1.Akidah yang sejahtera
Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT semestinya manusia memerlukan suatu
dasar dan peraturan hidup yang akan membentuk disiplin, kemantapan iman
serta ketaqwaan seseorang bagi memandunya menuju keredhaan Allah SWT.
Berpaksikan fakta ini, tentunya akidah Islamiyah sahaja yang memiliki
kemampuan demikian dan membuatkan manusia mempunyai ikatan yang kuat
dengan Allah SWT. Islam sebagai ad-Din atau cara hidup memiliki
peraturan dan pegangan yang mampu membangunkan sistem kehidupan manusia
kepada suatu ketamadunan yang tinggi.
Sejarah membuktikan, dengan keunggulan ajaran dan aqidah Islam telah
membentuk tamadun yang hebat suatu ketika dahulu. Hal ini kerana,
potensi semula jadi manusia jika dimantapkan dengan bekalan ilmu yang
dimiliki, mampu dikembangkan dengan baik sekiranya berteraskan akidah
kepada Allah SWT. Sebaliknya, krisis nilai akan berlaku apabila
pemikiran dan pegangan manusia dibangunkan dengan keruntuhan akhlak dan
tidak berpaksikan kepada peraturan serta disiplin berteraskan akidah
Islam.
Keruntuhan tamadun akan berlaku apabila manusia tidak berpegang
sepenuhnya kepada Islam sebagai ad-Din. Akidah, syariat dan akhlak
adalah saling berkait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan.
Jika diumpamakan seperti sebatang pokok, akidah sebagai akar umbi,
syariat merupakan dahannya dan akhlak adalah sebagai buahnya.
Natijah daripada memiliki akidah yang sejahtera akhirnya akan berjaya
membentuk manusia yang benar-benar hidup sebagai seorang Muslim sejati.
2.Bermanfaat untuk orang lain
“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya
daripada kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada
kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan
Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan
kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa
kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(an-Nur:22)
Nukilan melalui maksud firman Allah ini amat bertepatan dengan
fenomena sosial semasa yang menuntut setiap individu Muslim untuk
berfikir lebih jauh terutamanya yang melibatkan generasi muda. Setiap
Muslim perlu sentiasa meletakkan diri untuk memberi perkhidmatan yang
dapat dimanfaatkan oleh agama, bangsa dan negara. Pemikiran sebegini
amat penting supaya terbina individu yang berkualiti, keluarga yang
bahagia seterusnya terbentuk masyarakat yang sedar dan peka dalam
segenap aspek kehidupan.
Memberi manfaat bererti kebaikan menjalar kepada orang lain melalui
pelbagai cara yang berlandaskan syariat. Sekiranya setiap Muslim
menggunakan segala kemampuan yang dipinjamkan oleh Allah untuknya, sudah
pasti mereka akan menjadi umpama pokok yang rimbun dan berbuah lebat.
Tidak dinafikan, pengislahan itu bukan senang dan nilainya bukan
calang-calang. Dengan hambatan-hambatan yang ada dalam proses pembinaan
insan, ia mampu melemahkan kekuatan diri untuk terus memanfaatkan diri
sendiri kepada ummah. Namun, jika semua Muslim berpegang dan berperanan
dalam segenap ruang lingkup kehidupan, nescaya negara yang disebut
sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur (negara yang baik dan
mendapat keampunan Allah SWT), tidak mustahil dapat dikecapi.
Hakikatnya, sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling bermanfaat
kepada manusia yang lain.
Maka, beruntunglah diri mereka yang sentiasa bermanfaat.3.Ibadah yang benar
Tuntaskan ibadah yang merupakan kewajipan kita sebagai hamba-Nya di
muka bumi ini kerana ia adalah ‘tiket’ untuk kita ke syurga. Ibadah yang
benar-benar terbaik adalah ibadah yang dilakukan semata-mata bagi
mendapat keredhaan Allah SWT dengan berbekalkan pemahaman serta
penghayatan yang tinggi.
Allah telah menukilkan dalam surah al-Dzariyat ayat 56 melalui
firman-Nya yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
Ayat
ini jelas mengingatkan kita, ibadah itu merupakan tanggungjawab manusia
kepada Allah SWT sebagai Pencipta manusia dan sekalian alam. Ia perlu
dihayati dan difahami secara benar dan tidak menyimpang kepada
unsur-unsur yang menyesatkan.
Melalui ibadah, akan melahirkan hati-hati yang patuh dan tunduk serta
kecintaan yang tinggi kepada Allah SWT. Ini kerana skop ibadah amat
luas. Semua perkara yang diizinkan oleh Allah itu adalah ibadah. Ia
merangkumi segenap aspek kehidupan yang mana akhirnya akan mewujudkan
insan yang menjalani kehidupan untuk memperoleh keredhaan Allah SWT
semata-mata.
Kita dikurniakan matahari dan bulan yang sama. Mengharungi jumlah
pusingan jam dan hari yang sama. Tetapi mengapa ada orang yang dapat
melakukan suatu pekerjaan yang hebat dan ada pula yang sentiasa mengeluh
tidak punya cukup waktu untuk menyelesaikan urusannya. Hakikatnya,
tiada manusia yang punya cukup masa melainkan mereka yang bijak mengurus
masa. Masa bukanlah emas atau pedang, tetapi masa adalah kehidupan.
Allah telah mengingatkan kita dalam nukilan firman-Nya yang bermaksud,
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang
beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan
kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (al-Asr:1-3)
Firman Allah ini jelas membuktikan kebijaksanaan dalam mengurus masa
mampu memberi kesan yang terbaik dalam kehidupan manusia. Tidak ada
gantinya bagi masa yang telah berlalu kerana masa yang akan datang
adalah masa yang berlainan. Sesungguhnya kita telah menzalimi diri
sendiri apabila membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa
dimanfaatkan. Dalam sehari, mari kita hitung bagaimana 24 jam itu
dibahagikan? · Bilakah masa beribadah kepada Allah? ·
Bilakah masa bersama keluarga? · Bilakah masa bekerja? ·
Bilakah masa bersama masyarakat? · Bilakah masa belajar? ·
Bilakah masa makan? · Bilakah masa berehat?
Akhirnya, apakah jawapan yang kita peroleh? Alangkah ruginya jika
sepanjang 24 jam itu hanya dihabiskan untuk berehat dan bersenang-lenang
semata-mata. Adakah berbaloi rehat yang kita ambil tanpa melakukan
sebarang kemanfaatan? Oksigen yang Allah berikan secara percuma tanpa
perlu bayar walau satu sen pun ini, bukanlah untuk disedut begitu
sahaja. Allah pinjamkan bekalan oksigen supaya kita dapat hidup dengan
sejahtera dan melangsaikan segala amanah yang telah kita janjikan dengan
sebaiknya.
Hakikatnya, musuh yang paling utama dalam pengurusan masa adalah
tabiat suka bertangguh. Sebagaimana kata Ibnu Umar, “Jika engkau berada
di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila berada
pada waktu pagi janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah dari sihat
engkau bagi sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau.”
5.Akhlak yang mantap
Akhlak atau tingkah laku, perangai, tabiat, dan adat kebiasaan
merupakan sifat, perbuatan atau tindakan yang dizahirkan dengan mudah
tanpa perlu dipaksa. Ia bertapak utuh di dalam diri dan menjadi cerminan
manusia dalam menilai baik buruk suatu perbuatan atau amalan.
Sedarkah kita, akhlak akan mempengaruhi penentuan kedudukan timbangan
amalan seseorang di akhirat kelak? Ini berdasarkan sabda Rasulullah
SAW, “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amalan seorang
hamba pada hari kiamat berbanding akhlak yang baik. Dan sesungguhnya
Allah murka kepada orang yang berkelakuan buruk dan bermulut celupar.”
(Riwayat At-Tirmidzi)
Akhlak melambangkan imej seorang Muslim yang sebenar dan seterusnya
dapat memperkasakan keindahan Islam. Menurut Imam al-Ghazali, akhlak
yang mulia itu merangkumi empat perkara iaitu, bijaksana, memelihara
diri dari sesuatu yang tidak baik, keberanian(menundukkan kekuatan hawa
nafsu) dan bersifat adil. Ia jelas merangkumi segala sifat baik dalam
kehidupan kita umpamanya hidup bersilaturrahim, mempertahankan agama
dengan berani, berbakti kepada keluarga dan negara, senantiasa
bersyukur, sabar, redha dengan ujian, jujur, bercakap benar, dan
sebagainya.
Secara tuntasnya, marilah kita sama-sama bermuhasabah, harta yang
paling menguntungkan adalah SABAR. Maka, berapa banyakkah sabar yang
kita miliki? Teman yang paling akrab adalah AMAL. Maka, akrabkah kita
dengan amal? Pengawal peribadi yang paling waspada adalah DIAM. Maka,
sejauh manakah peribadi kita dikawal? Bahasa yang paling manis adalah
SENYUM. Maka, maniskah bahasa kita? Ibadah yang paling indah tentunya
KHUSYUK. Maka, setinggi mana keindahan ibadah kita? Adakah kita selama
ini menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang benar-benar
beruntung?
Sumber:
Majalah Dian, isu 1. .Tarikh : Mac 26, 2012 - 4:05pm Editor : mdyusof
0 comments:
Post a Comment