–nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga mengalir darahnya dan nabi itu menghapuskan darah di mukanya sambil berdoa: “Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaumku kerana sesungguhnya mereka belum tahu.”

(Bukhari)

Huraian:

Kebenaran (hak) itu datangnya daripada Allah S.W.T. Pemimpin kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan salah satu sifat wajib bagi rasul ialah menyampaikan (tabligh). Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf.

Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka.

Begitulah mulianya hati dan jiwa insan yang Allah anugerahkan sebagai pemimpin umat. Inilah hati para rasul. Lihatlah sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Thaif yang menghina baginda. Malah baginda mendoakan agar mereka nanti akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.


sumber: hadis.feryco.com






Monday, November 28, 2011

Tangisan Seorang Tua


Seorang tua sedang menangis di sebuah bangku bersama sebuah cawan untuk disimpannya duit dari simpati warga kota dan kemudiannya didatangi seorang pemuda duduk sebelahnya.

Sufi : Assalammualaikum pak cik (sapaanya diserta senyuman ikhlas )

Pak Man : Waalaikumsalam, Nak bantu pak cik nak (sambil dihulurnya cawan itu ke arah sufi)

Sufi memasukkan wang ke dalam cawan tersebut sambil tersenyum .

Sufi : Pak cik, saya ada belikan pak cik makanan, mari kita makan bersama.

Pak Man : Alhamdullilah, terima kasih nak .

Sufi : Pak cik sudah lamakah pak cik mengemis? Maaf jika soalan ini membuat pak cik terasa, saya hanya bertanya sahaja .

Pak Man : Sudah nak, sudah lama

Sufi : Bagaimana pak cik jadi macam ni??

Pak Man : Ini balasan buat pak cik nak. Pak cik menyesal, dahulu pak cik juara kota, semua orang menghormati pak cik, jalan-jalan di kota ini milik pak cik dahulu. Apabila sebut sahaja nama pak cik, pasti semua akan kecut perut, tapi itu dahulu nak, sekarang tiada siapa yang endah akan pak cik.

Dulu hidup pak cik mewah, tapi sekarang inilah pak cik, kais pagi makan pagi , kais petang makan petang.

Pak cik berdosa nak, pak cik derhaka pada ibu pak cik, pak cik suka memaki hamun dia kalau pak cik tidak dapat apa yang pak cik inginkan, pak cik telah halau ibu pak cik dari rumah kerana pak cik malu ada seorang ibu seperti dia.

Pak cik hina dia, dia merempat, tidur dikaki lima, mengemis seperti pak cik, pak cik anak derhaka nak, anak derhaka inilah balsan buat pak cik. ( si tua itu mengalir air mata kerana terlau sedih mengenangkan kisah silamnya)

Sufi : Sabar pak cik, minum air itu pak cik akan tenang, ibu pak cik masih hidup ke sekarang?

Pak Man : ibu pak cik? dia dah .... dia dah tiada,sudah meninggal, pak cik yang langgar dia.

sufi terpempan apabila mendengar luahan hati Pak Man. Nauzubillah .. tergamaknya Pak Man ini.

Pak Man : Pak cik langgar dia sebab pak cik malu ada ibu mengemis di kaki lima, pak cik rasa terhina, tapi sekarang pak cik menyesal kerana beberapa hari selepas kejadian itu, pak cik terlibat dalam kemalangan, dan menyebabkan kaki pakcik tempang dan perlu menggunakan tongkat untuk bergerak.

Sejak dari hari itu, semua kemewahan, keistimewaan pak cik hilang, orang-orang sisih pak cik, pak cik hilang tempat tinggal, terpaksalah pakcik mengemis dan duduk di kaki lima ini untuk menuruskan hidup.

Pak cik sentiasa berdoa agar nyawa pakcik dicabut kerana pak cik sudah tidak sanggup untuk hidup di muka bumi ini. Tapi pak cik risau, adakah TUHAN akan menerima pak cik yang hina ini?

Sufi : Usah bimbang pak cik, masih ada masa untuk kita kembali kelandasan kita , pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita selagi kita masih hidup , ALLAH itu maha pengampun, sentiasalah kita berdoa kepadanya untuk dihapuskan segala dosa-dosa yang telah kita lakukan dahulu .

Kesimpulannya,

Jasa Seorang Ibu Tidak Terkira, Sayangilah Ibu Sementara Mereka Masih Bernafas Di Dunia Ini. Ingatlah selagi Ibu masih hidup, kasihi dan sayangilah Ibu. Dan jika Ibu sudah meninggal dunia, ingatlah jasa ibu, doakan kesejahteraan ibu. Siapalah kita tanpa jasa dan pengorbanannya.

Sekiranya kita masih punyai ibu dalam menjalani hidup ini, hargailah ibu, jaga hati ibu dan hadiahkanlah keperibadian yang baik untuk ibu, agar ibu puas dengan apa yang ibu korbankan, agar ibu bangga kerana punyai anak soleh/solehah yang akan mendoakan ibu di akhirat kelak.

sumber: Artikel iluvislam.com





Thursday, November 24, 2011

Muhasabah Maal Hijrah


Di awal tahun baru hijrah,
Ku sujud menghambakan diri pada-Mu,
Hati terus merintih mengenangkan dosa lalu,
Kotornya diri dengan maksiat dan noda,

Lemahnya jiwa berdepan dengan dunia,
Lalainya diri dari mengingati-Nya,
Astaghfirullahal 'adzim....
Banyaknya kekurangan diri,
Ampuni hamba-Mu ini Ya Allah.

Aku sedar,
Jiwa yang tandus taqwa,
Terdorong lakukan apa sahaja,
Sanggup menentang arus kehendak Ilahi,
Yang difikir hanyalah untuk kepuasan diri,
Maka, pabila dosa telah larut,
Gelaplah hati, kotorlah jiwa, murunglah diri,
Itulah fitrah sang pendosa,
Yang leka dari pencipta-Nya.

Namun, bila iman hadir di jiwa,
Mata hati mula bekerja,
Baru kusedar, betapa diri jauh dari-Mu Tuhan,
Asyik sibuk untuk dunia,
Hinggakan solat sering kutunda,
Al-Quran pun malas dibaca,
Lidahku kotor dengan kata-kata dusta,
Mata ini tak kujaga dari perkara dosa,
Telinga ini mendengar apa yang tak sepatutnya,
Kaki ini sering melangkah ke tempat lagha.

Ya Allah,
Jauh sekali diriku dengan peribadi kekasih-Mu,
Kau teladan terbaik bagi seluruh umat,
Ingin sekali aku mencontohi peribadimu, Rasulullah
Meskipun dirimu suci tanpa dosa,
Solat malam tidak pernah kau lupa,
Munajatmu di tengah malam jadi rutin harian,
Pengharapanmu pada Tuhan terlalu tinggi,
Sedang aku???
Seorang hamba yang penuh dosa....
Solat fardhu pun kurang dijaga,
Apatah lagi solat malam sepertimu, Ya Nabiyullah.

Sungguh,

Aku ingin berubah,
Menjadi seorang hamba-Mu yang taat,
Aku takut akan azab kubur,
Aku gerun dengan dahsyatnya neraka-Mu,
Dan kurindukan nikmat syurga.

Jadi,
Kupohon padaMu wahai Tuhan,
Campakkan ke dalam hati ini niat yang tulus,
Ingin sekali aku berdiri di hadapan-Mu dengan jiwa yang tunduk,
Ingin sekali aku rukuk pada-Mu dengan hati yang pasrah,
Dan ingin sekali ku sujud ke hadhrat-Mu dengan punuh kehambaan,

Ya Rahim,
Sucikan hatiku dari sifat munafik,
Sucikan amalku daripada riyak,
Sucikan lidahku daripada dusta dan mataku dari khianat,
Jadikanlah diriku seorang anak yang solehah,
Yang bisa mendamaikan hati Ummi dan Abiku,
Jadikanlah diriku seorang mukminat solehah,
Kerna mukminat solehah itu lebih cantik dari bidadari syurga.

Dan...
Kurniakan aku kesabaran untuk menunaikan ketaatan pada-Mu,
Anugerahkan aku kesabaran dalam meninggalkan maksiat pada-Mu,
Jadikanlah hati ini hati yang sentiasa mengingati-Mu,
Agar dapat ku miliki sekeping hati yang tenang,
Jauh dari hasad dengki dan kepalsuan dunia,
Hadirkanlah cintaku kepada-Mu mengatasi segalanya,
Agar Kau temukan hati yang terbaik buat diriku.

Moga dapat kukecapi, kebahagiaan yang hakiki,
Suatu hari nanti...
Amin....

- Artikel iluvislam.com






Template by:
Free Blog Templates