Tuesday, June 28, 2011

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.

Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).







Tuesday, June 21, 2011

ASAL USUL SOLAT




SUBUH:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama
:- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua:-
Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.

ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s.,iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.

Rakaat pertama
:- Bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua
:-
Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga
:-
Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat keempat
:- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.


ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s.,tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama
:-
Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua
:-
Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga
:-
Kelam dengan malam.
Rakaat keempat
:-
Kelam dengan perut ikan Nun.

MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s.,tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:

Rakaat pertama
:-
Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua
:-
Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga
:-
Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.

ISYAK:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir.Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama
:-
Dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua
:-
Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga
:-
Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat
:-
Dukacita terhadap anak Firaun.








Wednesday, June 15, 2011

SOLAT KHUSYU’


“Solat yg khusyu’ itu adalah apabila anda merasa manisnya sujud itu lebih enak dari tidur. Ingatlah ALLAH tidak menerima solat kecuali kita menghadhirkan hati kita kepadaNYA dalam solat yg khusyu’”

Rasa malu dengan ALLAH, rasa kesal, rasa takut, rasa gelisah….semua bercampur-baur mengenangkan kualiti solat yg telah dilakukan selama ini. “Jangan cari khusyu’ tetapi carilah ALLAH, anda akan menemui khusyu’ itu. ALLAH berada sangat hampir dengan kita. Kita saja yg menjauhkan diri dariNYA. Pada saat anda merasa DIA ada, di situlah datangnya khusyu’. ”

Sekadar untuk berkongsi beberapa kesimpulan dengan anda pembaca setia blog ini. Ibadah yang tertinggi adalah solat. Ia penentu kualiti hidup seorang Muslim. Solat itu sangat susah untuk dilakukan kecuali bagi orang2 yang khusyu’ hatinya dan sabar sifatnya. Tidak munafikkah kita setiap kali solat menyebut “Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit Dan bumi. Dengan suasana lurus Dan berserah diri Dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk ALLAH TUHAN sekelian alam..” sedangkan fikiran melayang kepada yang lain. Air wudhu’ adalah hydrotherapi yang mujarab menyegarkan sel2 otak apabila kepala disiram sebagaimana pokok yang layu menerima air. Rasa dingin air di kepala yang keletihan punya kesan yang menakjubkan yang hanya diberikan kepada orang Islam. Mengangkat tangan dalam takbir tanda penyerahan total kepada ALLAH sambil mata tunduk ke bawah tanda pengakuan yang hamba ALLAH ini sedia menerima apa saja arahan dari Penciptanya. Setiap nadi dan sel setia bertasbih kepada ALLAH. Dalam solat khusyu jiwa kembali mengikut fitrah sebenarnya iaitu sama-sama bertasbih kepada ALLAH. Waktu ini roh dan jasad dalam keadaan sama rentak sama irama bertasbih kepada Pencipta Yang Maha Hebat. Kerana kasihnya ALLAH kepada ummat Muhammad saw. kita diberikan surah Al-Fatihah yang tidak diberikan kepada ummat yg. lain untuk dibaca setiap rakaat. Setiap ayat yang dibaca dijawab sendiri oleh ALLAH. Bagaimana mungkin kita sanggup menyia-nyiakan anugerah sebesar ini kecuali mereka yang tidak merasa manisnya solat. Setiap permulaan gerakan solat dilakukan toma’ninah sebagai persiapan untuk mempersembahkan sebutan yang terbaik dan sempurna sebagaimana layaknya ucapan hamba kepada Khaliqnya, tidak tergopoh gapah tidak terburu-buru mengejar urusan dunia. Saat ruku’, otak, paru-paru, jantung dan perut dalam kedudukan sejajar. Hati yang bersih membawa fikiran yang bersih ke otak. Ia dibantu oleh jantung yang mengepam darah beroksigen ke badan dan otak dan mengambil darah yang sudah digunakan bagi mengeluarkan karbon dioksida melalui paru-paru. Pengepaman darah membantu menolak kekotoran salurnya. Sistem saraf tunjang dalam keadaan sempurna menghubungkan impuls dari anggota badan kepada sistem otak. Waktu itu kita ucapkan,”Maha suci tuhanku Yang Maha Agung….” dengan rasa ta’jub atas ciptaan ALLAH yang tidak lalai walau sesaatpun mengatur alam dari pergarakan zarah yang sangat halus sehingga ciptaanNya yang besar di angkasa raya. Pandangan mata yang lemah ini tidak dapat melihat semua itu, tetapi kita punya mata hati untuk memerhatikannya tanpa had. Ucapan itu disebut perlahan-lahan supaya hati dapat merasa getaran makna ucapan itu. Rasulullah saw solat dengan menyempurnakan setiap gerakan solat sehingga para sahabat yang menjadi makmum dibelakang pernah menyangka Rasulullah saw terlupa untuk bangun dari rukuk dan sujud dan untuk sujud apabila berdiri kerana masa yang lama baginda gunakan untuk setiap satunya. Baginda menjawab rasa hairan sahabatnya dengan berkata,”Bagaimana aku mahu sujud sedangkan aku belum sempurna mempersiapkan diriku untuk sujud kepada Tuhanku. Bagaimana aku mahu bangun sedangkan aku belum sempurna sujud kepada Tuhanku.” Waktu sujud otak yang biasa berada paling atas turun berada di tempat paling bawah bagi melatih rasa zuhud dengan membuang segala perasaan hebat diri yang merosakkan nilai seorang hamba. Seluruh jiwa dan raga diserahkan sepenuhnya kepada Pencipta Yang Maha Tinggi. Pada saat itu kita merayu untuk diiktiraf sebagai hamba yang amat memerlukan Tuhannya. Kita tidak punya apa-apa upaya tanpa bantuan dan kasih sayangNya. Sewaktu duduk antara sujud, Allah dengan sifatNya yang penuh dengan rahmah menyuruh kita meminta apa saja dan Rasullullah mengajarkan doa, ” Ya Allah, ampunilah daku…Rahmatilah daku….kayakan daku… angkatlah darjatku di sisiMu…berikan aku rezeki… .berilah aku hidayah. Sihatkanlah daku Dan Maafkanlah akan daku.” Ia dibaca dengan tenang, satu-persatu, penuh harapan dan yakin bahawa Allah sedang mendengar doa kita. Gerakan yang betul dalam solat boleh menyembuhkan penyakit termasuk penyakit kronik namun itu bukanlah matlamat solat. Solat untuk medekatkan diri pada Allah dan sebagai bonus untuk jasad kita diberikan ganjaran kesihatan.

Rasulullah saw. pernah suatu ketika merasa amat letih lalu memanggil Bilal, “Laungkanlah azan wahai Bilal. Aku mahu merehatkan diriku dengan solat.”
Solat khusyu’ mendidik jiwa membelai jasad agar keduanya berjalan seiring mengikut fitrah asalnya. Nikmat solat kita sia-siakan dan kita mencari yang lain untuk menyelesaikan masalah kehidupan.

sumber dari
:
http://tazkirah-umum.blogspot.com





Tuesday, June 14, 2011

Cium anak pun boleh dapat pahala




Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis akutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak. Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.

Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan.
Aqrak berkata;Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium.S
abda Nabi SAW; Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi..

Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

Seorang lelaki bertanya; Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti?
Jawab baginda; Berbaktilah kepada ibu bapamu.
Kata lelaki itu lagi; Ibu bapaku sudah tiada lagi.
Sabda Nabi SAW; Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak
terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu.





Sunday, June 5, 2011

Kisah mayat & syafaat Al Quran didalam Kubur...


Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya".

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa
Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah. Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak berdiri di bahagian kepalanya.Apabila mayat itu dikafankan, orang itu datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu.Bila selesai dikebumikan, orang ramai termasuklah ahli-ahli keluarga dan kekasih kita akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan. Tetapi orang yang kacak itu akan berkata: "Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun.Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!" Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata: "Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat." "Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaanMunkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi" Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat dari syurga.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi. Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri.Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telahdatang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat.Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia.Allah telah menjanjikan Al-Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar.






Thursday, June 2, 2011

Mengapa berat menunaikan solat



Semua umat Islam rasanya sudah maklum apakah dia seksa Neraka itu. Api yang membakar sampai ke hati. Minumannya ialah leburan logam yang menggelegak yang tidak terhingga panasnya. Makanannya ialah buah yang berduri. Seksa Neraka tersangatlah pedih. Ia adalah sehina-hina tempat untuk kembali.

Rata-rata juga umat Islam tahu bahawa sembahyang itu tiang agama. Siapa yang mendirikan sembahyang, dia sebenarnya telah mendirikan agama. Siapa yang meruntuhkan sembahyang, dia telah meruntuhkan agama. Mereka juga tahu, yang membezakan di antara orang kafir dan orang Islam itu ialah sembahyang. Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, nyata dia telah kufur.

Sembahyang adalah amalan pertama yang dihisab di akhirat. Kalau sembahyang tidak selesai, segala amalan yang lain tertolak.

Namun masih ramai umat Islam yang tidak menunaikan sembahyang lima waktu. Masih ramai yang cuai menunaikan sembahyang. Yang cuai menunaikan sembahyang itu bukan sahaja orang muda tetapi juga orang tua. Bukan sahaja orang miskin tetapi juga orang kaya. Bukan sahaja di kalangan orang-orang bawahan tetapi juga orang-orang atasan. Bukan hanya dari kalangan orang-orang tidak berpelajaran tetapi juga yang berpelajaran tinggi. Bukan sahaja dari kaum pekerja atau buruh tetapi juga dari para eksekutif dan pengurusan. Bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga pemimpin. Bukan sahaja lelaki, tetapi ramai juga perempuan yang cuai bersembahyang.

Menjadi kafir kerana tidak bersembahyang tidak dirasakan sebagai suatu ancaman. Meruntuhkan agama kerana cuai sembahyang juga tidak dirasakan besar. Malahan, ancaman seksa Neraka yang begitu perit, hebat dan dahsyat pun umat Islam tidak rasa gerun dan takut. Apakah puncanya umat Islam jadi begini?

Kalau ditanya pendapat orang, maka akan timbullah berbagai-bagai sebab dan alasan. Lemah imanlah. Kurang ilmu agamalah. Tidak ada asas agamalah. Kurang didikan agamalah. Kerana pengaruh liar seperti rock, black metal, dadah dan sebagainya. Kerana ibu ayah sibuk mengejar dunia dan tidak mengambil berat serta tidak ada masa untuk anak-anak. Kerana tidak ada kasih-sayang dari ibu bapa dan keluarga. Kerana sibuk dengan urusan, kerja, tugas, perniagaan dan bermacam-macam lagi alasan.

Mungkin alasan-alasan ini boleh diterima tetapi ia lebih merupakan alasan-alasan sampingan. Ada sebab dan alasan yang lebih pokok dari itu iaitu rata-rata umat Islam sudah tidak kenal Tuhan. Umat Islam berat menunaikan sembahyang kerana mereka tidak kenal Tuhan. Apabila Tuhan tidak dikenali, maka umat Islam tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan. Apabila cinta dan takut tidak ada, maka tidak wujud hubungan hati dengan Tuhan.

Hati yang tidak terhubung dengan Tuhan tidak ada apa-apa rasa. Tidak ada keinsafan. Tidak ada kesedaran. Tidak ada rasa bahawa Tuhan itu diperlukan. Bahawa Tuhan itu Maha Hebat dan Maha Agung. Tidak ada rasa bahawa kita manusia begitu kerdil dan lemah di sisi Tuhan. Walhal hati itu adalah wakil Tuhan pada diri kita, tempat kita berzikir dan berhubung rasa dengan Tuhan. Dalam erti kata yang lain, kalau hati tidak terhubung dengan Tuhan, kita tidak akan khusyuk dengan Tuhan.

Itulah sebabnya konsep pendidikan Islam bermula dari apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: Maksudnya: " Awal-awal agama mengenal Allah. "

Setelah Allah dikenali, dicintai dan ditakuti, maka kita akan suka mengamalkan syariat. Kita akan suka bersembahyang. Kita akan suka membuat perkara yang Tuhan suka. Kita akan suka menggembirakan Tuhan. Kita akan khusyuk dengan Tuhan. Akan timbullah keinginan untuk menyembah dan membesarkan-Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Barulah datang keinginan untuk bersembahyang kerana sembahyang itu ialah upacara untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Kalau Tuhan tidak dirasakan besar dan agung maka kita tidak akan terdorong untuk bersembahyang. Sembahyang tidak akan ada apa-apa makna.

Yang menjadi masalah, umat Islam sudah tidak dididik mengikut konsep pendidikan Islam ini lagi. Mereka tidak di-kenalkan kepada Tuhan terlebih dahulu. Mereka dikenalkan kepada dunia dan apabila sudah tua atau dewasa, barulah hendak berusaha untuk mengenal Tuhan. Itu pun hanya bagi orang yang sedar dan yang mendapat hidayah.

Kalau setiap anak dididik dari kecil untuk mengenal Tuhan, maka semua akan jadi mudah. Dari kecil lagi anak-anak sudah kenal, cinta dan takut dengan Tuhan. Dari kecil lagi mereka sudah merasa khusyuk dengan Tuhan. Orang yang khusyuk dengan Tuhan akan mudah bersembahyang. Tuhan ada berfirman:


Maksudnya: "Jadikanlah sabar dan solat itu sebagai penolongmu. Sesungguhnya solat itu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. " (Al-Baqarah: Ayat 45)

Kalau sudah tua dan dewasa baru hendak mengenal Tuhan, ia seperti anak angkat yang sudah tua mahu diperkenalkan oleh ibu angkatnya kepada ibu kandungnya sendiri. Memang dia akan menerima hakikat bahawa ibu kandungnya itu memang benar ibu kandungnya. Lebih-lebih lagi kalau disahkan dan diakui pula oleh ibu angkatnya. Tetapi untuk hidup dengan ibu kandungnya atau untuk berpindah dari rumah ibu angkat untuk tinggal bersama-sama ibu kandungnya, itu amat rumit sekali. Dia tidak akan mahu. Cintanya telah tertumpah kepada ibu angkatnya kerana ibu angkatnyalah yang telah banyak mencurahkan kasih sayang padanya. Begitu jugalah orang yang telah meninggalkan Tuhannya untuk bermewah di dunia. Dunia seperti ibu angkat-nya. Memang sukar untuk kembali kepada Tuhan yang mencipta-nya.







Wednesday, June 1, 2011

Hati Yang Selalu Muda


Hadith:

DARI Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda: "Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.

Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, 'rumah kata pergi, kubur kata mari', masih juga bergelumang dengan dosa.

Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan. Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu

  • waktu kaya sebelum miskin,
  • waktu senang sebelum sibuk,
  • waktu sihat sebelum sakit,
  • waktu muda sebelum tua
  • waktu hidup sebelum mati.

Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan.

Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia





Template by:
Free Blog Templates