Wednesday, July 31, 2013

Menggigil Lutut Jin Dan Manusia Melihat Neraka Jahanam



 Bismillah..
  Dikisahkan dalam sebuah hadith bahawa sesungguhnya neraka jahanam itu adalah hitam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ianya menyala. Dan ianya memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu itu terdapat 70,000 gunung, pada setiap gunung itu pula terdapat 70,000 lereng dari api dan pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri dari api, pada setiap belahannya pula terdapat 70,000 lembah dari api.

    Dikisahkan dalam hadith tersebut bahawa pada disetiap lembah itu terdapat 70,000 gudang dari api, dan pada setiap gudang itu pula terdapat 70,000 kamar dari api, pada setiap kamar itu pula terdapat 70,000 ular dan 70,000 kala, dan dikisahkan dalam hadith tersebut bahawa setiap kala itu mempunyai 70,000 ekor dan setiap ekor pula memiliki 70,000 ruas. Pada setiap ruas kala tersebut ianya mempunyai 70,000 qullah bisa.

    Dalam hadith yang sama menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti akan dibuka penutup neraka Jahanam, maka sebaik sahaja pintu neraka Jahanam itu terbuka, akan keluarlah asap datang mengepung di sebelah kanan Jin dan Manusia. Dan sebuah kumpulan asap lagi mengepung mereka di sebelah kiri, lalu datang pula sebuah kumpulan asap mengepung mereka di sebelah hadapan muka mereka, serta datang kumpulan asap mengepung di atas kepala dan dibelakang mereka.

Dan mereka (Jin dan Manusia) apabila terpandang akan asap tersebut maka bergementarlah dan mereka berlutut dan memanggil-manggil: “Ya Tuhan kami selamatkanlah.”

    Diriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Akan didatangkan pada hari kiamat itu neraka Jahanam itu mempunyai 70,000 kendali, dan pada setiap kendali itu ditarik oleh oleh 70,000 malaikat, dan berkenaan dengan malaikat penjaga neraka itu besarnya ada diterangkan oleh Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:“Sedang penjaganya malaikat-malaikat yang kasar lagi keras.”

    Setiap malaikat apa yang ada di antara bahunya adalah jarak perjalanan setahun, dan setiap satu dari mereka itu mempunyai kekuatan yang mana kalau dia memukul gunung dengan pemukul yang ada padanya maka nescaya akan hancur lebur gunung tersebut. Dan dengan sekali pukulan sahaja ia akan membenamkan 70,000 ke dalam neraka Jahanam


sumber: prettyabaya.blogspot.com

Sunday, July 28, 2013

Betulkah Niat Puasa Kita?

Tibalah satu lagi Ramadan untuk kita. Satu bulan penuh rahmat, penuh keberkatan dan juga peluang meningkatkan prestasi ibadah.
Anggaplah bulan ini sebagai satu titik perubahan untuk kita, daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik. Satu isu yang menonjol dalam dunia tarbiyah setiap kali menjelang Ramadan, adalah kefahaman dan kecintaan terhadap bulan puasa itu sendiri. Jadi bukanlah sesuatu yang perlu bagi saya untuk memberi pendapat tentang isu ni, kerana ia sudah terlalu banyak dibicarakan di internet.
Saya cuma ingin ketengahkan satu perkara; niat kita berpuasa. Saya pernah terbaca dalam satu artikel bahawa "Orang Malaysia memang suka buat ibadah sunat, walhal ibadah wajib ditinggalkan".
Perkara ini, pada hari-hari biasa pun, banyak berlaku depan mata kita. Sebagai contoh, ada yang berpuasa sunat Isnin dan Khamis walaupun solat fardu kadang-kadang ditinggalkan (contohnya, kita sangat susah untuk bangun menunaikan Solat Subuh). Ada juga yang bersedekah beratus-ratus ringgit tetapi zakat tidak ditunaikan. Niat sebenar? Berpuasa untuk menjimatkan duit, bersedekah untuk mendapat pujian. Takkan berguna puasa dan infak itu. Sia-sia.

Konsep menyambut Ramadan sebagai bulan puasa adalah tidak adil. Ramadan bukan bulan untuk berpuasa semata-mata. Kita sepatutnya menyambut Ramadan sebagai satu medan pertarungan satu-dengan-satu (one-on-one) dengan nafsu kita. Jika tiada syaitan pada bulan Ramadan, kenapa masih ada orang yang buat jahat? Kenapa masih ada yang mencuri, menipu, apatah lagi ponteng puasa?
Apabila tiada syaitan, yang tinggal hanya nafsu kita. Kita berperang dan bertarung dengan nafsu saban hari - bermula dari saat bangun daripada tidur, sampailah waktu kita pejam mata untuk tidur. Berpuasa adalah untuk menahan nafsu, bukan untuk menahan lapar dan dahaga semata-mata. Berpuasa adalah untuk menjaga hati, lidah dan perbuatan. Berpuasa adalah untuk mengenal erti penat lelah, memahami dan mensyukuri nikmat yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Berpuasa adalah untuk syurga yang hakiki.
Betulkan semula niat kita. Bukan cuma sekadar menyatakan lafaz, dan menahan diri daripada makan dan minum, tetapi fahami erti sebenar berpuasa. Barulah ibadah itu akan terkesan, lalu membawa kepada istiqamah selepas Ramadan. Bercakap tentang istiqamah, apabila mendengar orang menyebut 'Ramadan Kareem', kita digalakkan menjawab dengan 'Allahu Akram'. Maksudnya, 'Ramadan yang mulia, Allah lebih mulia'.
Ingatlah pesanan Imam Hassan Al-Basri: "Jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana) jangan menjadi hamba Ramadan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadan)"
Ingatlah juga pesanan dari Rasulullah SAW - daripada Umar bin Khathab RA berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung pada NIATnya. Dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan. Maka barang siapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasulNya, ia akan sampai pada Allah dan RasulNya. dan barang siapa hijrahnya menuju dunia yang akan diperolehnya atau menuju wanita yang akan dinikahinya, ia akan mendapatkan apa yang dituju." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalau setakat baca niat puasa, dan esoknya cuma tahan makan dan minum, budak darjah satu pun mampu buat! Kita tak nak ibadah puasa kita sia-sia. Rasulullah SAW bersabda, "Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga." (Riwayat an-Nasaei)
Puasa kita mungkin sah pada mata manusia. Tapi mungkin tidak sampai ke Arasy Allah. Mungkin tak tercapai maksud dan tujuan utama berpuasa. Jadi betulkanlah niat kita. Tahanlah marah. Tak perlu cakap benda-benda yang tak penting. Hentikanlah mengumpat. Sekalipun bercakap benda yang sia-sia mampu membatalkan puasa anda.
Daripada Abu Hurairah RA katanya bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Pengakuan jujur, saya sendiri pun susah nak menjaga benda-benda macam ini. Niat adalah sesuatu yang memakan masa untuk diterapkan. Tapi apa salahnya mula sekarang? Kita makin tua, hidup makin singkat. Entah-entah esok lusa kita mati. Insya-Allah, makin kurang usia di dunia, makin kurang dosa kita.
Kalau niat anda rumit untuk diperbetulkan, tak apa. Puasa dulu. Ikut ajaran Islam. Macam orang nak pakai tudung, pakai dulu. Nanti akan datang satu 'hadiah' daripada Allah, yang cuma Allah boleh bagi. Bila dapat 'hadiah' itu, insya-Allah. Anda akan rasa manisnya iman bila niat kita betul-betul fisabilillah. Kita bukan sekadar tahu sebut, kita akan tahu rasa. Nak rasa? Cubalah sendiri.
Jadi, sebelum tidur malam ini, kita baca niat puasa dulu. Tak, bukan sekadar baca, tapi cuba kita rasa. Rasa niat puasa. Rasa suasana Ramadan. Rasa indahnya keberkatan. Rasa kepuasan melawan nafsu. Menang dengan diri sendiri. 
Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya." (Riwayat Hadis Bukhari dan Muslim)
Mari kawan-kawan, kita berpesta ibadah. Salam alaik~

sumber: theblackbook90.blogspot.com

Thursday, July 25, 2013

Kisah Syaitan Khannas dan Nabi Adam

 
 
Syaitan sememangnya tidak pernah mengenal putus asa untuk menghancurkan anak cucu Adam.........

Suatu hari Iblis laknatullah membawa anaknya yang bernama Khannas menuju ke rumah Nabi Adam AS dan Siti Hawa. Ketika itu, Nabi Adam AS baru saja meninggalkan rumah untuk pergi mencari nafkah. Maka tinggallah Siti Hawa keseorangan di rumah. Tiba-tiba, pintu rumahnya diketuk, lalu dibuka oleh Siti Hawa, lalu dia bertanya: “Siapa kamu?” Lalu Iblis menjawab: “Tolong jagakan anak saya, nanti saya akan datang untuk ambil dia balik.” ....

Siti Hawa yang mempunyai sifat keibuan dan tidak mengetahui muslihat Iblis laknatullah terus memberi pertolongan. Apabila Nabi Adam AS pulang, baginda terperanjat lalu bertanyakan Siti Hawa: “Anak siapakah ini?” Lalu Siti Hawa menjawab: “Tak tahulah, tadi ada seorang wanita menyuruh kita menjaga anak ini.” Nabi Adam AS berfikir dan berkata: “Ini tentu anak syaitan yang mahu menganggu anak cucu kita…” “Apa yang harus kita lakukan sekarang?” tanya Siti Hawa pada Nabi Adam AS. Setelah agak lama berfikir, Nabi Adam AS menjawab: “Kita potong-potong badannya sehingga kecil dan kita gantungkan daging-dagingnya di pokok luar rumah kita. Nanti apabila ibunya datang biar dia nampak dan tahulah dia anak nya sudah tidak ada…”....

Keesokan pagi, Iblis pun datang lagi ketika Nabi Adam AS sudah keluar bekerja: “Mana anak aku?” tanya Iblis pada Siti Hawa. Siti Hawa pun dengan terus terang memberitahu apa yang telah meraka berdua lakukan terhadap anak syaitan tersebut: “Semalam Adam pulang ke rumah, lalu ia mengetahui yang anak itu anak syaitan, lalu kami kerat2 anak kamu dan kami gantungkan daging-dagingnya di atas pokok di luar sana,” jelas Siti Hawa. “Oh… benarkah?” kata Iblis laknatullah dengan selamba. Lalu Iblis menyeru anaknya: “Khannasss….!!!” Tiba2 daging2 anaknya yang telah dikerat bergantungan di atas pokok itu pun bercantum kembali dan menjadi hidup kembali. Iblis masih tidak berputus asa dan masih meminta Siti Hawa agar menjaga Khannas malah dia berpesan akan kembali lagi esok harinya. ....

Apabila Nabi Adam AS pulang, baginda terkejut melihat anak Syaitan yang bernama Khannas itu masih hidup dan bertanya pada Siti Hawa kenapa anak syaitan itu masih berada di rumah meraka. Hawa menerangkan apa yang berlaku. “Kita tak boleh biarkan usaha syaitan untuk menganggu hidup anak cucu kita,” kata Nabi Adam. “Apa harus kita lakukan?” tanya Siti Hawa. “Beginilah.., kita bakar anak syaitan ini dan abunya kita buangkan ke laut, biar abunya di bawa arus laut, tentu ibunya tidak akan mendapat anaknya ini lagi…” terang Nabi Adam AS.....

Keesokan paginya datanglah Iblis bertanyakan anaknya ketika Nabi Adam AS sudah keluar bekerja. “Mana anak aku?” tanya Iblis. “Anak kamu sudah kami bakar dan abunya kami buang ke laut!” jawab Siti Hawa. “Oh, benarkah?" kata Iblis lalu sekali lagi menyeru anaknya: “Khannas!!!” Lalu bercantumlah kembali daging anaknya dari abu, dan menjadi Khannas kembali dan kemudian diserahkan kembali pada Siti Hawa untuk dijaga.....

Apabila Nabi Adam AS pulang, baginda mendapati anak syaitan itu masih juga berada di rumahnya. “Ini tak boleh jadi, kita tak boleh biarkan mereka ganggu anak cucu kita,” kata Nabi Adam. “Apa harus kita lakukan?” tanya Siti Hawa. “Begini sajalah…, kita belah dua anak syaitan ini. Kamu telan sebelah, aku telan sebelah. Habis cerita!” cadang Nabi Adam AS.....

Keesokan hari, datanglah lagi Iblis bertanyakan anaknya ketika Nabi Adam AS sudah keluar bekerja. “Mana anak aku?” tanya Iblis. “Kali ini kamu tak dapat balik anak kamu..,” jawab Siti Hawa dengan penuh yakin. “Kenapa?” tanya Iblis. “Anak kamu telah kami telan!” jawab Siti Hawa dengan tegas. “Oh, benarkah?" Lalu Iblis memanggil anaknya: "Khannas!!!" Tiba-tiba terdengarlah suara Khannas dari dalam badan Siti Hawa. “Bagus anakku, kamu duduk di sana, jangan sesekali keluar,” Iblis memberi arahan kepada anaknya. Maka duduklah Khannas di dalam tubuh badan manusia sehingga hari kiamat. ....

Syaitan Khannas ini tugasnya:-- Bila kita makan, dia pun makan, bila kita minum dia pun minum. Apa-apa sahaja aktiviti kita buat dia akan menyertainya jika kita tidak membaca BASMALAH (Bismillah).

Bila kita solat dia akan berusaha supaya kita berasa was-was. Sebab itulah kadang-kadang bila tengah bersolat, tiba-tiba sahaja kita lupa bilangan rakaat yang telah kita lakukan. Kadang-kadang bila buat kerja, kita keliru dan ingat-ingat lupa. Ubatnya banyakkan ISTIGHFAR (Astaghfirullah). Syaitan Khannas ini akan berlari / bermain dalam darah kita. Ubatnya ialah dengan membanyakkan ZIKIR.....

Sahabat Rasulullah SAW pernah bertanya bagaimana hendak mengelak dari Khannas ini. Pesan Rasulullah SAW, setiap apa yang hendak kita lakukan mulakanlah dengan membaca BASMALAH dan doa, atau sekurang-kurangnya bacalah BASMALAH. Khannas akan berasa kelaparan bila kita berpuasa dan akan menjadi bertambah kurus bila kita makan dengan membaca Basmalah. Bagi yang sudah menjadi Suami Isteri, sebelum 'bersama', bacalah BASMALAH dan doa-doa. Jika tidak, Khannas dan syaitan-syaitan yang lain akan ikut serta 'bersama'. ....

Lihatlah bagaimana syaitan yang tak pernah putus asa mahu memperdayakan anak cucu Adam. Dalam Surah An-Nas juga ada menceritakan hal syaitan bernama Khannas yang sentiasa berusaha membuat kita was-was. Apa-apa pun mulakan apa sahaja aktiviti dengan "BISMILLAHI RAHMANIR RAHIEM!". Wallahu’alam….....

sumber: detikislam.blogspot.com

Wednesday, July 24, 2013

Fadilat Ramadan & Hikmah Berpuasa





PUASA bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam. Setiap detik sepanjang bulan Ramadan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini.
Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Rasulullah S.A.W bersabda yang ertinya : “Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pinta syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu.
Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah. Wahai orang yang mengharapkan kejahatan! Brhentilah, dan (yang ikhlas) kerana Allah dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan”. - (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Hadis ini menerangkan beberapa keistimewaan bulan Ramadan, antaranya akan dibuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang begitu banyak yangdilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini.

Syaitan diikat
Begitu juga akan ditutup semua pintu neraka kerana sedikitnya bilangan maksiat yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Syaitan-syaitan juga akan diikat apabila tiba bulan Ramadan.
Kelebihan bulan Ramadan juga ialah difardukan puasa di dalamnya. Puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala dan puasa juga sebagai penghapus dosa-dosa atas maksiat yang dilakukan.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, bahawaRasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu”. - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara keistimewaan puasa juga, Allah akan menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain di mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah.
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.”
Allah berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ganjaran di akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar, kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat.
Rasulullah bersabda yang ertinya: “Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘al-Rayyan’, masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka.
Diseru: “Mana orang-orang yang berpuasa?” maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun.” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Huzaimah pula disambung lagi. “Sesiapa yang masuk akan minum, dan sesiapa yang telah minum tidak akan dahaga selama-lamanya.”

Antara bekalan yang boleh diperoleh dari ibadat puasa:
Sifat ikhlas
Puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba dan tuhannya.
Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketakwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan batinnya dan kerana mengharapkan pahala dan reda Allah, dia tidak melakukannya.
Itulah sebabnya ibadat ini istimewa dari yang lain. Sifat inilah yang paling berharga dalam kehidupan seorang Muslim kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak membuahkan hasil.

Mujadalah dan kekentalan jiwa
Puasa memaksa kita meninggalkan keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadhan.
Ini mendidik kita untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara yang sememangnya telah diharamkan oleh syariat di luar bulan Ramadhan.

