ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki
mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan
sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan
sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan
kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).
Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya
kepada yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah
saja dapat mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada
keimanan, kemaksiatan kepada ketakwaan, kezaliman kepada keadilan,
kegelapan kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan
jiwa.
Hidayah itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia
untuk mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan
akhirat. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memohon hidayah
petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar.
Lebih-lebih lagi perjalanan hidup berliku yang ditempuhi setiap insan
menuntut ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi supaya dia berjaya
dalam hidup. Oleh itu, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon
petunjuk daripada Allah.
Hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah sebenarnya tidak boleh
diukur berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia
bergantung kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa.
Dalam erti kata lain, Allah mengurniakan hidayah kepada hamba yang
beriman dan bertakwa.
Hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah atau
kekeluargaan. Seseorang yang taat dan hidup bahagia dengan hidayah
Allah, tidak semestinya anaknya juga begitu. Contohnya, Nabi Nuh dan
anaknya serta Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya, Abu Lahab.
Ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi anaknya
seorang yang salih dan patuh ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi
Ibrahim dengan ayahnya, pengukir patung berhala.
Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka orang yang selalu
melakukan kejahatan tidak akan mendapat hidayah Allah kerana hanya Allah
yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa dikehendaki-Nya.
Nabi dan rasul, tugasnya menyampaikan kerana tidak ada siapa yang dapat memberi petunjuk melainkan Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kamu diwajibkan (wahai
Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana
kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah juga yang
memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa juga
harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan
pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah
mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa
juga yang kamu dermakan dari harta yang halal akan disempurnakan
(balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula)
tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)
Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim ada
menyebut sebab turunnya ayat kerana ada beberapa orang Islam yang
bersedekah kepada fakir miskin penduduk Madinah, kemudian setelah ramai
bilangan yang masuk Islam, maka Rasulullah SAW menegah memberi sedekah
kepada orang musyrikin.
Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut Islam kerana
Rasulullah SAW sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu
turunlah firman Allah yang memerintahkan Baginda supaya terus memberikan
sedekah kepada mereka.
Biarpun hidayah menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam dituntut
untuk menyampaikan dakwah Islam kepada bukan Islam supaya beriman
kepada Allah.
Dakwah yang baik dan berkesan hendaklah berpaksikan kepada tiga
kaedah iaitu berdakwah secara hikmah atau bijaksana, memberi pengajaran
atau contoh teladan baik dan bertukar fikiran atau berdialog dengan cara
lebih baik.
Oleh itu, setiap Muslim perlu mempergiatkan usaha untuk berdakwah dan
bersabar dalam menjalankan usaha dakwah Islamiah kepada bukan Islam
supaya ia mencapai matlamat yang disasarkan iaitu keadilan Islam,
keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam hidup.
Hidayah dan petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah
dan jalan diterokai orang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka
untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.
sumber : myibrah.com
0 comments:
Post a Comment