Thursday, March 29, 2012

Mimpi Dan Impian Untuk Berjaya

Penghujung tahun adalah musim peperiksaan. Dalam bidang akademik, para pelajar sekolah dan universiti selalunya sibuk menelaah pelajaran masing-masing. Mereka yang belajar secara konsisten akan melalui masa ulang kaji dengan bersahaja.
Sebaliknya, mereka yang baru membuka buku pada saat-saat akhir akan mengalami huru hara perasaan. Tidak tahu buku apa yang hendak digagau dahulu, bab mana yang hendak dibelek dan fakta mana yang perlu difahami. Kismis pandai yang dikunyah dan air penerang hati yang digogok tidak akan membantu mereka yang mengulangkaji pada waktu kecederaan kecuali hanya mengembungkan perut semata-mata.
Dalam sektor pekerjaan juga, penghujung tahun adalah waktu ketua dan majikan menilai prestasi pekerja masing-masing. Maka staf yang sentiasa menepati waktu, menyiapkan kerja dan amanah tidak perlu berlakon rajin. Malah, mereka tidak peduli pun apa yang sedang dinilai oleh bos mereka. Baik atau buruk penilaian itu tidak akan menjejaskan minat mereka yang berprestasi tinggi untuk terus bekerja seperti biasa.
Berbeza dengan para pekerja yang malas dan culas. Apabila tiba musim penilaian prestasi, dia akan datang awal dan tidak tercongok di depan mesin perakam waktu bila masa pulang sudah menjelang. Dia akan ceria di sepanjang hari, buat-buat sibuk, sedangkan dia hanya menyibuk. Yang penting, keramahannya sebenarnya adalah sebuah drama untuk tatapan bosnya agar dia disenangi dan diingati. Mudah-mudahan (sememangnya dia mengambil jalan mudah) bosnya akan jadi pemurah untuk memberinya kenaikan gaji dan pangkat.
Begitulah bezanya di antara mereka yang hanya bermimpi dan mereka yang mempunyai impian. Yang bermimpi hanya memasang angan-angan. Jika dia calon SPM, bayangannya adalah keputusan 10A1 buat dirinya terpampang di papan kenyataan sekolah. Jika dia siswa, khayalannya ialah keputusan GPA 4.0 yang tentu sekali bersama Anugerah Dekan. Malangnya, oleh kerana ia bayangan dan khayalan, mimpi mereka akan bertukar menjadi igauan apabila keputusan diperolehi dan realiti menjengah di depan matanya.
Untuk yang berimpian pula, kerajinan sudah menjadi resminya, kesungguhan itulah karakternya dan kecemerlangan adalah tabiatnya. Dia manusia realistik kerana kejayaannya dibina, bukannya dikejar. Oleh kerana kejayaannya dibina, ia kukuh berpijak di bumi nyata. Jika dia mengejar kejayaan, kejayaan itu sendiri akan semakin jauh seperti pelangi yang tidak mungkin digapai.
Kejayaan Dicipta, Bukan Nasib
Lihatlah mereka yang sebenar-benarnya berjaya. Kejayaan mereka dicipta. Ia bukannya nasib. Dari segi zahir, kejayaan yang diperoleh tampak begitu senang dan mudah. Padahal, segala derita sengsara, duka nestapa dan peluh bersama air mata darah telahpun dihadapi dengan sabar, reda dan pasrah.
Senyuman Siti Nurhaliza sambil bernyanyi dengan suara yang lantang tampak begitu bersahaja. Tidak kelihatan urat timbul di lehernya, kerut dahinya, cemik wajahnya kerana pasti dia sudah melalui latihan demi latihan secara konsisten. Kita tidak tahu pantang makan minumnya untuk menjaga suara, cukup atau tidak tidurnya demi menjaga stamina, rasa kecewanya kerana tidak dapat mengingat lirik lagu-lagu terbaru untuk malam persembahan. Namun, apa yang terpamer ketika persembahan ialah kerehatan di wajahnya.
Sengih tokoh politik yang menjawab dengan tenang bila berdepan dengan soalan-soalan nakal wartawan, atau amaran dari ahli-ahli akar umbi partinya, mahupun jerkah seorang wakil orang kampung di dalam majlis dialog adalah hasil daripada latihannya untuk memahami kerenah manusia. Mana kita tahu betapa hatinya sesak menelan dengan segala umpat dan fitnah, tidur-tidur ayamnya memikirkan masalah yang diperjuangkan dan keluhannya bila membuat keputusan yang tidak popular?
Tokoh korporat, panglima tentera, doktor, peguam, akauntan, jurutera, arkitek, profesor, pentadbir, aktivis NGO, guru, malah kerani yang berjaya biasanya mempamerkan peribadi yang tenang dan menyenangkan mereka yang berurusan dengan mereka. Tiada nampak kesukaran di wajah mereka. Yang paling ketara, orang-orang yang berjaya kerana membina kejayaan biasanya akan mempunyai masa untuk kita. Seolah-olah dirinya tidak sibuk dengan urusan lain kecuali melayani kita sahaja.
Kerana itu, kejayaan seseorang mahupun organisasi tidak boleh ditiru begitu-begitu sahaja. Jika kejayaan ditiru, ia tidak akan kekal lama. Tidak kiralah sama ada kejayaan menguruskan badan seperti duta makanan diet, menjadi pelakon popular, pemain bolasepak terkenal ataupun seorang novelis prolifik. Oleh kerana ia hanya tiruan, kejayaan yang diperoleh biasanya hanya sekejap. Puncaknya hanya dapat disentuh seketika sahaja hari ini. Pada hari esoknya, dia akan menggelongsor ke tempat asal.
Menjejaki Daya, Bukan Meniru Gaya
Yang penting untuk berjaya ialah menjejaki daya mereka yang berjaya, bukannya meniru gaya mereka yang telah berjaya. Akibat hanya meniru gaya, kita hanya memperoleh kulit kejayaan. Sebaliknya bila kita meniru daya orang yang berjaya, kita akan memperoleh isi kejayaan itu sendiri.
Malang sekali, apabila kita lihat seseorang individu itu berjaya menjadi penyanyi misalnya, maka berduyun-duyunlah mereka yang ingin menirunya. Atau apabila terdapat sebuah syarikat berjaya memasarkan sesebuah produk dengan pendapatan berjuta ringgit, akan muncullah syarikat-syarikat yang menggunakan formula yang sama. Banyak syarikat begitu yang tumbuh seperti cendawan. Padahal, apa yang tumbuh seperti cendawan akan cepat mati seperti cendawan juga!
Pendek kata, mana ada jalan pintas untuk berjaya? Malah, jika kita gunakan segala pengaruh, kuasa dan wang untuk memasuki lebuh raya kejayaan, ia pasti dihalangi dengan pelbagai tol kerenah yang bukan-bukan sebagai imbuhan.
Justeru itu, janganlah bermimpi untuk berjaya. Sebaliknya kita mesti memasang impian. Ini adalah kerana, mimpi dan impian adalah dua mode minda yang berbeza!

sumber: maafcakap.blogspot.com



0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates