Friday, August 2, 2013

ZAKAT FITRAH MENYUCIKAN JIWA


Marilah kita bersyukur kepada Allah SWT yang telah mempertemukan kita
di rumah-Nya yang mulia ini iaitu masjid, pada hari Jumaat yang mulia ini dan
pada bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Semoga
dengan kehadiran bulan yang mulia ini, kita dapat berusaha untuk meraih
rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka Allah SWT. Di
samping itu kita merebut peluang untuk beramal ibadah seperti berpuasa,
membaca Al-Quran, solat tarawih, berzikir, menghadiri Majlis Ilmu dan pelbagai
lagi ibadah yang tersedia pada bulan Ramadhan.

Antara amalan yang wajib dilakukan oleh umat Islam setiap kali tibanya
bulan Ramadhan ialah menunaikan Zakat Fitrah.
“Rasulullah s.a.w. menfardhukan Zakat Fitrah satu gantang kurma, atau
satu gantang gandum ke atas hamba atau orang merdeka, lelaki atau wanita,
kanak-kanak atau dewasa dari kalangan orang Islam. Dan Nabi memerintahkan
agar ia ditunaikan sebelum orang ramai keluar untuk melakukan solat (Hari
Raya)".(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Zakat Fitrah adalah satu ibadah wajib yang mesti dilakukan oleh setiap
orang Islam sama ada lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa. Ia
adalah perintah wajib dari Allah dan rasul-Nya yang mesti dipatuhi, dan sesiapa
yang mengengkarinya boleh membawa kepada kekufuran.

Zakat Fitrah mempunyai hikmah dan fadhilat yang amat besar kepada
umat Islam. Ia adalah suatu rahmat yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai
tanda kasih dan sayang-Nya terhadap hamba-hamba yang beriman dengan
agama yang diturunkan-Nya iaitu Islam.


“Rasulullah s.a.w. mewajibkan Zakat Fitrah sebagai penyuci bagi orang
yang berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan kata-kata keji, serta sebagai pemberian makanan bagi orang-orang miskin”. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a



1.  Zakat Fitrah membersihkan hati dan jiwa orang Islam daripada
dosa dan perbuatan keji.

2.  Zakat Fitrah juga akan menyuburkan perasaan kasih sayang
dan tali persaudaraan sesama Muslim.

Bayangkan, betapa mulianya hati orang yang mengeluarkan Zakat Fitrah
kerana sanggup mengeluarkan sebahagian daripada hartanya kepada orang
fakir dan miskin semata-mata untuk mengharapkan keredhaan dan keampunan
Allah SWT. Dengan zakat itu juga, ia beroleh pahala yang berlipat kali ganda.

Bayangkan pula, betapa gembiranya orang-orang fakir dan miskin, kerana
ia dapat membeli pakaian, makanan dan keperluan untuk menyambut 'Idul-Fitri
dengan sumbangan Zakat Fitrah yang ditunaikan oleh saudara Islamnya yang
lain.

Inilah sifat mulia yang diajar oleh Islam kepada umatnya. Mereka adalah
umat yang saling bersatu-padu dan bekerjasama dalam apa jua keadaan, sama
ada susah mahupun senang.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Perumpamaan orang-orang beriman dalam kecintaan, kelembutan dan
kasih sayang di antara mereka ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota sakit,
maka seluruh anggota turut merasakannya dengan tetap berjaga dan demam.”
(Riwayat Muslim)


sumber: masjidjameksabakbernam.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates