SOLAT adalah acuan terbaik bagi membentuk peribadi mulia kerana ia
ibadat paling disukai Allah selain menjadi tiang agama Islam. Solat yang
khusyuk menunjukkan kerendahan jiwa yang maksimum di depan Allah.
Bermula dengan berada pada kedudukan yang tinggi ketika berdiri,
disudahi dengan kerendahan dan kehinaan ketika berada pada penghujung
solat dengan keadaan duduk merendahkan diri di hadapan Allah.
Solat membawa pengertian doa terkandung dalamnya zikir dan tasbih
memuji kebesaran Allah. Antara zikir paling utama dalam solat ialah
tahiyyat yang dibaca dua kali pada rakaat kedua dan terakhir, penuh
kepujian terhadap Allah dan Rasul-Nya serta penghormatan kepada hamba
yang salih.
Ada berpendapat ia dialog ketika Baginda SAW naik ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj.
Sahabat bernama Anas Masud berkata: “Ketika kami bersama Baginda SAW
dalam solat, kami menyebut: Assalamu A’lallah (Selamat kepada Allah)
lalu diubah Baginda dengan sabdanya: Jangan kamu menyebut Assalam kerana
Allah adalah Assalam. Sebutlah Attahiyyatu Lillah, Wassalawat,
Wattayyibat (Kesejahteraan, selawat serta kebaikan buat Allah dan
Rasul-Nya) hingga akhirnya. Jika kamu menyebut semua perkataan ini, ia
ditujukan kepada semua hamba yang salih di langit dan mereka yang berada
di antaranya lalu Allah berbangga dengan kata-kata ini dan
memperkenankan doamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika pembesar berasa gembira jika ada yang masuk menghadap dengan
penuh hormat dan protokol ditetapkan, maka Allah adalah lebih gembira
dan berbangga. Tahiyyat adalah protokol dan penghormatan ketika
menghadap Allah dalam solat yang menyatakan ucapan kebesaran dan
pengharapan hanya layak dipohon kepada-Nya.
Makna khusus bagi tahiyyat ialah kesempurnaan dan kebesaran hanyalah
untuk Allah. Salawat ialah sifat rendah diri dan harapan seorang hamba
yang boleh disandarkan hanya kepada Allah, rasul dan orang beriman.
Lafaz ‘tayyibat’ dalam tahiyyat ialah amalan suci dari Allah dan
hamba yang salih kerana kesucian dan kebaikan adalah dari sifat Allah
seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersifat
dengan kebaikan dan kesucian. Dia hanya menerima dari amalan yang baik
dan suci saja.” (Hadis riwayat Muslim)
Firman Allah bermaksud: “Kepada-Nya diangkat segala kebaikan dan kata-kata yang baik.” (Surah Fatir, ayat 10)
Selepas kepujian untuk Allah, maka diarahkan pula puji-pujian kepada
Baginda Nabi SAW dengan ucapan yang bermaksud Allah yang memelihara dan
memimpin Nabi SAW. Kemudian diucapkan tahiyyat dan salam buat diri
sendiri, jemaah solat serta sekalian malaikat.
Ada pendapat mengatakan lafaz ini ditujukan kepada seluruh umat
Muhammad SAW. Hamba salih yang dimaksudkan adalah dari manusia dan jin
serta malaikat sama ada yang hidup atau sudah mati.
Kemudian disudahi dengan kalimah tauhid yang dibawa semua nabi dan
rasul khususnya Baginda selaku penutup segala nabi dan rasul, manusia
biasa yang dipilih oleh Allah, ditambah dengan selawat untuk Nabi
Ibrahim.
Sahabat pernah bertanya kepada Baginda SAW: “Wahai Rasulullah,
bagaimanakah caranya untuk kami berselawat kepadamu? Jawab Baginda SAW
yang maksudnya: Salam sejahtera kepada Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim dan
seluruh keluarganya.” (Hadis riwayat Muslim)
Selepas mengucapkan selawat, maka kita dianjurkan untuk berdoa
mengikut keperluan masing-masing. Diriwayatkan Ibnu Masud, Rasul SAW
menyuruh berdoa dengan mengikut pilihan masing-masing.
Hadis sahih dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Apabila
kamu selesai tahiyyat maka mohonlah perlindungan daripada empat perkara
iaitu azab kubur, azab neraka, ujian ketika hidup dan selepas mati,
serta Dajjal.”
Demikianlah diajarkan Baginda SAW kepada sahabat sehingga mereka menjadi generasi terpilih di sisi Allah.
Solat membentuk disiplin tinggi dan sikap yang baik dalam kehidupan.
Ucapan dalam solat mengajar manusia menuturkan ucapan baik serta
menghormati orang lain dan solat juga mengajar manusia mengikuti
peraturan ditetapkan.
Solat menjadikan manusia sentiasa merendah diri terhadap sesama
makhluk, membina masyarakat cemerlang sementara mengikut imam dalam
solat mengajar manusia mentaati pemimpin yang baik.
0 comments:
Post a Comment