Sabar
Puasa melatih kita supaya bersabar dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luaran sepanjang Ramadan.
Sabar seperti ini amat perlu dalam berhadapan dengan segala kemungkinan dan kehidupan.

Memelihara fizikal
Puasa menyebabkan kita terpaksa memelihara perut, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Prihatin dan belas kasihan
Puasa melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut.
Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikan dalam masyarakat.

Membuka hijab antara diri dengan Allah
Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadan berupaya membersihkan roh dan hati. Dengan itu terbukalah hijab antara hamba dengan tuhannya.

Mengenali erti kejayaan sebenar
Puasa mengajar mukmin erti kejayaan sebenar. Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan oleh Allah adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperoleh dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui tuhannya.

Rasa belas dan lemah lembut
Rasulullah S.A.W mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendaklah dia berkata “Aku berpuasa!.” Seorang mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan.
Bahkan ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri dari perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga.

Memperkukuhkan kesatuan ummah
Orang Islam di seluruh pelosok dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat kebaikan bulan Ramadan dan perasaan ini dikongsi bersama oleh seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa keturunan,warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai wujudnya kesatuan umat adalah perkara ‘dharuriah’ atau yang paling utama yang perlu ada dalam diri setiap mukmin.

Merapatkan hubungan dengan alam
Penentuan Ramadhan dan Syawal, membawa umat Islam memerhati perjalanan bulan dan bintang. Demikian itu melahirkan rasa keagungan kepada Penciptanya.

Menjaga masa
Puasa mengajar seorang Muslim supaya teliti dengan masa dan jadual hidup. Ketika bulan Ramadan, seorang Muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan akan membatalkan puasanya. Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang mukmin agar setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa yang ditetapkan.

Kesihatan tubuh badan
Pakar-pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat-ubatan moden atau tradisi.


Sumber: Artikel ini dipetik dari buku Panduan Puasa Ramadhan susunan Sarip bin Adul, Kulliyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia disiarkan dalam versi digital menerusi portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sunday, July 21, 2013

Puasa melahirkan sifat terpuji




Allah SWT berfirman dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa”.
Puasa adalah satu ibadah yang penting dalam Islam. Melaksanakan ibadah ini boleh menyuburkan kerohanian seseorang serta dapat mendidik hawa nafsu. Puasa mempunyai hikmah yang besar dan matlamatnya adalah menjadikan seseorang itu bertakwa.
Takwa adalah satu kalimah yang merangkumi semua sifat yang terpuji, dilakukan oleh setiap Muslim, sama ada zahir dan batin. Sifat takwa juga berfungsi sebagai penjaga dalam setiap tindak-tanduk seorang Muslim agar tidak melanggar perintah Allah SWT.
Melaksanakan ibadah puasa, dapat mengawal seseorang terjerumus maksiat dan kemungkaran kerana orang yang berpuasa sanggup mengawal tuntutan naluri yang berkehendakkan kepada makanan, minuman dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara tidak berfaedah seperti membuang masa, berdusta, mengumpat, berbual kosong dan lain-lain lagi.
Oleh itu jiwa manusia akan meningkat ketinggian dari alam kehidupan keduniaan kepada alam kehidupan kerohanian. Bagi mencapai matlamat tersebut, Rasulullah SAW menasihati umatnya dalam sebuah hadis bermaksud: “Puasa itu perisai, apabila salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, maka janganlah mengeluarkan kata-kata keji (kotor), jangan menimbulkan suasana tegang. Jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah: sesungguhnya aku sedang berpuasa”.
Selain itu puasa juga boleh memupuk dan menyuburkan lagi sifat amanah dalam diri seseorang kerana dengan berpuasa dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT dalam setiap pekerjaan dilaksanakan.

Amanah adalah salah satu sifat daripada sifat-sifat mulia. Ia sangat penting diamalkan setiap anggota masyarakat tidak kira pemimpin mahupun rakyat, pemimpin organisasi mahupun orang yang dipimpin. Ada antara kita yang tidak begitu jelas dalam memahami pengertian amanah. Mereka beranggapan ia hanya terbatas kepada usaha menjaga harta orang lain yang diletakkan di bawah jagaannya.
 Menurut pandangan Islam amanah ialah mengerjakan semua yang disuruh Allah dengan penuh keikhlasan dan ketaatan serta menjauhi setiap perkara ditegah, sama ada ketika beribadah kepada Allah mahupun bermuamalah dengan masyarakat.
Amanah paling utama diwajibkan ke atas setiap Muslim ialah untuk menunaikan ibadah yang ditaklifkan kepada manusia oleh syarak seperti solat fardu, berpuasa Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji. Sekiranya seseorang itu cuai dalam melaksanakan ibadah yang difardukan ke atasnya, maka individu berkenaan telah mengkhianati amanah dan tanggungjawab diperintahkan oleh Allah SWT.
Begitu juga dengan mata kita, ia adalah amanah Allah kepada hambanya yang dipinjamkan untuk kita manfaatkan kegunaannya dengan sebaik mungkin. Orang yang betul-betul amanah menjaga matanya pasti orang itu tidak akan salah gunakan mata untuk memandang perkara diharamkan.

Kesihatan adalah amanah, akal adalah amanah, kehormatan juga adalah amanah. Begitu jugalah dengan semua anggota badan kita yang lain, kita perlu menjaga dan memeliharanya dengan cara menggunakannya untuk sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat bukannya untuk perkara yang sia-sia dan dilarang syarak.
Sebenarnya kehidupan manusia ini semuanya adalah amanah Allah yang sepatutnya dijaga dengan sebaiknya terhindar dari kebinasaan. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 36 bermaksud: “sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.
Oleh itu, dalam bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita sama-sama membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang keji (mazmumah) dan hiasilah jiwa kita dengan sifat yang terpuji (mahmudah). Seterusnya kita berusaha untuk mengerjakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

sumber: www.harian-metro-online.com

Wednesday, July 17, 2013

Bentuk peribadi Islam melalui tadarus al-Quran

Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran dengan baginda.” (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah – mereka membaca kitab Allah dan bertadarus di antara mereka – melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat, dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya.” (Hadis riwayat Abi Daud).
Menurut Mohd Shamsul Haqqil ‘Azim, penulis kitab Aunul Ma’bud, maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara satu sama lain.

Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan bermanfaat kepada orang lain.
Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan kelebihan yang banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan limpahan rahmat daripada Allah hasil daripada tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang tidak bertadarus.
Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai generasi al-Quran yang unik.

Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran merupakan satu penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai”. (Al-Furqan: 30).
Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan AbdurRahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.
Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam khususnya para pendokong pejuang Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui al-Quran itu sendiri.


sumber: Datuk Harun Taib
www.islamituindah.my

Tuesday, July 16, 2013

11 Amalan Terbaik Sepanjang Ramadhan



Adalah penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita berpegang dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang beriman.

Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan beberapa kitab muktabar yang lain. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.



1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata:

    “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)



2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka

Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata:

    “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)



3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.

Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”



4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda:

    “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    “Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)



5. Bersiwak atau menggosok gigi.

Amir bin Rabi’ah berkata:

    “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)



6. Bermurah hati dan banyak menderma.

Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya:

“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)



7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.

(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.



8. Memberi makan untuk berbuka puasa.

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)



9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

    “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)



10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan

Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:

    “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)



11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.

Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata:

    “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:

    “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.

Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.

Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.



Sumber: albakriah.wordpress.com

Monday, July 15, 2013

Ramadan bulan didik umat Islam berdisiplin, sabar hadapi ujian



RASULULLAH SAW bersabda maksudnya:Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Azza Wajalla berfirman: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa adalah perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar berhadapan sebarang godaan sepanjang Ramadan.
Ramadan dikenali juga sebagai bulan prestasi di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai ibadat kepada Allah.

Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadan diiringi puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal itu dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW.
Ramadan adalah bulan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti dilakukan salafus-salih. Dengan itu kita hendaklah b berusaha supaya tiada waktu berlalu tanpa amal salih sepanjang Ramadan, bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah.


sumber: www.islamituindah.my

Sunday, July 14, 2013

Hayati madrasah tarbiah Ramadan

RAMADAN kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka. (riwayat Muslim).
Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah.
Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).
Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah.
Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.
Justeru, sekolah atau madrasah Ramadan perlulah dihayati dan dipenuhi dengan pelbagai amanah kerja yang diminta oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah. Tanpa pendaftaran atau yuran, bulan tarbiyah dan pendidikan ini menjanjikan kelebihan dan kemenangan kepada hamba-Nya yang bertakwa. Benarlah janji Allah: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. (al-Naba’: 31).
Takwa secara ringkas maksudnya melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Maksud ini dilaksanakan melalui arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum.
Namun lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta riba, berjudi dan sebagainya.
Madrasah Ramadan juga mengajar kita supaya sentiasa melakukan kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, tarawih, tazkirah, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim dan sebagainya hendaklah menjadi agenda kita sehari-harian dalam bulan berkat ini.
Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan. Sabda Rasulullah: Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan dengan keimanan dan mengharap (keampunan), maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Walaupun pelbagai ganjaran yang boleh direbut dalam Ramadan, namun terdapat di kalangan umat Islam di negara kita yang telah mengkurus-keringkan pahala mereka.
Ini akibat daripada salah faham dan kesilapan tradisi dalam melakukan ibadah puasa Ramadan.
Perkara berkaitan salah faham dan kesilapan yang disebutkan dalam rencana ini hanyalah beberapa peringatan kepada kita untuk memastikan ibadat puasa kita diterima sepenuhnya oleh Allah. Kadang-kadang, kita lebih mementingkan perkara-perkara kecil, sedangkan perkara yang lebih besar tidak diberi perhatian.
Pernah zaman khalifah Umar Abdul Azi telah menguatkuasakan solat Terawih sebanyak 36 rakaat dan tiga kali witir.
Apa yang penting adalah amalan tersebut disertai dengan niat yang ikhlas. Dua rakaat yang ikhlas lebih mulia daripada 100 rakaat yang ujub. Pertelingkahan dalam perkara-perkara kecil dan sunat hendaklah dielakkan demi menjaga silaturahim sesama Muslim.
Justeru, sepanjang madrasah Ramadan ini kita hendaklah mengawasi pancaindera dengan melakukan perkara-perkara berikut bagi memenuhi tuntutan sebenar ibadat puasa;
  1. Menjaga lidah daripada bercakap kosong, mengumpat, memburuk-burukkan orang lain dan sebaiknya hendaklah dibasahi dengan berzikir atau bertadarus al-Quran;
  2. Menjaga mata daripada melihat perkara yang diharam dan melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT;
  3. Menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu dan perbualan yang tidak berfaedah dan sebaiknya digunakan untuk mendengar bacaan al-Quran.
  4. Menjaga anggota-anggota tubuh lain seperti perut, kaki, tangan dan sebagainya. Perut semasa bersahur dan berbuka puasa hendaklah diisi dengan makan halal, baik dan mengikut sunnah. Kaki dan tangan hendaklah digunakan untuk berzikir, solat, dan melangkah ke surau atau masjid.
Dengan pengawasan dan amalan baik, insya-Allah Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita sebelum dijemput ke alam barzakh. Alangkah indahnya jika kita berjaya menghabiskan tempoh latihan di madrasah Ramadan ini dengan memperoleh ijazah takwa yang dijanjikan itu.
Beruntunglah kita di dunia dan berbahagialah kita di akhirat. Ingatlah perkhabaran Rasulullah: Orang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya, iaitu kegembiraan apabila berbuka, dan apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. (riwayat al-Bukhari).

sumber: www.harian-metro-online.com

Friday, July 12, 2013

PERASAN TAK ??


PERASAN TAK?...Duit RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila dibawa ke StarHill, MegaMall dan seangkatan dengannya...

PERASAN TAK?...30 minit terasa begitu lama untuk berzikir, tetapi begitu pendek untuk menonton drama2 di televisyen...
...
PERASAN TAK?...Betapa lamanya 2 jam berada di masjid, tetapi betapa cepatnya 2 jam ketika menonton wayang di panggung...

PERASAN TAK?...Susah sungguh merangkai kata untuk dipanjatkan doa ketika solat, tapi betapa mudahnya cari bahan bersembang bila bertemu kawan-kawan...

PERASAN TAK?...Betapa seronoknya mendengar seruan dan teriakan yang berpanjangan waktu perlawanan bola sepak, tapi betapa bosannya bila imam solat terawih bulan Ramadhan lama dan panjang...

PERASAN TAK?...Susah sangat baca Al-Quran 1 juzuk saja, tapi majalah hiburan dan novel best seller 100 halaman pun habis ditelaah...

PERASAN TAK?...Orang berebut depan untuk menonton bola dan konsert, tapi berebut saf paling belakang bila solat Jumaat supaya boleh cepat keluar....

Semoga kita terus munasabah dan perbaiki diri, In Sha Allah
 sumber: Koleksi Kata-Kata Ustaz Azhar Idrus

Wednesday, July 10, 2013

7 Khasiat Kurma yang patut anda tahu

Kurma (Phonex dactylifera) atau Tamar merupakan sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika ia sudah masak atau masih mentah. Ianya dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang mana sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Qur’an sahaja terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah SAW juga sendiri telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan ianya amat sinonim dengan kisah sirah baginda.

“Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Disana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan“ Al-Mukminah ayat 19

“Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’, dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu“. Sabda Rasulullah SAW

Manakala sudut sains pula mengatakan, kandungan protein di dalam kurma adalah lebih kurang 2.5%, serat 8.0% manakala kandungan gulanya pula adalah sangat tinggi, yakni sehingga 63%, majoritinya adalah glukosa. Lemak yang terkandung di dalamnya pula adalah sangat sedikit iaitu sekitar 0.4% sahaja. Kurma juga terkenal dalam dunia perubatan tradisional memandangkan ia juga kaya denga zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A, C dan niasin.

Apakah antara khasiat utama kurma?

1) Paling cepat diproses dan diserap, sekaligus memberikan tenaga segera

Memandangkan kandungan gula ringkasnya (monosaccharide) yang sangat tinggi malah lebih tinggi dari pisang, kurma berupaya memberikan “tenaga segera” yang akan diserap oleh tubuh serta-merta. Berbeza dengan kebanyakan buah-buahan lain yang mengadungi sukrosa (disaccharide). Disaccharide seperti sukrosa harus dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi monosaccharide lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terdapat kurma, maka Baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air“ Hadis riwayat Ahmad

Makan kurma ketika berbuka puasa amat bagus kerana pada waktu ini, kita perlukan tenaga segera, dan bukannya tenaga yang “lambat untuk dicerna” seperti yang terkandung dalam kebanyakkan makanan berlemak dan bergoreng yang lain.

2)  Kaya dengan serat dan potassium

Kurma dimakan tanpa perlu membuang kulitnya dan pada kulitnya itulah terkandung serat. Kurma adalah antara buah-buahan yang amat kaya dengan serat, serat larut mahupun tak larut. Kita sering menganggap buah-buahan seperti pisang itu mengandungi serat yang tinggi, tetapi tahukah anda, dalam 100g Kurma terdapat 8g serat sedangkan dalam 100g Pisang hanya terdapat 2.6g serat sahaja? Tinggi serat amat baik untuk sistem pelawasan.

Selain itu kurma kaya dengan Potassium dan beberapa zat galian yang lain. Potassium adalah elektrolit yang akan menyeimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh badan apabila kita kehilangannya, terutama sepanjang tempoh berpuasa. Tidak perlu membeli 100 Plus sekiranya khuatir akan kekurangan elektrolit ketika berbuka, memadai dengan beberapa biji kurma dan air suam. Potassium juga membantu dalam pembinaan otot termasuk otot jantung dan mampu memelihara sistem saraf.

3)  Penguat memori
Ramai yang berfikiran hanya kismis yang baik untuk menguatkan daya ingatan, namun hakikatnya kurma juga tidak kurang hebatnya. Ianya amat sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

4) Baik untuk wanita mengandung/bersalin
Masih ingat kisah Maryam yang hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS? Menerusi malaikat Jibrail, Allah telah mewahyukan kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya menggegar pohon kurma sehingga gugur lantas memakannya tatkala lemah selepas bersalin.
“Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak,”Surah Maryam, ayat 25

Dan menurut sebuah laman web, buah kurma amat baik untuk wanita mengandung dan akan memudahkan wanita untuk melahirkan anak dan akan mengurangkan pengaliran darah semasa proses kelahiran. Malah anak yang dilahirkan kelak dipercayai akan mempunyai sifat-sifat yang baik, penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya (Sabda Rasulullah).

5) Penawar Racun
Diriwayat oleh Aishah r.a., “Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan.”

6) Merawat penyakit
Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus seperti serbuk teh. Ianya direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

7) Mengubati gangguan usus dan sembelit
Ketidakserasian dengan gluten menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Kurma mencegah ini dari berlaku.

Sumber : penpatah.blogspot.com

Template by:
Free Blog Templates